Bismillah...
"Age is nothing to do with your succes. It is never too late for you." Saya benar-benar terinspirasi oleh kedua-dua klausa ini. Ia memberi motivasi kepada saya untuk meneruskan harapan dan cita-cita saya yang masih belum terlaksana. Sejak dahulu, saya menyimpan beberapa cita-cita yang mahu saya capai sebelum berumur 40 tahun, iaitu mahu ada rumah sendiri, mahu menunaikan haji, mahu menyambung pengajian saya ke pringkat phd, dan mahu menjadi seorang penulis yang berjaya.
Alhamdulillah, cita-cita saya yang pertama dan kedua sudah pun terlaksana walaupun sedikit tersasar dari segi masa yang ditetapkan. Namun begitu, cita-cita saya yang ketiga dan keempat entah bila akan menjadi realiti. Terlalu banyak rintangan di hadapan. Saya semakin tidak yakin apabila setiap hari saya menghitung usia yang semakin menginjak. Mampukah saya? Tidakkah terlalu lewat untuk saya mendapatkan phd dalam usia sebegini dan tidakkah terlalu tua untuk saya menjadi seorang penulis novel dalam usia sebegini? Dalam usia sebegini, ramai rakan sebaya saya sudah pun bergelar doktor falsafah, manakala rata-rata penulis novel kini memulakan kerjaya mereka sebagai penulis dalam usia yang masih muda. Kadang-kadang saya berasa mahu menyerah kalah sahaja apabila memikirkan bahawa saya sudah terlalu tua untuk itu semua.
Walau bagaimanapun, sejak saya menonton video Deshun Wang yang berasal dari Shenyang, China, saya terinspirasi oleh beliau. Saya mula berfikir dan bermuhasabah. Saya mahu menjadi seorang yang positif seperti Deshun Wang. Menurut beliau, umur bukan penghalang kepada beliau untuk terus berjaya dalam bidang yang diceburi dan diminati. Tiada istilah terlewat dalam hidupnya.
Dalam usia 24 tahun, beliau memulakan karier sebagai pelakon teater. Pada usia 44 tahun, beliau mula belajar bahasa Inggeris. Pada usia 49 tahun, beliau mencipta gerakan pentomin, 50 tahun, beliau mula ke gim, 57 tahun, beliau kembali ke pentas teater, 79 tahun, beliau menjadi model 'catwalk' untuk kali pertama dan dalam usia 80 tahun, masih banyak impian yang ingin dicapai oleh beliau.
Menurut beliau, potensi diri perlu dikembangkan. Apabila kita berfikir bahawa semuanya sudah terlewat, ia akan menjadi alasan untuk kita menyerah kalah. Sebenarnya, tiada sesiapa pun yang boleh menghalang kita untuk berjaya dalam bidang yang kita ceburi dan minati, kecuali diri kita sendiri. Apabila tiba waktunya untuk kita bersinar, jadilah sinaran yang paling gemerlap.
Mulai saat itu, saya mula menanam keazaman untuk meneruskan kedua-dua cita-cita saya yang terakhir itu. Kini, saya yakin bahawa saya mampu melakukannya dan dalam proses melakukannya. Saya juga mencabar diri sendiri untuk membuktikan dan merealisasikan cita-cita saya itu, agar cita-cita saya itu bukan sekadar angan-angan kosong sahaja.
Andai anda seperti saya, masih mempunyai impian, harapan dan cita-cita yang belum tercapai dalam usia yang semakin senja... ayuh, bajai semula semangat dan keazaman anda untuk menggapai impian tersebut. Teruskan usaha anda selagi nyawa masih di badan, kerana "age is nothing to do with your succes and it is never too late for you."
Semoga anganan bisa jadi kenyataan...insya-Allah.
Andai anda seperti saya, masih mempunyai impian, harapan dan cita-cita yang belum tercapai dalam usia yang semakin senja... ayuh, bajai semula semangat dan keazaman anda untuk menggapai impian tersebut. Teruskan usaha anda selagi nyawa masih di badan, kerana "age is nothing to do with your succes and it is never too late for you."
Semoga anganan bisa jadi kenyataan...insya-Allah.
No comments:
Post a Comment