TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...
Showing posts with label My Dakwah. Show all posts
Showing posts with label My Dakwah. Show all posts

Monday, May 2, 2016

Tingkat-tingkat Ibadah


Bismillahhirahmanirrahim...

        Selawat dan salam kepada Nabi MUhammad saw. Mudah-mudahan Allah swt merahmati umur yang masih ada dan dapat lagi menyampaikan sesuatu kepada anda semua, pembaca yang disayangi.  

        Baru-baru ini saya mendengar satu ceramah dalam kuliah Subuh yang membincangkan tingkat-tingkat ibadah. Di sini saya ingin berkongsi isi ceramah tersebut dengan anda semua.

Tingkat-tingkat ibadah :
1.  melakukan ibadah  kerana cinta akan Allah
2.  melakukan ibadah kerana mahukan balasan syurga Allah.
3.  melakukan ibadah kerana takut akan balasan azab Allah.

      Menurut penceramah, ketiga-tiga tingkat ibadah tersebut diterima oleh Allah, namun memperlihatkan perbezaan darjah keimanan kita terhadap Allah.  Dalam golongan manakah kita berada? Tepuk dada tanya iman. Hanya kita sendiri yang mampu menjawabnya.  Alhamdulillah jika kita masih berada dalam mana-mana golongan di atas, kerana itu bermakna kita melakukan ibadah masih kerana Allah, bukan kerana sebab yang lain.  

       Akhir kalam, sama-samalah kita berusaha untuk meningkatkan iman kita terhadap Allah dan semoga Allah menerima segala ibadah kita.

Sunday, May 1, 2016

Jom Berdakwah


Bismillahhirahmanirrahim...

        Selawat dan salam kepada Nabi MUhammad saw. Mudah-mudahan Allah swt merahmati umur yang masih ada dan dapat lagi menyampaikan sesuatu kepada semua.  

       Hendak berdakwah tidak semestinya jadi ustaz atau ustazah, dan tidak semestinya maksum macam nabi. Cukuplah sekadar kita saling menegur dan mengingati antara satu sama lain dengan niat untuk sama-sama berubah ke arah kebaikan.  Bukan kerana kita lebih baik tetapi kerana kita mahu diri kita dan mereka berusaha jadi yang terbaik di sisi-Nya.  Cukup jugalah kita berdakwah dengan menggunakan bahasa yang santun dan berhemah, tidak perlulah sindir-menyindir.  Cukuplah sekadar tersenyum ramah apabila teguran kita disalahertikan, kerana hanya Allah yang maha mengetahui. 

        "Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu semua dan bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu.  Bukan juga yang paling soleh  dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah.  Maka akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan." -Hassan A-Basri
  
       Sebenarnya, selalu juga saya membaca status-status rakan fb yang marah-marah dan beremosi.  Panjang benar bebelan mereka dan pada akhir perenggan, mereka hashtag:
#jangannaktunjukbaik...cermindirisendirisebelumnakteguroranglain

       Oh, rupa-rupanya ada orang menegur mereka.  Saya tak pasti hujung pangkal cerita, oleh itu saya tak tahu cerita sebenar.  Ada juga yang saya tahu cerita sebenar apabila membaca sendiri teguran tersebut di dalam bahagian komentar.  Tampak berhemah teguran itu tetapi tuan tanah tetap beremosi.  Pada saya, jika ada orang menegur kita tentang apa-apa sahaja, terimalah dengan hati terbuka. Berlapang dadalah.  Jangan berburuk sangka.  Itu tandanya orang yang menegur itu mahu yang terbaik untuk kita.

      Akhir kalam, manfaatilah media sosial dengan sebaik-baiknya agar ia menjadi saham untuk kita di akhirat, bukannya penyebab untuk kita diazab di akhirat.

"Berdakwahlah, walau hanya dengan satu ayat."

Mendidik Hati : Belajarlah Untuk Tidak Terlalu Mengharap Kesempurnaan



Assalamualaikum...

         Setiap orang pasti mengharapkan kesempurnaan dalam hidup mereka. Semua orang pasti mengimpikan sebuah keluarga sakinah dan mawardah, iaitu memiliki suami atau isteri yang soleh dan solehah serta anak-anak yang soleh dan solehah juga.  Setiap orang juga mahu berjaya dalam hidup, hidup senang, kaya, mahu suami atau isteri yang kacak atau cantik jelita, mahu pasangan yang romatis dan penyayang, mahu anak-anak yang comel, bjiak, dan pintar. Pendek kata, kita mahu semua yang terbaik dalam hidup kita, namun hakikatnya tidak sebegitu. Banyak kekurangan yang kita terima tidak seperti yang kita impikan. Kesempurnaan bukan sahaja diukur dari segi fizikal tetapi juga dari segi rohani.


     Apabila kita melihat di sekeliling kita, dalam hati selalu merintih.  Kenapa hidup kita tidak seperti mereka? Kenapa suami atau isteri kita tidak seperti suami atau isteri mereka? Kenapa anak-anak kita tidak seperti anak-anak mereka? Kita kadang-kala terlalu banyak merintih akibat kecewa akan suami, isteri, dan anak-anak kita sendiri.  Pernahkah kita muhasabah diri sendiri?  Pernahkah kita terfikir bahawa ketidaksempurnaan  mereka itu disebabkan oleh diri kita sendiri? Mungkin kita sendiri tidaklah begitu sempurna untuk memiliki suami, isteri atau anak-anak yang sempurna. Jadi belajarlah untuk mendidik hati agar redha akan suami, isteri atau anak-anak yang kita miliki. Mungkin ketidaksempurnaan itu merupakan ujian-Nya kepada kita untuk memperbaik kelemahan dan kekurangan diri sendiri sebelum bertindak memperbaik ketidaksempurnaan suami, isteri atau anak-anak kita.


      Berusahalah untuk memperbaik setiap kekurangan ahli keluarga kita dengan nasihat dan kata-kata yang lembut, yang bisa menyentuh hati mereka, dan bukannya dengan kata-kata yang pedas dan menyakitkan. Namun begitu, jika kita sendiri tidak mampu mengubah ketidaksempurnaan itu dengan kata-kata atau nasihat, maka banyakkanlah merintih dan menangis di dalam sujud. Mohonlah agar orang-orang yang kita sayang diberi hidayah oleh-Nya untuk berubah ke arah yang lebih baik.

       Kesimpulannya, usah terlalu mengharap segala-galanya sempurna, takut nanti kita sendiri yang akan kecewa. Tiada yang sempurna kecuali Dia.  Didiklah hati untuk selalu redha dan menerima apa adanya.