Assalmualaikum warahmatullahhiwabarakatuh…
Tatkala melayari blog orang lain, hati ini terdetik rasa
kagum. Kagum yang teramat kerana blog mereka cantik dan
sangat berinformatif, penuh dengan dakwah-dakwah ke arah kecemerlangan hati dan
jiwa dalam usaha menjadi hamba-Nya yang
diredhai. Mereka merupakan
penulis blog dan pendakwah yang terdiri daripada anak-anak muda dan ramai juga yang masih remaja. Mereka semua
lebih muda daripada saya. Tiba-tiba
terasa diri ini begitu kecil dan kerdil.
Hati tiba-tiba menjadi sayu. Saya
tidak mampu berdakwah seperti mereka. Begitu
cetek ilmu saya berbanding mereka. Cantiknya
dakwah mereka apabila menyelitkan petikan ayat Al-Quran dan hadis. Saya
juga ingin berdakwah seperti mereka tetapi saya tidak mampu menulis seperti
mereka. Saya hanya mampu berdakwah dengan cara saya, mendidik diri sendiri terlebih dahulu, kemudian
anak-anak saya, kemudian pelajar-pelajar saya di dalam kelas. Betapa kecil
ruang lingkup dakwah saya, tetapi hanya itu yang termampu saya lakukan. Betapa ruginya diri ini kerana tidak
bersekolah aliran agama dahulu dan betapa bertuahnya mereka yang pernah
bersekolah aliran agama kerana ayat-ayat al-Quran selalu bermain di bibir.
Semakin banyak saya membaca dakwah-dakwah
dan motivasi-motivasi di blog orang lain,
semakin saya berasa diri ini serba kekurangan. Banyak yang perlu saya perbetulkan, bermula
daripada niat hinggalah perbuatan saya. Saya bersyukur kerana masih diberi peluang
oleh-Nya untuk bermuhasabah dalam usaha
menjadi hamba-Nya yang diredhai, insya-Allah.
Akan saya usahakan agar tulisan-tulisan saya di blog saya ini sedikit
sebanyak dapat mendidik mereka yang membacanya dan menyeru orang ramai ke arah kebaikan sekadar yang termampu saya lakukan,
insya-Allah.
No comments:
Post a Comment