TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Thursday, August 8, 2019

Kemaafan Dendam Yang Terindah


Aireen Husna termenung setelah membaca screenshot  whassapp yang dihantar oleh Fahmi sebentar tadi.  Dia tidak sanggup mengulang baca ayat-ayat yang ditulis oleh Sheila yang memaki hamunnya. Pedih hatinya.  Apa salahnya terhadap Sheila sehingga benci benar Sheila kepadanya?  Apa salah ibunya kepada Sheila hingga Sheila sanggup menjaja cerita bahawa ibunya memfitnahnya? Dia tidak pernah mengganggu hidup Sheila apatah lagi memetik nama Sheila dan mengumpat Sheila di hadapan pelajar.  Bukan sahaja Sheila, nama guru-guru lain pun tidak pernah disebut di dalam kelas oleh Aireen Husna, apatah lagi mengumpat mereka di hadapan pelajar. Sudah banyak screenshot yang dihantar oleh Fahmi yang memaparkan kata-kata Sheila yang mengutuk dirinya.

“Cikgu, saya minta maaf sebab menceritakan hal ini kepada cikgu. Saya bukan nak melaga-lagakan cikgu dengan cikgu Sheila, tapi saya dah tak tahan mendengar cikgu Sheila mengumpat dan mengutuk cikgu dan cikgu-cikgu lain di depan kami,” ujar Fahmi dalam nada kesal.

“Tak apa Fahmi, cikgu faham niat awak, malah cikgu bersyukur awak menceritakan hal ini kepada cikgu. Cikgu betul-betul tak sangka. Sekarang baru cikgu kenal cikgu Sheila sesungguhnya. Bila masa dia mengumpat cikgu?” Tanya  Aireen Husna pula.

“Kadang-kadang semasa pdpc, semasa kami keluar dengannya minum-minum di mamak dan di dalam kereta.” jawab Fahmi penuh jujur. Kadang-kadang pelajar yang mengadu pasal cikgu dan cikgu-cikgu lain kepadanya terlebih dahulu,” tambah Fahmi lagi.

“Cikgu rasa cikgu perlu bersemuka dengan cikgu Sheila. Cikgu nak tanya apa masalahnya yang dia tak puas hati dengan cikgu.”

“Ok jugak tu cikgu, tapi cikgu janganlah bagitahu dia bahawa saya yang ceritakan semua ni, sebab dia dah mula syak saya dan tekan-tekan saya.”

“Yalah, cikgu faham. Fahmi jangan risau ya.”

Aireen Husna akhirnya menelefon ibunya dan bercerita tentang perkara tersebut. Ibu Aireen Husna mengeluh panjang dan meminta Aireen Husna tidak mempedulikan Sheila, namun hati Aireen Husna tidak tenang selagi tidak bersemuka dengan Sheila. Namun begitu, ibu Aireen Husna bercerita segala-galanya tentang kisah lalu Sheila kepada Aireen Husna. Aireen Husna juga meminta pendapat kawan-kawannya dan ramai antara mereka mencadangkan agar Aireen Husna bersemuka dengan Sheila untuk menyelesaikan masalah tersebut dan membersihkan namanya. 

Semalam Aireen Husna mengambil cuti rehat kerana menghantar anaknya mendaftar di UITM.  Hari ini pun dia sepatutnya masih bercuti kerana dia memohon cuti selama dua hari, namun dia membatalkan cutinya pada hari ini untuk bersemuka dengan Shiela. Pagi itu Aireen Husna melihat Sheila di mejanya. Ramai guru lain juga masih berada di dalam bilik guru pada waktu itu.  Aireen Husna berfikir-fikir sendiri bahawa inilah masanya yang sesuai untuk dia bersemuka dengan Shiela. Jika bukan sekarang, mungkin susah untuk dia mencari masa lain yang sesuai kerana Sheila jarang berada di dalam bilik guru sejak akhir-akhir ini.

Aireen Husna bangun dari kerusinya sambil membaca beberapa potong doa agar dirinya tenang, tidak menggelabah dan tidak beremosi apabila bercakap dengan Sheila.  Jika dibandingkan dirinya dengan Sheila, Aireen Husna mengakui Sheila memang lebih ‘cool’ dan lebih pandai bercakap daripada dirinya.  Jadi Aireen Husna harus betul-betul tenang agar dia tidak beremosi semasa bercakap dengan Shiela. Tanpa membuang masa, Aireen Husna terus berjalan ke meja Shiela. Ketika itu Sheila sedang duduk sambil menatap telefon bimbitnya. Aireen Husna berdiri di sebelah meja Sheila.

“Sheila, kak Aireen nak bercakap dengan Sheila,” tiba-tiba sahaja suara Aireen Husna kedengaran  bergetar walaupun dia telah sedaya upaya cuba menahan suaranya dan emosinya. Dia tidak mampu tersenyum kepada Sheila.

“Ada apa kak?” tanya Sheila ramah sambil tersenyum kepada Aireen Husna.

“Eh, pandainya dia ni berlakon,” bisik Aireen Husna di dalam hati.

“Akak nak tanya Sheila, kenapa Sheila mengutuk akak macam-macam depan pelajar dan tuduh akak dan emak akak fitnah Sheila?”

Reaksi Sheila masih tenang. “Akak, bila masa saya kutuk akak dan fitnah akak?” Tanya Sheila kembali.

“Akak ada bukti,” tegas sahaja suara Aireen Husna.

“Mana buktinya?” Tanya Sheila lagi.

“Adalah. Pelajar-pelajar bercerita kepada akak sebab mereka dah tak tahan mendengar Sheila mengumpat akak dan cikgu-cikgu lain depan pelajar.”

“Mungkin mereka fitnah saya kak. Depan akak mereka cerita lain, belakang akak mereka cerita lain.”

“Tak apalah, yang penting akak nak tanya Sheila beberapa perkara. Sheila menjaja cerita kepada pelajar-pelajar kononnya emak akak  fitnah  Sheila. Apa yang emak akak fitnah Sheila?"

“Emak akak fitnah saya, kata saya sombong. Cikgu Tahir yang bagitahu emak saya bahawa emak akak kata saya sombong menyebabkan saya tak dapat gelaran Tokoh Kanak-kanak semasa darjah enam dulu. Gelaran tokoh tu dapat kat Raisya. Emak saya menangis dua hari. Saya sangat terkesan dengan perkara ini hingga sekarang,” jelas Sheila. Raisya tu tak pernah dapat nombor satu. Dia hanya pandai main bola jaring sahaja,” tambah Sheila lagi penuh yakin.

Aireen Husna tergaman seketika. “Kesiannya budak ni, “ getus Aireen Husna di dalam hati.

“Sheila, Sheila kena belajar terima hakikat bahawa itu bukan rezeki Sheila. Sheila kena muhasabah diri dan fikir kenapa Sheila tak layak. Emak akak bukan fitnah Sheila tetapi emak akak bagi pandangannya terhadap Sheila. Semua cikgu diminta beri pandangan. Takkanlah cikgu Tahir sebagai HEM begitu bodoh nak tukar keputusan hanya kerana pandangan emak akak.  Siapalah emak akak nak pengaruhi cikgu Tahir. Untuk dipilih menjadi Tokoh Kanak-kanak, banyak kriteria yang dinilai, antaranya dari segi kurikulum, kokurikulum, adab dan sahsiah. Mungkin Raisya tak pernah dapat nombor satu di dalam kelas tetapi sahsiah dan adabnya lebih baik daripada Sheila. Raisya dapat 98 markah manakala Sheila dapat 90 markah.”

“Kalau dulu emak akak kata Sheila sombong, memang betullah dan ia bukan fitnah sebab sekarang pun ramai cikgu sekolah ini berpendapat yang sama dengan emak akak. Dulu Sheila suka menjeling dan memasamkan muka bila ditegur oleh guru-guru. Sekarang pun sama. Perangai Sheila tak pernah berubah dari dulu sampai sekarang. Sheila perasan bahawa Sheilalah paling bagus, paling hebat dan paling betul. Pada Sheila, semua orang tak bagus, semua orang tak betul, semua orang buruk dan hati busuk. Adab Sheila ke laut. Sheila tak pandai menghormati orang, tak pernah nak mengalah  dengan orang hatta dengan pentadbir sekali pun. Sheila bermasalah dengan ramai pengetua dan YDP PIBG. Sheila juga bermasalah dengan ramai cikgu.”

“Lagi satu, emak Sheila seorang ustazah, takkanlah dia tak ajar Sheila tentang konsep redha kepada Sheila dan dia sendiri tak boleh redha hingga menangis  dua hari.  Sheila sendiri pun pelajar sekolah agama, pun tak belajar konsep redha?”

Sheila hanya terdiam mendengar hujah Aireen Husna.

“Sheila fitnah ayah dan emak akak, kononnya ayah dan emak akak nak jodohkan adik akak dengan abang Sheila.  Mungkin kerana emak dan ayah Sheila tak bersetuju, maka hubungan keluarga kita renggang, padahal emak dan ayah akak tak pernah langsung terfikir nak berbesan dengan mak ayah Sheila. Emak dan ayah akak tak pernah nak tentukan jodoh anak-anak mereka, lagi pun adik akak masih kecil lagi pada waktu itu.”

“Sheila juga fitnah kononnya ayah dan emak akak pilih menantu yang ada gelaran sahaja, hakikatnya suami akak sorang sahaja yang ada gelaran Engku, itu pun kebetulan sahaja,” Aireen Husna semakin lancar berhujah.  Dia juga sudah mampu mengawal emosinya.

“Mana ada saya kata semua tu,”  Sheila cuba mempertahankan dirinya.

“Sheila, kalau Sheila tak jaja fitnah ni, pelajar-pelajar tak tahu.  Mereka tak kenal pun keluarga kita. Mereka tak lahir pun lagi waktu dulu. Jadi macam mana mereka boleh bagitahu akak.”

Sheila hanya membisu.

“Apa tujuan Sheila bercerita pasal family akak kepada pelajar?”

“Saya terluka dengan apa yang terjadi dan saya sangat terkesan. Saya sekadar bercerita sahaja kak. Sekadar luahan perasaan sahaja kot.”

“Tapi cerita tu tak betul dan dah jadi fitnah. Akak tak pernah bercerita pasal family Sheila kepada sesiapa pun. Apa perasaan Sheila kalau akak bercerita  pasal family Sheila kepada orang lain? Tentu Sheila sakit hatikan?”

Sheila bungkam. 

“Sheila juga jaja cerita kepada pelajar bahawa akak fitnah Sheila. Apa yang akak fitnah Sheila?”

“Status whassapp akak. Dulu saya tak faham, tetapi rupa-rupanya akak tujukan status tu kepada saya. Saya terkesan dan sedih sangat dengan tuduhan akak. Kononnya saya meraih sokongan dan mahu dijulang sebagai guru terhebat dan lain-lain. Mana ada anugerah guru macam tu,” jelas Sheila panjang lebar.

Semulia-mulia pekerjaan ialah guru. Sekeji-keji guru ialah guru yang mengumpat dan memburuk-burukkan rakan sejawatan di hadapan pelajar demi meraih sokongan dan mahu dijulang sebagai guru terhebat, terbaik, paling pandai mengajar an paling caring. Adake guru macam tu? Ada…

“Ya, status tu memang akak tujukan kepada Sheila sebab itulah sikap Sheila yang sebenar. Memanglah tak ada anugerah guru macam tu. Itu sindiran sahaja. Sheila selalu mengumpat akak dan cikgu-cikgu lain waktu pdpc dan semasa keluar dengan pelajar. Sheila libatkan pelajar dan pengaruhi pelajar sejak tahun lepas. Akak ada bukti. Kalau pelajar mengumpat guru sesama mereka, akak tak kisah sangat sebab mereka tak cukup akal tapi bila ada cikgu yang sama-sama mengumpat, itu memang salah. Akak sekali pun tak pernah petik nama Sheila atau nama cikgu-cikgu lain depan pelajar, dan tak pernah kacau hidup Sheila. Kalau pelajar mengadu apa-apa pun pasal akak dan cikgu-cikgu lain, Sheila tak perlu masuk campur. Itu masalah kami dengan pelajar. Sheila komplen cara cikgu lain mengajar. Untuk pengetahuan Sheila, lain cikgu, lain cara pengajarannya. Pelajar mengadu kepada Sheila pasal akak marahkan mereka, konon akak selalu sentap. Sheila tokok tambah mengutuk akak. Bila Sheila buat macam tu, pelajar akan kata Sheilalah guru terbaik, terhebat, paling caring dan lain-lain.”

“Tapi pelajar yang mengadu dulu,” Sheila sekali lagi cuba mempertahankan diri.

“Kalau pelajar mengadu sekali pun, Sheila tak perlu layan. Akak marahkan mereka bersebab. Mereka tak siapkan latihan, ponteng kelas dan lain-lain. Pelajar pun pernah mengadu kepada akak pasal cikgu-cikgu lain tetapi akak tak pernah layan. Akak kata, kalau awak ada masalah dengan cikgu tu,  selesaikan dengan cikgu tu, jangan nak jaja dan buat cerita dengan akak. Pelajar bermasalah dan kena marah sebab sikap mereka tetapi mereka akan salahkan guru. Mereka akan cuba mencari perhatian daripada cikgu lain dengan memburukkan cikgu yang mengajar.”

“Akak tegur atau marahkan pelajar akak, yang Sheila sibuk dan sakit hati kenapa? Siap kata akak sengal dan nak sembur akak.”

Sheila terpinga-pinga sambil cuba mengingati sesuatu.

“Akak bagitahu pelajar akak jangan  kutuk orang yang nak sambung belajar walaupun berjaya dalam bisnes. Itupun sampai kepada Sheila.”

“Itu sebab Hamli yang mengadu kepada saya yang dia terasa dengan kata-kata akak dan tak boleh nak fokus belajar, dan saya suruh dia jumpa akak.”

“Habis tu kenapa buat andaian terlebih dahulu sebelum tanya akak? Akak tanya Hamli, adakah dia pernah kutuk orang yang nak sambung belajar? Dia jawab tak pernah, jadi kenapa dia nak terasa? Sebenarnya kawan akak orang bisnes juga kutuk akak bila akak kata akak nak buat phd. Jadi akak bagi peringatan kepada pelajar akak supaya tak buat macam tu.”

“Saya tak tahu pun pasal tu,” Sheila cuba membela diri.

“Kalau tak tahu, jangan buat andaian  dan kutuk akak terlebih dahulu sebelum bertanya. Sheila  bercakap kasar  dan maki hamun akak dan cikgu-cikgu lain depan pelajar, lepas tu bajet suci konon jadi mangsa.”

“Sheila juga marahkan pelajar-pelajar dan bagi amaran jangan  follow cikgu yang suka perli-perli tetapi sebenarnya Sheila yang selalu yang perli-perli orang lain dalam status Sheila terlebih dahulu. Sheila juga fitnah konon kami block pelajar-pelajar. Akak tak pernah block sesiapa pun.”

“Tapi kak Halimah block pelajar-pelajar dia,” Sheila sekali lagi mempertahankan dirinya.

“Itu cikgu  Halimah, bukan akak. Jangan buat kesimpulan pukul rata sahaja. Kalau  ada cikgu block  pelajar mereka sekali pun, kenapa Sheila  nak sibuk? Sheila block akak dan cikgu-cikgu lain, kami tak heran pun, tak kisah pun.  Kami pun tak hingin nak tahu pasal Sheila.”

“Pasal akak suruh Fahmi cakap kepada pelajar, siapa rindu cikgu, datanglah  rumah cikgu. Sheila siap kata akak bangang.  Apa masalah Sheila?  Pelajar  datang rumah akak pun Sheila sakit hati.  Kenapa? Semasa akak buat majlis hari raya tempoh hari, suka hati akaklah nak ajak sesiapa pun dan pukul berapa baru nak jemput pun. Akak ajak pelajar-pelajar akak berperingkat-peringkat sebab risau makanan tak cukup. Mana yang boleh datang, datanglah, yang tak boleh datang, tak mengapa, akak tak paksa pun. Pelajar-pelajar 2014, 2015, 2016, 2017 ada pun yang datang pada waktu malam.”

“Sheila maki hamun akak kata pergi mampos dan tak perlukan kawan macam  kami, kononnya kami ni toksid. Sheilalah yang toksid sebenarnya.  Sekali Sheila tak perlukan kami, sepuluh kali kami tak perlukan kawan macam Sheila yang hipokrit.”

"Ok, tak apa," sinis sahaja jawapan Sheila.

“Selama ni kami sokong bisnes Sheila, kami beli barang-barang daripada Sheila tetapi Sheila perlekehkan kami kononnya hati kami penuh dengki, hati kami busuk tidak seperti orang-orang dalam bisnes Sheila yang saling menyokong antara  satu sama lain.” Sheila terdiam. Wajahnya berkerut.

“Akak ajar pelajar-pelajar akak bercakap bahasa sopan tetapi Sheila  bercakap dengan pelajar-pelajar bahasa kasar dan maki hamun. Sheila marah dan perli budak-pelajar yang tak nak keluar dengan Sheila.”

“Tapi saya bergurau sahaja,” jelas Sheila masih mempertahan dirinya.

“Bagi Sheila, semuanya bergurau. Sheila tak ingat dan lupa apa yang Sheila dah buat kepada orang tetapi bila orang buat kepada Sheila, Sheila ingat dan sakit hati. Kalau Sheila ada hati dan perasaan, kami pun sama. Sheila yang mulakan dulu semua ni.”

“Fahmike yang bagitahu akak semua ni? “

“Ya, dia yang bagitahu, tetapi tak perlulah Sheila nak serang dia, suruh dia bersumpah dengan nama Allah bagai. Dia bagitahu semua ni kepada akak sebab dia sendiri dah tak tahan mendengar Sheila  mengumpat  akak dan cikgu-cikgu lain.”

“Tak, saya tak akan serang dia dan tak akan marahkan dia, tetapi kenapa dia tak tegur saya?”

“Sheila, Fahmi tu siapa? Sheila siapa? Fahmi tu pelajar, Sheila tu guru, apa hak dia untuk menegur Sheila? Orang lain tegur Sheila pun Sheila marah dan tak boleh terima, apatah lagi kalau pelajar nak tegur Sheila.”

“Kenapa akak tak tegur saya dulu sebelum cuti hari raya?”

“Masa tu akak belum ada kekuatan dan tak nak libatkan Fahmi. Kesimpulannya, Sheila ada penyakit hati dan tak layak jadi cikgu. Berhentilah cepat-cepat jadi cikgu dan fokus sajalah pada bisnes Sheila.”

Selepas meluahkan segala yang terbuku di hatinya, Aireen Husna berlalu dan naik ke kelasnya. Dia meninggalkan Sheila yang sedang terpinga-pinga. Di kelas, Aireen Husna tidak dapat menumpukan perhatiannya kepada pelajar. Dia meminta pelajar-pelajarnya menyiapkan latihan yang diberinya semalam. Setelah itu Aireen Husna turun semula ke bilik guru kerana dia belum selesai bercakap dengan Sheila.  Semasa dia masuk ke bilik guru, tiada guru lain di dalam bilik guru selain dia dan Sheila. Kelihatan Sheila sedang menatap telefon bimbitnya sambil mengesat air matanya.  Aireen Husna menuju ke meja Sheila, menarik kerusi dan duduk rapat di hadapan Sheila hingga lutut mereka bertemu.

Sheila hanya menundukkan wajahnya. Dia tidak mampu memandang wajah Aireen Husna. Dia tak henti-henti menyapu air matanya yang deras mengalir.

“Akak, saya minta maaf banyak-banyak. Saya sedar saya bersalah.  Saya mengaku semua yang akak bagitahu tadi silap saya setelah saya baca semula whassap saya dengan Fahmi. Saya sedih dan terkesan sangat bila akak kata saya tak layak jadi guru. Saya rasa diri saya ni hina sangat kak. Akak jangan risau, saya akan keluar dari sekolah ini.  Saya akan ambil cuti tanpa gaji dan minta pindah. Kalau tak dapat pindah sekali pun, saya akan terus ambil cuti tanpa gaji.” Sheila merintih  sambil mengesat air matanya lagi.

“Terima kasih akak sebab tegur saya. Sampaikan mohon maaf saya kepada emak akak ya.”

“Yalah, insya-Allah akak akan sampaikan tetapi Sheila kena bersihkan nama akak dengan pelajar-pelajar, pasal keluarga akak, pasal emak akak. Sheila tahu tak keluarga akak banyak bantu keluarga Sheila dulu?”

“Ya kak, saya tahu. Saya akan bersihkan nama akak dan semua cikgu lain.  Saya akan buat satu persatu. Banyak sangat buruk saya ni. Saya berasa sangat-sangat hina. Saya dah sedar semua tu. Tak tahu nak pergi ke mana dah.  Akak cakaplah apa yang akak nak cakap lagi. Puaskanlah hati akak. Saya boleh terima apa-apa sahaja sekarang. Saya tahu saya salah.” Sheila menangis semahunya.

“Akak bukan nak puaskan hati akak tapi akak nak bagi Sheila sedar apa yang Sheila mengata akak, sebab selama ni Sheila ingat orang mengata Sheila tetapi Sheila tak ingat apa yang Sheila buat kepada orang lain.”

“Ya kak, saya salah kak. Saya minta maaf. Tahun depan saya akan pastikan saya dah tak ganggu semua guru lagi. Maaf kak sebab banyak susahkan hidup akak.  Insya-Allah saya akan cuba pergi jauh-jauh lepas ni, supaya saya boleh mulakan hidup baharu. Semoga Allah cepatkan saya keluar dari sekolah ini.  Akak tolong doakan ya,” Sheila masih menangis.

“Akak maafkan Sheila. Insya-Allah akak doakan. Akak pun sebenarnya bangga Melayu kita berjaya dalam bisnes tetapi Sheila kena berubah.”

“Ya akak. Terima kasih.”

Sepanjang perbualan mereka, Aireen Husna memegang erat tangan Sheila. Selepas itu Sheila dan Aireen Husna sama-sama berdiri. Sheila memeluk Aireen Husna sambil menangis dan memohon maaf lagi. Aireen Husna membalas pelukan Sheila dan  memaafkan Sheila setulusnya. Hatinya turut tersentuh dengan tangisan penyesalan Sheila.  Semoga Sheila benar-benar insaf dan berubah serta mengotakan kata-katanya, doa Aireen Husna di dalam hatinya.