|
Angah semasa koma di Wad PICU, HKL |
|
Angah setelah dipindahkan ke KK6 |
|
Angah dimasukkan ke PICU, HKL kali yang kedua |
|
Danial di Wad Pediatrik, Hospital Ampang |
Angah, catatan ini Umi tulis
sejak empat tahun yang lepas, sejak Angah mula jatuh sakit pada tahun 2008,
tetapi Umi sekadar menulisnya di dalam diari Umi. Umi pernah memberitahu Angah
tentang catatan ini. Dek dihambat kesibukan, Umi hampir terlupa tentang catatan
ini. Masa berlalu, tetapi pada suatu hari, semasa Angah membaca blog Umi,
Angah bertanya kepada Umi tentang catatan ini dan meminta untuk membacanya.
Pada saat itulah Umi teringat semula akan catatan ini. Umi
memberitahu Angah bahawa Umi akan menyunting catatan ini terlebih dahulu
sebelum menerbitkannya di dada Kristal Bening, dan akhirnya, pada hari ini, Umi
mempersembahkan sebuah catatan yang telus untuk tatapan Angah dan untuk
mereka yang pernah menyelami pahit getir Umi sepanjang Angah jatuh sakit.
Hayatilah.....
Angah anak kedua Umi dan Ku, dan
sebab itulah Angah diberi gelaran Angah, iaitu anak tengah dalam 5 orang
adik-beradik. Antara 5 orang anak Umi,
Angahlah yang paling lasak dan selalu ditimpa musibah. Semasa Angah kecil, air milo panas yang baru
sahaja Umi bancuh tertumpah ke atas kepala Angah kerana Angah menarik mug yang
berisi milo panas itu, yang Umi letakkan di atas meja. Habis muka Angah
kemerahan. Angah menjerit dan menangis kesakitan. Jantung Umi hampir luruh. Lemah kaki tangan
Umi melihat keadaan Angah. Umi
cepat-cepat menyiram seluruh kepala dan badan Angah dengan air paip. Umi terbayang muka Angah melecur, tetapi
nasib baik kulit muka Angah tidak melecur.
Alhamdulillah. Umi tidak dapat memaafkan diri Umi jika muka Angah cacat
akibat peristiwa itu. Semuanya kerana
kelalaian Umi.
Dalam satu peristiwa lain, Umi membawa
Angah dan Along ke tempat perlawanan hoki di sekolah lama Umi di Bukit
Mertajam. Ku juga menemani Umi di situ,
sambil menjaga Angah dan Along. Waktu
itu, Angah baru sahaja boleh berjalan dan berlari. Melihat padang yang luas, Angah begitu seronok
berlari, tiba-tiba Angah jatuh tersembam di atas tangga pondok di tepi
padang. Bucu tangga yang diperbuat
daripada simen terkena kening kiri Angah menyebabkan kening kiri Angah luka terbelah
dan darah keluar dengan banyaknya. Rakan
setugas Umi menahan darah yang keluar dari luka di kening Angah dengan sapu
tangannya, lalu Umi dan Ku membawa Angah ke klinik berdekatan. Doktor terpaksa menjahit kening Angah
beberapa jarum. Angah menjerit, menangis
dan meronta kerana terlalu sakit. Doktor
tidak membius Angah kerana memang begitu prosedurnya. Parut di kening kiri
Angah kekal hingga hari ini.
Semasa tinggal di Bukit Mertajam iaitu
di Taman Guar Perahu, pernah Angah memanjat peti sejuk satu pintu yang
terbuka. Entah apa yang Angah cari. Tiba-tiba peti sejuk jatuh dan menimpa Angah. Umi sangat terkejut dan panik. Tiba-tiba Angah merangkak keluar dari peti sejuk
yang terbalik. Alhamdulillah, nasib baik
Angah tidak cedera. Umi yang hendak marah akhirnya ketawa, lalu menelefon Ku di
KL. Angah juga pernah memanjat TV menyebabkan
TV jatuh terbalik tetapi nasib baik juga tidak tertimpa atas Angah.
Satu peristiwa lain juga berkaitan
dengan air panas. Semasa kita sekeluarga bercuti dan bermalam di rumah Umi Long
sewaktu Umi Long masih tinggal di Shah Alam.
Pada malam itu, Angah bergaduh dengan Along kerana hendak tidur dekat
Umi. Akhirnya Along mengalah. Lebih kurang pukul 12.00 malam, Umi bangun untuk
membancuh susu Baby. Dalam keadaan bilik yang samar-samar, tanpa
membuka lampu, Umi membancuh susu di dalam bilik. Semasa Umi hendak menuangkan air panas dari
flask kecil ke dalam botol susu, entah macam mana air panas yang baru saja
diisi ke dalam flask itu tidak masuk ke dalam botol, tetapi tertumpah ke atas
perut Angah yang sedang tidur tidak berbaju di atas toto dekat Umi. Angah mengerang kesakitan. Umi menjerit. Ku terjaga dan membuka
lampu. Umi melihat dengan jelas kulit
perut Angah mengecut dengan cepat. Umi
tergamam dan badan Umi menggigil dan lemah melihat keadaan Angah. Umi menyuruh Ku menyiram tempat terkena air panas itu dengan air paip kerana
Umi pernah melihat iklan di TV yang mengajar orang ramai supaya menyiram tempat
melecur dangan air paip. Ku cepat-cepat mendukung Angah ke bilik air dan menyiram
tempat terkena air panas itu dengan air paip, kemudian Umi mengejutkan Umi Long
dan Ayah Long. Ku bersama Ayah Long
membawa Angah ke klinik 24 jam. Umi menangis sesal kerana sangat cuai. Umi tidak dapat membayangkan jika Angah cacat
disebabkan kecuaian Umi. Jika perkara itu terjadi, Umi tidak dapat memaafkan
diri Umi. Umi Long menenangkan Umi. Sebahagian besar sebelah atas badan Angah melecur. Selepas luka melecur kering, Umi merawat Angah dengan meletakkan gel
gamat di seluruh kawasan melecur setiap hari tiga kali sehari.
Alhamdullillah, akhirnya luka melecur di badan Angah sembuh dengan cepat
dan tiada langsung kesan parut di badan Angah.
Seingat Umi, Angah pernah sekali masuk
wad selama beberapa hari bersama Danial akibat demam denggi beberapa tahun
lepas di Hospital Besar Kota Bharu. Pada waktu itu, Kak Yani juga dimasukkan ke
wad kerana turut mengalami demam denggi yang agak kritikal. Kemudian Angah juga pernah di tahan di wad
kecemasan Hospital Ampang beberapa jam untuk diberi ”drip” akibat demam panas.
Kini Umi menerima satu lagi ujian dalam
hidup Umi, tetapi ujian yang terbesar dan terhebat. Angah juga mangsanya. Walau apapun, Umi pasrah dan redha.
Selasa (7 April 2008)
Tengah hari itu selepas pulang dari
sekolah, Angah mula mengadu sakit kepala.
Umi menyentuh dahi Angah dengan belakang tapak tangan Umi. Dahi dan badan Angah terasa sangat
panas. Angah demam. Umi menyuruh Angah
menelan dua biji panadol. Umi mula berasa risau. Setelah dua hari demam, iaitu pada
hari Rabu malam Khamis, barulah Ku membawa Angah berjumpa doktor di klinik
swasta (Klinik Makmoor) setelah Umi desak. Doktor cuma memberi ubat batuk, ubat
demam (panadol) dan antibiotik kepada Angah. Demam Angah tak kebah-kebah juga. Angah tidak ada selera makan. Angah kerap ke tandas. Angah muntah-muntah dan cirit-birit. Umi menyuruh
Angah meletakkan towel basah di kepala Angah. Siang hari Umi tetap ke sekolah
dan Ku pergi bekerja. Tinggallah Angah
seorang diri di rumah. Kesian
Angah. Sebenarnya Umi agak sibuk pada minggu itu kerana Majlis Tadarus Al-Quran
akan berlangsung pada hari Sabtu. Umi ditugaskan
untuk menulis teks ucapan, jadi Umi tidak memberi tumpuan kepada Angah. Pada waktu malam,
Angah tidak dapat tidur. Sekejap Angah
tidur di dalam bilik, kemudian Angah keluar dan tidur di ruang tamu kemudian Angah
masuk ke dalam bilik semula. Begitulah
keadaan Angah sepanjang malam. Angah kelihatan gelisah. Panas badan Angah tidak
berkurang langsung. Umi sangat risau
tapi Umi agak sibuk untuk fikir sangat tentang Angah, lagi pun Umi fikir Angah sudah
besar, jadi tidak perlulah Umi merawat Angah seperti budak kecil / baby.
Sabtu
(12 April 2008)
Hari itu semasa menonton persembahan
penutup acara Majlis Tadarus Al-Quran di Dewan Ibnu Khaldun, cikgu Noriah (emak
Aiman) bertanya tentang Angah. Dia memberitahu
Umi bahawa Aiman bercerita kepadanya yang Angah sudah seminggu tidak hadir ke
sekolah. Umi mengeyakan. Cikgu Noriah menasihati
Umi supaya membawa Angah untuk ‘check’ darah di hospital, takut-takut Angah
kena demam denggi kerana pada waktu itu
musim demam denggi berleluasa. Sebelum ini Umi tidak terfikir pun untuk membawa
Angah ke hospital untuk “check” darah Angah.
Nasib baik cikgu Noriah menasihati Umi. Setelah Ku pulang dari kerja, Umi
meminta Ku membawa Angah untuk “check” darah di hospital Ampang. Pada pukul 9.00
malam, Umi dan Ku membawa Angah ke Unit Kecemasan Hospital Ampang. Keadaan Angah
sangat lemah. Setelah selesai “check”
darah, Umi, Ku dan Angah terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan keputusan
darah Angah. Semasa menunggu, Angah kelihatan gelisah. Umi bertanya sebab Angah
kelihatan gelisah. Angah menjawab bahawa Angah
kesejukan. Oleh sebab pesakit terlalu ramai dan tempoh menunggu terlalu
lama, doktor menasihatkan Ku agar membawa balik Angah terlebih dahulu. Kalau
ada apa-apa masalah, mereka akan menelefon Ku. Jadi Ku, Umi dan Angah serta Baby
pulang dulu ke rumah. Pada pukul 11.00
malam, doktor menelefon Ku. Mereka memberitahu
Ku bahawa platelet darah Angah ialah 80.
Doktor mengesyaki Angah mengidap demam denggi, jadi Angah terpaksa ditahan di
wad. Ku membawa Angah ke hospital. Umi tidak
ikut ke hospital sebab Umi terpaksa menemani Along, Danial, Kakak dan Baby di
rumah. Malam ini Ku akan menemani Angah
di wad. Umi menyiapkan beberapa helai
baju untuk Angah. Sebelum Angah pergi, Umi
memeluk dan mencium Angah.
Hari
Pertama : Hospital Ampang (13 April 2008 : Ahad)
Hari ini Umi, Along, Danial, Kakak
dan Baby melawat Angah pada pukul 3.00 petang.
Sebelum bertolak ke hospital, Umi, Along, Danial, Kakak dan Baby
sebenarnya makan kenduri di rumah jiran di hadapan rumah yang mengadakan majlis
pertunangan anak mereka. Setelah sampai
di wad, Umi memeluk dan mencium Angah. Umi bertanya kepada Angah sama ada Angah
suka atau tidak tinggal di wad. Angah
jawab kalau demam, Angah suka duduk di wad. Angah kelihatan agak lemah dan mula bercakap yang bukan-bukan (meracau). Angah tanya Umi,
bila kereta yang Angah beli akan dapat.
Umi tanya, Angah beli kereta apa. Angah jawab bahawa Angah beli kereta Jepun.
Sah, Angah meracau. Suhu badan Angah tinggi. Angah menggigil kesejukan. Angah bertanya kepada Umi adakah terdapat ubat
yang boleh menghilangkan rasa sejuk. Tapak tangan dan tapak kaki Angah putih
pucat macam mayat. Kuku Angah kebiruan.
Doktor berjumpa dengan Umi dan berbincang tentang keadaan Angah. Doktor bertanya kepada Umi sama ada Umi tahu
atau tidak bahawa keadaan Angah agak tenat. Umi terkejut mendengar kata-kata
doktor. Umi macam tidak percaya akan penjelasan doktor bahawa keadaan Angah
agak tenat kerana baru semalam Angah masuk wad. Umi berasa sangat risau. Waktu
petang, Ayah Chik, Cik Err dan anak-anak datang melawat Angah. Ayah Chik meminta Angah membaca surah-surah lazim
yang pendek. Angah boleh membacanya dengan baik dan lancar. Ayah Chik
membacakan doa untuk Angah dan
menenangkan Angah. Setelah agak lama di
wad, Ayah Chik sekeluarga minta diri untuk pulang. Umi menemani Angah sampai
malam. Angah kerap masuk bilik air. Angah cirit- birit. Umi memimpin Angah ke
bilik air kerana Umi risau dan takut Angah akan jatuh jika dibiarkan ke bilik
air bersendirian. Beberapa orang jururawat datang ke katil Angah untuk
memasukkan macam-macam tiub di badan Angah Angah. Angah menangis dan meronta-ronta. Umi memujuk Angah agar Angah tenang dan Umi
juga meminta Angah membaca ayat Qursy. Akhirnya Angah diam dan tidak meronta
apabila jururawat mencucuk tangan Angah untuk memasukkan tiub ”drip” dan ubat. Pada
waktu malam, Angah dibawa ke bilik ultra sound untuk discan, tetapi keputusan
ultra sound tidak menunjukkan apa-apa masalah. Malam itu, Angah semakin kuat
meracau. Ku datang untuk menemani Angah di wad. Umi berasa sedih dan tidak
sampai hati untuk meninggalkan Angah, tetapi Umi terpaksa pulang bersama Along,
Danial, Kakak dan Baby.
Hari
ke-2 : Hospital Ampang / Wad Pediatrik HKL (14 April 2008 : Isnin)
Pagi-pagi lagi Umi datang seorang diri
ke wad Angah untuk bertukar syif dengan Ku dan menemani Angah di wad. Ku pulang
ke rumah untuk membersihkan diri. Along, Danial dan Kakak ke sekolah manakala
Baby ke nursery. Umi tidak ke sekolah
dan mengambil cuti untuk menemani Angah di wad. Setibanya Umi di wad, Umi terkejut apabila ibu-ibu kepada anak-anak
di katil dalam bilik yang sama dengan Angah
menceritakan bahawa Angah meracau hingga melompat
turun dari katil. Angah mencabut semua wayar di tangan Angah hingga keluar
darah meleleh-leleh tapi Ku tidak sedar, malah tidur dengan lena sekali.
Akhirnya Ku terjaga apabila keadaan riuh rendah. Jururawat juga bercerita kepada Umi bahawa mereka sendiri berasa seram apabila melihat
keadaan Angah yang meracau seperti orang kena sampuk. Mereka juga bercerita
bahawa Angah menyebut semua nama rakan-rakan sekolah Angah dan meracau bahawa Umi
selalu memarahi Angah. Hati Umi pilu sepilu-pilunya mendengar cerita daripada
mereka. Doktor berjumpa dengan Umi dan memberitahu Umi bahawa
keadaan Angah sangat kritikal dan harus dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi
Pediatrik (PICU) di HKL dengan segera. Menurut doktor, tiada Unit Rawatan Rapi
Pediatrik (PICU) di Hospital Ampang. Umi berasa sangat risau mendengar
penjelasan doktor tentang penyakit Angah.
Menurut doktor lagi, Angah mengidap demam denggi paling kritikal. Kata doktor,
hati Angah sudah bengkak dan sebab itulah
Angah asyik mengadu sakit perut. Jiran-jiran
sebelah-menyebelah katil Angah menasihati Umi agar membuat ”air tawar” untuk
Angah. Fikiran Umi buntu sebab Umi tidak
mengenali sesiapa pun untuk membuat ”air tawar”. Tiba-tiba Umi teringat akan Tn
Haji Nasaruddin. Umi menelefon beliau
dan meminta jasa baik beliau untuk datang menjenguk Angah. Tuan Haji Nasaruddin
datang bersendirian. Setibanya di wad, Umi
menceritakan keadaan Angah kepada beliau seperti yang dilaporkan oleh doktor.
Tuan Haji Nasarudin cuba menenangkan Umi. Beliau mengusap-ngusap kepala Angah
dan membuat air tawar untuk Angah. Kebetulan pada hari itu rombongan VIP polis
datang melawat dan memberi sumbangan kepada kanak-kanak di wad pediatrik
sempena Hari Polis. Kebetulan mereka ke wad 4B dan mereka melawat Angah tetapi
Angah sedang tidur pada waktu itu. Mereka menjenguk Angah yang penuh dengan
wayar di tangan dan badan. Mereka kelihatan bersimpati dengan keadaan
Angah. Oleh sebab pada waktu itu Tuan
Haji berada di sisi katil Angah, para pegawai polis itu berandaian bahawa Tuan
Haji Nasaruddin ialah datuk Angah. Tuan
Haji Nasaruddin hanya mengangguk sambil tersenyum sumbing. Mereka memberikan
Angah sebuah paper bag yang berisi teddy bear, towel dan makanan ringan. Tidak
lama kemudian Ku datang dan Umi memperkenalkan Tuan Haji Nasaruddin kepada Ku.
Doktor memberitahu Umi bahawa
mereka sudah pun menguruskan pemindahan Angah ke PICU HKL dengan ambulance.
Pada tengah hari itu, Angah dihantar ke HKL menaiki ambulance. Umi menemani Angah di dalam ambulance
manakala Ku memandu kereta ke HKL. Angah masih diberi ”drip” dan bantuan
oksigen. Ambulance dipandu dengan sangat laju menyebabkan keadaan Angah dan Umi terhuyung-hayang. Di dalam ambulance Angah
meracau lagi. Angah menunjukkan jari ke
bahagian belakang ambulance sambil meracau bahawa terdapat anjing yang sangat besar di dalam ambulance itu dan
Angah kelihatan ketakutan. Pilu hati Umi
melihat keadaan Angah. Umi berusaha memujuk dan menenangkan Angah. Setibanya di
perkarangan Wad Pediatrik HKL dan sebelum masuk ke wad, Angah dibawa ke bilik ultra sound sekali oleh jururawat untuk discan.
Keputusan masih normal. Kemudian di Wad Pediatrik HKL, Angah dimasukkan ke HDW
(High Depency Ward). Beberapa orang
doktor memantau keadaan Angah. Angah semakin kuat meracau tetapi Angah masih boleh membaca ayat Qursi apabila
diminta berbuat demikian.
Pada petang itu, Ayah Chik datang
seorang diri melawat Angah. Ayah Chik
memujuk dan menenangkan Angah. Setelah
Angah kelihatan agak tenang, Umi, Ku dan Ayah Chik keluar dari HWD dan
meninggalkan Angah bersama jururawat.
Semasa berbual-bual di luar wad, terdengar bunyi bising dari dalam
wad. Umi, Ku dan Ayah Chik bergegas ke
dalam wad. Rupa-rupanya Angah mengamuk
dan cuba melompat turun dari katil. Apabila jururawat cuba menenangkan Angah,
Angah menendang jururawat tersebut menyebabkan jururawat tersebut menjerit. Umi
memeluk Angah dan cuba menenangkan Angah. Angah sudah tidak kenal akan Ku dan
Ayah Chik. Angah cuma kenal Umi sahaja dan memanggil-manggil Umi. Setelah waktu
melawat tamat, Ayah Chik pun pulang. Umi
memberitahu Ku bahawa Umi mahu menemani Angah di wad pada malam itu. Ku pulang
ke rumah untuk menguruskan Along, Danial, Kakak dan Baby.
Pada waktu malam, Angah meracau
lagi. Angah minta hendak ke bilik air
sebab Angah hendak buang air besar, tetapi jururawat tidak membenarkan kerana
badan Angah berselirat dengan wayar. Umi menyuruh Angah berak saja di dalam bekas besi di atas katil tetapi Angah
tidak mahu. Angah merayu kepada Umi
untuk ke tandas. Angah merungut dan
mengatakan bahawa berdosa kalau orang melihat
aurat Angah. Umi terfikir sendiri, dalam keadaan Angah begitu pun, Angah masih
boleh membezakan aurat dan dosa. Angah bercakap sendiri, seolah-olah sedang
bercakap dengan Ku. Angah meminta Ku memberhentikan
kereta di R&R, sebab Angah mahu ke tandas.
Umi memujuk Angah supaya berak saja di dalam bekas. Oleh sebab Angah terus merengek dan bising, akhirnya
jururawat menyuruh Umi memakaikan diapers kepada Angah, tetapi Umi tidak menyediakan
diapers untuk Angah. Jadi, jururawat
meminjamkan kepada Angah dua keping
diapers pesakit lain dan meminta Umi mengganti semula diapers tersebut. Setelah
Umi memakaikan Angah diapers, Angah pun berak dalam diapers. Angah terus
meracau dan berhalusinasi. Angah
menangis sambil meracau bahawa Kakak mengurung Angah di dalam kotak dan tidak membenarkan
Angah keluar dari kotak. Umi sedih dan risau melihat keadaan Angah, sambil memujuk
dan menenangkan Angah. Umi memberitahu Angah bahawa Kakak tiada di situ. Angah juga membuat aksi sedang menunggang
kuda. Doktor Cina gelakkan Angah. Umi berasa sangat sedih dan geram akan doktor
tersebut. Sampai hati dia gelakkan Angah.
Apabila Angah semakin kuat meracau,
bising-bising dan hendak melompat turun
dari katil, doktor Cina tersebut menyuntik Angah dengan ubat penenang. Tidak
lama kemudian, Angah mula diam dan akhirnya tertidur. Setelah itu barulah Umi
pergi menunaikan solat. Setelah selesai solat, Umi duduk di sisi Angah, mengusap
Angah sambil memandang Angah yang sedang tidur dengan nyenyak dengan hati yang
hiba. Jururawat menasihati Umi agar pergi tidur dan berehat di Wad 6 kerana
mereka menyediakan katil untuk Umi. Mereka juga menasihati Umi agar tidak risau
dengan keadaan Angah kerana mereka ada untuk memantau keadaan Angah semasa Umi
berehat dan tidur. Akhirnya Umi pergi
tidur di wad 6 kerana terlalu letih.
Hari
ke-3 : HDW Pediatrik HKL (15 April 2008 : Selasa)
Pagi itu, Umi terlewat bangun kerana
terlalu letih. Setelah membersihkan diri, Umi terus ke wad Angah. Hati Umi bimbang jika Angah sudah sedar dan
memanggil-manggil Umi serta meracau lagi.
Memang benar telahan Umi, Angah sedang merengek-rengek dan meronta-ronta sambil memanggil Umi.
Hampir menitis air mata Umi melihat keadaan Angah. Umi sangat menyesal kerana
meninggalkan Angah sendirian di wad semalam.
Umi terus memeluk dan menenangkan Angah.
Jururawat memberitahu Umi bahawa Angah sudah terjaga sejak pukul 5.00
pagi dan terus meracau semula sejak terjaga dari tidur sambil memanggil nama
Umi.
Lebih kurang pukul 9.00 pagi, Doktor
Shiela datang untuk memantau keadaan Angah. Dr. Sheila memaklumkan keadaan Angah
kepada Umi. Dr. Sheila menjelaskan
bahawa keadaan Angah sangat kritikal dan tenat.
Dr. Sheila memberitahu Umi bahawa Angah terpaksa dimasukkan ke ICU. Beliau juga menjelaskan prosedur yang akan dilakukan
oleh mereka terhadap Angah. Mereka akan menghentikan pernafasan Angah secara
normal, sebaliknya mereka akan memberi oksigen dan bantuan pernafasan kepada Angah melalui alat
sokongan pernafasan. Salur oksigen akan dimasukkan ke dalam mulut Angah. Maknanya, Angah tidak boleh bernafas
sendiri. Mereka akan mengalirkan oksigen ke dalam otak Angah kerana
otak Angah kekurangan oksigen. Kata Dr.
Sheila, sebab utama Angah meracau adalah kerana otak Angah kekurangan oksigen.
Mereka bimbang kuman akan masuk ke dalam otak Angah dan menjejaskan fungsi otak
Angah jika prosedur tersebut tidak dilakukan dengan cepat. Umi hanya mampu mengalirkan air mata apabila
mendengar penjelasan Dr. Sheila. Kata Dr. Sheila lagi, lebih baik Angah dimasukkan
ke ICU kerana di situ Angah akan dirawat secara intensif dan akan dijaga dengan rapi oleh seorang jururawat. Dalam ICU, seorang jururawat hanya akan
menjaga seorang pesakit. Doktor Sheila
meminta Umi banyak bersabar dan berdoa
banyak-banyak. Doktor Sheila juga
menenangkan Umi dan memberitahu Umi bahawa beliau sangat memahami perasaan Umi
yang amat risau akan keadaan Angah, kerana beliau juga seorang ibu. Menurut Dr.
Sheila lagi, prosedur yang akan dilakukan
oleh mereka terhadap Angah adalah untuk
kebaikan Angah semata-mata. Mereka mahu merawat Angah dengan segera. Mereka
tidak mahu keadaaan Angah menjadi lebih
teruk jika rawatan dilewatkan. Mereka juga mahu Angah kembali pulih seperti
sediakala. Sepanjang Dr. Sheila
berbincang dengan Umi, air mata Umi tidak henti-henti mengalir. Akhirnya Umi
mengangguk dan bersetuju dengan keputusan doktor. Umi pasrah. Umi menyerahkan segala-galanya kepada Allah
dan memohon kepada Allah agar memudahkan urusan para doktor dalam usaha merawat
Angah. Setelah Dr. Sheila beredar, Umi menangis semahu-mahunya. Setelah tangisan Umi agak reda, Umi menelefon
Atuk dan Nenek lalu menceritakan keadaan Angah dan menjelaskan prosedur yang
akan dilakukan kepada Angah sama seperti yang diterangkan oleh Dr. Sheila. Atuk
dan Nenek sangat sedih apabila mendengar perkhabaran tentang keadaan Angah dan
meminta Umi agar banyak bersabar dan banyak berdoa serta melakukan sembahyang
hajat. Keluarga di kampung juga akan turut melakukan sembahyang hajat untuk
Angah. Kemudian Umi menelefon Ku dan menceritakan keadaan Angah.
Lebih kurang pukul 10.00 pagi, Angah dibawa
masuk ke bilik 9, wad ICU. Doktor tidak membenarkan Umi melihat Angah sehinga
selesai prosedur rawatan kepada Angah.
Lebih kurang pukul 2.00 petang, barulah Umi dibenarkan masuk melihat Angah. Umi sedih dan menangis apabila melihat
keadaan Angah. Angah sudah tidak
sedarkan diri dan badan Angah berselirat dengan wayar. Angah bernafas melalui
bantuan alat sokongan pernafasan. Lebih kurang pukul 4.00 petang, doktor memaklumkan
keadaan Angah kepada Umi. Doktor menjelaskan bahawa mereka mengesyaki usus Angah
mengalami kebocoron (something liking
dalam perut Angah), mungkin usus Angah bocor akibat jangkitan kuman, jadi perut
Angah mesti dibedah. Dr. Jeya menjelaskan prosedur yang akan dilakukan semasa
pembedahan nanti. Mereka akan mengeluarkan
usus Angah, meneliti setiap inci usus Angah, mencucinya dan jika ada kebocoran,
mereka akan memotong dan membuang usus di bahagian yang bocor, kemudian mereka
akan meletakkan antibiotik dan meletakkan semula usus Angah di tempat asal.
Petang itu, Ustaz Azani, Cikgu Faizul
dan Cikgu Jamaluddin serta Cikgu Pasupathy datang melawat Angah. Ayah Zah dan
Cik Na juga datang melawat Angah. Sebenarnya Atuk, Nenek, Umi Long dan Ayah Mae
telah sepakat untuk datang ke KL untuk melawat Angah. Selepas Maghrib, Nenek, Atuk,
Umi Long dan Ayah Mae serta Ahmad tiba di Wad Pediatrik, HKL bersama Ayah Chik.
Lebih kurang pukul 10.00 malam, pembedahan dijalankan. Pembedahan berlangsung selama lebih kurang
dua jam. Setelah selesai pembedahan, Dr. Yusuf (abang cikgu Siti Hajar) memberitahu
Umi bahawa tiada apa-apa kebocoran dalam perut Angah kecuali sedikit radang
pada usus Angah. Menurut beliau, usus Angah telah dibersihkan. Alang-alang perut Angah
dibedah, mereka juga telah membuang apendix di dalam perut Angah. Angah kini diberi bantuan pernafasan dan ubat
tidur.
Hari
ke-4 : ICU Wad Pediatrik HKL (16 April 2008 : Rabu)
Pagi itu doktor datang berjumpa
Umi dan memberitahu Umi bahawa keadaan Angah
sangat lemah, jadi mereka membuat keputusan untuk tidak membenarkan Angah
sedar. Angah akan terus diberi bantuan
pernafasan melalui alat sokongan pernafasan sebanyak 30-40% dan ubat tidur (sedatif)
=2.0 ml. Pukul 9.00 pagi, Datuk Mahmud
dan team surgeon (kumpulan doktor yang membuat pembedahan ke atas Angah) memantau
keadaan Angah. Kelihatan Datuk Mahmud
marah-marah seperti tidak puas hati tentang sesuatu. Umi berasa sangat risau melihat keadaan itu. Dr.
Yusoff memberitahu Umi bahawa kes Angah sangat “complicated” dan merupakan kes
yang pertama seumpama itu yang dirujuk ke HKL.
Petang itu, Ku menelefon Umi. Ku kata,
menurut doktor, dalam darah Angah terdapat kuman kepialu (thypord) berdasarkan ujian
darah dari Hospital Ampang. Kondisi Angah
kini masih kritikal tetapi stabil. Malam itu selepas melawat Angah, Umi Long
dan Ayah Mae pulang ke Kota Baharu menaiki bas ekspress. Umi Long mengambil
cuti selama dua hari untuk datang melawat Angah di HKL. Semasa Umi menemani Angah,
Umi menatap wajah Angah dan Umi mengusap tubuh Angah. Umi berasa sangat sayu
dan hiba melihat keadaan Angah yang terlantar di atas katil dan tidak sedarkan
diri. Umi juga berasa sangat bersalah
kerana memarahi Angah pada minggu lepas.
Puncanya hanya kerana Angah termuntah di meja makan. Paling Umi kesal apabila Umi menyuruh Angah membersihkan sendiri muntah Angah. Sebenarnya Umi marah sangat sebab Umi terlalu
letih dan penat. Dalam keadaan terhuyung-hayang, Angah mengemop lantai sambil dibantu oleh Along.
Kejamnya Umi!!! Malam itu Umi pulang ke rumah bersama Atuk dan Nenek, manakala
Ku menemani Angah di wad.
Hari
ke-5 : ICU Wad Pediatrik HKL (17 April 2008 : Khamis)
Pagi ini setelah Umi datang melawat
Angah, doktor berjumpa dengan Umi untuk
berbincang tentang keadaan Angah.
Menurut doktor, kondisi Angah tiada perubahan. Mengikut doktor lagi, buah
pingang Angah telah mengalami sedikit kerosakan tetapi insya-Allah boleh
sembuh. Angah telah disahkan mengidap
demam kepialu. Umi menyuruh Ku
memberitahu saudara-mara Ku tentang keadaan Angah, kerana Umi takut kalau
apa-apa terjadi kepada Angah, sekurang-kurangnya semua saudara mara telah
dimaklumkan.
Pukul 9.00 malam, doktor menerangkan
bahawa kondisi Angah tiada perubahan juga. Mereka cuba untuk tidak memberikan
ubat tidur (sedative) kepada Angah, tetapi bacaan BP Angah pula turun.
Paru-paru Angah juga sudah terkena jangkitan kuman kepialu. Paras bilurubbin dalam hati manusia normal
ialah 17 tapi paras bilurubbin dalam hati Angah ialah 75. Nenek dan Atuk datang
melawat Angah. Selain itu, Pakcik Ramli
dan Makcik Yan (ayah dan emak Amirul) juga datang melawat Angah.
Hari
ke-6 : ICU Wad Pediatrik HKL (18 April 2008 : Jumaat)
Angah masih diberi bantuan pernafasan menggunakan
alat sokongan pernafasan. Pukul 10.00
pagi, ada sedikit perkembangan positif pada diri Angah. Oleh itu, doktor menghentikan ubat sedative
(ubat tidur) kepada Angah untuk membantu BP Angah. Pukul 4.00 petang, bacaan BP Angah kembali normal. Doktor menyuruh Umi
selalu bercakap dengan Angah dan memberi
semangat kepada Angah walaupun Angah tidak sedarkan diri, kerana menurut doktor,
Angah sebenarnya boleh mendengar. Umi bercakap dengan Angah, memberi semangat
dan kata-kata perangsang . Umi tidak menyangka air mata Angah mengalir di
hujung mata Angah. Pada waktu petang, Cikgu Engku Faridah datang sendirian
melawat Angah. Beliau membawakan “air tawar” untuk Angah. Malangnya doktor tidak membenarkan Angah
diberi apa-apa minuman pun, jadi Umi menyapu seluruh badan Angah dengan air
tawar itu. Cikgu Engku juga menasihati Umi
agar menjaga kesihatan Umi dan makan mengikut masa agar Umi tidak jatuh sakit. Terima kasih Engku kerana begitu mengambil
berat akan keadaan Angah dan Umi. Setelah lama menemani Umi, Cikgu Engku pun
pulang.
Pukul 4.30 petang, kondisi Angah agak kritikal
tetapi stabil. Umi terasa seperti Angah
menggerakkan sedikit jari Angah semasa Umi menggengam tangan Angah, atau
mungkin Umi sahaja yang berperasaan begitu. Entahlah. Doktor kata, jika hal itu
benar, Angah telah memberikan respond yang baik. Doktor Sheila menjelaskan
bahawa berdasarkan ujian darah, didapati Angah telah diserang oleh tiga jenis
kuman berbahaya serentak. Kuman-kuman tersebutlah yang menyebabkan Angah jatuh sakit. Menurut beliau lagi, biasanya seseorang jatuh
sakit akibat satu jangkitan kuman sahaja tetapi Angah diserang oleh tiga jenis kuman
sekaligus.
- Kuman
kepialu a.k.a salmonella sepsis
- Kuman
pembawaan tikus (dari air kencing tikus a.k.a entrocolitis)
- Kuman
laptospirosis
Doktor bertanya dan mengusul daripada
Umi sama ada Angah pernah mandi air sungai dalam masa terdekat. Umi mengeyakan. Umi, Along, Angah, Danial, Kakak, Baby dan kak Yani (pembantu rumah) memang pergi
berkelah dan mandi air Sungai Congkak bersama Cik Su dan suaminya, tetapi
perkelahan itu telah berlaku sebulan yang lalu.
Menurut doktor, kuman entrocolitis mungkin masuk ke dalam badan Angah
tetapi diam (tidak aktif) di dalam badan
Angah. Apabila Angah demam dan antibodi Angah lemah, barulah kuman
tersebut menyerang organ dalaman Angah. Kebetulan pula terdapat tiga kuman
sekaligus menyerang organ dalaman Angah
menyebabkan keadaan Angah begitu tenat dalam masa beberapa hari sahaja.
Doktor juga berkata bahawa Angah mungkin tidak dapat diselamatkan jika Umi
tidak cepat membawa Angah ke hospital.
Selepas waktu sekolah, Cikgu Layalina, Cikgu
Nurul Khalbee, Cikgu Nasywah dan Cikgu Hartini datang melawat Angah untuk kali
kedua. Thanks guys for your supporting. Pada waktu petang, Makcik Salmi, iaitu
emak Faizal kawan Angah (jiran depan rumah), datang melawat Angah. Makcik Salmi
menangis melihat keadaan Angah yang sedang terbaring kaku di atas katil.
Setelah Angah dimasukkan banyak darah,
platelet dan komponen darah yang lain, barulah kuku dan tapak kaki Angah
kembali memerah. Umi sangat gembira
melihat perubahan positif pada diri Angah.
Hari
ke-7 : ICU Wad Pediatrik HKL (19 April 2008 : Sabtu)
BP = Normal
Hb = 10.2
Platelet = 78.8
Sedatif = 4.0 ml
Oksigen= 40
Heart Beat = 98
Hari ini doktor menambah platelet lagi ke
dalam badan Angah sebanyak 120 ml. Mata Angah
tidak tertutup rapat dan terbuka separuh sejak hari pertama Angah tidak
sedarkan diri. Mata Angah kelihatan kering dan merah. Untuk mengelakkan mata Angah
dijangkiti kuman, doktor memplaster mata Angah dengan selotep. Doktor menyuruh
Umi memakaikan Angah stoking sebab kaki Angah terasa amat sejuk. Menurut doktor, dalam badan Angah terdapat pendarahan
lama, buktinya apabila doktor menyedut kahak Angah menggunakan tiub, terdapat darah
lama (sustain blood). Umi mengambil
gambar Angah yang sedang terbaring kaku, tetapi jururawat memarahi Umi kerana
katanya, sampai hati Umi mengambil gambar Angah dalam keadaan Angah
begitu. Umi bukannya hendak buat apapun
dengan gambar Angah. Umi cuma hendak Along dan adik-adik melihat keadaan Angah kerana sudah lama
mereka tidak melihat Angah. Tanpa pengetahuan jurarawat, Umi terus mengambil
gambar Angah secara senyap-senyap.
Semasa Umi menemani Angah, tiba-tiba
Angah kelihatan cuba bergerak dan “melawan mesin pernafasan” (menurut
penerangan doktor). Umi terkejut melihat
keadaan Angah. Jururawat juga bergegas
melaraskan mesin pernafasan. Pengarah Unit Pediatrik HKL, Dr. Hussin
memberitahu Umi bahawa terdapat juga sedikit darah dalam air kencing Angah,
mungkin disebabkan G6PD. Doktor juga menambah komponen darah yang lain ke dalam
badan Angah. Dr. Suzana pula mengatakan bahawa insya-Allah Angah boleh sembuh tetapi
mungkin akan mengambil masa yang agak lama juga untuk pulih sepenuhnya. Menurut
Dr. Hussin pula, Angah sekarang belum
melepasi tahap kritikal.
Pada waktu petang, kawan-kawan Angah datang
ke hospital bersama-sama Pakcik
Ramli untuk melawat Angah tetapi mereka
tidak dibenarkan masuk oleh doktor kerana dikhuatiri akan lebih memudaratkan
keadaan Angah. Pakcik Ramli membawakan air bacaan Yassin untuk Angah. Terima kasih Abang Ramli. Doktor menjelaskan
kepada Umi agar mengehadkan jumlah pelawat demi kesihatan dan kebaikan Angah. Angah sepatutnya tidak boleh menerima
kunjungan ramai pelawat kerana
dikhuatiri para pelawat membawa jangkitan lain kepada Angah. Para pelawat juga
harus memahami keadaan Angah yang tenat. Keadaan Angah yang sedang tenat bukan
untuk dipamerkan. Umi memahami maksud penjelasan doktor tetapi dalam masa yang
sama, Umi tidak sampai hati untuk melarang kawan-kawan Umi dan kawan-kawan
Angah melawat Angah secara dekat. Umi tahu dan amat faham bahawa kawan-kawan
Umi dan kawan-kawan Angah yang datang melawat dan ingin melihat Angah secara
dekat kerana mereka sangat mengambil berat keadaan diri Angah. Umi dalam
dilema. Selain Pakcik Ramli dan
kawan-kawan Angah, Cikgu Masnani juga datang melawat Angah bersama suaminya. Terima
kasih Nani.
Hari
ke-8 : ICU Wad Pediatrik HKL (20 April 2008 : Ahad)
Bp= Normal
Hb= 10.3
Platelet= 98
Sedatif (ubat tidur) = 2.0 ml
Bantuan Pernafasan = 100
Heart Beat = 136
Pukul 9 pagi Umi sampai Wad Pediatrik
HKL. Umi berjumpa Ku di luar wad seperti
biasa, sebelum Ku bertolak ke tempat kerja. Selepas bersalam dengan Ku, Umi
masuk ke wad ICU. Sebaik saja sampai ke
dalam wad ICU, Umi melihat ramai doktor di bilik Angah sedang mengelilingi
Angah. Beberapa orang jururawat pula
sedang bergegas menolak sebuah mesin.
Melihat keadaan itu, Umi menjadi cemas. Umi mahu masuk ke dalam bilik
Angah. Dr. Hussin yang berada di dalam
bilik Angah melihat Umi lalu keluar mendapatkan Umi. Doktor Hussin tidak
membenarkan Umi masuk kerana pada waktu itu keadaan Angah sangat kritikal dan
tenat. Pada pukul 6.00 pagi tadi, jururawat telah mengesan masalah paru-paru Angah. Paru-paru Angah
tidak berfungsi dan mengecut. Kini para doktor sedang berusaha sedaya upaya
untuk menyelamatkan nyawa Angah. Doktor cuba menenangkan Umi dan meminta Umi
berserah dan redha sahaja jika apa-apa berlaku kepada Angah. Umi juga diminta agar banyak berdoa agar Angah dapat diselamatkan. Umi terkedu mendengar penjelasan doktor.
Badan Umi terasa lemah. Air mata Umi
mula berderai. Umi menelefon Ku dan Atuk
serta Nenek, memberitahu keadaan Angah sambil menangis. Umi tidak mampu untuk membayangkan jika Umi
terpaksa kehilangan Angah, tetapi jika itu yang berlaku, Umi “terpaksa” redha.
Umi mula terbayang bagaimana hidup Umi nanti tanpa Angah. Ya Allah, selamatkanlah Angah, panjangkanlah
umur Angah. Berilah kesempatan kepada
Umi untuk terus bersama Angah lagi.
Permudahkanlah urusan para doktor dalam usaha menyelamatkan nyawa Angah.
Amin..Amin..Ya Rabbal Alamin… Ku yang tidak sempat sampai ke tempat kerja,
segera berpatah balik ke hospital sebaik sahaja menerima panggilan daripada
Umi. Tidak lama kemudian, Ku sampai dan
mendapatkan Umi. Umi menangis sambil menceritakan keadaan Angah. Ku memujuk dan menyabarkan Umi. Umi dan Ku menunggu di luar wad ICU dengan
resah dan cemas. Akhirnya, pada pukul 12 tengah hari, Dr.
Hussin keluar dari bilik Angah dan mendapatkan Umi dan Ku. Dr. Hussin
mengucapkan syukur kerana Angah dapat diselamatkan. Umi menangis kegembiraan dan mengucapkan
syukur tidak putus-putus kepada Allah. Umi dan Ku juga mengucapkan ucapan
terima kasih kepada Dr. Hussin dan para doktor yang bertungkus-lumus
menyelamatkan nyawa Angah.
Menurut Dr. Hussin, pukul 6.00 – 11.00
pagi merupakan saat paling genting bagi Angah tapi alhamdulillah Angah
dapat bertahan. Dr. Hussin menjelaskan bahawa
kondisi Angah merosot pada hari ini.
Paru-paru Angah ada masalah serius, dan mungkin hal itu memberi kesan kepada otak Angah. Ya Allah,
selamatkan Angah, dengan kekuasaan-Mu, sembuhkanlah penyakit Angah, pulihkanlah
paru-parunya. Ya Allah, aku tidak
sanggup kehilangannya. Dr. Noriza pula menjelaskan bahawa Angah mendapat asma
yang teruk (masalah pernafasan /spazem) akibat jangkitan kuman. Sekarang pernafasan Angah lebih baik sedikit
setelah diberi ubat dan bantuan mesin. Dr. Noriza kata, paru-paru Angat
mengecut. Kalau tadi paru-paru Angah tidak
kembang semula, Angah mungkin tidak dapat diselamatkan. Angah, Angah mesti
kuat. Umi yakin sangat Angah boleh sembuh walaupun para doktor kata Angah
sangat tenat, tetapi kekuasaan Allah mampu mengatasi segala-galanya.
Pukul 11.45 pagi tadi, pc02 dalam paru-paru Angah 44.5 (bacaan normal = 30-40).
Spazem sudah pecah, syukur Alhamdulillah.
Keadaan paru-paru Angah bertambah baik, begitu juga dengan buah pinggang
Angah. Umi, Ku, Atuk, Nenek dan semua orang tidak putus-putus mendoakan kesihatan
Angah. Terima kasih semuanya. Sehingga hari ini, Umi rasa sakit Angah ini
merupakan ujian terbesar daripada Allah untuk Umi. Mungkin Umi banyak dosa dan Allah
menguji Umi melalui Angah. Waktu petang,
Pakcik Roslan dan Makcik Salmi (ayah dan emak Faizal) datang melawat Angah untuk kali kedua.
Pukul 2.30 pm,Pco2 =24,0ksigen = 60, Platelet
=132. Pukul 4.30 petang, Angah demam semula. Pukul 6.00 petang, Atuk, Nenek, Along
dan adik-adik datang melawat Angah. Semasa Umi menemani Angah seorang diri, Umi
sempat menulis sebuah sajak untuk Angah, selain membacakan Angah surah Yassin dan
al-Quran kepada Angah.
Hari
ke-9 : ICU Wad Pediatrik HKL (21 April 2008 : Isnin)
Umi sampai di wad Angah pukul 10.00
pagi, bertukar shif dengan Ku. Umi dari sekolah. Umi terpaksa pergi ke sekolah
kerana cuti Umi sudah habis. Umi tidak
ada cuti lagi untuk menjaga Angah, tetapi nasib baiklah Pn. Zaini merupakan
seorang pengetua yang sangat bertimbang rasa dan memahami keadaan Umi. Beliau membenarkan Umi ke hospital untuk menemani
Angah pada setiap hari, tetapi Umi harus datang ke sekolah terlebih dahulu dan “punch
masuk”. Selepas itu, barulah Umi boleh pergi ke hospital. Begitulah Umi setiap
hari. Umi sangat beruntung kerana
kawan-kawan Umi begitu baik dengan Umi dan bersedia untuk ‘relief’ / ganti
kelas Umi sewaktu Umi ke hospital setiap hari.
Walaupun pada hakikatnya Angah belum sedarkan diri dan dijaga dengan
rapi oleh seorang jururawat di ICU, Umi tidak sanggup untuk berjauhan dengan
Angah, kerana jika apa-apa berlaku kepada Angah sewaktu Umi tiada di sisi
Angah, Umi tidak akan dapat memaafkan diri Umi.
Apabila Umi sampai, doktor berjumpa
dengan Umi dan memberitahu Umi bahawa keadan Angah semakin baik. Angah sudah
sedar dan membuka mata tetapi keadaan Angah masih terlalu lemah. Jururawat memberitahu Umi bahawa Angah
memanggil Umi sebaik sahaja Angah sedar. Umi mendapatkan Angah, memeluk dan
mencium Angah bertalu-talu. Umi sungguh
gembira kerana Angah sudah sedar. Syukur
Alhamdulillah, Ya Allah. Angah sudah boleh “respond”. Umi menyuruh Angah mengangguk
atau menggeleng atau menggenggam tangan Umi apabila Umi bertanya. Lalu Umi menanyakan
soalan kepada Angah dan Angah menggangguk-angguk. Syukur Alhamdulillah. Menurut
doktor, mereka akan cuba menghentikan bantuan pernafasan kepada Angah hari ini.
Mata Angah sudah kurang merah, syukur Alhamdulillah. Jururawat meminta Umi
keluar sekejap kerana mereka akan menyedut kahak dalam paru-paru Angah
menggunakan tiub. Selepas itu, Umi masuk
semula ke bilik Angah. Jururawat memberitahu
Umi bahawa Angah memanggil Umi tadi. Selepas Umi mengelap badan Angah, Umi
memotong kuku kaki Angah. Kaki Angah bengkak. Akhirnya bantuan pernafasan
kepada Angah dihentikan. Doktor menyuruh Angah mengangkat kaki, tangan dan menggenggam
tangan. Angah sudah boleh bernafas sendiri. Angah memanggil Umi dengan kuat. Alhamdulillah,
Angah sudah boleh bercakap. Angah minta hendak minum air tetapi jururawat tidak
membenarkan. Menurut jururawat, Angah
tidak boleh minum lagi kerana dikhuatiri Angah akan tersedak.
Banyak tiub sudah ditanggalkan dari badan
Angah, syukur Alhamdulillah. Semasa jururawat membersihkan badan Angah, badan Angah
terdedah. Angah mengadu kesejukan. Keadaan Angah masih lemah. Angah memberitahu
Umi bahawa Angah hendak balik ke rumah. Umi memujuk Angah agar bersabar kerana
Angah belum sembuh. Belum masanya untuk pulang ke rumah, sayangku. Ayah Su dan
abangnya datang melawat Angah tetapi pada waktu itu Angah sedang tidur. Jika keadaan
Angah semakin baik malam nanti, kemungkinan besar, esok Angah akan dipindahkan
ke wad biasa. Apabila jururawat cuba mengalih kedudukan Angah dan memegang kaki
Angah, Angah mengadu sakit. En Saadon dan isteri datang melawat Angah pada petang itu. Pada waktu malam pula,
Atuk, Nenek, Ku, Along dan adik-adik datang melawat Angah. Malam itu, Umi dan Ku balik ke rumah. Tinggallah Angah seorang diri di bilik 9 PICU
ditemani jururawat sahaja. Sebenarnya Ku mahu menemani Angah seperti
malam-malam sebelumnya, tetapi jururawat memberi jaminan bahawa Angah sudah
bertambah baik dan tidak perlu ditemani lagi.
Dengan berat hati, Umi dan Ku meninggalkan Angah sendirian.
Hari
ke-10 : ICU Wad Pediatrik HKL (22 April 2008 : Selasa)
Setelah Umi sampai di bilik Angah pada
pukul 10.30 pagi, doktor memberitahu Umi bahawa Angah akan dipindahkan ke HDW
hari ini. Angah akan dipindahkan ke HDW kerana keadaan Angah masih memerlukan
pengawasan rapi, walaupun tidak serapi di ICU. Doktor juga membenarkan Angah
minum air kosong hari ini. Itulah kali pertama Angah minum sejak dimasukkan ke
wad Pediatrik HKL. Angah hendak buang air, tetapi tidak boleh. Angah mengadu
sakit dan pedih di salur kencing, tempat tiub dimasukkan. Sepanjang Angah tidak sedarkan diri sebelum
ini, Angah kencing melalui tiub. Tiub
tersebut masih tidak ditanggalkan. Doktor
meminta Angah bersabar kerana doktor masih mahu memantau air kencing Angah disebabkan
air kencing Angah masih keruh. Selepas itu barulah tiub kencing ditanggalkan
dari badan Angah. Angah meminta Umi
duduk di sebelah Angah. Angah menangis dan tidak membenarkan Umi meninggalkan Angah.
Pukul 12.30 tengah hari, Angah mengadu sakit kepala. Angah meminta Umi memicit
kepala Angah. Umi menyapu minyak angin cap kapak di dahi Angah sambil memicit
kepala Angah. Tidak lama kemudian, doktor memberitahu Umi bahawa Angah terpaksa
dipindahkan ke wad KK6 kerana HDW penuh dengan pesakit. Pada pukul 1.00 petang, Pakcik Ramli, Makcik Yan (ayah
dan emak Amirul) datang melawat Angah. Pn. Siti Lijah, Pn. Saedah dan Pn. Maznah
juga datang melawat Angah. Pn. Siti memberi RM 50 kiriman Pengetua, manakala
beliau sendiri memberi RM50. Terima
kasih kakak-kakak semua.
Pukul 2.00 petang, Angah dipindahkan ke
KK6. Angah mengerang, mengadu sakit perut. Angah berak hitam dan cair sebanyak
dua kali. Umi membersihkan najis Angah
buat pertama kali kerana semasa di ICU, jururawat yang membersihkan najis
Angah. Umi meminta sarung tangan/glove daripada jururawat tetapi jururawat tidak
bagi. Lalu tanpa glove, Umi membersihkan
najis Angah setelah menutup tirai di sekeliling katil Angah. Umi berasa sangat risau
melihat keadaan Angah yang tidak henti-henti mengerang. Umi melaporkan keadaan Angah
kepada doktor. Doktor bedah datang untuk
memeriksa keadaan Angah. Rupa-rupanya pundi kencing Angah bengkak kerana Angah
tidak boleh kencing sendiri. Hal ini
demikian kerana pundi kencing Angah sudah 8 hari berehat menyebabkan pundi
kencing “lupa cara hendak kencing”. Jadi doktor memasukkan semula tiub ke dalam
salur kencing Angah, kemudian keluar air kencing yang banyak. Barulah Angah berasa
lega dan dapat tidur. Doktor akan ajar semula pundi kencing Angah supaya
berfungsi semula dengan cara “clam”/kepit tiub kencing 4 jam sekali, kemudian
lepas. Syukur Alhamdulillah. Doktor kata Angah memang rasa sakit sangat sebab pundi
kencing Angah bengkak.
Semasa Ku datang pukul 7.00 petang, Angah berak sekali lagi. Umi mencuci najis
Angah dibantu Ku. Ku masih geli-geleman untuk mencuci punggung Angah. Pukul 8.00 malam, Angah mengadu sakit perut lagi.
Doktor pakar meminta pakar bedah datang sekali lagi untuk memeriksa perut Angah. Setelah memeriksa perut Angah, doktor memberi
ubat penahan sakit kepada Angah dan memberitahu Umi bahawa mereka akan buat x-ray
dan ultra sound kepada Angah sekali lagi pada malam ini. Jururawat memasukkan
ubat penahan sakit melalui dubur Angah.
Pada pukul 12.30 malam, nadi Angah lemah, oksigen juga kurang, manakala bacaan BP
sangat tinggi walaupun diperiksa berulang kali. Doktor menjelaskan bahawa
keadaan Angah yang sakit sangat menyebabkan bacaan BP Angah tinggi. Angah
tiba-tiba muntah hijau semasa menelan panadol.
Hari
ke-11 : Wad KK6 HKL (23 April 2008 : Rabu)
Hari ini Umi mengambil mc. Hari ini Angah
dapat tidur lena sebab Angah diberi bantuan oksigen. Angah cirit-birit dua
kali. Angah kelihatan sangat letih. Angah mula minta air dan hendak makan kerana
Angah berasa sangat lapar tetapi doktor meminta Angah berpuasa (tidak boleh
makan) kerana perut Angah masih sakit dan usus belum berfungsi sepenuhnya. Angah menangis kelaparan.
Pukul 6.00 petang, doktor masih tidak membenarkan Angah makan kerana menurut doktor, muntah hijau
menandakan usus tidak berfungsi sempurna, jadi kalau Angah makan, perut Angah akan
lebih sakit. Doktor memujuk Angah agar bersabar sampai pagi esok. Sekarang Angah
menangis lagi sebab kelaparan. Umi sedih sangat melihat keadaan Angah. Macam manalah budak berumur 12 tahun seperti
Angah mampu menahan lapar begitu lama.
Sudah 11 hari Angah tidak makan.
Umi tidak sampai hati mendengar tangisan dan rengekan Angah. Umi hanya mampu memujuk Angah, mengusap badan
Angah, menyapu air mata Angah dan berdoa agar Allah memendekkan penderitaan
Angah serta menyembuhkan penyakit Angah secepat mungkin agar Angah dapat
menikmati kehidupan seperti kanak-kanak sihat yang lain. Umi sendiri tidak
mampu menahan air mata Umi daripada keluar apabila melihat keadaan Angah. Jika
boleh, biarlah Umi sahaja menggantikan tempat Angah, tetapi semua itu tidak
mungkin berlaku. Selama ini Angah hanya bertahan dengan air yang dimasukkan ke
dalam badan Angah melalui “drip”. Sabarlah sayangku, Angah. Pukul 7.00 petang,
Ku, Atuk, Nenek, Along, dan adik-adik datang melawat Angah.
Hari
ke-12 : Wad KK6 HKL (24 April 2008 : Khamis)
Umi sudah tidak tahan mendengar Angah
mengerang kesakitan. Apabila sakit perut Angah agak reda sedikit, Angah bermain
game di handphone Umi. Dr. Shamimi memberitahu Umi bahawa perut Angah mula
berbunyi. Itu merupakan tanda tindak balas
yang mula berlaku dalam perut Angah, berbanding semalam tiada apa-apa bunyi. Ada perubahan yang baik, kata Dr. Shamini.
Hari ini “heart beat” Angah sangat
rendah=39-42, memang kesan serangan kuman kepialu. Dr.Jeya memberi morfem (ubat
tahan sakit) kepada Angah. Penggunaannya
sudah dilaraskan/diset. Jika Angah berasa sakit, Angah akan tekan punat pada
tiub dan secara otomatik, morfem akan masuk ke dalam badan Angah melalui tiub
ke salur darah Angah. Selesai masalah sakit, Angah menangis lagi. Apabila Umi bertanya,
Angah mengadu lapar dan haus yang teramat. Dr. Jeya memantau kondisi Angah.
Malangnya, Angah masih tidak dibenarkan makan dan minum sebab usus Angah masih
luka. Umi bertanya kepada doktor, bagaimana
Angah boleh bertahan kalau tidak makan atau minum. Doktor menjelaskan bahawa Angah boleh
bertahan kerana dalam “drip” Angah, terdapat garam mineral yang cukup untuk
Angah, cuma Angah tidak dapat menahan rasa lapar dan haus sahaja. Pilunya hati
Umi mendengar penjelasan doktor.
Petang itu, Nenek dan Atuk datang
melawat Angah sambil membawa berita sedih. Mata Nenek tidak ada harapan untuk sembuh.
Mungkin Nenek tidak boleh melihat lagi, tetapi itu semua ramalan doktor. Allah
maha berkuasa. Ya Allah , sembuhkanlah mata Nenek agar Nenek boleh melihat
hingga akhir hayat Nenek. Umi sangat susah hati apabila memikirkan keadaan
Angah dan Nenek. Ayah Faizal datang melawat Angah, begitu juga Ayah Long.
Esok doktor akan mengambil cecair dari
perut Angah. Doktor akan buat “taping” iaitu
menebuk sedikt perut Angah dengan jarum kemudian menyedut cecair dari usus Angah.
Angah mengadu sakit-sakit badan, lenguh kaki dan minta diurut. Semasa Umi
hendak mengurut kaki Angah, Umi baru tersedar bahawa tumit kaki kanan Angah
melepuh kerana Angah terlalu lama berbaring.
Doktor menyuruh Umi mengalih-alih kedudukan badan Angah kerana dibimbangi belakang
badan Angah juga akan melepuh jika kedudukan badan Angah kekal berbaring dalam
posisi yang sama sahaja. Doktor memberikan Umi bola-bola air kecil berbentuk
donut untuk diletakkan di bawah siku dan tumit Angah untuk mengelakkan siku dan
tumit Angah melepuh lebih teruk.
Hari
ke-13 : Wad KK6 HKL (25 April 2008 : Jumaat)
Bacaan BP Angah tinggi disebabkan Angah
menanggung kesakitan. Keadaan Angah yang sakit perut dan meracau merupakan komplikasi
awal demam kepialu, kerana kuman kepialu menyerang otak Angah, manakala “heart
beat” Angah rendah kerana kuman menyerang jantung Angah.
Kuman kepialu mengganas dalam badan Angah. Begitulah penjelasan doktor. Hancur luluh
hati Umi apabila mendengar penjelasan doktor tentang kesan dan akibat yang
terpaksa Angah tanggung. Mampukah Angah
bertahan dan menanggung penderitaan itu?
Ya Allah, sembuhkanlah Angah, pendekkanlah penderitaannya. Hanya kepada-Mu aku memohon, ya Allah. Hari
ini, banyak kali doktor cuba mengambil darah Angah dari salur darah di lengan
Angah tetapi gagal. Seluruh lengan Angah sudah kena cucuk dan lebam. Angah
menangis kesakitan setiap kali lengan Angah dicucuk. Umi hanya mampu menyabarkan Angah tetapi air
mata Umi turut mengalir melihat keadaan
Anggah yang kesakitan. Berkerut muka Angah menahan sakit. Setelah
beberapa cubaan tetap gagal, akhirnya Umi turut merungut kerana tidak tahan
melihat keadaan Angah diperlakukan begitu oleh jururawat. Umi mengadu kepada Dr. Amir yang ketika itu
berada di kaunter jururawat. Akhirnya,
Dr. Amir mengambil darah Angah.
Alhamdulillah, akhirnya cubaan Dr. Amir berjaya. Terima kasih, Dr. Amir
kerana begitu lembut melayan Angah, tidak seperti jururawat yang agak kasar
memperlakukan Angah.
Pada waktu petang, Dr. Kamarul memantau
kondisi Angah. Menurut beliau, minggu ini merupakan minggu ke-3 bagi Angah
sejak diserang demam kepialu, jadi Angah masih menghadapi komplikasi demam
kepialu. Kondisi Angah belum bebas atau melepasi tahap kritikal. Sekarang
hempedu Angah pula membengkak. Sebentar lagi doktor akan melakukan “taping”
lagi iaitu, mengambil cecair dari perut Angah melalui ultra sound. Kalau cecair itu memang air hempedu, maknanya
hempedu Angah sudah bocor, maka Angah terpaksa dibedah sekali lagi untuk menampal
hempedu bagi menghalang air hempedu meracuni semua organ lain dalam badan Angah.
Jika terdapat kebocoran yang serius, doktor
akan memotong sedikit usus Angah yang bocor. Kuman salmonella juga menyebabkan
keadaan Angah semakin kritikal.
Pagi ini “heart beat” Angah naik sedikit
iaitu 60. Walau bagaimanapun, bacaan BP Angah masih tinggi. Angah dibawa ke bilik
ultra sound untuk dilakukan proses “taping”.
Pukul 11.15 pagi, Angah selesai menjalani ultra sound dan “taping”. Angah minta hendak
minum ais sirap bandung, tetapi Angah tidak dibenarkan minum. Sabarlah sayang. Akhirnya Angah tertidur dalam tangisan dan
kehausan. Pukul 2.30 petang, keputusan “taping” diperoleh. Doktor memberitahu
Umi bahawa cecair dalam perut Angah itu bukan air hempedu. Nasib baik hempedu tidak
pecah walaupun bengkak, tetapi doktor masih memantau keadaan Angah sepanjang
malam. Usus Angah pun masih dalam keadaan baik. Bacaan BP Angah ialah 146/96.
Pada pukul 5.00 petang, Angah menangis
lagi kerana Angah berasa sakit di salur kencing. Angah tidak boleh kencing sendiri. Tiub salur
kencing telah ditanggalkan supaya Angah boleh kencing sendiri tetapi Angah
masih tidak boleh kencing juga. Angah terus bising hendak kencing di tandas tetapi
Umi memujuk Angah agar bersabar. Sayang, macam mana Angah hendak berjalan ke
tandas, sedangkan wayar masih berselirat di tangan Angah. Angah masih merengek
hendak ke tandas menyebabkan Umi jadi hilang sabar. Umi memarahi Angah sebab tidak
mahu mendengar cakap Umi, tetapi akhirnya Umi menyesal. Umi sebenarnya tidak
tahan mendengar tangisan dan rengekan Angah.
Maafkan Umi, sayang. Jururawat pula lembab dan bengap. Walaupun Angah sudah
menangis kesakitan agak lama, semuanya buat tidak kisah. Apabila Umi menggesa,
mereka menjawab bahawa mereka sedang mencari tiub untuk dipasangkan di salur
kencing Angah. Kalau diikutkan hati Umi yang panas, mahu saja Umi menengking
mereka kerana lambat bertindak. Akhirnya,
mereka menjumpai tiub tersebut setelah setengah jam mencari sambil
berbual-bual. Setelah
memasangkannya di salur kencing Angah,
barulah Angah boleh kencing. Setelah itu Angah tertidur akibat keletihan.
Dr. Kamarul meminta jururawat menukar ubat
penahan sakit yang diberikan kepada Angah, kerana menurut beliau, morfem
menyebabkan Angah lebih sakit, tetapi menurut Dr. Jeya, keputusan Dr. Kamarul
tidak masuk akal langsung, kerana Angah sudah kurang sakit sejak menggunakan
morfem. Umi bersetuju dengan pendapat Dr. Jeya.
Jadi Dr. Jeya mengarahkan jururawat meneruskan morfem kepada Angah. Umi
mengeluh, setiap doktor pun bercanggah pendapat dan keputusan. Kalau ada 10
orang doktor yang memantau kondisi Angah, maka 10 pendapat yang berbezalah yang
akan muncul. Yang sakit dan yang menjadi
mangsanya ialah pesakit, iaitu Angah. Tak faham betul Umi…
Pukul 7.00 petang, Atuk, Nenek, Ku, Along,
Ahmad dan Kakak dan Baby datang melawat Angah.
Malam ini Ku akan menemani Angah. Pukul 12.00 tengah malam, Umi menelefon
Ku, bertanya tentang Angah. Menurut Ku, Angah baru sahaja selesai menjalani x-ray.
Dalam paru-paru Angah terkumpul banyak air, dan sebab itulah paru-paru Angah tidak
aktif dan kerana itu juga, Angah sesak nafas.
Hari
ke-14 : ICU Wad Pediatrik HKL (26 April
2008 : Sabtu)
Pada pukul 2.30 pagi, Ku mengirim mesej
kepada Umi dan memberitahu Umi bahawa Angah dimasukkan semula ke ICU kerana doktor
hendak mengeluarkan cecair dari paru-paru Angah. Doktor telah menebuk satu
lubang kecil di bawah ketiak kiri Angah untuk memasukkan “test tiub” ke dalam
paru-paru Angah. Melalui test tiub itu, cecair dari paru-paru Angah
dikeluarkan. Doktor telah mengeluarkan “darah hidup” (darah merah yang pekat) dari paru-paru Angah.
Sebaik sahaja Umi sampai di ICU, Umi melihat Angah sedang menangis kerana doktor hendak mencucuk lengan Angah
untuk mengambil darah. Angah memprotes dan menolak tangan doktor. Doktor memujuk lagi tetapi Angah tetap
menolak dan menangis. Akhirnya doktor mengalah dan tidak mahu memaksa
Angah. Mereka menunggu kedatangan Umi
agar Umi dapat memujuk Angah. Setelah
Umi memujuk Angah, Angah diam. Doktor
meminta Umi keluar sekejap kerana mereka hendak malakukan proses mengambil darah
terhadap Angah. Umi memujuk Angah dengan
memberikan telefon bimbit Umi kepada Angah dan menyuruh Angah menelefon Umi
apabila proses mengambil darah selesai. Kemudian Umi beredar keluar dari wad ICU. Tidak lama kemudian, Angah menelefon Umi dan
meminta Umi masuk segera kerana proses mengambil darah sudah selesai. Umi terus masuk ke wad ICU dan mendapatkan
Angah. Angah kelihatan “moody”. Doktor
mengusik Angah dan mengatakan Angah tidak sabar-sabar hendak bersama Umi. Kebetulan
Umi terlihat seorang pesakit dalam bilik ICU itu sedang menonton TV
bersendirian dan TV itu diletakkan di hadapan katilnya, lalu Umi bertanya
kepada jururawat. Jururawat memberitahu
Umi, jika Angah hendak menonton TV, mereka boleh menyediakannya untuk Angah. Setelah
mendengar jawapan jururawat, Umi bertanya kepada Angah sama ada Angah hendak
menonton TV atau tidak. Angah mengangguk, lalu Umi meminta TV daripada jururawat.
Jururawat juga memberikan beberapa keping CD kepada Angah. Angah memilih untuk menonton filem Harry Porter.
Doktor memberitahu Umi bahawa platelet Angah
ialah 36. Jururawat juga memberitahu Umi bahawa sebanyak 180 ml darah
pekat telah dkeluarkan dari paru-paru
Angah semalam, manakala pagi ini sebanyak 200 ml lagi darah pekat dikeluarkan
dari paru-paru Angah.
Pada waktu petang, Cikgu Pasupathy, Cikgu
Ruwaidi, Cikgu Hussin, Ustaz Zulkifli, Cikgu
Faizul dan Cikgu Firhan datang melawat Angah. Thanks guys. Ayah Chik, Cik Errr
dan anak-anak, Atuk dan Nenek juga
datang melawat Angah. Pada pukul 9.00
malam, Umi dan Ku balik bersama Atuk dan Nenek, meninggalkan Angah sendirian di
dalam wad ICU, ditemani oleh jururawat sahaja.
Sebenarnya Umi tidak sampai hati untuk meninggalkan Angah sendirian,
tetapi jururawat memberi jaminan bahwa mereka akan sentiasa ada di sisi Angah.
Hari
ke-15 : ICU Wad Pediatrik HKL (27 April 2008 : Ahad)
Pukul 5.00 pagi, Angah menelefon Umi.
Angah bertanya kepada Umi pukul berapa Umi akan datang ke hospital untuk
menemani Angah. Umi menjelaskan bahawa
Umi akan ke hospital lebih kurang pada pukul 9 .00 pagi kerana Umi harus ke
sekolah terlebih dahulu. Setelah Umi
sampai di ICU, Umi mendapatkan Angah. Angah kelihatan lebih sihat pada hari ini
berbanding semalam. Doktor juga memberitahu Umi bahawa kondisi Angah “much
better”. Hari ini platelet Angah ialah 56. Pukul 1.00 tengah hari, doktor membenarkan Angah
minum air. Angah mula minum air milo kotak. Alhamdulillah. Sebenarnya doktor menyuruh
Angah minum air kosong terlebih dahulu sebelum minum air bancuhan lain kerana
perut Angah masih belum sembuh sepenuhnya. Pada pukul 2.00 petang, badan Angah
masih ditambah platelet sebanyak 100 ml, manakala bacaan HB Angah ialah
9+. Morfem secara berterusan ditukar
kepada automatik. Jika Angah berasa
sakit, Angah hanya perlu menekan punat
pada mesin untuk mengalirkan morfem ke dalam badan Angah.
Pada waktu petang, ramai yang datang melawat Angah. Atuk, Nenek, Ayah
Chik, Cik Err, Cik Da, Ayah Lil dan anak-anak serta Pakcik Ramli (ayah Amirul)
melawat Angah. Pada petang itu juga Angah mula makan untuk pertama kali setelah
15 hari tidak makan. Angah makan bubur nasi yang disuap oleh jururawat. Pada
malam itu juga, Atuk dan Nenek serta Ahmad pulang ke Wakaf Che Yeh menaiki kapal
terbang. Umi berasa sedih kerana tiada
sesiapa lagi di rumah yang akan menemani Along, Danial, Kakak dan Baby sewaktu
Umi dan Ku menemani Angah di hospital secara bergilir-gilir. Pada pukul 10.30 malam, Umi pulang ke rumah. Tidak
lama kemudian, Angah menelefon Umi dan meminta Umi datang ke hospital untuk menemani Angah, dengan alasan Angah
sakit. Umi memujuk Angah supaya bersabar
dan menjelaskan kepada Angah bahawa Umi baru sahaja tiba di rumah dan Umi
berasa sangat letih untuk kembali ke hospital.
Umi berjanji akan pergi ke hospital
pada awal pagi esok untuk menemani Angah.
Hari
ke-16 : ICU Wad Pediatrik HKL (28 April 2008 : Isnin)
Hari ini apabila Umi pergi ke sekolah,
ramai kawan-kawan Umi bertanya tentang Angah.
Hari ini Umi ke hospital selepas waktu sekolah. Umi terpaksa pergi ke sekolah dan mengajar
seperti biasa kerana sudah banyak hari
Umi tidak mengajar. Kasihan
pelajar-pelajar Umi. Mereka juga bertanya tentang khabar Angah. Hari ini Umi
sampai ke hospital pada pukul 3.00 petang.
Umi kelewatan sebab jalan ke hospital jam. Doktor melaporkan keadaan Angah semakin
pulih. Hari ini platelet angah ialah 7.3
manakala HB Angah ialah 14+. Walau
bagaimanapun, masih terdapat “blood stain” dari paru-paru Angah. Doktor masih
menambah platelet ke dalam badan Angah. Hari ini Angah makan roti. Morfem sudah dihentikan. Doktor cuma memberikan Angah PCM. Pada pukul 11.00 malam, setelah Umi pulang,
Angah menelefon Umi sambil menangis.
Angah meminta Umi menemani Angah.
Umi tidak berdaya untuk menunaikan permintaan Angah kerana Umi terpaksa
pergi ke sekolah pada esok hari. Umi cuba menahan hati Umi sambil memujuk
Angah. Sebenarnya Umi tidak sanggup
mendengar tangisan Angah , tetapi apa
daya Umi, sayang.
Hari
ke-17 : ICU Wad Pediatrik HKL (29 April
2008 : Selasa)
Hari ini Umi sampai ke hospital pada
pukul 2.30 petang. Semasa Umi sampai,
Angah sedang berlatih bernafas dibantu oleh pakar fisioterapi. Hari ini Angah
sudah boleh bernafas sendiri tanpa bantuan oksigen lagi. Hari ini bacaan
platelet Angah ialah 76, HB = 14+ manakala heart beat Angah 79-90. Jururawat
memberitahu Umi bahawa pada petang ini Angah akan dipindahkan ke Wad KK6 semula
kerana keadaan Angah semakin pulih. Benar, Angah kelihatan semakin sihat. Syukur Alhamdulillah kepada Allah. Angah juga
sudah boleh berjalan ke tandas. Doktor telah menanggalkan “test tiub” dari
paru-paru Angah dan menampal/ menjahit lubang yang ditebuk di bawah ketiak kiri
Angah kerana paru-paru Angah sudah “clear”. Pada pukul 4.00 petang, Angah dipindahkan ke
Wad KK6. Cikgu Lye Jin San datang sendirian melawat Angah dan membawa buah
tangan untuk Angah. Thanks Lye. Umi
sangat terharu kerana semua cikgu SMK Taman Tasik begitu mengambil berat tentang
Angah. Mereka semua banyak memberi
sokongan dan semangat kepada Umi.
Sebenarnya, hampir setiap hari cikgu-cikgu lelaki dan cikgu-cikgu
perempuan bersama para pelajar mengadakan solat hajat di surau sekolah khusus
untuk Angah, memohon Allah menyembuhkan penyakit Angah. Terima kasih Ya Allah kerana mengurniai Umi
kawan-kawan yang baik, prihatin serta selalu mendoakan kesihatan Angah. Terima kasih juga kawan-kawanku atas
keprihatinan kalian dan semangat serta kebaikan kalian kepada diriku
sekeluarga. Hanya Allah yang mampu membalas kebaikan kalian.
Hari
ke-18 : Wad KK6 HKL (30 April 2008 : Rabu)
Hari ini Umi sampai di Wad KK6 pada
pukul 2.45 petang. Semasa Umi sampai,
Umi agak terkejut apabila melihat Angah bernafas menggunakan bantuan oksigen
semula. Rupa-rupanya Angah diberi
bantuan oksigen sejak awal pagi. Hari
ini doktor mengambil darah Angah lagi.
Kondisi Angah agak merosot sedikit pada hari ini. Pada pukul 3.15 petang, Dr. Harjit memeriksa
Angah. Menurut beliau, Angah kelihatan
lebih penat berbanding pagi tadi. Mereka telah melakukan pemeriksaaan x-tray
terhadap Angah dan mendapati terkumpul semula cecair di dalam paru-paru Angah. Oleh
sebab itu, doktor membuat keputusan untuk menebuk semula dada Angah bagi
mengeluarkan cecair dari paru-paru Angah.
Menurut Dr. Harjit, jika mereka tidak melakukannya sekarang, mereka bimbang
kondisi Angah akan menjadi lebih teruk seperti sebelumnya, tambahan pula esok tidak
ada doktor yang akan bertugas untuk memantau kondisi Angah kerana esok ialah
hari cuti umum iaitu cuti Hari Pekerja (1 Mei). Hanya seorang doktor “on call”
sahaja yang akan berada di wad itu secara bergilir-gilir. Walau bagaimanapun,
Dr. Harjit bimbang doctor “on call” tersebut tidak akan perasan keadaan Angah.
Pada pukul 4.00 petang, Umi memandikan
Angah kerana Angah mengadu bahawa badan Angah
melekit. Umi memandikan Angah, membedakkan Angah, menyapu “lotion” dan mengorek
telinga Angah. Umi juga membersihkan
daki di celah-celah jari kaki Angah.
Selepas mandi dan membersihkan badan,
Angah kelihatan lebih segar dan sihat. Pukul 5.00 petang, Angah di bawa
ke bilik rawatan untuk proses memasukkan semula “test tiub” ke dalam paru-paru
kiri Angah. Doktor tidak membenarkan Umi menemani Angah di bilik rawatan. Doktor menjelaskan kepada Umi bahawa mereka
akan memberikan Angah ubat penahan sakit dan ubat tidur sebelum proses
memasukkan semula “test tiub” itu dilakukan. Semasa proses dilakukan, Angah
menangis dan meraung kesakitan. Umi yang
berada di luar bilik rawatan dapat mendengar tangisan dan raungan Angah. Pilu
hati Umi mendengar tangisan Angah yang sedang menanggung kesakitan apabila
lubang asal di bawah ketiak kiri Angah yang sudah dijahit, ditebuk semula. Umi
hanya mampu berdoa agar Allah mengurangkan kesakitan yang ditanggung oleh
Angah. Umi berasa hairan kerana Angah terus
menangis dan berada dalam keadaan sedar semasa proses dilakukan, sedangkan
doktor memberitahu Umi bahawa mereka akan membius Angah terlebih dahulu agar Angah tidak berasa
sakit. Setelah selesai proses menebuk lubang semula di bawah ketiak kiri Angah,
Angah dibawa keluar ke katil Angah di Wad KK6. Setelah itu, sebanyak 200 ml
darah hidup dikeluarkan dari paru-paru Angah. Walau bagaimanapun, darah itu
lebih cair berbanding darah sebelumnya.
Pada pukul 6.45 petang, Ku, Kakak dan
Baby datang melawat Angah. Pada pukul 8.15
malam, Dr. Shiela memeriksa keadaan Angah. Dr. Sheila bertanya, adakah Angah berasa lebih
lega setelah darah dikeluarkan dari paru-paru Angah. Angah hanya mengangguk
sahaja. Sebenarnya Dr. Sheila tidak gembira akan kondisi Angah. Beliau menerangkan bahawa pihak
hospital Pediatirk HKL telah
membentangkan kes Angah kepada pakar-pakar serta merujuk pakar di Hospital Besar Kota Bharu, memandangkan doktor-doktor
di sana lebih arif tentang penyakit demam kepialu. Menurut mereka, semua komplikasi yang dihadapi
oleh Angah memang “matching” dengan komplikasi demam kepialu, kecuali darah
yang terkumpul di dalam paru-paru Angah. Memang ada cecair di dalam paru-paru
mangsa demam kepialu tetapi warnanya
jernih, bukannya “darah hidup” seperti yang terkumpul di dalam paru-paru Angah.
Jadi, kes Angah ni dianggap “complicated” sebab ada darah. Dr. Shiela juga berasa
bimbang dan was-was jika terdapat faktor lain yang menjadi penyebabnya, namun, selagi
keputusan “speciment” yang didapati dari perut Angah belum diperoleh, beliau
tidak berani untuk berkata apa-apa.
Setelah keluar dari ICU dan duduk di wad, mula-mula kondisi Angah ok
tapi selepas itu bertambah buruk. Sudah dua kali keadaan seperti itu berlaku.Ya
Allah, sembuhkanlah penyakit Angah dan permudahkanlah urusan doktor untuk
merawat Angah. Angah meminta Umi agar menyapu
minyak angin dan mengurut dada Angah, kerana
Angah berasa sakit dada. Angah mengadu, semakin lama dada Angah semakin
sakit. Dr. Shamini datang untuk memeriksa keadaan Angah dan meminta jururawat
menjalankan E.C.G ke atas Angah. Sepanjang
malam Angah tidak dapat tidur lena kerana sakit dada. Pukul 4.00 pagi, setelah doktor
memberikan Angah “pentedin” (ubat tahan sakit), barulah Angah boleh tidur.
Hari
ke-19 : Wad KK6 HKL (1 Mei 2008 : Khamis)
Pagi ini kondisi Angah semakin baik. Darah
yang dikeluarkan dari paru-paru Angah ialah 350 ml. Selepas Umi mengelap badan Angah,
menyapu lotion dan membedakkan Angah, Angah makan ais krim Cornetto yang Umi
beli dari kedai di luar Wad Pediatrik. Hari
ini darah yang keluar dari paru-paru Angah lebih cair daripada semalam. Pukul 4.00 petang, Cik Err dan Ayah Chik
serta anak-anak datang melawat Angah
sambil membawa Dunkin Donut untuk Angah. Kawan Ku dari Raub serta Cikgu Rokiah,
suami dan anaknya (juga kawan Angah), Pakcik Ramli dan Makcik Yan juga datang
melawat Angah. Kami semua gembira melihat Angah sudah boleh makan, dan Angah
makan dengan berselera sekali, maklumlah, sudah lama Angah tidak makan makanan
kegemaran Angah. Alhamdulillah dan
terima kasih, Ya Allah.
Hari
ke-20 : Wad KK6 HKL (2 Mei 2008 : Jumaat)
Hari ini Umi sampai di hospital pada
pukul 2.00 petang. Angah kelihatan lebih sihat. Dr. Rozita memberitahu Umi
bahawa mereka akan “clam” test tiub pada paru-paru Angah dan akan menjalankan
x-ray ke atas Angah pada hari Isnin untuk memantau paru-paru Angah. Jika
“drain” dalam paru-paru Angah benar-benar sudah kering / tiada, barulah mereka mengeluarkan “test tiub” dari
paru-paru Angah. Alhamdulillah, hari ini
bukan lagi darah yang keluar dari paru-paru Angah, cuma cecair kuning yang
jernih. Dr. Rozita menerangkan kepada Umi bahawa mereka akan terus memberikan
Angah antibiotik selama 4 hingga 6
minggu lagi untuk membunuh kuman yang tersembunyi dalam hempedu Angah.
Pagi tadi di sekolah, kumpulan
cikgu-cikgu Cina telah memberikan Umi hadiah berupa barangan makanan untuk
diberikan kepada Angah, seperti milo, biskut, dan buah-buahan. Rupa-rupanya mereka telah berpakat
mengumpulkan duit untuk membeli hadiah tersebut. Umi betul-betul terharu atas
keprihatinan mereka terhadap Angah. Thanks guys. I really appreciate it.
Hari
ke-21 : Wad KK6 HKL (3 Mei 2008 : Sabtu)
Hari ini Atuk menelefon Umi dan bertanya
khabar Angah. Dr Harjeet memberitahu Umi bahawa esok mereka akan “clam” test
tiub pada paru-paru Angah dan menjalankan x-ray ke atas Angah pada hari Isnin. Alhamdulillah,
hari ini tiada langsung “drain” dari paru-paru Angah.
Hari-22
: Wad KK6 HKL (4 Mei 2008 : Ahad)
Seperti yang telah diberitahu oleh
doktor, hari ini mereka “clam” test tiub pada paru-paru Angah. Dr.Izzuddin menanggalkan
O2 yang dberikan kepada Angah. Angah kelihatan
“much-much better”. Semasa Umi datang, Angah
sedang makan nasi lemak yang dibeli oleh Ku pagi tadi. Sungguh berselera Angah makan. Pada waktu petang, Ayah Chik dan Cik Err
serta anak-anak datang melawat Angah.
Mereka membawa buku cerita serta KFC untuk Angah. Pada waktu itu juga Atuk
menelefon Umi dan bertanya khabar Angah.
Hari
ke-23 : Wad KK6 HKL (5 Mei 2008 : Isnin)
Hari ini Danial dan kakak
demam. Pagi tadi pada pukul 4.30 pagi,
Danial bangun dari tidur dan menangis sambil mengadu sakit kepala. Umi berasa
risau dan susah hati. Umi bimbang Danial
juga mengidap demam yang sama dengan Angah.
Ku mengambil cuti untuk menjaga Danial dan Kakak di rumah. Hari ini Umi
pergi ke sekolah sekejap. Pukul 8.30 pagi, Umi terus ke hospital untuk melihat
Angah. Selepas mengelap badan Angah, doktor
menjalankan x-ray ke atas Angah. Keputusan x-ray ok walaupun tidak 100%. Doktor membuat keputusan untuk menanggalkan
test tiub pada paru-paru Angah kerana bimbang berlaku jangkitan lain sekiranya
paru-paru Angah terlalu lama dipasang test tiub, tambahan pula sudah 2 hari tidak
ada “drain” dari paru-paru Angah. Angah mengadu sakit belakang dan bahu kiri pula
sambil menangis. Ya Allah, macam-macam kesakitan yang Angah rasa dan
tanggung. Sabarlah Angah. Umi mengurut belakang dan bahu Angah. Jururawat memberikan Angah PCM untuk
mengurangkan rasa sakit belakang dan bahu Angah. Setelah keadaan Angah agak ok,
Umi menyuapkan nasi kepada Angah.
Pada pukul 1.30 petang, Dr. Rozita dan Dr.
Shamini menanggalkan test tiub dari paru-paru Angah dalam bilik rawatan. Malam
ini Ku tidak dapat menemani Angah kerana Umi dan Ku hendak membawa Danial dan
Kakak ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan darah. Pada pukul 6.30 petang, Umi dan Ku membawa Danial dan Kakak ke Hospital Ampang
untuk pemeriksaan darah di Unit Kecemasan. Di kaunter Unit Kecemasan, Umi menceritakan
“history” Angah agar pihak hospital cepat-cepat memeriksa Danial dan
Kakak. Hasil ujian darah, Kakak demam
biasa manakala Danial terpaksa ditahan
di wad kerana platelet Danial agak rendah. Danial masuk wad kerana ada “history
family”, kata doktor yang memeriksa Danial. Semasa Danial dibawa ke wad,
beberapa orang jururawat menegur
Danial. Rupa-rupanya mereka menyangka
Danial ialah Angah. Mereka masih ingat
peristiwa Angah melompat dari katil sewaktu malam kedua Angah dirawat di situ.
Mereka bertanya khabar Angah.
Alhamdulillah, Angah semakin sihat walaupun masih ditahan di wad.
Pukul 10.30 malam, Danial di masukkan ke wad, bilik seorang. Jururawat terus memasang drip kepada
Danial. Umi dan Ku berbincang dengan
doktor dan meminta kebenaran untuk memindahkan Danial ke Wad Pediatrik HKL sama
dengan wad Angah, tetapi doktor tidak meluluskan permintaan Umi dan Ku kerana mereka belum mendiagnos dan membuat prosedur
terhadap Danial. Jika apa-apa berlaku kepada Danial nanti, mereka akan didakwa sebagai tidak
bertanggungjawab kerana lepas tangan dan membiarkan pesakit mereka ke hospital lain. Umi dan Ku terpaksa akur dengan keputusan
doktor, kerana memang benarlah penjelasan doktor itu. Setelah lewat malam, Umi
dan Ku meninggalkan Danial seorang diri di wad tanpa ditemani. Setelah Umi
memeluk, mencium dan menenangkan Danial, Umi, Ku, Kakak dan Baby beredar
pulang. Semasa Umi hendak pulang,
jururawat memberikan Danial bantuan oksigen kerana mereka mendapati Danial agak
sukar bernafas.
6
Mei 2008 : Selasa
Angah
: Hari ke-24 : Wad KK6 HKL
Danial
: Hari Pertama : Wad Pediatrik Hospital Ampang
Ku menelefon Umi dan memberitahu Umi
bahawa hari ini Angah dipindahkan ke katil belakang, jauh dari kuanter
jururawat kerana keadaan Angah semakin
sihat. Hari ini Umi tidak boleh menemani Angah di wad kerana Umi mahu menemani
Danial. Hanya Ku menemani Angah hari ini. Dari sekolah, Umi terus ke hospital Ampang
untuk menemani Danial. Pukul 6.15 petang, Umi pulang ke rumah sekejap untuk
mengambil Kakak dan Baby, kemudian Umi datang semula untuk menyuap nasi kepada
Danial. Batuk Danial semakin teruk. Oleh
sebab sehari suntuk Umi tidak melihat Angah,
Umi berasa rindu terhadap Angah. Pada waktu malam, giliran Ku menemani
Danial. Umi pulang ke rumah bersama Kakak dan Baby. Oleh sebab Angah sudah semakin sihat, Ku tidak
perlu lagi menemani Angah pada waktu malam.
Dr. Rashidah memberitahu Ku bahawa melalui x-ray, terdapat “infection” (jangkitan) pada paru-paru Danial,
dan sebab itulah batuk Danial agak teruk dan Danial sukar bernafas. Doktor juga
telah menjalankan ujian “blood culture” terhadap Danial, tetapi keputusannya
sama ada Danial dijangkiti kuman kepialu atau tidak, hanya boleh diketahui
dalam masa 3-4 hari.
7
Mei 2008 : Rabu
Angah
: Hari ke-25 : Wad KK6 HKL
Danial
: Hari ke-2 : Hospital Ampang
Pukul 10.00 pagi, Umi minta kebenaran
daripada Pengetua untuk melawat dan menemani Danial di wad. Semasa Umi sampai
di bilik Danial, Umi melihat doktor sedang memberi gas kepada Danial untuk memecahkan kahak dalam
paru-paru Danial. Danial kelihatan lebih sihat hari ini. Batuk Danial juga sudah
berkurang. Pukul 12.30 tengah hari,
selepas menyuapkan nasi kepada Danial, Umi pulang sekejap ke rumah untuk
mengambil Baby dari nursery, kemudian Umi membawa Baby bersama-sama Umi ke HKL
untuk menemani Angah pula hingga waktu malam. Umi tidak membawa Kakak kerana Kakak
bersekolah pada sesi petang. Along akan
menguruskan kakak di rumah. Rupa-rupanya,
pada waktu tengah hari selepas waktu sekolah, kawan-kawan Umi iaitu Cikgu Nurul
Khalbee, Cikgu Hartini, Cikgu Layalina dan Cikgu Hasnani datang melawat Danial
di Hospital Ampang, tetapi pada waktu itu Umi sudah beredar ke HKL untuk
menemani Angah. Walau apapun, terima kasih
Nurul, Tini, Nani dan Kak Ina kerana sudi melawat Danial dan begitu mengambil
berat akan kesusahan yang dialami oleh Umi.
8
Mei 2008 : Khamis)
Angah
: Hari ke-26 : Wad KK6 HKL
Danial
: Hari ke-3 : Hospital Ampang
Hari ini Umi datang menemani Danial pada
pukul 10.00 pagi. Dr. Roshidah
memberitahu Umi tentang keputusan ujian darah
Danial. Rota virus +ve dan Mikroplasma juga +ve. Kepialu dan “blood
culture” pula negatif. Keputusan “stool” belum diperoleh. Walau apapun,
Alhamdulillah. “Drip” Danial dihentikan kerana Danial sudah boleh makan
dan minum dengan baik. Seperti semalam,
setelah menyuapkan nasi kepada Danial, lebih kurang pukul 1.00 petang, Umi
pulang untuk mengambil Baby di nursery, lalu terus ke HKL.
Sebenarnya Umi sangat kepenatan kerana terpaksa
berulang- alik dari Hospital Ampang, kemudian ke HKL dan pulang semula ke rumah
setelah lewat malam untuk beberapa hari.
Walaupun Umi penat, Umi redha demi anak-anak Umi yang Umi kasihi sepenuh
hati. Umi sanggup melakukan lebih
daripada itu demi anak-anak Umi. Itulah pengorbanan seorang Umi. Umi sebenarnya sedih kerana perhatian
terhadap Along, Kakak dan Baby seakan terabai, tetapi Umi bersyukur kerana Along, Kakak dan Baby mampu berdikari dan
memahami situasi Umi. Baby yang baru berumur 4 tahun tidak merengek dan tidak
menangis walaupun Umi pernah meninggalkan Baby lama di nursery dan hanya
mengambil Baby setelah hari malam selama beberapa hari. Kakak juga pandai menguruskan diri sendiri
untuk pergi ke sekolah walaupun baru darjah satu.
Paling membanggakan, Along begitu bertanggungjawab menguruskan Kakak,
menghantar dan mengambil Kakak dari sekolah dan menemani Kakak pada waktu
malam, walaupun Along hanya berumur 14
tahun. Terima kasih Ya Allah, kerana
mengurniaiku anak-anak yang baik dan memahami situasiku. Walaupun begitu, Umi tetap sedih kerana tidak
sempat menguruskan Kakak. Biasanya,
selepas memandikan Kakak, Umi akan
mengelap, meletakkan minyak zaitun, menyisir dan mengikat atau mendandan rambut
Kakak sebelum Kakak ke sekolah setiap hari, tetapi sejak Angah sakit, rambut Kakak
yang panjang tidak lagi terurus. Nenek
pernah mencadangkan kepada Umi agar memotong sahaja rambut Kakak yang panjang
kerana rambut Kakak tidak lagi terurus dan sangat kusut. Nenek kasihan melihat Kakak yang terkial-kial
mengelap dan menyisir rambutnya sendiri. Semasa Nenek ada, Neneklah yang
menguruskan kakak, tetapi setelah Nenek pulang, kakak terpaksa menguruskan
dirinya sendiri. Ku tidak pernah menguruskan rambut kakak dengan alasan tidak
pandai. Umi tidak sanggup memotong rambut Kakak kerana sayang akan rambut Kakak yang panjang dan cantik.
Kakak, sabar ya sayang, nanti setelah semuanya kembali normal, Umi akan uruskan
Kakak seperti dulu.
9
Mei 2008 : Jumaat
Angah
: Hari ke-27 : Wad KK6 HKL
Danial
: Hari ke-4 : Hospital Ampang
Seperti semalam juga, Umi mmenemani
Danial dari pagi. Umi menelefon Angah dan bertanya sama ada Angah sudah boleh “discharge”
atau tidak hari ini. Angah menjelaskan
bahawa doktor memberitahu Angah bahawa Angah belum boleh “discharge” hari ini kerana
bacaan BP Angah masih tinggi. Setelah
menyuapkan nasi kepada Danial, rutin Umi ialah mengambil Baby di nursery
kemudian terus ke HKL untuk menemani Angah pula. Umi membawa nasi tomata untuk Angah. Umi dan
Baby menemani Angah hingga waktu Maghrib.
Selepas solat Maghrib, Umi dan Baby pulang ke rumah.
10
Mei 2008 : Jumaat
Angah
: Hari ke-28 : Wad KK6 HKL
Danial
: Hari ke-5 : Hospital Ampang
Hari ini Umi datang menemani Angah
pukul 9.30 pagi. Umi akan menemani Danial sebelah petang pula, bertukar masa
dengan Angah. Sebenarnya Umi datang pada waktu pagi kerana Umi berharap Angah
sudah boleh “discharge” hari ini, jadi Umi bolehlah membawa Angah pulang
bersama-sama Umi, seterusnya Umi dan
Angah akan pergi ke hospital Ampang pula untuk menemani Danial, tetapi harapan
Umi berkecai. Angah masih tidak boleh
“discharge” kerana bacaan BP Angah naik
semula. Doktor menjelaskan kepada Umi bahawa mereka mahu memantau BP Angah dan memastikan BP Angah benar-benar ok
sebelum Angah dibenarkan pulang. Umi
akur dengan keputusan doktor demi kesihatan dan kebaikan Angah juga. Angah
merungut hendak pulang ke rumah kerana Angah berasa sangat bosan berada di wad
terlalu lama. Sabarlah Angah. Umi membeli nasi lemak, donat dan teh tarik untuk
Angah.
Selepas solat Zohor, Umi beredar dan
terus ke Hosptial Ampang pula, tetapi sebelum itu, Umi singgah di nursery untuk
mengambil Baby. Umi dan Baby menemani
Danial hingga waktu Maghrib sehingga Ku datang untuk menemani Danial pada waktu
malam.
11
Mei 2008 : Sabtu
Angah
: Hari ke-29 : Wad KK6 HKL
Danial
: Hari ke-6 : Hospital Ampang
Pagi ke HKL, tengah hari ke hospital Ampang.
12
Mei 2008 : Ahad
Angah
: Hari ke-30 : Wad KK6 HKL
Danial
: Hari ke-7 : Hospital Ampang
Pagi ke HKL, tengah hari ke hospital
Ampang.
13
Mei 2008 : Isnin
Setelah genap sebulan Angah berada
di wad, dan genap seminggu juga Danial berada
di wad, akhirnya hari ini Angah dan Danial sama-sama “discharge”.
Alhamdulillah. Walau bagaimanapun, Umi dan Ku harus membawa Angah ke HKL untuk
membuat “follow up check up” bagi memastikan
Angah betul-betul sihat dan bebas
daripada semua kuman penyakit. Sekembalinya Angah ke rumah iaitu dalam masa dua
minggu, kuku tangan Angah tanggal dan rambut Angah gugur. Semakin lama semakin banyak rambut Angah
gugur sehingga menampakkan kulit kepala Angah.
Umi dan Ku berasa sangat risau melihat keadaan Angah. Umi dan Ku membawa Angah ke HKL untuk membuat
pemeriksaaan. Umi bertanya kepada doktor
sebab kuku Angah tanggal dan rambut Angah gugur. Doktor menjelaskan bahawa
semua itu kesan daripada “dose” ubat yang terlalu kuat yang diberikan kepada
Angah semasa Angah sakit dahulu. Semua itu merupakan kesan sementara jadi
doktor meminta Umi agar tidak bimbang kerana rambut Angah akan tumbuh semula,
begitu juga dengan kuku tangan Angah. Apabila Umi mendengar penjelasan doktor,
Umi berasa sangat lega. Memang benar
kata doktor, tidak lama kemudian, kuku baru Angah dan rambut Angah tumbuh
semula. Rambut Angah yang baru tumbuh lebih halus, ikal dan lebih lebat
daripada rambut asal. Syukur
Alhamdulillah. Semuanya telah kembali
kepada keadaan asal. Terima kasih Ya
Allah.
Sepanjang Angah sakit, hampir
setiap hari Umi mengirim mesej tentang keadaan/kondisi Angah kepada Atuk,
Nenek, adik-beradik, dan kawan-kawan baik Umi. Mereka juga mengirim mesej
kepada Umi sambil memberi semangat kepada Umi dan sentiasa mendoakan kesihatan
Angah. Terima kasih semuanya. Tanpa kalian, Umi pasti rebah dan patah
semangat. Umi tidak kuat untuk menghadapi masalah itu seorang diri. Hanya Allah
yang mampu membalas kebaikan kalian terhadap Umi dan Angah.
Mesej daripada Ayah Chik.
Kita adik-beradik
kenalah sama-sama susah dan senang.
Kalau orang lain kita boleh bersimpati, inikan pula darah daging sendiri. Cuma doa dan kata-kata semangat yang mampu Abang
Chik beri. Ini masa Kak Nik, tak tahu
esok lusa terkena kepada Abang Chik
pula...naiyazubillah..harap-harap kita semua sihat dan dilindungi
oleh-Nya sentiasa. Insya-Allah.
Sabarlah Kak
Nik, ini dugaan daripada Allah. Kita
kena ingat bahawa setiap kesakitan dan musibah itu adalah untuk menghapuskan
dosa-dosa kecil kita dan menginsafi segala kesilapan kita dan menunjukkan Allah
masih sayang dan ingat kepada kita hamba-Nya, agar kita selalu sabar dan ingat
kepada-Nya. Hatta sahabat pada zaman
Rasulullah rungsing jika lama tidak sakit dan tidak mendapat musibah kerana
mereka takut Allah telah melupakan mereka.
Wallahhuallam.
Alhamdulillah,
marilah sama-sama kita terus berdoa kepada Allah agar Angah benar-benar sembuh
dan dapat keluar dari hospital dengan segera.
Sama-samalah kita sujud syukur dan solat sunat taubat kepada-Nya. Insya-Allah.
Insya-Allah Angah
akan selamat dan cepat sembuh. Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, Ya Malik, Ya Quddus,
selamatkan dan sembuhkanlah anak saudaraku Engku Ariff Iskandar dengan
segera. Kau ampunilah dosa-dosa kami dan
Kau berilah kekuatan kepadanya serta kesabaran kepada kami hamba-Mu untuk
menempuh dugaan-Mu ini, Ya Allah Ya Jabbar, Ya Qahhar, Ya Aziz, Ya Rabbalalamin. Hanya kepada-Mu Ya Allah kami memohon dan
berharap dan hanya Engkaulah Maha berkuasa.
Amin Ya Rabbalalamin.
Mesej Daripada Che Lah
Sabarlah kak
Nik. Insya-Allah bila dah rujuk kepada
pakar-pakar ni, ada penawar terbaik. Mereka akan buat yang terbaik dan kita
pakat-pakat berdoa. Tenangkanlah hati Kak
Nik untuk memberi kekuatan kepada Angah untuk melawan penyakitnya.
Tak apalah Kak Nik,
bila senang kita bersama, begitu juga masa susah, kita akan sama-sama
merasainya dengan bermohon agar Angah segera sembuh. Sekarang ni Kak Nik diuji. Esok lusa entah
siapa pula orang yang Allah nak uji, tapi
Allah akan uji orang yang Allah tahu kesabarannya dan sudah tentu Allah
sayangkan kita. Mungkin ini hikmah dan
mungkin juga kifarah atas dosa-dosa kita.
Sama-sama juga kita pohon keampunan atas dosa-dosa kita. Percayalah, Allah
maha adil dan sayangkan kita.
Kesian kat Angah, tapi mungkin ada hikmah apa yang berlaku ini. Ini semua ujian Allah untuk kita semua, agar
lebih dekat dengan-Nya dengan tidak putus-putus berdoa. Ya Allah, Engkau pendekkanlah penderitaan Angah
semoga dia cepat sembuh seperti sediakala. Dengan kekuasaan-Mu dan
kelebihan-kelebihan kalimah syahadah, Engkau pertemukanlah penawar untuk
mengubati penyakit Angah.
Mesej Daripada Umi Long
Apa yang mampu
kita lakukan ialah berdoa kepada Allah semoga kita dan Angah diberi kekuatan
untuk menghadapi segala dugaan ini dan Angah akan pulih seperti biasa. Amin.
Tidak kenal
sorang sahabat jika tiada masalah. Tidak
kenal orang yang berani jika tiada perjuangan.
Tidak kenal orang cekal jika tiada kesusahan. Tidak kenal orang penyayang jika tiada
pengorbanan.
Mesej Daripada Che Su
Kami semua doakan
Angah selamat, Insyaalah. Kak Nik bersabarlah, Insya-Allah segalanya
akan kembali seperti biasa, doa kami sentiasa mengiringi Angah.
Mesej Daripada Che Err
Kak Kik, tadi Ayah
Chik foward mesej Kak Nik. Sabar
banyak-banyak ya Kak Nik. Sebenarnya Allah
menjanjikan ganjaan pahala yang amat besar bagi orang yang diberi ujian dan
kesakitan. Kak Nik tergolong dalam
umatnya yang sedang diberi ujian yang amat besar dan ganjaran pahala yang
menanti. Yang mampu kita lakukan ialah
berdoa dan solat hajat, dipendekkan masa
ujian itu dan dikurniakan kesabaran yang tinggi. Insya-Allah, Angah akan cepat sembuh. Insya-Allah kami ke sana
petang nanti ramai-ramai. Maaf Kak Nik, Err
tidak dapat ikut sama ke sana pada hari bekerja.
Mesej Daripada Untie Loly
Berkali-kali
Loly baca sms Zu dan Loly akan lock mesej itu.
Jaga anak baik-baik. Doa dan
terus doa. Bagitahu Loly perkembangan
terkini. Insya-Allah Angah akan cepat sembuh.
Zu kena kuat.
Zu kena nampak yang Zu tabah dan kuat, baru dia pun kuat. Doa banyak-banyak. Allah maha pengasih. Yakinlah Allah akan membantu kita.
Kalau ada
apa-apa berita, tolong bagitahu Loly.
Loly pun tertunggu-tungu perkembangan Angah. Rasa nak pergi tengok tapi Loly
pun masih dalam pantang 37 hari.
Sekarang ni unpaid leave, jadi tak boleh cuti sampai dua bulan. Cukup 44 hari sudah mula sekolah.
Tak apalah Loly.
Loly ambil berat dengan bertanya khabar pun dah lebih daripada cukup. Loly pun tak sihat. Walau apapun, terima kasih
banyak-banyak.
Anak Zu macam
anak Loly jugak. Kalau kawan susah hati,
kita sama –sama susah, lagipun sebagai ibu, Loly dapat bayangkan perasaan Zu.
Tiada ada yang
dapat Loly tolong kecuali doa. Semuanya
sudah selamat. Alhamdulillah.
Mesej Daripada Cikgu Normala
Syukur. Menitis air mata Kak Mala mendengar berita
gembira ini. Semoga Angah dapat menjalani
kehidupan biasa secepat mungkin. Zu
berjaya menghadapi ujian Allah dengan sabar. Alhamdulillah.
Mesej Daripada Ayah Tar
Syukur kerana
doktor dah tahu punca. Zu kena banyak
bersabar. Kepialu tidak bahaya, cuma
kesannya lama. Abang Tar dan keluarga
doakan agar Angah cepat sembuh dan boleh bersekolah semula. Zu dan Ziq kena jaga kesihatan sendiri
juga. Zu berdoalah banyak-banyak. Doa ibu sangat mustajab. Terima kasih.
Syukurlah. Abang Tar dan keluarga berasa gembira. Kak Lah kirim salam. Angah kena banyak berehat dan makan ubat.