TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Monday, November 22, 2010

Pantun Orang Berkasih...




Mari memetik daun selasih
lalu disusun atas perana
apa guna menyulam kasih
hati tersiksa jiwa merana


Nelayan Singapura pulangnya petang
hasil tangkapan si ikan todak
apa diharap kasihnya orang
entahkan sudi entahkan tidak 

Kapal berlabuh dijatuhkan sauh
naik ke darat guna perahu
apa diharap dirimu yang jauh
diriku merindu kau buat tak tahu

Indah bahasa kerana madah
lembut bersopan mengatur bicara
puteri jelita berhati gundah
menanti khabar putera perkasa

Mari menjamu hasil tuaian
padi sawah dan padi huma
puteri sengsara merindui pangeran
kenapa kini baru menjelma?


Kalau tuan mudik ke hulu
singgah sebentar di Tanjung Rhu
bibir ini mahu menyeru
tapi dirimu buat tak tahu

Kucing Parsi lebat berbulu
lembut disentuh bagaikan baldu
hati menangis tidak berlagu
menahan jiwa menanggung rindu

Budak-budak memakai sepatu
sepatu baru baju pun baru
kumohon waktumu untuk diriku
menemani jagaku juga dalam mimpiku

Hujung minggu pergi bercuti
bermandi manda di tengah laut
walau cintamu kubawa mati
rinduku dan rindumu tak pernah bertaut

Cantik jelita Puteri Anggreni
dibawa lari ke dalam hutan
sampai bilakah hidup begini
bagai pungguk rindukan bulan

Bawa senapang pergi berburu
hasil buruan tiada ketemu
datanglah sayang datang padaku
belailah aku dalam dakapanmu

Pergi ke pekan berkereta kuda
bawa pulang itik senggora
janji seia dan juga sekata
di dalam syurga kita berjumpa ...


                                                     

1 comment:

  1. Khusus untuk mereka yang sedang berkasih tetapi berjauhan antara satu sama lain...

    ReplyDelete