TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Saturday, April 23, 2011

Khusus Untuk Peserta Kawad Kaki SMKTT (Sempena Hari Pertandingan Kawad Kaki SMKTT 2011)



Anak-anakku
kau berbilang bangsa
berbeza rupa dan warna kulit
namun ceria dan gembira bersama
bersatu dalam semangat kekitaan
seiring dalam gerak
sederap dan senada dalam langkah
megah dan gagah beraksi di litar
mempamerkan kawad dan formasi bergaya

Panas terik bukan halangan
silap langkah tak membekas
tak siapa akan marah
asal saja kau bahagia
kerana bahagia itu milikmu
milik kami jua

Menang atau kalah
bukan percaturan utama
yang penting penglibatanmu
yang penting semangatmu
yang penting ukhwahmu
yang penting juga kegembiraanmu

Kerana
jika kau gembira
kami turut bahagia...

Wednesday, April 20, 2011

Taman Mawar Biru...


Taman indah bak di kayangan
taman khayalan uda dan dara
taman larangan buat jelata
taman mawar sekebun bunga
titik mulanya kisah asmara

Semerbak dan seharum wangian
mawar biru jadi tumpuan
di situ tersimpan segala rahsia
segala janji seia sekata
di situ cinta termetrai
dan akhirnya di situ juga cinta terlerai...

Tuesday, April 19, 2011

Entah Kenapa...



Tiap kali kumahu hapuskan namamu
tiap kali kumahu padamkan kenangan itu
aku jadi tak berdaya
hatiku meronta
kerana tak merelakan
entah kenapa
aku sendiri tak mengerti
mungkin dirimu ada jawabnya....

Monday, April 18, 2011

Aku Yang Kini...


Aku kini bukan lagi aku yang kau kenal dulu
aku kini aku yang baharu
yang lebih tegar
bukan lagi perayu
di hatiku kini
sudah mati segala rasa itu
yang pernah bersemi
dalam ruang hatiku yang terdalam
suatu waktu dahulu

Bukan tak pernah aku berusaha
untuk pertahankan segala rasa itu
agar tetap subur dan mekar dalam taman hatiku
namun tiada dayaku
kerana aku sendirian membelai rasa itu
tanpa balas

Mungkin suatu hari nanti
akan tiba waktu itu
dan ketika itu
aku akan pergi dari duniamu
tak akan kembali lagi
untuk selamanya
kerana hatiku telah kering
tiada lagi yang tersisa untukmu

Dan pada waktu itu
akan kuhapuskan namamu
dan segalanya tentangmu
biar aku tenang tanpa kenangan bersamamu
yang masih membelit tangkai hatiku...

Wednesday, April 13, 2011

Insan Seni dan Karya Seni....

         
        Madah puitis merupakan ekspresi jiwa atau penzahiran perasaan yang lahir dari hati yang tersentuh dengan persekitaran, seterusnya membangkitkan emosi gembira, atau bahagia, seronok, hampa, kecewa, sedih dan sebagainya, bergantung pada persekitaran, menggunakan ungkapan atau bahasa puitis lagi indah,  agar mampu meninggalkan  kesan yang mendalam di sebalik maksud yang tersirat.
        
         Penggunaan elemen-elemen  atau ciri-ciri sastera dalam bahasa puitis seperti metafora, hiperbola, personifikasi dan sebagainya mampu menyerlahkan lagi  kepuitisan sesuatu bahasa itu.
         
         Penggunaan bahasa puitis mampu memberikan makna yang besar kepada sesuatu yang kecil serta mengubah sesuatu yang buruk kepada yang indah dan sebaliknya.
       
        Pengkarya seni (penulisan) ialah insan seni yang memiliki jiwa yang halus, dan memiliki pandangan serta pendengaran yang tajam.  Mereka mampu mengolah segala yang dilihat dan didengar kepada sesuatu yang indah dibaca, menggunakan bahasa puitis yang sarat dengan makna tersirat.  Insan seni mengagumi segala keindahan ciptaan tuhan melalui eksploitasi bahasa dan juga dengan cara memanipulasi alam.
       
        Apabila manusia dilahirkan dengan pelbagai perbezaan, itulah kebesaran Allah swt. Perbezaan-perbezaan itulah yang mewarnai bumi ciptaan-Nya. Insan seni yang berjiwa halus ternyata berbeza dengan insan lain.  Mereka hidup dalam dua dunia yang berbeza....dunia realiti dan dunia imaginasi.  Dalam dunia realiti, mereka ialah manusia biasa tetapi dalam dunia imaginasi, mereka mungkin pendukung pelbagai watak utama dalam kisah masyarakat, atau hanya sebagai orang kedua, atau sebagai orang ketiga iaitu pelapor atau penglipurlara bagi sesebuah kisah masyarakat. Wujudnya insan-insan seni dalam kelompok manusia inilah yang  memeriahkan lagi pentas dunia.

(Tulisan ini merupakan pandangan saya sendiri...tidak memetik daripada mana-mana sumber)