Assalamualaikum...
Teringat saya akan kata-kata seorang rakan guru semasa kami bersembang di kantin sekolah. "Sampai bila nak bekerja di bawah telunjuk orang?" Kata-katanya membuatkan saya termenung sejenak. Mungkin sesetengah orang berpendapat bahawa menjadi guru merupakan pekerjaan makan gaji, bekerja di bawah telunjuk majikan, tiada kebebasan masa dan tidak akan pernah menjadi kaya, namun harus kita ingat, jika kita ikhlas dan redha, betapa besar pahala yang Allah kurniakan kepada kita kerana mengajar ilmu yang bermanfaat kepada pelajar-pelajar kita sehingga mereka berjaya menjejaki menara gading dan seterusnya berjaya menjadi orang yang berguna kepada agama, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara. Kalau mereka tidak berjaya menjejaki menara gading sekali pun, sekurang-kurangnya mereka berjaya menjadi seorang 'insan' hasil didikan kita. Melaluinya, kita sudah pun mempunyai saham di akhirat.
Tugas dan tanggungjawab seorang guru bukan sekadar menyampaikan ilmu di dalam bilik darjah, namun lebih daripada itu. Guru menjana ilmu dengan cara memindahkan pengetahuan daripada buku teks kepada pelajar menggunakan segala kaedah/pedagogi pengajaran agar ilmu tersebut dapat diaplikasikan dalam kehidupan mereka pada suatu hari nanti, dan pelajar yang dihasilkan juga mampu berfikir di luar kotak.
Selain itu, guru juga berperanan mendidik pelajar dan menyempurnakan akhlak mereka secara tidak langsung semasa proses penjanaan ilmu. Guru perlu memperlihatkan akhlak yang baik terlebih dahulu, memberi contoh dan menjadi ikutan kepada para pelajar. Di samping itu, guru harus bijak menyelitkan nasihat dan nilai-nilai positif ke dalam diri pelajar semasa proses PdP agar pelajar yang dihasilkan tidak sahaja bijak, malah berakhlak mulia. Hal ini sejajar dengan matlmat negara untuk melahirkan modal insan yang seimbang dari segi rohani dan jasmani.
Selamat Hari Guru 2014 kepada semua guru di Malaysia.
No comments:
Post a Comment