Bismillah...
Risau dan takut. Begitulah perasaan saya ketika mula terbaca berita tentang kehilangan baby Adam dari rumah pengasuh di facebook. Hanya doa yang mampu dipanjatkan agar baby Adam dijumpai dengan selamat oleh ibu bapanya. Namun begitu, pagi tadi apabila saya terbaca berita terbaharu bahawa baby Adam dilarikan oleh lelaki yang tidak dikenali, saya hanya mampu beristighfar berkali-kali dan terfikir-fikir bagaimana si kecil itu diculik dari rumah pengasuh. Di sekolah, barulah saya mengetahui cerita sebenar bahawa baby Adam dijumpai kaku oleh pihak polis di dalam sebuah beg pakaian dan disejukbekukan oleh pengasuhnya sendiri di dalam peti sejuk. Rupa-rupanya pengasuhnya membuat laporan palsu tentang kehilangan baby Adam. Hati saya terasa bagai dihiris-hiris walaupun baby Adam bukan sesiapa dengan saya. Hanya air mata dan doa mengiringi arwah. Sedih dan pilu bertambah apabila melihat gambar-gambar jenazah baby Adam dalam pelukan ibu bapanya. Hancur luluh hati si ibu dan bapa hanya Allah jua yang maha mengetahui. Ada andaian dibuat bahawa baby Adam mati akibat tersedak susu dan si pengasuh panik lalu menyembunyikan arwah di dalam peti sejuk. Terbaharu, hasil bedah siasat membuktikan bahawa baby Adam mati akibat hentakan kuat di kepala dan menyebabkan tempurung kepalanya retak. Allahu, kejamnya kamu wahai pengasuh baby Adam. Semoga kamu mendapat hukuman yang setimpal di dunia dan di akhirat.
Kisah baby Adam menjadi tular di facebook dan banyaklah status dimuat naik oleh netizen. Ramai yang bersimpati dan ramai juga yang mengecam si ibu kerana sanggup meninggalkan baby Adam di rumah pengasuh dan lebih mementingkan kerjaya. Ramai juga yang memuat naik status bahawa mereka berbangga menjadi suri rumah dan menolak tawaran kerja yang bagus demi menjaga anak dengan tangan sendiri dan melihat anak membesar di depan mata kerana tidak sanggup anak mereka menjadi mangsa seperti baby Adam. Status mereka bersifat angkuh dan takbur. Saya sendiri sedih membaca status mereka.
Wahai netizen, tidakkah kamu tahu bahawa ajal maut itu di tangan Allah? Cara kematian baby Adam hanyalah asbab kematiannya. Jangan sesekali berfikir bahawa si ibu dengan senang hati meningalkan anak di tangan orang yang tidak dikenali. Mereka tiada pilihan. Si ibu tidak bersalah. Tidak mungkin mereka mahu menyusahkan ibu bapa mereka untuk menjaga anak-anak mereka. Di tempat kerja pula, mana mungkin mereka membawa anak sesuka hati. Begitu jugalah dengan keadaan saya semasa anak-anak masih kecil. Di tempat kerja, hati sentiasa risau mengenangkan anak-anak. Sebab itulah sehabis waktu bekerja, saya terus pulang untuk mengambil anak di pusat jagaan kanak-kanak.
Ada netizen yang mengatakan bahawa mereka hanya memberikan pendapat mereka sendiri berkaitan hal ini. Betul, anda memberikan pendapat tetapi janganlah terlalu lancang menulis hingga boleh melukakan hati ibu mangsa atau mereka yang bekerja dan terpaksa meninggalkan anak-anak di bawah jagaan pengasuh. Status mereka ini juga memperlihatkan seolah-olah mereka mampu mengawal takdir. Ketahuilah wahai netizen, ada juga anak-anak yang meninggal dunia di bawah jagaan ibu bapa mereka sendiri. Itulah yang dinamakan takdir.
Kalau hati kita hancur dengan cara kematian baby Adam. hati ibu bapa baby Adam tentunya lebih hancur. Cukup-cukuplah memuat naik status yang kurang cerdik. Diam dan mendoakan itu lebih baik. Takziah kepada ibu bapa dan keluarga baby Adam. Damailah kamu di syurga, wahai baby Adam.
No comments:
Post a Comment