TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Sunday, May 8, 2016

Ho Kai Liang



                Sudah 10 tahun lebih saya menulis teks ucapan pengetua dan perasmi serta teks biodata pelajar-pelajar cemerlang untuk dibacakan pada majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Kurikukulum dan Majlis Graduasi di sekolah saya.  Teks Wira / Serikandi Tasik SPM / STPM, Teks Tokoh Pelajar atau Permata Tasik, dan juga Teks Wira / Serikandi Harapan Tasik SPM / STPM.  Itu tugas saya, tetap dan mungkin sampai pencen. Maklumlah, namanya pun guru bahasa Melayu.  Kalau bukan guru bahasa Melayu, siapa lagi yang lebih layak untuk melaksanakan tugas tersebut, betul tak? Maaf, saya langsung tidak bermaksud untuk bernada riak, sekadar menjelaskan bahawa tugas itu memang guru bahasa Melayu yang kena buat.  

       Bukan tentang tugas tersebut yang hendak saya fokuskan di sini, tetapi  tentang pelajar atau tokoh yang saya tulis dalam teks tersebut.  Dalam ramai-ramai tokoh pelajar yang pernah saya tulis, saya agak terkesan dengan tokoh pelajar yang seorang ini, Si kacak Ho Kai Liang.  Beliau merupakan pelajar U6SS3 2015 dan baru sahaja menerima Anugerah Tokoh Pelajar 2015 a.k.a Permata Tasik 2015 pada hari Sabtu yang lepas (7 Mei 2016) dalam majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Kurikulum kali ke-30 tahun 2016. Sekalung tahniah untuk beliau.

         Sesungguhnya, yang baik-baik dan yang elok-elok, semuanya menjadi miliknya. Bertuahlah si empunya badan. Sudahlah kacak, tinggi lampai, putih bersih persis bintang k-pop.  Gilaan dan impian para gadis di sekolah.  Baik Melayu, Cina mahupun India, ramai yang cair melihat senyumannya. Saya sendiri pun suka akan senyumannya yang ramah. Sangat aktif dalam bidang kokurikulum dan sangat cemerlang dalam bidang akademik.  Ketua pengawas yang berwibawa dan sangat komited.  

         Santunnya, budi bahasanya dan ramahnya, saya bagi markah A+++.  Saya tidak pernah mengajarnya, namun dia tetap menghormati dan menyapa saya dengan ramah setiap kali berjumpa.  Dia juga akan menyapa guru-guru lain yang tidak pernah mengajarnya dengan ramah. Saya pernah berbincang dengannya tentang satu perkara sedikit masa lalu.  Saya sendiri sebagai guru bahasa Melayu berasa amat kagum akannya tatkala bercakap dengannya.  Bahasanya sangat gramatis, siap menggunakan ayat komplemen gabungan dan pancangan. Kagum sungguh saya. Nada suaranya lembut dan mempersonakan setiap telinga yang mendengar.  

         Bukan saya hendak memperlekeh pelajar-pelajar BM saya sendiri, tetapi hakikat tetap hakikat.  Pelajar-pelajar Melayu saya sendiri tidak pernah berbicara sebegitu dengan saya, apatah lagi dalam situasi formal.  Pelajar-pelajar saya sendiri lebih terpengaruh dengan bahasa slanga apabila bercakap dalam situasi formal.  Itulah kelebihan dan keistimewaan Ho Kai Liang berbanding dengan yang lain. Sebaik tamat majlis, semua orang berebut-rebut hendak bergambar dengannya, maklumlah hero k-pop. Ramai juga adik-adik junior yang meminta nasihat sebagai motivasi. Semuanya terpegun kekaguman tatkala  dia melontarkan nasihat.  Itu pengakuan jujur pelajar saya sendiri.  Bertuahlah ibu bapanya kerana mempunyai anak sepertinya.

        Ho Kai Liang, semoga awak terus berjaya dalam hidup, bahagia dan membahagiakan orang lain di sekeliling awak. Good luck and all the best to you.  Love you too.

No comments:

Post a Comment