TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Friday, November 29, 2013

Bukan Kerana Benci...

       


         Dahlia berdiri longlai di muka pintu rumahnya. Hatinya penuh mengharap agar kelibat Haris muncul di depannya. Doanya tidak lekang dari bibir.  Sesekali air matanya tumpah dan mengalir deras di pipi.  Dibiarkannya sahaja.  Dahlia memandang pekat malam tak berbintang dengan harapan yang menggunung.   Sesekali Dahlia teresak-esak.  Segala rasa bersatu di dalam hati.  

         "Haris, baliklah sayang..." rengek Dahlia sendiri dalam sendu.  Dia tidak mampu membayangkan di mana Haris tidur malam ini.  Sudah makankah dia?  Solatkah dia?   Macam-macam soalan menerpa mindanya.  Dahlia memandang jam di dinding.  Jam menunjukkan pukul 11.30 malam.  

         Dahlia masuk ke bilik air untuk mengambil wuduk.  Dia mahu solat hajat agar Haris pulang dengan selamat.  Dahlia menangis dalam sujud, memohon Allah membuka hati Haris untuk pulang ke rumah.  Setelah itu, Dahlia kembali ke muka pintu, menunggu Haris dengan penuh harapan. Dahlia mengintai Johan di dalam bilik.  Johan sudah berdengkur.   Senang sungguh lelaki itu tidur.  Anak tidak pulang selamba sahaja, desis Dahlia di dalam hati. Sebelum masuk tidur, Johan menukar mangga kunci gril.  Apabila Dahlia bertanya sebab dia berbuat demikian, dengan nada tinggi Johan menjawab, "Kalau dia balik, biar dia tidur di luar, biar dia rasakan."   Jawapan Johan merisaukan hati Dahlia.   "Sampai hati, abang," bisik Dahlia perlahan.  Air matanya menitik lagi.  Hatinya benar-benar bimbang. Kalaulah Haris pulang dan dia tidak dibenarkan masuk, pasti Haris akan pergi semula. Tidak,  Dahlia tidak mahu perkara itu berlaku.  Dalam diam, tanpa pengetahuan Johan, Dahlia menukar semula mangga kunci gril kepada mangga asal dengan tangan terketar-ketar.  Dia takut Johan terjaga.  Setelah itu, Dahlia duduk bersimpuh di muka pintu. Hatinya tidak putus- putus berdoa agar Haris pulang ke rumah.  Air matanya terus mengalir sambil bibirnya menyeru nama Haris.  

         Jam menunjukkan pukul 2.00 pagi, namun Dahlia masih setia di muka pintu.  Mata Dahlia terasa berat. Kepalanya pula terasa berdenyut-denyut. Tiba-tiba Johan keluar ke ruang tamu.  Dahlia hanya memandang Johan tanpa kata. Johan terus menghempaskan badannya di atas sofa panjang. Dia terus memejamkan mata, menyambung tidurnya.   Hati Dahlia berasa sedikit terubat melihat Johan. Rupa-rupanya Johan juga risau akan Haris dan sanggup menemaninya di ruang tamu.  Kemudian, muncul pula Miasara, anaknya yang paling bongsu di ruang tamu.  Si kecil itu juga mahu menunggu kepulangan Haris. Miasara tidur di hadapan tv.  Dahlia kemudiannya menutup pintu lalu berbaring di sebelah Miasara sambil mengusap rambut si kecil.    Akhirnya Dahlia turut terlena di samping Miasara.

        Dahlia tiba-tiba terjaga apabila terdengar suara azan subuh dari masjid di belakang rumah. Kepalanya kembali berdenyut.  Sambil berselawat, perlahan-lahan Dahlia bangun dan duduk di atas sofa. Dia memandang jam dinding.  Jarum jam menunjukkan pukul 5.35 pagi.  Tiba-tiba Dahlia teringatkan Haris.  Hatinya kembali  risau dan sedih, manakala tubuhnya kembali longlai.  Haris tak pulang!  Dahlia membuka pintu, menjeguk ke luar  rumah. Air matanya kembali menitis.  "Haris," rintih Dahlia.  Mungkin terkejut dengan bunyi pintu yang dibuka, Johan terjaga. Dahlia memandang wajah Johan dengan linangan air mata. Johan terus bangun dan menuju ke dalam bilik.  Johan kemudian masuk ke dalam bilik air untuk mandi. Setelah Johan keluar dari bilik air, Dahlia pula masuk ke bilik air. Johan dan Dahlia solat subuh berjemaah. Setelah selesai solat subuh, Dahlia menangis lagi sambil berdoa. Johan mengejutkan anak-anak yang lain.

     "Abang,"...seru Dahlia dalam sendu.  Johan memandang Dahlia tanpa kata. 

      "Abang, kalau Haris tak pulang juga tengah hari nanti, kita buat report polis ya, bang."  Johan tidak menghiraukan kata-kata Dahlia.  Air mata Dahlia semakin deras mengalir.

       "Abang..." seru Dahlia lagi.

    "Yalah...," jawab Johan acuh tak acuh.  Johan sebenarnya lemas melihat air mata Dahlia.  Dia tahu Dahlia terlalu risau.  Dia juga sebenarnya risau tetapi dia lelaki dan dia tidak boleh menangis kerana perkara itu. 

         "Abang, Lia tak pergi kerja hari ni.  Kepala Lia sakit, lagi pun Lia nak tunggu Haris pulang."

             Hati Johan belas melihat  wajah isterinya.  Mata Dahlia bengkak dan mukanya kelihatan sembab. Johan tahu dan sedar bahawa Dahlia menangis sejak malam tadi. Memang patutlah kalau Dahlia sakit kepala kerana dia asyik menangis sejak semalam.

                 "Yalah," jawab Johan ringkas.

     Pagi itu Johan dan anak-anaknya ke pejabat tanpa bersarapan.  Biasanya Dahlia akan menyediakan sarapan untuknya dan anak-anak, tetapi pagi itu Dahlia tidak menyediakan apa-apa.  Johan akur Dahlia sedih dan tidak ada hati untuk menyediakan sarapan. Setelah itu Johan menghantar  anak-anak ke sekolah.

      Setelah kelibat Johan dan anak-anaknya sudah tidak kelihatan, Dahlia kembali termenung di muka pintu.  Dahlia menangis lagi sambil menyeru nama Haris.  Dia tidak mampu berfikir bagaimana keadaan dan nasib Haris di luar sana.  Mungkinkah haris diculik oleh penjahat? Pelbagai soalan muncul di benaknya.

         "Ya Allah ya Tuhanku, selamatkan Haris walau di mana dia berada.  Bukakanlah hatinya agar dia pulang ke rumah."  Dahlia berdoa lagi tanpa henti.  Dahlia berasa kepalanya semakin kuat berdenyut.  Dahlia menyapu minyak angin di kepalanya kemudian berbaring di atas katil.
Jam menunjukkan pukul 8.00 pagi.  Dahlia mencapai telefon bimbitnya di atas meja solek. Dahlia  menelefon pejabatnya dan memberitahu bahawa dia cuti sakit pada hari itu. Setelah itu Dahlia termenung sambil memandang telefon bimbitnya. Perlukah dia menelefon ibu dan ayahnya di kampung dan memberitahu perkara itu kepada mereka? Tidakkah nanti perkhabaran itu akan merisaukan mereka? Dahlia berkira-kira sendiri.  Akhirnya Dahlia membuat keputusan untuk memberitahu mereka tentang Haris. Bukan niatnya untuk merisaukan mereka, tetapi Dahlia memerlukan doa daripada mereka agar  Haris pulang ke rumah.  

             Sambil berkisah tentang Haris kepada ibu dan ayahnya, air mata Dahlia tumpah lagi.  Hajah Fatimah dan Haji Zainal banyak menasihati dan menyabarkan Dahlia. Mereka menyuruh Dahlia berdoa tanpa henti, solat sunat hajat dan membaca al-Quran.  Mereka juga berjanji untuk solat hajat dan mendoakan Haris  agar Allah membukakan hati Haris untuk pulang ke rumah. Setelah bercakap dengan ibu bapanya, hati Dahlia berasa sedikit tenang.  Tidak beberapa lama kemudian, kakak, abang dan adik Dahlia menelefon Dahlia untuk bertanya khabar tentang Haris sambil menenangkan Dahlia. Kata-kata nasihat dan pujukan mereka menyebabkan Dahlia kembali bersemangat. Dahlia begitu bersyukur kerana mempunyai ibu bapa dan adik beradik yang prihatin akan masalahnya. Setelah selesai berbual dengan mereka, Dahlia mengerjakan solat hajat dan berdoa lagi dengan linangan air mata.  Hatinya tak pernah henti berdoa untuk Haris.

       Dahlia keluar ke ruang tamu.  Dia membuka pintu sambil memandang ke luar rumah.  Setiap kali dia memandang ke luar rumah, hatinya berasa sangat sayu. Tidak kelihatan kelibat Haris.  Tiba-tiba Dahlia terasa hendak termuntah.  Kepalanya juga semakin berat.  Dia terus ke dapur mencari panadol namun gagal. Yang ada hanya 'ponstant'. Dahlia terlebih dahulu makan sekeping roti yang dicicah air milo sekadar untuk mengalas perut sebelum menelan sebiji ponstant. 'Tak kisahlah apa pun, yang penting sakit kepalanya dapat dikurangkan,' bisiknya di dalam hati.  Dahlia kembali ke ruang tamu dan dia terus berbaring di atas sofa panjang.  Dia harus tidur sekejap agar sakit kepalanya hilang.  Sambil termenung, Dahlia terkenang semula peristiwa pagi semalam sebelum Haris keluar dari rumah.  

         Pagi Ahad itu, entah macam mana, dia bertanyakan kad pengenalan Haris.  Haris menjawab acuh tak acuh. Tiba-tiba juga Johan yang mendengar perbualannya dengan Haris menyuruh Haris mencari kad pengenalannya pada waktu itu juga.  Haris masih bersikap acuh tak acuh sambil menjawab dengan nada suara yang agak tinggi bahawa dia akan mencarinya nanti. Jawapan Haris memang agak kasar. Dahlia berasa panas hati dengan jawapan Haris kerana tidak lama lagi Haris akan menduduki peperiksaan PMR.  Kalau kad pengenalannya hilang, macam mana, sedangkan Haris baru sahaja menukar kad pengenalan baharu. Sejak beberapa hari kebelakangan ini, dia selalu berasa panas hati dengan sikap Haris. Pagi itu merupakan kemuncaknya apabila Johan masuk campur dan turut memarahi Haris kerana sikap Haris seolah-olah mencabar kesabaran Johan. Johan mungkin sedikit mengasari Haris tetapi tidaklah sampai mengangkat tangan ke muka Haris. Dahlia melihat Haris menangis.  Dahlia cuba menyabarkan Johan lalu Johan dan Dahlia meninggalkan Haris di dalam biliknya.

       Dahlia terus ke dapur untuk menyiang ikan dan membersihkan lauk pauk yang baru dibeli oleh Johan dari pasar.  Johan kemudiannya memberitahu Dahlia bahawa dia, Miasara dan Hairi mahu ke kedai buku di pekan. Setelah itu, Dahlia menjenguk Haris di dalam biliknya.  Dia melihat Haris masih menangis di dalam bilik.  Timbul rasa menyesal di dalam hati Dahlia kerana peristiwa sebentar tadi.  Dia kemudiannya memujuk Haris sambil menyuruh Haris mencari kad pengenalannya segera.  Setelah itu, Dahlia menyambung kerjanya di dapur.

         Setelah Dahlia siap memasak, dia ke bilik Haris.  Haris tiada di dalam bilik.  Dahlia mencari Haris di seluruh rumah tapi kelibat Haris tidak kelihatan.  Tiba-tiba hati Dahlia berasa cemas.  Dahlia bertanya tentang Haris kepada Fathiah yang sedang menyiapkan kerja sekolah di meja di ruang makan.  Fathiah memberitahu Dahlia bahawa Haris baru sahaja keluar dari rumah. Menurut Fathiah lagi,  Haris membawa beg sandang, beberapa buah buku dan bekas pensil. Fathiah fikir Haris sudah memberitahu Dahlia bahawa dia hendak keluar. Dahlia memandang jam dinding. Jam menunjukkan pukul 12.30 tengh hari.  Biasanya Haris akan pergi ke masjid di belakang rumah untuk belajar bersama-sama kawan-kawannya. Begitulah rutin Haris pada setiap hujung minggu. Dahlia berasa lega apabila memikirkan bahawa Haris keluar untuk belajar, namun hatinya sedikit panas kerana Haris tidak memberitahunya sebelum keluar dari rumah.  

            Setelah Johan pulang, Haris masih belum pulang. Dahlia sekeluarga menikmati hidangan  tengah hari tanpa Haris.  Dahlia pada mulanya menyuruh Hairi menjemput Haris pulang untuk makan tengah hari bersama-sama namun menurut Johan, biarlah Haris belajar, nanti kalau dia lapar, tahulah dia untuk pulang. Setelah makan tengah hari, Dahlia dan Johan serta Miasara mahu menghantar Haikal ke stesyen bas.  Haikal akan pulang ke UITM. Semasa berada di stesyen bas Pudu, Dahlia menelefon Fathiah di rumah untuk bertanya tentang Haris.  Fathiah memberitahunya bahawa Haris masih belum pulang.  Hati Dahlia mula risau. Dia melaporkannya kepada Johan tetapi tiada respon daripada Johan. Dahlia memujuk hatinya sendiri.  Petang itu setelah pulang dari stesyen bas, Haris masih belum pulang juga.  Hati Dahlia semakin risau.  Dia sudah berfikir macam-macam, namun Johan tetap tenang.

       Akhirnya apabila azan maghrib berkumandang, dan Haris masih juga tidak pulang, Dahlia mula tidak keruan. Johan dan Hairi mula mencari Haris di masjid namun kelibat Haris tidak kelihatan.  Selepas solat maghrib, Johan dan Hairi mencari Haris lagi, kali ini dengan bantuan Abang Rahim, jiran sebelah rumah.  Mereka mencari Haris di masjid, di seluruh taman perumahan, cafe cyber dan bertanya kepada rakan-rakan Haris yang dikenali, namun Haris gagal ditemui. Sejak itulah Dahlia mula menangis hinggalah hari ini.


               ***************************************************

            Dahlia terlena agak lama di atas sofa.  Tiba-tiba dia terjaga apabila terdengar suara orang memanggil dari luar rumah.  Hati Dahlia berbunga riang. Hariskah itu? Dahlia mengerling jam di dinding.  Pukul 11.15 minit pagi. Dahlia menjenguk ke luar, rupa-rupanya Bangla jual carpet. Harapannya musnah berkecai. Lemah longlai tubuhnya.  Dia terduduk di muka pintu.  

              "Haris, baliklah sayang," rintih Dahlia dalam sendu. 

                Tengah hari itu Johan pulang. Seperti yang dijanjikan dengan Dahlia, mereka akan membuat laporan polis tentang kehilangan Haris.  Sudah 24 jam berlalu dan Haris masih belum pulang, maka mereka boleh membuat laporan. Dahlia bersiap seadanya sebelum keluar.  Dia melihat wajahnya di cermin. Matanya bengkak dan mukanya sembab serta pucat. Tengah hari itu hujan turun agak lebat. Sebelum ke balai polis, Dahlia singgah di klinik untuk berjumpa doktor.

      Di balai polis, Johan memberi keterangan tentang kehilangan Haris.  Dahlia cuma memerhati dan mengangguk-angguk apabila pegawai polis yang mengambil keterangan itu membaca semula laporan tersebut kepada Johan dan Dahlia.  Pegawai polis itu meminta Johan dan Dahlia datang semula ke balai polis pada petang itu untuk berjumpa dengan Inspektor Azlina yang akan mengambil kes Hairi.  Seperti yang dijanjikan, pada pukul 3.30 petang, Johan dan Dahlia kembali ke balai polis untuk berjumpa Inspektor Azlina.  Setelah mengambil keterangan yang lebih terperinci daripada Johan dan Dahlia, Inspektor Azlina berjanji akan mencari Haris.  Menurut Inspektor Azlina, biasanya remaja lelaki yang lari dari rumah akan pulang semula ke rumah dalam masa dua tiga hari.  Mereka lari dari rumah hanya kerana hal yang remeh temeh seperti dimarahi ibu bapa.  Mereka juga tidak pergi jauh kerana mereka hanya keluar sehelai sepinggang.  Mereka akan pulang ke rumah kerana mereka tiada hala tuju. Dahlia sangat lega mendengar penerangan Inspektor Azlina. Dalam hatinya, dia terus berdoa agar Haris pulang secepat mungkin.  Sebelum Johan dan Dahlia beredar, Inspektor Azlina sempat berpesan kepada Johan dan Dahlia agar memberitahunya jika Haris pulang.  Kes Haris akan dibatalkan jika dia pulang dan meminta Johan agar membawa Haris berjumpa dengannya.   

       Petang itu semasa Dahlia melipat kain, dia terdengar pintu gril dibuka.  Hatinya berdebar-debar.  Dia cepat-cepat ke pintu.  Hatinya kecewa.  Yang pulang bukan Haris, tetapi Hairi.  Hairi baru pulang dari masjid.  Hairi seperti faham akan perasaan ibunya yang mengharap Haris yang muncul di muka pintu.   Dia tidak berkata apa-apa lalu terus masuk ke dalam bilik. Selepas itu dia meminta izin daripada Dahlia untuk keluar bermain bola di padang. Dahlia hanya mengangguk lemah.  Dahlia menyambung kerjanya melipat kain.  Kira-kira pukul 6.30 petang, sewaktu  Dahlia sedang memasak di dapur, dia terdengar pintu gril dibuka.  Dahlia tidak terburu-buru menjenguk ke ruang tamu kerana fikirnya Hairi yang baru pulang dari padang.  Tiba-tiba Dahlia terpandang Haris yang baru masuk ke dalam biliknya.  Dia sangat terkejut namun gembira.  Dia berkali-kali memanjat syukur kepada Allah kerana Haris telah pulang dengan selamat.  Dahlia meluru ke arah Haris.  Haris kelihatan letih. Dahlia mahu bertanya banyak soalan kepada Haris namun disabarkan hatinya apabila dia teringat pesanan ibunya agar tidak terus menanyakan pelbagai soalan kepada Haris jika dia pulang.  "Biarkan dia tenang terlebih dahulu," pesan Hajah Fatimah pagi tadi. Dahlia memeluk Haris tapi tiada respon daripada Haris.  

            "Haris dah makan?" tanya Dahlia lembut.

            "Belum," jawab Haris pendek sambil mencapai tuala.

           "Haris mandi dulu, lepas tu Haris makan ya," pujuk Dahlia lagi.  Haris hanya mengangguk.

             "Haris pergi mana sebenarnya?"

              "Masjid." 

           Dahlia mahu bertanya lagi tapi dipujuk dirinya sendiri agar bersabar. Biarkan Haris mandi, makan dan bertenang dulu, bisiknya sendiri.  Dahlia kemudian menelefon Johan dan memberitahu Johan tentang kepulangan Haris.  Johan berpesan kepada Dahlia supaya tidak membenarkan Haris keluar semula walaupun ke masjid.  Dia akan pulang segera dan akan membawa Haris ke balai polis untuk berjumpa dengan Ispektor Azlina.  Dahlia juga menelefon ibu, ayah, kakak, abang dan adiknya untuk memberitahu khabar gembira itu.  Alhamdulillah, itu respon mereka semua. Sementara menunggu kepulangan Johan, Dahlia mengambil kesempatan bertanya segala-galanya kepada Haris, namun Haris menjawab ringkas sahaja.  

        "Sabarlah wahai Dahlia," Dahlia memujuk hatinya sendiri.

           Setelah Johan pulang dan membersihkan diri, Dahlia dan Miasara mengikut Johan dan Haris ke balai polis untuk berjumpa Inspektor Azlina. Inspektor Azlina meminta Johan dan Dahlia menunggu di luar biliknya kerana dia mahu bercakap dengan Haris seorang diri.  Kedengaran suara Inspektor Azlina yang kadang-kadang tinggi, kadang-kadang rendah bertanya itu dan ini kepada Haris. Agak lama juga perbualan antara Inspektor Azlina dengan Haris.  Tidak lama kemudian, Haris keluar dari bilik Inspektor Azlina diiringi Inspektor Azlina.

            "Puan, Haris beritahu saya dia keluar dari rumah sebab encik dan puan selalu memarahi dia tanpa sebab. Katanya puan dan encik tak sayangkan dia."  Air mata Dahlia tumpah lagi.  Dia sedih mendengar pengakuan Haris.  

     "Awak tahu tak Haris, kalau emak dan ayah awak tak sayangkan awak, mereka tak akan buat laporan polis. Mereka marah awak tentu bersebab.  Awak tengok muka emak awak, mata emak awak bengkak sebab menangis. Kalau emak awak tak sayangkan awak, dia tak akan kisah awak lari dari rumah.  Saya bagi amaran kepada awak, lain kali kalau awak buat lagi perkara ini, kami tidak akan teragak-agak akan masukkan awak ke dalam lokap.  Nasib baik awak balik sebelum kami buat gerakan mencari awak esok, kalau tidak pasti perkara ni akan jadi lebih rumit." Haris hanya menunduk dan mengangguk sekali sekala.

       "Sekarang, pergi minta maaf dengan emak dan ayah awak," arah Inspektor Azlina.  Haris akur.  Dia melutut di hadapan Dahlia sambil memohon maaf.  Dahlia memeluk erat Haris sambil menangis. 

         "Haris, mama dan papa tak pernah bencikan Haris.  Kami sayang semua anak-anak kami.  Mama dan papa dah maafkan Haris tapi Haris kena janji dengan mama dan papa yang Haris tak akan buat macam lagi ya."  Dahlia mengusap kepala Haris.  Haris mengangguk.  Dia juga turut menangis. Kemudian Haris meminta maaf daripada Johan pula.  Johan memeluk Haris erat-erat.

           "Terima kasih, Inspektor.  Kami pulang dulu."
Inspektor Azlina tersenyum sambil mengiringi Dahlia, Johan, Miasara dan Haris keluar dari biliknya.

           Dahlia berjanji dengan dirinya sendiri bahawa dia tidak akan berkeras lagi dengan anak-anaknya.  

              "Terima kasih, Allah," ujarnya sambil menadah tangan.

             

                





         



        



        
    

No comments:

Post a Comment