Pagi itu seperti biasa, Masyitah bersiap-siap untuk ke kelas. Semasa dia hendak mengenakan tudung, tiba-tiba Masyitah terhidu bau darah di dalam mulutnya. Dia juga terasa seperti ada sesuatu tergantung di lelangitnya. Masyitah terus meluru ke bilik air lalu meludah. Tiba-tiba badan Masyitah menggigil apabila dia melihat ludahnya, darah pekat merah yang berketul-ketul. Dia meludah lagi dan darah terus keluar dari lelangit mulutnya. Masyitah mula menangis ketakutan. Masyitah terduduk di lantai bilik air sambil menangis. Beberapa orang pelajar yang masuk ke bilik air itu terkejut melihat keadaan Masyitah yang berlumuran darah. Di lantai juga darah pekat kelihatan di sekeliling Masyitah.
“Citah, kenapa ni?” Tiba-tiba
Farhana yang baru masuk ke bilik air menerpa ke arah Masyitah yang sedang
menangis.
“Fara, tolong aku. Tolong call ayah
aku,” bisik Masyitah sambil memegang erat
tangan Farhana.
Tanpa melengahkan masa, Farhana terus
menelefon ayah Masyitah. Setelah itu, Farhana dan beberapa orang pelajar lain
memapah Masyitah ke bilik. Setengah jam kemudian, Pak Hamdan dan Mak Midah sampai. Mereka terkejut melihat keadaan Masyitah dan memutuskan untuk membawa Masyitah ke hospital dengan segera. Masyitah menolak
untuk dibawa ke hospital tetapi ayah dan emaknya memujuknya bersuggguh-sungguh.
Namun begitu, Masyitah tetap berkeras tidak mahu ke hospital, sebaliknya dia mahu
pulang dan berehat di rumah sahaja. Pak
Hamdan dan Mak Midah terpaksa akur dengan permintaan Masyitah. Di rumah, Masyitah masih muntah darah. Hampir semangkuk darah yang keluar dari lelangit mulut Masyitah. Keadaan Masyitah sangat lemah dan dia selalu pitam akibat kekurangan darah. Selepas beberapa hari, Masyitah mula demam dan demamnya tidak kebah-kebah, malah berlanjutan hingga dua
minggu. Pak Hamdan dan Mak Midah tidak sanggup lagi melihat keadaan Masyitah, lalu
mereka membawa Masyitah ke hospital. Masyitah pasrah. Kali ini dia hanya menurut sahaja
kerana dia sendiri tidak mampu lagi bertahan.
********************
Tiba-tiba layar minda Masyitah berputar dan peristiwa lama kembali menerjah di fikirannya. Semuanya bermula dua tahun lepas. Masyitah mula mengikuti pemeriksaan di Jabatan ENT di Hospital Ampang kerana
jangkitan kulat di telinganya. Dia mengambil masa yang agak lama juga untuk sembuh
daripada jangkitan tersebut. Selepas telinganya sembuh, hidungnya pula selalu
tersumbat. Dia sukar untuk tidur berbaring kerana susah bernafas. Apabila
berjumpa doktor, doktor hanya memberikan ubat spray hidung tetapi Masyitah jarang
menggunakan ubat spray tersebut. Setelah
agak lama dan masih tidak sembuh, akhirnya doktor mengesyaki ada sesuatu di
dalam rongga hidungnya yang menghalang pernafasan Masyitah. Masyitah dipindahkan ke
bahagian oral untuk diperiksa. Doktor memeriksa bahagian dalam mulut Masyitah dan
menekan lelangitnya dan tiba-tiba dia terasa sedikit kesakitan.
“Dalam family ada sesiapa yang sakit
kanser?” tanya Dr. Chua.
“Tak ada.” Dada Masyitah berdebar-debar. Di dalam hatinya berdoa
agar tiada apa-apa yang serius.
Dr. Chua memberikan tarikh janji temu kepada Masyitah untuk membuat ct scan. Dr. Chua kemudiannya membuat biopsi kepada Masyitah. Satu pembedahan kecil dilakukan untuk mengambil sample tisu di bahagian
lelangit Masyitah. Muka Masyitah bengkak
akibat biopsi tersebut. Beberapa minggu
kemudian, pihak hospital menelefon Pak Hamdan dan memintanya agar membawa Masyitah ke hospital dengan segera. Ketika itu Masyitah masih di sekolah. Pak Hamdan
dan Mak Midah menjemput Masyitah di sekolah. Sebaik tiba di bilik Dr. Chua, Mak
Midah dan Pak Hamdan diminta masuk ke dalam
bilik doktor manakala Masyitah diminta tunggu dahulu di luar. Tidak lama
kemudian, Mak Midah keluar dari bilik Dr. Chua dan terus mendapatkan Masyitah lalu memeluknya sambil menangis. Masyitah yang terpinga-pinga turut menangis.
Kemudian Dr. Chua meminta Masyitah masuk ke dalam biliknya. Dengan wajah serius, Dr. Chua menjelaskan kepadanya
bahawa dia mengidap kanser hidung (Adenoid Cyst Carcinoma / Maxillary Cancer)
tahap 4 sambil menunjukkan keputusan ct scan kepada Masyitah. Menurut Dr. Chua
lagi, RaisyaMasyitah perlu menjalani pembedahan secepat mungkin sebelum kansernya
membesar. Fikiran Masyitah kosong. Dia tidak mampu berfikir dan berkata apa-apa.
Pulang dari hospital, Masyitah hanya
berkurung di dalam bilik. Seharian dia tidak makan dan minum apa-apa. Betulkah
aku kena kanser? Kenapa aku? Bertalu-talu soalan-soalan itu bermain-main di dalam
fikiran Masyitah. Masyitah kemudiannya menangis seharian mengenangkan nasibnya.
Dr. Chua menghubunginya lagi dan
meminta Masyitah datang ke hospital untuk membuat beberapa janji temu. Dr. Chua menjelaskan
bahawa Masyitah perlu menjalani pembedahan untuk membuang lelangitnya dan mereka
akan memasang besi menggantikan lelangitnya. Selepas pembedahan, leher Masyitah akan ditebuk untuk membolehkan Masyitah minum menggunakan wayar. Kemudian Masyitah perlu menjalani rawatan
radioterapi. Risikonya, sebelah mata
Raisya akan buta dan jatuh. Peluang untuk Masyitah sembuh hanyalah 50-50. Raisya terasa dadanya seperti hendak
luruh apabila mendengar penjelasan doktor. Dr. Chua memberinya tempoh selama dua minggu
untuk membuat keputusan.
Dalam tempoh dua minggu itu, Pak
Hamdan dan Mak Midah membawa Masyitah berubat di merata-rata tempat dan Masyitah sendiri telah minum pelbagai ubat tradisional sebagai ikhtiar terakhir sebelum
menjalani pembedahan. Susu harimau, air daun belalai gajah dan macam-macam lagi.
Suatu hari, Pak Hamdan kemalangan kerana terlalu risau memikirkan keadaan Masyitah. Masyitah menyalahkan dirinya yang menyebabkan ayahnya kemalangan.
Setelah tamat tempoh dua minggu untuk
berfikir, Masyitah memberitahu keputusannya kepada Dr. Chua bahawa dia tidak mahu
menjalani sebarang pembedahan. Dr. Chua
terkejut dengan keputusan Masyitah namun dia terus memujuk Masyitah agar menjalani pembedahan tersebut.
Jika tidak, Masyitah hanya mampu hidup selama enam bulan sahaja. Masyitah berasa putus harapan apabila mendengar kata-kata Dr. Chua.
Malam itu, Masyitah solat sambil
menangis. Hanya kepada Allah Masyitah mengadu.
“Ya Allah, kenapa aku? Kenapa aku?
“Ampunilah aku, ya Allah,”
“Ya Allah, doktor bukan tuhan untuk menentukan hidup matiku. Aku berserah kepada-Mu, ya Allah.”
Masyitah nekad dengan keputusannya. Dia
tidak lagi ke hospital. Segala janji temunya
tidak pernah dihadirinya lagi. Dia hanya berserah kepada Allah di samping
berubat secara tradisional. Pantang Pak Hamdan dan Mak Midah mendengar orang yang pandai mengubat penyakit kanser, di situlah mereka akan membawa Masyitah untuk
berubat. Banyak sudah duit mereka habis untuk mengubati penyakit Raisya, namun
mereka tidak kisah kerana bagi mereka nyawa dan kesihatan Raisya lebih penting daripada
segala-galanya.
Masyitah meneruskan persekolahannya dan
berjaya menamatkan peperiksaan STPMnya dengan keputusan cemerlang. Masyitah akhirnya berjaya menerima Anugerah Pelajar Cemerlang STPM dengan pointer 3.25. Masyitah juga berjaya menempatkan diri di Unisza namun dia hanya mampu bertahan
di situ selama satu semester sahaja kerana perubahan mukanya. Mukanya mula
membengkak sebelah kanan dan kelihatan seperti mangsa kemalangan. Memandangkan Masyitah juga takut berjauhan dengan Pak Hamdan dan Mak Midah, dia mengambil
keputusan untuk berhenti dari Unisza dan meneruskan pengajiannya di UNIKL sahaja dengan kursus yang sama
iaitu Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan.
"Masyitah?"
Masyitah tersentak dari lamunannya apabila mendengar namanya dipanggil.
"Masyitah?"
Masyitah tersentak dari lamunannya apabila mendengar namanya dipanggil.
“Bila kali terakhir Masyitah berjumpa doktor?”
tanya Dr. Hafiz lembut setelah meneliti keputusan ct scan Raisya.
Masyitah memandang wajah Dr. Hafiz dengan pandangan kosong.
“2017,” balas Mashitah pendek.
“Dah 2 tahun, kan?” Tanya Dr. Hafiz
lagi sambil memandang tepat ke wajah pucat Raisya.
Raisya hanya mampu mengangguk lemah.
“Kenapa dah teruk macam ni baru nak
datang ke hospital semula?” tanya Dr. Hafiz lagi. Tiba-tiba Dr. Hafiz tersedar
bahawa pertanyaannya mungkin agak keterlaluan apabila melihat air mata Masyitah mula
mengalir di pipinya.
“Hmm…tak apalah. Masyitah, saya harap Masyitah kuat ya. Kanser Masyitah sudah merebak ke paru-paru. Kanser di muka Masyitah pula dah besar sampai ke bawah tulang mata.” Dr. Hafiz menunjukkan keputusan ct
scan kepada Masyitah, Pak Hamdan dan Mak Midah. Dr. Hafiz terpaksa berterus-terang dengan Masyitah walaupun dia tahu penerangannya menyebabkan gadis itu menangis
semahu-mahunya. Mak Midah turut menangis sambil memeluk erat Masyitah. Wajah Pak
Hamdan kelihatan sugul.
“Pakcik, Makcik, saya akan transfer
kes Masyitah ke Jabatan Onkologi untuk mendapatkan pandangan pakar di sana tentang
rawatan Masyitah. Kita sama-samalah berdoa agar rawatan Masyitah dipermudahkan,”
ujar Dr. Hafiz penuh hemah.
Setelah bertemu doktor pakar di Jabatan
Onkologi, Masyitah sekali lagi pasrah dengan kenyataan doktor pakar. Menurut doktor
pakar, kanser di muka Masyitah sudah terlalu besar dan mereka tidak boleh berbuat
apa-apa selain mengesyorkan Masyitah agar menjalani rawatan kimoterapi.
Akhirnya, Masyitah menjalani rawatan
kimoterapi sebanyak tiga pusingan. Sepanjang rawatan kimoterapi, Masyitah menanggung kesakitan yang amat. Selama ini dia hanya mendengar cerita orang
sahaja tentang kesan rawatan kimoterapi, tetapi kini dia sendiri yang
menanggungnya. Dia menjalani rawatan kimoterapi selama seminggu tetapi terpaksa
menanggung kesan kimoterapi selama tiga minggu. Seluruh badannya terasa panas
dan urat-uratnya menjadi hitam terbakar. Muka dan badan Masyitah bengkak. Dia muntah-muntah
dan rambutnya mulai gugur. Angin penuh di dadanya menyebabkan dadanya terasa sakit
seperti hendak meletup. Ada ketikanya Masyitah lari dari hospital kerana tidak
mampu menanggung seksaan yang amat.
Walau bagaimanapun, setelah selesai
tiga pusingan rawatan kimoterapi, keputusan ct scan Masyitah menunjukkan kanser Masyitah tiada menunjukkan apa-apa perubahan, jadi doktor pakar mengesyorkan pula
rawatan radioterapi kepada Masyitah kerana itu sahajalah jalan terakhir untuk
rawatan kanser Masyitah.
Masyitah pasrah lagi. Akhirnya dia menjalani rawatan
radioterapi sebanyak 35 kali di bahagian muka. Kesannya lebih menyeksakan
daripada rawatan kimoterapi. Mukanya menjadi hitam seakan-akan hangus terbakar.
Mulutnya luka dan bibirnya pecah-pecah. Masyitah tidak mampu makan kerana
mulutnya sakit. Sepanjang rawatan radioterapi, dia hanya mampu minum susu sahaja.
Gigi-giginya mulai reput dan tanggal satu persatu. Rambutnya yang nipis semakin
nipis dan akhirnya kepalanya botak tanpa sehelai rambut. Keningnya juga botak. Sepanjang
rawatan radioterapi, Masyitah sentiasa menangis dan meraung menanggung kesakitan. Mak Midah dan Pak Hamdan turut menangis
melihat keadaan Masyitah. Berat badan Masyitah turun mendadak sebanyak 30 kg selama
tiga bulan dia menjalani rawatan radioterapi.
“Makkk, Citah tak tahan lagi
menanggung sakit ni. Citah nak mati,” Masyitah mengongoi dalam pelukan Mak Midah.
Air mata Mak Midah mengalir deras.
"Ya Allah, berilah kekuatan kepada
anakku ini," doanya di dalam hati sambil mengusap badan Masyitah.
“Citah, mengucap nak. Citah kena
kuat lawan sakit ni. Citah kata nak sihat dan teman Mak dan Abah pergi
umrahkan.” Mak Midah cuba memujuk dan menenangkan Masyitah walaupun dia tahu
kata-kata dan pujukannya tidak mampu membuatkan kesakitan yang ditanggung Masyitah hilang.
“Biarlah Citah mati, Mak. Citah dah
banyak susahkan Mak dan Abah,” Masyitah membebel. Air mata Mak Midah semakin
deras mengalir di pipinya.
“Citah jangan macam ni. Citah kena
sembuh untuk jaga Mak dan Abah.” Kedua-dua beranak itu menangis sambil
berpelukan.
Beberapa bulan selepas menjalani rawatan radioterapi,
kesihatan Masyitah semakin membaik. Keputusan ct scannya menunjukkan tumor di
mukanya semakin kecut, namun kanser di paru-parunya masih ada. Walaupun begitu, Masyitah sudah mula boleh makan. Walaupun dia sudah tidak mampu makan dan bercakap dengan sempurna
akibat ketiadaan lelangit, namun dia tetap
bersyukur dengan nikmat yang diberikan oleh Allah. Masyitah juga sudah redha dengan
penyakitnya. Dia juga redha dengan rezekinya yang hanya mampu belajar separuh
jalan sahaja di kolej, tetapi Allah luaskan rezekinya di tempat lain. Masyitah kini menjual kuih-muih dan biskut raya sebagai punca pendapatannya. Guru-guru dan rakan-rakannya turut menyokong perniagaannya. Masyitah bersyukur kerana perniagaannya semakin laris hasil sokongan ibu bapanya, keluarga
dan masyarakat di sekelilingnya.
Sepuluh tahun setelah Masyitah menghidap kanser, akhirnya Allah menjemputnya jua pada tahun 2022 (2012-2022). Semoga roh Masyitah dikumpulkan bersama-sama roh orang-orang mukmin dan dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab. Amin...
No comments:
Post a Comment