TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Tuesday, May 9, 2017

Usah Penat Berdoa...Dia Sentiasa Mendengar






Bismillah...


Pagi ini, seperti juga semalam, saya memandu ke Shah Alam seawal 7.00 pagi untuk menghadiri Taklimat Rubrik Kerja Kursus BM STPM 910/5 Penggal 3.  Taklimat itu berlangsung selama dua hari (8-9 Mei 2017) di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Selangor, Seksyen 19/1, Shah Alam.  Dari Lebuh raya Shah Alam, saya memandu memasuki lebuh raya LKSA dan exit di plaza tol LKSA untuk ke Sekyen 19.  Selama dua hari memandu pergi dan pulang, saya sentiasa berdoa agar Allah mempermudah urusan pekerjaan saya pada hari ini, mempermudah perjalanan saya agar saya tidak menempuh jem yang teruk, memelihara keselamatan saya dan melindungi saya sepanjang pemanduan.  Saya juga turut berdoa perkara yang sama untuk suami dan anak-anak saya.  Saya memohon agar Allah menjaga kami walau di mana kami berada. Saya asyik mengulang doa Allahhumayassir, walatuaasir... dan Bismillahhi tawakkaltu alallah...

Oleh sebab saya ingat jalan ke Seksyen 19, saya tidak menggunakan waze. Saya hanya membuka waze sebelum "exit" ke plaza tol LKSA, agar saya tidak sesat mencari BTPN.  Saya meletakkan telefon bimbit saya di kekisi aircond kereta di bahagian tengah dengan menggunakan getah pengikat (seperti yang saya pelajari dari facebook).  Semasa memandu, sesekali mata saya melihat waze. Semasa saya sedang mencari lokasi di bahagian "favourite" dengan jari telunjuk tangan kiri saya, saya tidak sedar bahawa pemanduan saya agak laju dan kereta saya tiba-tiba terbabas ke lorong kanan. Saya hanya tersedar keadaan tersebut apabila sebuah kereta dengan lajunya memotong kereta saya dari lorong kanan. Nasib baik saya cepat menyedarinya lantas dengan spontan saya memulas stering kereta saya ke kiri dengan dada yang berdebar-debar. Saya berfikir tentu saya tidak dapat mengelak kereta itu. Saya pasrah dan hanya mampu menyebut nama Allah berulang kali. Ya Alah, Ya Allah, Ya Allah. Kaki saya menggigil. Kereta saya nyaris-nyaris melanggar belakang kereta tersebut. Alhamdulillah, dengan izin-Nya dan rahmat-Nya, saya sempat mengelak daripada melanggar kereta itu dari belakang kerana kereta itu agak laju.  Sekiranya kereta tersebut dipandu perlahan, saya yakin dan pasti, kereta saya akan menghentam punggung kereta tersebut. Kecut perut saya pada waktu itu kerana memikirkan saya pasti kemalangan sebentar tadi akibat kecuaian saya sendiri, iaitu memandu sambil mencari lokasi di waze. 

Setelah itu, saya mengucapkan syukur kepada Allah  berkali-kali.  Tiba-tiba saya teringat, itulah keberkatan kita berdoa sebelum dan semasa memandu. Alhamdulillah, Allah mendengar doa saya. Allah melindungi saya daripada kecelakaan dan Allah menjaga saya.  Terima kasih Allah.

No comments:

Post a Comment