TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Wednesday, November 28, 2012

Jannah 2



           Air mata Jannah deras mengalir.  Badannya terhinjut-hinjut  menahan esak.  Cikgu Humaira juga menangis.  Suasana dalam bilik sebesar sepertiga  sebuah bilik darjah itu sepi.  Yang kedengaran hanya bunyi kipas  siling yang ligat berpusing.  Jannah menyeka air matanya sambil memandang Cikgu Humaira yang sedang termenung, membuang pandangan ke luar tingkap  bercermin neko.  Jannah sedikit resah dengan diam cikgu Humaira.  Dia tidak pernah marah akan Cikgu Humaira, sebaliknya dia kesal dan marah akan dirinya sendiri.  Jannah sebenarnya malu untuk berkisah tentang dirinya kepada Cikgu Humaira, membuka pekong di dada sendiri, tetapi dia terpaksa  melakukannya, walaupun dia sangat yakin bahawa  Cikgu Humaira akan memarahinya setelah mendengar kebenaran dari mulutnya.  Dia tidak mampu lagi untuk menyimpan segalanya sendiri.  Hidupnya tidak akan tenang selagi dia tidak meluahkannya kepada seseorang.  Dia tidak nampak calon yang lebih sesuai  selain Cikgu Humaira untuk mendengar kisahnya, bukan rakan baiknya apatah lagi ibunya sendiri.  Bukan dia tidak mempercayai ibunya, tetapi sesungguhnya dia tidak sanggup menghancurkan hati ibu kesayangannya jika ibunya mengetahui kebenaran tentang anak gadisnya ini.  Jannah sangat yakin bahawa Cikgu Humaira seorang yang amanah dan boleh dipercayai.  Cikgu Humaira bersifat keibuan, banyak menasihatinya dan rakan-rakannya di dalam kelas sewaktu mengajar, dan kerana itulah hatinya terpikat kepada Cikgu Humaira dan kerana itu jugalah Cikgu Humaira menjadi pilihannya untuk menjadi pendengar kisahnya. 

              Cikgu Humaira kembali duduk di kerusi di hadapan Jannah. Cikgu Humaira memandang tepat ke wajah Jannah.  Jannah tidak sanggup bertentang mata dengan Cikgu Humaira.  Dia menundukkan kepalanya. Sesekali dia menyapu air matanya dengan sapu tangan  kecil dalam genggamannya. 
       
            “Kenapa boleh jadi macam ni, Jannah?  Awak dah tak ingat dosakah Jannah?     Cikgu tak sangka begini jauh tindakan awak.  Lebih cikgu tak sangka sebab pada cikgu awak   seorang pelajar yang  lembut, pendiam dan bersopan santun.  Cikgu sangat kesal Jannah.  Kalau perkara ini berlaku kepada Wati, cikgu tak begitu terkejut sangat sebab dia memang sosial.”  Cikgu Humaira masih sebak.
            
        “Cikgu, saya minta maaf, cikgu.”  Jannah masih mengongoi seperti seorang anak kecil, memohon pengertian daripada Cikgu Humaira.
                       
          “Bukan kepada cikgu awak harus minta maaf,  tapi kepada Tuhan, Jannah.  Awak wajib minta ampun daripada Allah.” 

       Jannah mengangguk  dan masih juga menangis.  Cikgu Humaira mamandang tepat ke wajah polos di hadapannya.  
                     
            “Dah berapa kali awak terlanjur, Jannah?
            
            “Beberapa kali, cikgu”
            
            “Sekarang, masih buat lagi?”
            
            "Masih cikgu…”
            
         Jujur gadis itu menjawab. Terlalu jujur. Cikgu Humaira sebak lagi. Terasa hendak luruh jantungnya mendengar pengakuan jujur Jannah.
   
        “Ya Allah Jannah, kenapa awak jadi macam ni Jannah?  Awak tak takut dosakah Jannah? Apa guna awak menangis di depan cikgu seolah-olah awak menyesal tetapi sebenarnya awak masih lagi bergelumang dengan dosa, Jannah?
                
          Cikgu Humaira berasa kesal, kecewa dan jengkel.  Semua perasaan itu bersatu dalam hatinya. Kalau Jannah itu anaknya sendiri, mahu sahaja dikerjakan Jannah separuh mati.    Kasihan  wanita yang menjadi ibunya kerana tidak tahu anaknya sedang bergelumang dengan dosa. 
            
          “Cikgu, saya dah cuba, tapi saya tak mampu menolak kemahuannya.  Saya benar-benar cintakan dia cikgu”.
        
     “Jannah, awak cintakan lelaki keparat tu sampai sanggup korbankan maruah awak sendiri?  Awak ingat dia cintakan awak?” Suara Cikgu Humaira mula meninggi. Dia terasa hendak muntah mendengar penjelasan Jannah.  Dia tidak mampu untuk mengasihani pelajarnya ini.  Dia tidak boleh berkompromi dalam hal yang bersangkut paut dengan dosa ini. 
         
         Sindiran Cikgu Humaira membuatkan  Jannah semakin kuat teresak.  Habis hujung tudungnya basah dengan air mata.    Tiba-tiba Cikgu Humaira mengeluh.  Dia beristighfar beberapa kali.  Dia tidak sepatutnya terus menghukum Jannah dengan kata-kata yang pedas.  Gadis ini harus disedarkan dengan cara yang berhemah. Cikgu Humaira memegang  bahu Jannah yang masih teresak-esak.  Gadis itu duduk di kerusi di hadapannya hingga lutut mereka bertemu. 

       “Jannah, awak yakinkah budak lelaki tu cintakan awak?”  Suara Cikgu Humaira kembali lembut. 
          
            “Dia memang sangat cintakan saya, cikgu, jadi saya tak mampu menolak kemahuannya.  Dia janji dia akan berkahwin dengan saya.  Saya pernah cuba nak putuskan hubungan dengannya tapi dia ugut nak bunuh diri, cikgu, sebab dia kata hanya sayalah sahaja yang dia ada dalam hidupnya.”

             "Ya Allah, Jannah, kenapalah awak ni bodoh sangat Jannah. Budak  tu sebenarnya tak cintakan awak pun Jannah.  Awak ni pun bukannya cantik sangat sampai dia tergila-gilakan awak.  Sebenarnya dia hanya nak ambil kesempatan ke atas awak.  Dia bohong nak berkahwin dengan awak.  Dia kata dia cintakan awak sebab dia boleh dapat tubuh awak dengan percuma tanpa keluarkan  duit satu sen pun.  Dia bukan suami awak, jadi dia tak perlu tanggung nafkah awak, tak perlu beri duit kepada awak.  Bila-bila masa dia nak tubuh awak, awak akan beri dengan percuma, jadi sebab tu dia sayang nak lepaskan awak.  Tadi awak kata dia kerja kuli sajakan? Selalu tak cukup duitkan?Jadi macam mana dia nak kahwin dengan awak sedangkan  dia tak ada duit.  Kalau betul dia ugut nak bunuh diri kalau awak tinggalkan dia, biarkan dia bunuh diri.  Pergi matilah orang macam tu."  Begitu beremosi Cikgu Humaira berkhutbah.  Jannah terdiam.
              
          "Jannah, dia tu bukanlah  bodoh sangat sampai nak bunuh diri kalau awak tinggalkan dia.  Dia cuma gertak awak supaya awak tak tinggalkan dia.  Awak sebenarnya yang bodoh sebab terlalu percayakan lelaki macam dia."      
                        
           “Tak cikgu, saya yakin dia cintakan saya.  Pernah dulu saya bagitahu nak putus tapi dia asyik ‘call’ dan ‘message’ saya, kemudian menangis dan merayu agar jangan tinggalkan dirinya.”

            Cikgu Humaira terkejut mendengar jawapan Jannah.  Nampaknya gadis ini masih beria-ria mempertahankan lelaki itu.  Dah termakan ubat guna-gunakah budak ni? Tanya Cikgu Humaira sendiri dalam hati.
                           
          “Bertaubatlah Jannah.  Awak tak takutke kalau awak mengandung anak luar nikah, anak zina?
                          
          “Insya-Allah, saya tak akan mengandung cikgu sebab dia pakai kondom."

        “Astagfirullahhalazim…Jannah, awak ni nak bertaubat ke tidak ? Siap pakai kondom lagi.   Jannah, kalau Tuhan kata  jadi, maka jadilah. Kalau Tuhan nak bagi awak mengandung, pasti  akan ada sebabnya, kondom tu bocor ke, tak sempat nak pakai dah terpancutke dan macam-macam lagi.  Dengar sini Jannah, kalau ditakdirkan awak mengandung, awak akhirnya akan melahirkan anak zina.  Awak tentu malu dan tak mahu keluarga awak tahu awak mengandungkan?  Jadi sebelum bayi tu lahir, awak pun berpakat dengan budak lelaki  tu untuk gugurkan janin tu, dan awak telah melakukan satu lagi dosa besar iaitu membunuh.  Awak  tak tak takut dosakah Jannah?”
                      
              “Sebab saya takutlah saya jumpa dan beritahu hal ini kepada cikgu.  Saya nak minta nasihat cikgu.  Saya nak bertaubat.”
              
               “Kalau awak nak bertaubat, awak kena tinggalkan dulu perbuatan awak ni Jannah.  Tinggalkan budak  lelaki tu, kemudian awak buat taubat nasuha, minta ampun daripada Allah dan awak berjanji awak tak akan ulangi lagi dosa ini.  Menangislah dalam sujud awak sebagaimana awak menangis di pangkuan cikgu, Jannah.”  
                          
          “Tapi saya asyik teringakan dia cikgu, lagi pun  macam mana saya nak putuskan hubungan dengan dia, dia pasti akan ‘call’ dan ‘message’ saya.” 
         
            Cikgu Humaira mengeluh.  Air matanya sendiri sudah kering.  Dia kesal dengan gadis itu, terlalu banyak beralasan.
               
          “Jannah, awak ni betulke nak bertaubat.  Kenapa masih lagi fikirkan jantan tak guna tu?  Kalau dia ‘message’ awak, kalau dia ‘call’ awak, jangan balas dan jangan jawab.  Kalau dia cari awak di rumah, jangan jumpa!”   
                                 
             “Pasti dia akan sedih cikgu kalau saya putuskan hubungan dengannya.” 
                                
           “Sudahlah Jannah.  Yang awak kesian sangat dengan dia kenapa?  Awak sebenarnya yang tak sanggup  tinggalkan diakan?  Awak nak buktikan apa?  Nak buktikan bahawa awak setia?  Sudahlah Jannah, cikgu tak nak dengar apa-apa alasan  lagi daripada awak.  Kalau awak takutkan Allah dan benar-benar nak bertaubat, lupakan jantan tu.  Tolonglah Jannah, cikgu merayu kepada awak.”
                                
             Mata Jannah masih basah.  Dia termenung seketika.
                           
                    "Mak awak dah tahu pasal ni Jannah?
                   
                    “Belum, cikgu.”
                   
                  “Mak awak kena tahu.  Awak kena beritahu mak awak.  Kalau awak takut, biar cikgu pergi rumah awak dan jumpa mak awak.”
                           
         “Tolonglah cikgu, saya merayu kepada cikgu, jangan bertahu mak saya atau pun kepada sesiapa pun juga.  Saya amanahkan cikgu.  Saya tak nak hati mak saya hancur jika dia tahu keadaan diri saya.”
             
            "Jannah, sepatutnya awak fikir risikonya sebelum awak terlibat dengan dosa besar ni.  Baiklah Jannah, cikgu janji cikgu tak akan ceritakan hal awak ni kepada sesiapa pun,  tapi cikgu kesal Jannah. Cikgu merayu kepada awak, bertaubatlah dengan taubat nasuha, Jannah.   Cikgu boleh marahkan awak, nasihatkan awak, tapi hanya awak  sendiri yang boleh mengubah diri awak.  Lupakan lelaki itu.  Awak akan menempuh peperiksaan besar tak lama lagi, Jannah.  Tumpukan perhatian awak pada pelajaran."

             “Saya tak pasti saya boleh tumpukan perhatian saya pada pelajaran kalau saya putuskan hubungan dengannya.  Selama ni kalau saya nak belajar dengan tenang, saya akan ke rumah sewanya dan saya akan belajar ditemani olehnya.  Dia sangat baik terhadap saya cikgu, tapi saya berjanji saya akan berusaha melupakannya.” 
  
             “Macam mana awak  boleh kenal dengan budak lelaki tu, Jannah?”

            “Dia sebenarnya sepupu saya, tapi dia telah dihalau oleh keluarga Pak Ngah saya kerana dituduh mencuri,  tapi saya yakin dia tak mencuri.  Mak saya pun tak sukakan dia.”
    
          “Ya Allah Jannah, kenapa awak ni tak boleh berfikir?  Kalau dah mak bapak dia sendiri dah halau dia dan mak awak pun tak suka dia, awak masih kata dia baik?  Mereka lebih kenal anak mereka Jannah. Ibu bapa tak akan halau anak sendiri kalau anaknya tak jahat, tapi nampaknya dia memang buat kerja tak senonoh hingga ibu bapa dia sanggup halau dia, dan awak kononnya sebagai penyelamat dialah?  Penyelamat konon, maruah sendiri sanggup digadai.  Atau awak sendiri pun suka dan seronok melakukan perbuatan terkutuk itu kan Jannah?”  Cikgu Humaira berasa panas hati apabila Jannah masih terus-menerus membela budak lelaki itu.
          
          Jannah terdiam,  Dia hanya mampu menadah telinga mendengar sindiran Cikgu Humaira.  Memang pedih kata-kata yang terhambur keluar dari mulut Cikgu Humaira, tapi semua yang dikatakan oleh Cikgu Humaira memang betul.  Kenapa hatinya begitu rapuh dengan pujuk rayu Azri?  Kenapa dia begitu lemah apabila berhadapan dengan Azri?  Kenapa dia tidak mampu menolak kemahuan Azri apabila bertentang mata dengan Azri?  Ya Allah, ya Tuhanku, ampunilah aku.
                                 
         “Sudahlah Jannah.  Tak guna awak menangis lagi.   Awak pergilah masuk ke kelas.  Kesat air mata awak.  Dengarlah nasihat seorang guru ini Jannah.  Tolong lupakan lelaki tu, dan awak bertaubatlah.  Awak menangislah dalam sujud awak seperti mana awak menangis di hadapan cikgu.  Hanya awak yang boleh bantu diri awak.  Cikgu  hanya boleh  marah dan menasihati awak.  Cikgu tak mampu berbuat lebih daripada itu,  dan selalulah baca al-Quran untuk menenangkan hati awak.  Kalau dia ‘message’ atau ‘call’, jangan sesekali balas atau jawab.  Lama-lama nanti dia pun tak larat nak kacau awak.  Dia cuma takut kehilangan  awak sebab dia tak akan dapat barang percuma lagi.  Kalau nak melanggan pelacur pun, sekurang-kurangya dia kena bayar juga, tapi dengan awak dia dapat percuma.  Dia tak rugi dan tak luak apa-apa pun Jannah. “  
                             
             “Baiklah cikgu.  Saya berjanji saya akan lupakannya dan tumpukan perhatian saya pada pelajaran.  Saya akan dengar nasihat cikgu.  Terima kasih cikgu sebab sudi mendengar kisah saya.  Saya hanya ceritakan hal ini kepada cikgu seorang sahaja sebab saya percayakan cikgu.  Saya tak  ada tempat lain nak mengadu.” 
                             
           Cikgu Humaira berdiri dan memeluk Jannah yang juga sedang berdiri.  “Cikgu pun minta maaf sebab marahkan awak.  Terus terang cikgu katakan, cikgu memang kesal dengan awak tapi cikgu harap awak benar-benar berubah dan bertaubat.”
                  
     “Saya janji saya akan berubah dan bertaubat.  Doakanlah saya cikgu.”
               
            “Jangan berjanji kepada cikgu, Jannah, berjanjilah kepada Allah dan diri sendiri.”

       Jannah menggangguk lemah.  Dia kemudiannya menyalami dan mencium tangan Cikgu Humaira, lalu meminta izin untuk masuk ke kelas.  Cikgu Humaira hanya menggangguk dan memandang Jannah berlalu keluar dari biliknya dengan perasaan  kesal dan hiba.
                                         
           Cikgu Humaira tidak dapat meneruskan perhatiannya pada skrin komputer di hadapannya.  Fikirannya jauh melayang.  Dia sedang  memikirkan nasib ibu Jannah. Kasihan wanita itu kerana tidak tahu keadaan anak gadisnya sendiri.    Tiba-tiba dia teringat akan dua orang puterinya yang sedang meningkat remaja. Ya Allah, Engkau lindungilah anak-anakku daripada melakukan maksiat dan kemungkaran.  Engkau peliharalah mereka daripada tipu daya   syaitan.  Ya Allah, ampunilah Jannah, Ya Allah, kasihanilah dia. Bukalah pintu hatinya untuk bertaubat kepada-Mu, ya Allah.                                                                         

          Beberapa minggu sebelum peperiksaan besar bermula, Cikgu Humaira bertanya Jannah  keadaan dirinya, tetapi Jannah  sekadar  tersenyum sambil menjawab ringkas. 
                
          “Lupakanlah  segalanya  yang telah saya ceritakan kepada cikgu.” 
                       
            Cikgu Humaira terkedu mendengar jawapan Jannah.  Apa maksud gadis itu?  Adakah Jannah bermaksud dia tidak mahu Cikgu Humaira campur tangan lagi dalam masalahnya? Atau apa sebenarnya maksud kata-kata Jannah?  Cikgu Humaira mengeluh.  Dia tidak mahu memaksa Jannah menceritakan apa-apa lagi.   Mungkin Jannah sudah benar-benar berubah dan bertaubat,  dan sudah melupakan segala yang berlaku dalam hidupnya.  Kalau begitu, syukurlah.  Cikgu Humaira tidak pernah berniat untuk menjaga tepi kain Jannnah.  Dia tidak pernah memaksa Jannah menceritakan apa-apa. Dahulu pun Jannah sendiri yang datang kepadanya dan mengadu kisah hidupnya kepadanya, jadi kalau sekarang Jannah tidak mahu lagi bercerita apa-apa, dia tidak kisah.  Itu hak Jannah.  Dia hanya mahu yang terbaik untuk pelajarnya itu.

                 *************************************************
            Cikgu Humaira berjalan beriringan dengan suaminya, masuk ke Hospital Ampang.  Mereka berdua akhirnya berhenti di hadapan pintu lif untuk naik ke wad 5.  Sebaik sahaja pintu lif terbuka, Cikgu Humaira terus memasuki lif sambil tangannya dipimpin oleh si suami.  Suami Cikgu Humaira menekan butang ‘5’. Pintu lif tertutup dan lif bergerak laju.  Di dalam lif hanya Cikgu Humaira dan suaminya serta tiga orang pelawat lain. Suasana sepi sahaja di dalam lif. Sebaik sahaja lif berhenti di tingkat 5, Cikgu Humaira dan suaminya serta tiga orang pelawat itu terus keluar dari lif.  Mata suami Cikgu Humaira, Azizi, meliar mencari wad 5C sambil kaki mereka terus melangkah. Tiba-tiba Azizi menarik tangan Cikgu Humaira.

           “Ha, tu dia wad 5C.” 
       
        Cikgu Humaira hanya mengekori langkah suaminya.  Dia dan Azizi mahu melawat anak saudara perempuan  Azizi yang baru sahaja dimasukkan ke wad itu tengah hari tadi, akibat kecederaan yang agak teruk kerana diragut sewaktu berjalan ke Stesen LRT Pandan Indah untuk ke tempat kerja pagi tadi.

         Azizi dan Cikgu Humaira masuk ke wad 5C, kemudian berjalan terus mencari katil Hartini. Sesampainya Cikgu Humaira dan Azizi di katil Hartini, didapati adik Azizi dan adik Hartini sudah ada di situ.  Selepas bersalam dengan mereka berdua, Cikgu Humaira mendapatkan Hartini,  bertanya khabar sambil meneliti keadaan Hartini.  Keadaan  Hartini kelihatan agak lemah. Di lengan dan dahinya kelihatan kesan calar dan luka.  Dia hanya mampu bercakap perlahan.  Menurutnya, kepalanya sakit.  Ketika Hartini mengiring ke kanan untuk muntah, kelihatan darah pekat mengalir keluar dari telinga kanannya. Cikgu Humaira agak terkejut apabila melihat darah itu.  Menurut adik Hartini, doktor masih tidak dapat mengesan sebab darah keluar dari telinganya, kerana hasil x-ray yang telah dijalankan, doktor tidak dapat melihat kecederaan akibat ada darah beku di dalam telinga Hartini.  Doktor akan melakukan x-ray sekali lagi esok setelah darah di dalam telinganya dibersihkan. Seketika kemudian, beberapa orang rakan sekerja Hartini datang melawat Hartini.  Cikgu Humaira turut berbual-bual dengan rakan-rakan Hartini sambil menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh mereka bagi pihak Hartini.  Setengah jam kemudian, dua orang anggota polis datang ke katil Hartini untuk mengambil laporan daripada Hartini.  Cikgu Humaira mengambil kesempatan itu untuk ke tandas.  Semasa Cikgu Humaira berjalan ke tandas, matanya tertangkap pada sekujur tubuh yang sedang terbaring di atas katil di bilik sebelah bilik Hartini.  Tiba-tiba matanya terpaku pada seraut wajah yang begitu biasa pada pandangannya. 

          “Siapa ya?” soalnya sendiri di dalam hati.  

          “Macam pernah tengok,  tapi kat mana ya?”

Cikgu Humaira menghentikan langkahnya dan memandang wajah pesakit yang sedang tidur itu agak lama.

          “Jannah?”  

           Hati Cikgu Humaira terdetak.  “Betulkah?”

           Cikgu Humaira masih membatu di situ.  Diamati lagi wajah kurus cengkung itu.  Cikgu Humaira kemudiannya berjalan mendekati katil itu.  Tiba-tiba muncul seorang wanita separuh umur mendapatkan pesakit yang sedang tidur itu.  Wanita itu menyapa Cikgu Humaira dengan lembut.

           “Ya, ada apa?”       

Cikgu Humaira tersentak dengan sapaan wanita itu. 

            “Maaf saya bertanya, ini Jannahke?”   Lancar sahaja Cikgu Humaira mengajukan soalan, untuk mendapatkan kepastian.

               Wanita itu mengangguk.  “Ya, ini Jannah. Saya ibunya. Puan ni siapa?” Giliran wanita itu pula mengajukan soalan kepada Cikgu Humaira.  Cikgu Humaira terpaku mendengar jawapan wanita itu. 

                “Saya Humaira, Cikgu Humaira.  Saya pernah mengajar Jannah dulu.”

                  “Oh Cikgu Humaira, maaf saya tak kenal cikgu.” Ibu Jannah tersenyum memandang Jannah.

                  “Oh, tak apa.” Cikgu Humaira menyuakan tangannya untuk bersalam dengan ibu Jannah.  Setelah itu Cikgu Humaira mendekati Jannah.

                  “Kenapa dengan Jannah? Dia sakit apa?” Pandangan Cikgu Humaira terus melekat pada  wajah cengkung Jannah. Di bawah matanya kelihatan tanda lebam yang jelas. Bibirnya pucat, kering dan mengelupas. Ibu Jannah seakan mengerti persoalan yang bermain di benak Cikgu Humaira.  Dia hanya mampu melepaskan satu keluhan yang berat sebagai ganti jawapan untuk soalan Cikgu Humaira.

          “Oh ya, saya sebenarnya datang melawat anak saudara suami.  Dia kena ragut dan mengalami kecederaan. Polis sedang mengambil laporan daripadanya.  Saya nak ke tandas, tapi tiba-tiba saya terpandang Jannah.”

         “Ohhh…teruk ke kecederaan anak saudara cikgu tu?”

         “Teruklah jugak.  Telinganya berdarah dan keadaannya agak lemah.”

          Tiba-tiba Jannah terjaga.  Dia memanggil ibunya.  Tiba-tiba juga mata Jannah terpandang Cikgu Humaira. Mata Cikgu Humaira dan mata Jannah bersatu.

          “Jannah, ingat cikgu?” sapa Cikgu Humaira lembut.  Jannah  mengangguk lemah.  Wajahnya pucat. Rambutnya yang ditocang ke belakang menampakkan lagi raut wajahnya yang cengkung.

          “Cikgu….”  Jannah menyuakan tangannya untuk bersalam dengan Cikgu Humaira.  Cikgu Humaira menyambut tangan Jannah.  Tangan Jannah terasa sangat sejuk.  Jannah menyalami dan mencium tangan Cikgu Humaira.  Tak semena-mena Jannah menangis teresak-esak.  Cikgu Humaira agak terkejut melihat Jannah menangis.  Cikgu Humaira terus memeluk Jannah.  Dia duduk di birai katil Jannah sambil mengosok-gosok bahu Jannah.

            “Jannah sakit apa ni?”  Laju sahaja soalan itu keluar dari bibir Cikgu Humaira.  Sebaik sahaja Jannah mendengar soalan yang diajukan oleh Cikgu Humaira, esakannya  menjadi-jadi.  Cikgu Humaira agak panik lalu berusaha menenangkan Jannah.

           “Jannah, sabar ya.  Insya-Allah, Jannah akan sembuh.”  Cikgu Humaira  sendiri tidak mengerti sebab dia berkata begitu sedangkan dia sendiri hingga saat itu belum mengetahui penyakit Jannah.  Ibu Jannah kelihatan mengesat air matanya.  Cikgu Humaira semakin pelik.  Apa penyakit Jannah?  Seriuskah penyakit Jannah?  Soalan-soalan tanpa jawapan itu bermain-main di mindanya.

          Setelah agak lama di sisi Jannah, Cikgu Humaira bermohon untuk mengundurkan diri. 

          “Esok, cikgu akan datang lagi melawat Jannah ya,” ujar Cikgu Humaira sambil memeluk Jannah.  Setelah itu Cikgu Humaira bersalam pula dengan ibu Jannah.

         “Saya balik dulu ya, kak, insya-Allah, esok saya akan datang lagi.”

         “Terima kasih banyak-banyak cikgu sebab sudi melawat Jannah.” 
                  
         Esoknya, seperti yang dijanjikan, Cikgu Humaira muncul lagi di wad 5C bersama suaminya. Setelah melawat dan bertanya khabar Hartini, Cikgu Humaira meminta izin daripada Azizi untuk melawat Jannah. Setelah itu Cikgu Humaira beredar ke katil Jannah.  Kelihatan ibu Jannah sedang mengelap muka Jannah dengan kain lembap.  Jannah sedang tidur.  Apabila terpandang Cikgu Humaira, ibu Jannah memberikan isyarat senyap kepada Cikgu Humaira.  Kemudian ibu Jannah menarik tangan Cikgu Humaira lalu berjalan beriringan ke luar wad, meninggalkan Jannah keseorangan.  Tanpa banyak soal, Cikgu Humaira mengikut sahaja ibu Jannah.

         Di luar wad, ibu Jannah duduk di atas salah satu kerusi yang tersusun rapi di situ yang disediakan khas untuk para pelawat dan menjemput Cikgu Humaira duduk di hadapannya.  Seperti seorang anak kecil, Cikgu Humaira mematuhi sahaja permintaan ibu Jannah.

         “Cikgu, saya bawa cikgu ke sini sebab saya nak bercerita kepada cikgu pasal Jannah.  Saya tak mahu dia dengar.” Ibu Jannah mula bercerita.  Air matanya tiba-tiba sahaja berderai. 

          “Kenapa dengan Jannah kak? Apa sakitnya? Ceritalah kak.” 

          Ibu Jannah cuba menyeka air matanya daripada terus tumpah dengan sapu tangan yang digenggamnya sejak tadi. Dia menarik nafas dalam-dalam dan kemudian  melepaskannya perlahan.
     
        “Cikgu, sebenarnya Jannah mengidap HIV positif dah lama. Kini dia kena AIDS, cikgu."

        “Ya Allah…” Cikgu Humaira beristighfar.  Dia  sangat terkejut dengan perkhabaran itu.  Air matanya turut tumpah.

        “Tapi macam mana boleh jadi macam tu?”

         “Entahlah cikgu.  Semuanya kuasa Allah.  Mungkin dia mendapat penyakit ini daripada suaminya.  Suaminya tu anak saudara saya, Azri.  Dua tahun lepas mereka berkahwin di Thailand sebab kami tak merestui hubungan mereka.  Saya tahu anak saudara saya tu bukan lelaki yang baik, tetapi Jannah berkeras juga nak kahwin dengan dia, jadi mereka berpakat untuk kahwin lari di Thailand.  Dah kahwin, saya tak boleh kata apa-apa lagi, terpaksa merestuinya jugak. Sepanjang perkahwinan mereka, Jannah selalu disepak terajang oleh suaminya.  Sekarang suaminya entah ke mana, tak pernah datang melawat Jannah, entah-entah dia pun dah mati.”

           “Ya Allah, kasihannya Jannah.”  Air mata Cikgu Humaira masih terus mengalir. 

           “Dah tiga bulan Jannah disahkan mengidap AIDS.  Sejak itu, dia selalu sakit-sakit dan badannya lemah.  Dia asyik keluar masuk hospital ni cikgu. Kali ini dia masuk wad sebab demam panas.  Tak tahulah sampai bila dia boleh bertahan.  Kalau dia pergi dijemput Allah pun, saya redha.”  Ibu Jannah terus bercerita sambil menangis.

              “Sabarlah kak, kita berusahalah sedaya yang mampu untuk mengubatinya, semoga dia sembuh dan dipanjangkan umur, Insya-Allah.”  Cikgu Humaira memeluk ibu Jannah.  Mereka sama-sama menangis. Cikgu Humaira sedar bahawa Jannah mungkin tidak mempunyai banyak masa, tetapi sekurang-kurangnya kata-katanya itu mampu menenangkan ibu Jannah untuk seketika.  Pelawat-pelawat  lain yang berada di situ sekadar memerhatikan mereka berdua yang sedang menangis dan berpelukan.

              Setelah itu, ibu Jannah dan Cikgu Humaira masuk semula ke wad 5C  dan mendapatkan Jannah yang sudah pun terjaga. Sebaik sahaja terpandang mata Cikgu Humaira dan mata ibunya yang merah, Jannah dapat meneka bahawa ibunya sudah pun bercerita tentang dirinya kepada cikgu Humaira.  Cikgu Humaira terus meluru memeluk Jannah. Jannah membalas pelukan  Cikgu Humaira. Tangisan mereka bersatu. Pelawat-pelawat lain sekadar memerhatikan tingkah laku mereka berdua.

          “Cikgu, ampunkan saya, cikgu.  Saya dah terima balasannya sebab tak dengar nasihat cikgu dulu.” Jannah terus mengongoi.

            “Sudahlah Jannah, beristighfarlah. Cikgu dah maafkan awak. Jangan putus asa Jannah.  Berdoalah agar Allah memberi awak peluang untuk sembuh.  Jangan berhenti berdoa ya, Jannah.” 

      Tiba-tiba sahaja Cikgu Humaira terkenang semula segala perbualan mereka berdua dahulu di biliknya.  Sungguh dia tidak menyangka Jannah tetap meneruskan hubungannya dengan lelaki keparat itu walaupun sudah dinasihati.  Dia benar-benar kesal kerana Jannah percaya akan lelaki itu sehingga sanggup berkahwin dengannya, sekali gus membelakangi kedua ibu bapanya. Mungkinkah Jannah sudah lama mengidap HIV postif iaitu sejak mereka terlanjur sejak zaman persekolahan dulu?  Mungkinkah semua ini balasan Tuhan terhadap Jannah? Air mata Cikgu Humaira terus mengalir. 

           “Ya Allah ya Tuhanku, ampunilah Jannah, ya Allah. Panjangkanlah umurnya dan berilah kesempatan kepadanya untuk benar-benar bertaubat kepada-Mu.”
             


       

1 comment:

  1. Atas permintaan, agar watak diberi hukuman atas perbuatannya, saya terpaksa menulis semula 'ending' cerpen ini, semoga cerpen ini dapat memberikan pengajaran berguna kepada remaja di luar sana. Jadi pembaca mempunyai pilihan untuk memilih 'ending' yang disukai.
    Terima kasih kepada para pembaca atas komen membina yang diberikan.

    ReplyDelete