TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Wednesday, May 29, 2013

Pekerjaan Suatu Ibadah


        Bismillah...

Tengah hari itu, sewaktu saya sedang menunggu untuk masuk ke kelas kerana seorang rakan guru masih berada di dalam kelas yang hendak saya masuk itu, saya terlihat beberapa orang pelajar kelas sebelah sedang melepak di beranda kelas. 
         
           "Eh, kenapa tak masuk kelas ni? 
          "Cikgu tak ada."  Jawab dua orang pelajar serentak.
           "Cikgu tak ada?  Waktu apa sekarang?"
           "Waktu XXX"
          "Kalau cikgu tak masuk kelas, pergilah cari cikgu tu, mungkin dia terlupa kot."
            "Bukan terlupalah cikgu.  Memang dia tak nak masuk kelas kami."
            "Awak ni biar betul."
            "Betullah cikgu.  Sejak dulu tiap-tiap hari kami akan pergi jemput dia untuk masuk ke kelas.  Dulu dia masuk juga tapi sekarang dia tak nak masuk langsung kalau ada saya dan A, malah dia marah kami sebab jemput dia. Kami tak kisah pergi jemput dia kalau dia nak masuk kelas, tetapi sekarang ni kami tak sanggup lagi kena marah sebab pergi jemput dia."
           Saya hanya terdiam. Tidak tahu untuk berkata apa-apa.
           "Cikgu, dia marah kami sebab pergi jemput dia dan kata, kami tak ada hak nak suruh dia masuk kelas."
           "Ya Allah, betulke?"
           " Betul cikgu.  Habis tu apa hak dia untuk makan daripada duit gaji dia tapi tak masuk kelas?  Cikgu, setiap saat yang dia tak masuk kelas, saya tak halalkan.  Jadi gaji yang dia dapat tu pun saya tak halalkan." Berkobar-kobar pelajar perempuan itu meluahkan rasa geramnya.
Saya hanya mampu beristighfar.  
            "Kalau macam tu awak semua belajarlah sendiri atau masuk kelas cikgu B."
          "Susah juga cikgu sebab cikgu B dah ajar banyak.  Kami ketinggalan jadi kami belajar sendirilah dalam group study."
               "Awak pergilah tuisyen."
               "Yalah, saya pergi tuisyen tapi tuisyen banyak mahallah cikgu."
               "Jadi, apa tindakan awak semua?"
             "Cikgu B suruh kami tulis surat kepada pengetua tapi bila kami bincang satu kelas, kami buat keputusan tak mahu tulis surat kepada pengetua sebab kami tak mahu perkara itu mengeruhkan hubungan kami dengan cikgu lagi.  Nanti dia akan lebih benci kami.  Tak apalah cikgu, biar sahajalah."

      Petikan dialog di atas bukanlah suatu petikan daripada cerpen rekaan saya tetapi dialog dalam satu adegan yang benar-benar berlaku.  Saya sebenarnya amat kagum akan sikap dan kematangan pelajar-pelajar tersebut, tetapi dalam masa yang sama, saya berasa amat kasihan kepada mereka, namun apa daya saya untuk membantu mereka.  Siapalah saya untuk menegur atau menasihati guru tersebut.  Perkara ini sebenarnya sudah berlaku sejak lama dahulu.  Setiap tahun, pelajar-pelajar yang diajar oleh beliau menerima nasib yang sama. Pelajar-pelajar tersebut baru sahaja menduduki peperiksaan besar baru-baru ini. Semoga Allah memberikan keputusan yang cemerlang kepada mereka.

     Kali ini saya ingin berbicara tentang isu pekerjaan. Setelah tamat belajar dari institusi pengajian tinggi awam atau swasta, pasti setiap orang daripada kita mahu mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan ijazah yang disandang, namun tidak semua yang berjaya memperoleh pekerjaan yang setaraf dengan ijazah yang dipegang. Bersyukurlah kita andai mempunyai pekerjaan yang halal dan menepati ciri-ciri pekerjaan yang diidam-idamkan. Bayangkan mereka yang tidak mempunyai pekerjaan atau penganggur, sudah pasti kehidupan mereka sangat tersepit, lebih-lebih lagi apabila hidup di kota besar. 

      Saya percaya, ramai antara kita menganggap pekerjaan merupakan sumber untuk memperoleh pendapatan semata-mata tetapi tidak ramai yang tahu bahawa pekerjaan itu juga merupakan suatu ibadah.  Berdasarkan kejahilan inilah, ramai antara kita melaksanakan perkerjaan secara samba lewa sahaja. Ramai yang datang lewat ke tempat kerja tetapi pulang awal sebelum masanya atau ponteng kerja. tiada integriti, tidak jujur, tidak bertanggungjawab, tidak amanah, sangat berkira semasa melakukan pekerjaan dan sebagainya.

      
       Saya suka mengambil contoh yang dekat dengan diri saya, iaitu pekerjaan sebagai guru.  Daripada pemerhatian saya, ada segelintir guru yang masuk lewat ke kelas, ada yang masuk ke kelas tetapi tidak mengajar, ada juga yang keluar awal dari kelas dan ada juga yang tidak mahu masuk ke kelas.  Lebih teruk, kalau dijemput oleh pelajar, pelajar pula dimarahi.  Apa nak jadi dengan guru-guru ini? Kasihan kepada pelajar.  Tidakkah mereka tahu pendapatan yang diterima daripada perkerjaan mereka itu haram? Kenapa haram? Kerana mereka menerima gaji untuk mengajar tetapi mereka tidak melaksanakan tanggungjawab itu dengan sempurna.   Entahlah!   Walaupun hanya segelintir guru bersikap demikian, tetapi sikap begini akan merosakkan nama institusi perguruan secara amnya. Lebih menyedihkan, ada antara mereka ini merupakan orang-orang yang dalam ilmu agamanya.  Apabila saya bertanya kepada seorang rakan, beliau menjawab, itulah ujian daripada Allah untuk orang yang mempunyai pengetahuan agama yang tinggi seperti mereka. Mungkin benar juga kata rakan saya itu. Semoga Allah tidak memberikan ujian seperti itu kepada saya.

     Ada juga segelintir guru yang sangat berkira apabila melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan.  Daripada rungutan yang saya dengar dan saya baca melalui status beberapa orang guru di facebook, ternyata mereka tidak rela menggunakan internet dari data sendiri, laptop atau sebagainya kepunyaan peribadi apabila melakukan kerja sekolah.  Ingatlah wahai guru, apa-apa sahaja tanggungjawab yang kita laksanakan dengan ikhlas dan tidak berkira dari segi tenaga dan wang ringgit, maka Allah pasti akan membalasnya dengan ganjaran pahala atau sebagainya kepada kita.  Kalau tidak pun kepada kita, pasti Allah akan membalas kebaikan dan keihklasan kita kepada anak-anak atau ahli keluarga kita.  Percayalah!

       Akhir kalam, apa-apa pun pekerjaan kita, lakukanlah dengan ikhlas, penuh tanggungjawab, amanah, penuh integriti dan sebagainya kerana pekerjaan kita itu bukan sekadar suatu sumber pendapatan kepada kita, malah ia sebahagian daripada ibadah kita.  Wallahhua'lam.



    



Pegawai vs Guru....

Assalamualaikum....

             Pada kali ini, saya ingin berkongsi sebuah kisah seorang rakan guru di sekolah saya.  Cerita bermula apabila pada suatu hari, saya makan  di kantin bersama-samanya semeja.  Kami berbual-bual tentang kertas soalan peperiksaan dan sebagainya.  Tiba-tiba beliau bercerita tentang dirinya semasa beliau mula 'posting' sebagai guru. Sebelum menjadi guru, beliau pernah bekerja sebagai pegawai PTD secara kontrak selama beberapa tahun. Beliau benar-benar teruja  untuk menjadi seorang guru kerana menurut beliau, kerjaya sebagai guru sangat mudah, jam 1.00 tengah hari sudah boleh pulang ke rumah, tidak perlu 'out station' dan sebagainya.  Setelah beliau berjaya mengambil diploma pendidikan, beliau mengirim sms kepada rakan beliau yang terlebih dahulu menjadi guru. Rakan beliau membalas sms dengan mengucapkan tahniah dan mengucapkan 'selamat menjadi kuli batak'.  Pada mulanya beliau tidak memahami maksud sms rakan beliau itu dan mengabaikan sahaja sms tersebut.

                  Setahun berlalu.  Setelah beliau menamatkan  diploma pendidikan, beliau telah 'posting' ke sekolah SMK XXX.... Tiga bulan pertama bertugas sebagai guru, beliau berasa sangat menyesal kerana memilih profesion tersebut. Beliau sangat menderita, tidak bersemangat dan  berasa hendak menangis sentiasa.  Kenapa?  Rupa-rupanya beliau tidak dapat menerima hakikat bahawa tugas seorang guru sangatlah berat berbanding tugas seorang pegawai di pejabat walhal pangkat mereka sama.  Sebagai guru, beliau terpaksa melakukan pelbagai tugas lain selain mengajar. Tiada pembantu!  Contohnya sebagai guru mata pelajaran, beliau harus mengajar, menanda latihan pelajar, menyedikan soalan peperiksaan, menaip soalan, memperbanyak kertas soalan, mengetip kertas soalan, mengasingkannya untuk semua  kelas, menandanya dan akhir sekali 'key-in' markah. Aduhai, itu baru tanggungjawab guru mata pelajaran, belum lagi guru tingkatan, guru rumah sukan, guru kelab atau persatuan atau unit beruniform dan segala macam tugas sampingan lagi yang harus ditanggung dan digalas. Tambahan lagi, hampir setiap hari Sabtu guru wajib datang ke sekolah untuk pelbagai aktiviti sepert LADAP, taklimat, mesyuarat, Hari Sukan, Hari Merentas Desa, Pertandingan Kawad Kaki, Hari Anugerah Kecemerlangan Akademik, Hari Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum, Majlis Graduasi, dan sebagainya. Cuti hujung tahun pula kena mengawas peperiksaan. Tidak cukup dengan itu, guru jugalah yang harus melatih pelajar serta mengiringi pelajar ke mana-mana pertandingan yang dianjurkan di peringkat daerah, negeri atau kebangsaan. Kalau mengiringi pelajar, keselamatan pelajar merupakan tanggungjawab guru. Kalau pelajar cedera, guru juga yang dipersoalkan. Kalau tiada penglibatan pelajar, guru juga disalahkan kerana tidak kreatif. "Claim minyak kereta?"  Hampir tidak pernah.  

          Beliau bercerita lagi bahawa semasa bekerja sebagai pegawai PTD, kerja beliau sangat senang.  Duduk di dalam bilik berhawa dingin. Beliau hanya perlu menghadiri mesyuarat, berjumpa 'klien' dan lain-lain, namun semua kerja-kerja pengkeranian dilakukan oleh pembantu beliau. Jika 'out-station', tempat penginapan sudah pastinya di hotel. Jika mahu menulis surat, sekadar menulis 'draf' kemudian serahkan sahaja kepada kerani atau pembantu beliau, tetapi sebagai guru, beliau harus melakukan segala-galanya sendiri! Kini barulah beliau mengerti betapa beratnya tanggungjawab seorang guru. Kerja sekolah tidak pernah habis.  Pulang pukul 1.00 tengah hari?  Hampir tidak pernah. Tanggungjawab juga sangat besar.  Mendidik manusia bukan kerja main-main.  Jika pelajar gagal, guru dipersoalkan.  Apa yang guru buat? Guru tidak mengajarkah? Jika murid bermasalah atau tidak berdisiplin, guru juga yang dipersoalkan.  Guru juga selalu menjadi mangsa serangan ibu bapa.  Pelajar buat salah, guru mengenakan hukuman. Pelajar pulang terus mengadu kepada ibu bapa, esoknya ibu bapa datang menyerang.  Kata rakan saya lagi, kalau tidak tahan sabar dan tidak tabah, boleh gila jadinya.  Memang benar, mengikut perangkaan yang pernah dinyatakan oleh seorang pakar motivasi, iaitu Datuk Dr. Fazilah Kamsah bahawa peratus pesakit jiwa dari kalangan guru adalah yang paling tinggi berbanding  profesion lain. Kini barulah rakan saya itu memahami sms rakannya dahulu iaitu 'selamat menjadi kuli batak'.  Walau bagaimanapun, seiring dengan peredaran masa, rakan saya itu sudah semakin terbiasa dengan tanggungjawab seorang guru.  Kini beliau redha dan ikhlas akan tanggungjawab yang digalas.  

           Saya tersenyum mendengar ceritanya.  Jadi kepada sesiapa di luar sana yang mengatakan pekerjaan sebagai guru sangat mudah, guru cuti banyak, guru tak pandai ajar, guru itu dan guru ini, silalah menjadi guru terlebih dahulu sebelum memberi penilaian dangkal anda. Kepada rakan-rakan guru, syabas dan tahniah kepada anda kerana anda telah memilih profesion yang sangat mulia. Terima kasih juga saya ucapkan kepada rakan saya yang bercerita. Semoga anda terus tabah menjadi guru dan tahniah juga kerana memilih kerjaya sebagai guru. Hanya mereka yang tabah sahaja yang layak menjadi guru.

Tuesday, May 28, 2013

Warkah Seorang Ummi

Buat putera dan puteriku, Along, Angah, Abang Chik, Kakak dan Baby...


           Sebagai wanita yang bergelar ibu, sesungguhnya kelahiran kalian berlima sangat Ummi syukuri.  Kalianlah permata hati Umi dan Ku.  Kalian  berlima merupakan harta paling berharga yang pernah kami miliki di dunia ini. Umi mengasihi dan menyayangi kalian berlima tanpa syarat.  Umi rela berkorban harta dan nyawa demi kalian berlima.  Umi dan Ku selalu berusaha mendidik kalian agar kalian menjadi anak-anak yang cemerlang di dunia dan di akhirat.  Umi selalu berdoa kepada Allah agar kalian berjaya dalam hidup dan berbahagia  di dunia dan di akhirat, bersatu hati dan menjadi anak-anak yang soleh dan solehah, beriman, berilmu, beramal dan berakhlak mulia.  Umi berusaha mendidik kalian dengan pendidikan dunia dan akhirat.  Umi mahu kalian menjadi anak-anak yang soleh dan solehah yang akan membawa kami ke syurga.  

Anak-anakku,
        Umi sedar, ibumu ini bukanlah ibu yang sempurna di mata kalian, namun Umi berusaha untuk menjadi ibu yang terbaik kepada kalian.  Maafkan Umi jika cara Umi selama ini tidak selari dengan jiwa muda kalian menyebabkan hati kalian terguris dan mengundang amarah kalian, namun mengertilah, segala-segala yang Umi lakukan adalah untuk membentuk kalian berlima menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.  Walaupun Umi selalu memarahi kalian, itu tidak bermakna Umi membenci kalian.  Marah Umi kerana sayang seorang ibu terhadap anak-anaknya.  

Anak-anakku,
        Umi dan Ku tidak mampu memberikan kemewahan kepada kalian.  Selain tidak mampu, kami juga tidak mahu membiasakan kalian dengan kemewahan. Hanya ilmu yang mampu Umi dan Ku berikan kepada kalian agar kalian bisa menjadi insan cemerlang kelak.  Tiada apa yang lebih membahagiakan kami selain kebahagian kalian. Hingga saat ini, Umi bersyukur kepada Allah kerana mengurniai Umi anak-anak yang baik seperti kalian.  Semoga kalian menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Amin...

Anak-anakku, Umi sayang kamu....

Friday, May 24, 2013

Guru Malaysia, 1Aspirasi, 1Agenda....




Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.....


        16 Mei, tarikh Sambutan Hari Guru se-Malaysia...Selamat Hari Guru saya ucapkan kepada semua cikgu di seluruh dunia.  Walaupun sambutan Hari Guru sudah 8 hari berlalu, saya berasa tidaklah terlalu lewat untuk saya menulis tentang Hari Guru.  Setiap tahun, Hari Guru disambut sederhana namun meriah oleh warga SMK Taman Tasik.  Sebenarnya hanya pada hari tersebut baru saya mengetahui bahawa  Hari Guru Sedunia disambut pada 5 Oktober setiap tahun, namun Hari Guru disambut pada tarikh berbeza bagi setiap negara.  Di Malaysia, Hari Guru disambut pada 16 Mei setiap tahun sempena pengazetan Penyata Razak (kredit to Rubendran a/l Arumugan).

               Sesungguhnya pekerjaan sebagai guru sangatlah mulia, tidak kiralah guru sekolah tadika, guru sekolah rendah, guru sekolah menengah, pensyarah di kolej atau universiti, guru mengaji al-Quran, ustaz, ustazah atau sesiapa sahaja yang pernah menyampaikan ilmu kepada orang lain.  Ibu bapa merupakan guru pertama bagi setiap insan yang bergelar anak kerana sebaik sahaja seorang anak itu dilahirkan, ibu bapanya sentiasa menyampaikan ilmu dan mendidik anaknya secara tidak formal tanpa henti.  Jadi jangan lupa untuk mengucapkan selamat hari guru dan ucapan terima kasih kepada kedua ibu bapa kita selain guru-guru yang pernah memberi ilmu dan mendidik kita secara formal di sekolah.

              Pada saya, jika sesiapa mahu kaya di dunia, jadilah seorang usahawan yang mampu menjana pendapatan berjuta ringgit setahun, sebaliknya jika sesiapa mahu kaya di akhirat dengan saham-saham berjuta, jadilah seorang guru asal sahaja anda ikhlas dan redha.  Setiap perkataan yang kita ajar yang mampu memberikan kebaikan kepada orang lain, Allah akan balas dengan pahala yang sangat besar.

                  "Apabila seseorang itu meninggal dunia, akan putuslah pahala amalannya kecuali 3 perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya" (Riwayat Muslim).  "Bahawasanya Allah swt, malaikat-malaikat, isi langit dan buminya, sehinggalah semut di dalam lubang dan ikan di dalam laut, semuanya berdoa untuk orang yang mengajarkan manusia" (Riwayat al-Tarmidzi).  Begitulah tingginya darjat seorang guru di sisi Allah dan Islam.     Jadi berbahagialah mereka yang bergelar guru.

              Kepada mereka yang bergelar guru, ajari dan didiklah anak-anak yang dititipkan kepada kita dengan penuh amanah.  Jangan sesekali menganggap pelajar-pelajar kita sebagai beban yang tidak terpikul.  Didiklah mereka agar menjadi manusia cemerlang di dunia dan di akhirat.  Kalau pun mereka tidak mampu tampil cemerlang dalam bidang akademik, pastikan mereka mampu tampil cemerlang dari segi sahsiah.  Mereka yang berjaya kita bentuk dari segi sahsiah akan lebih mengagumi kita, berterima kasih dan  lebih mengingati kita berbanding mereka yang berjaya kita bentuk dari segi akademik sahaja.  Percayalah...

              Kepada mereka yang bergelar anak didik atau pelajar, ketahuilah, sesungguhnya kami ikhlas mengajar dan mendidik kamu semua.  Harapan kami hanya satu, iaitu mahu melihat kamu semua cemerlang di dunia dan di akhirat.    Andai cara dan pendekatan kami  tidak selari dengan jiwa mudamu, maafkan kami.  Ketegasan kami bukan untuk merosakkan, sebaliknya membina dan membentuk dirimu agar menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara pada masa hadapan.  

               Berbalik kepada tema Hari Guru pada tahun ini iaitu Guru Malaysia, 1Aspirasi, 1Agenda bermaksud semua guru di Malaysia mempunyai matlamat yang sama yang diperjuangkan menggunakan tatacara atau strategi yang sama yang memperlihatkan kesepaduan pemikiran dan hati para pendidik.  Matlamat guru Malaysia adalah untuk melahirkan generasi unggul yang cemerlang, gemilang dan terbilang menggunakan pendekatan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.  Jadi kita sebagai guru Malaysia harus memegang amanah yang terkandung dalam FPK bagi melahirkan generasi yang diingini.  Semoga cita-cita dan hasrat   tersebut mampu kita realisasikan, insya-Allah.

             Akhir kalam, Selamat Hari Guru dan Terima Kasih Cikgu.

Wednesday, May 8, 2013

Cukup-Cukup Sudah....


Assalamualaikum.....


            Masih lagi tentang keputusan pilihan raya ke-13.  Saya sebenarnya sudah tidak larat hendak membaca atau terbaca komen-komen yang bersifat provokatif daripada para penyokong kedua-dua belah pihak, BN dan Pakatan Rakyat.     Saling menyindir dan menuduh parti lawan masing-masing  dengan pelbagai tuduhan.  Saling 'like' dan 'share' pos dan link tertentu untuk menguatkan hujah masing-masing walaupun bahan yang di'like' atau di'share' tidak diketahui kesahihannya.  Kalau benar, tak apalah, tetapi kalau tidak benar, itu fitnah namanya.   Saya boleh 'unfriend' semua 'friend list' saya yang emosional itu   jika  saya mahu, tetapi saya malas untuk turut emosional. 

        Sudah-sudahlah wahai rakyat Malaysia.  Rasanya para pemimpin sebenarnya lebih profesional menerima apa-apa keputusan, cuma para penyokong yang lebih sudu daripada kuah sehingga sudah ramai yang menjadi samseng.  Saya takut akan fenomena yang berlaku di negara kita sekarang.  Pihak yang kalah (satu pihak sahaja) sanggup mengadu dan meminta bantuan daripada pemimpin negara asing untuk menyelesaikan masalah dalaman negara sendiri.  Wahai rakyat Malaysia, kenapa anda sanggup berbuat demikian? Kenapa anda sanggup meminta campur tangan kuasa asing?  Wahai rakyat Malaysia, ambillah iktibar daripada sejarah negeri Melaka  dahulu.  Para pembesar Melaka berbalah sesama sendiri kerana masing-masing berebut kuasa.  Oleh sebab sikap tamak akan kuasa dan sifat dengki, mereka sanggup meminta Portugis menyerang Melaka.  Portugis mengambil peluang keemasan ini untuk menyerang dan menjajah  Melaka dan seterusnya menjajah Tanah Melayu selama beratus-ratus tahun, diikuti penjajahan oleh Belanda dan akhirnya Inggeris.  

       Negara kita baru sahaja merdeka selama 55 tahun, adakah kita sanggup dan bersedia untuk dijajah lagi?  Hal ini tidak mustahil berlaku memandangkan negara-negara Arab sudah pun dijajah oleh kuasa Amerika.  Mereka datang dan menghuru-harakan negara serta merosakkan dan membunuh rakyat Arab dengan alasan yang rapuh. Kesannya rakyat menderita dan negara tiada lagi keamanan. Keadaan sebegitukah yang dimahukan oleh rakyat Malaysia?  Mungkin kita sudah tidak akan hidup lama di bumi bertuah ini, tapi bagaimana dengan anak-anak kita dan generasi akan datang?  Mahukah kita melihat generasi akan datang hidup menderita dan dijajah di bumi sendiri akibat perbuatan kita? Mungkin anda yang membaca atau terbaca tulisan saya ini akan menganggap saya bodoh dan berfikiran sempit, terpulanglah.  Jika benar-benar mahu mencari keadilan, gunakanlah cara atau saluran yang betul dan selesaikanlah secara dalaman. Usah diuar-uarkan masalah kita kepada media asing dengan tujuan menagih simpati. Kuasa-kuasa asing sebenarnya menunggu peluang keemasan untuk campur tangan, apatah lagi ada pihak yang menagih bantuan mereka.  Hal ini diibaratkan seperti orang mengantuk disorongkan bantal.  Sekali lagi saya menyeru rakyat Malaysia agar berdamailah demi negara Malaysia yang tercinta.

Monday, May 6, 2013

Keputusan Pilihan raya ke-13


Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh....


               Saya bukanlah seorang penganalisis politik tetapi saya tetap mahu berbicara sedikit tentang keputusan pilihan raya ke-13 semalam.  Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua parti yang menang dalam pilihan raya semalam.  Kepada parti yang kalah secara keseluruhan, jangan berputus asa.  Menang atau kalah adat bertanding, bak kata pepatah, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.  Saya suka memetik kata-kata penceramah bebas, Dr. Rabiah dalam Rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1 pagi tadi, bahawa "yang menang jangan riak, yang kalah jangan berduka."  Kemenangan yang diperoleh merupakan satu anugerah daripada Allah dan dalam masa yang sama,  mungkin juga sebagai satu ujian daripada-Nya untuk melihat sejauh mana parti yang menang memegang amanah rakyat yang mengundi mereka.  Kekalahan pula harus dilihat sebagai suatu cabaran  untuk memperbaik kelemahan yang mungkin wujud, dan dalam masa yang sama, mungkin juga sebagai ujian untuk melihat sejauh mana parti yang kalah redha menerima keputusan. Saya juga suka memetik kata-kata Tun Guru Haji Hadi apabila beliau menerima kekalahan ini. "Walaupun perjuangan kita benar, tetapi kalau tidak ikhlas, tidak beradab dan  tidak taat, maka Allah tangguhkan lagi kemenangan."  Apa-apa pun, pihak yang menang wajib mengotakan janji seperti yang diuar-uarkan, iaitu berkhidmat dengan lebih cemerlang, lebih telus, serta membawa rakyat ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat. Sebagai anak Kelantan, secara peribadinya, saya sangat bersyukur kerana PAS tetap unggul di Kelantan, di bawah pemerintahan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.  Saya juga bersyukur kerana Tuan Guru Haji Hadi turut menang di kawasan beliau.  Tahniah kepada kedua-dua ulama' yang saya kagumi.  Tahniah juga kerana PAS   sudah semakin kuat di Selangor dan Terengganu.  Semoga PAS semakin bersemarak di bumi  Malaysia, insya-Allah.

                





Thursday, May 2, 2013

Apakah?

       
       
          Saya hanya mampu tersenyum dalam hati tatkala melihat situasi yang berlaku.  Inikah yang dikatakan 'cakap tak serupa bikin?' Sudah banyak kali diri saya dijauhi, dengan alasan-alasan tertentu yang tidak perlu saya pertikaikan kerana semua itu hak empunya diri.  Selagi saya waras, saya akan sentiasa mengingati ayat-ayat ini..."Harap maklum, saya hanya bercakap apabila saya ditegur terlebih dahulu dan hanya bercakap soal kerja sahaja. Jangan marah!."  Maaf, jangan salah faham, saya tidak marah, cuma sedikit keliru kerana melalui pemerhatian tanpa sedar, apa-apa yang saya lihat tidak seperti yang dilafazkan.   Peace No War!