TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Monday, March 21, 2016

Bertamu di SMKTT...21 Mac 2016


(i)
Dahulu
segalanya bermula di sini
di ruang maya tanpa sempadan
facebook medan perantara
saban hari
santun menyapa

Citranya hebat
berbicara puitis
bermadah menyentuh jiwa
kalimah membuai rasa
status ditulis menjadi pembayang
berkias segala
terkadang berkisah tentang 'dia'
berteka-teki selamanya

Hati mula terpesona
mengagumi
menjentik rasa ingin tahu
namun naif meneka
bimbang, andai silap mentafsir

Cuba mencari yang tersirat dalam yang tersurat
namun hampa
misteri tak jua terungkai
lalu nekad bertanya
memancing jawapan
demi mencari suatu kepastian
agar terjawab segala teka-teki

Jujur berbicara
dari hati yang terdalam
jawapan tulus menyentak kalbu
terkedu seketika
terkesima
terpana

Sungguh
aku tak pernah terfikirkannya


(ii)
Salam dihulur 
salam disambut
persahabatan terjalin
antara dua negara serumpun
mengusir prasangka
merapatkan jurang tersedia
kita sebagai jambatannya

Waktu berputar
bibit-bibit kemesraan bercambah
silaturrahim semakin erat
dan bicara pun kian ramah
walau hanya di skrin monitor


Dalam pertemanan
ada suka
ada duka
namun kita jalani seadanya
teguh berdiri atas nama persahabatan
terkadang hampir tewas dengan perasaan 
namun kita bangkit semula
kerana persahabatan itu lebih abadi

(iii)
Kini
bagai mimpi
namun nyata
kau bertamu di sini
di SMKTT

Lawatan kerja berlangsung sempurna
delegasi dirai penuh istimewa
segala persiapan tak sia-sia
kunjungan bermakna sarat maklumat
bertukar idea, cerita dan pengalaman
dalam batas formaliti 

Kepada-Nya
syukur dipanjatkan
bertemu jua akhirnya
bertentang mata
berbalas senyum
berbicara ramah tanpa skrin monitor 
walau hanya seketika 

Kalau ada sumur di padang
boleh kita menumpang mandi
kalau ada umur yang panjang
boleh kita berjumpa lagi












Sunday, March 13, 2016

Politik Kotor

Politik kotor
segalanya bisa
demi kuasa

Politik kotor
duit jadi taruhan
sahabat menjadi musuh
musuh menjadi sahabat
dulu kata lain
sekarang kata lain

Politik kotor
Pak Menteri sanggup jadi bangang
apabila timbul isu negara
beri alasan tak masuk akal
tak pernah buat kajian
semberono menyalahkan rakyat
bicara berapi menyerlahkan kedunguan sendiri

Politik kotor
agama jadi tunggangan
hukum diketepikan
yang halal jadi haram
yang haram jadi halal
berbaiah sesuka hati
cerai-berai jadi mainan
dosa bukan lagi perkiraan
yang penting...kuasa

Kerana politik kotor
tiada yang mustahil
negara huru-hara
bumi kelahiran pasti tergadai
rakyat merempat  di tanah air sendiri
yang benar disanggah
yang batil bermaharajalela
oh negaraku...

Sunday, March 6, 2016

Serlahkan Sisi Positifmu


Wahai guru
tugasmu mendidik
namun lisanmu terkadang bak sembilu
menikam kalbu
merobek hati
anak didikmu

Terkadang
tindakan yang tak wajar
bisa jua meruntun air mata mereka
namun kau berselindung di sebalik gurauan 

Sebagai guru, serlahkanlah sisi positifmu
usah berfikir mereka memahami tingkah negatifmu
kerana akhlakmu menjadi teladan
tuturmu tersemat di hati 
takut nanti ada benci 
di hati mereka 
akan kamu...



Sehati Sejiwa


Sehati sejiwa
seia sekata 
sama-sama menyelami segala rasa
manis, pahit, suka dan duka
saat sukar digalas dengan keringat dan air mata
saat senang dirai penuh nikmat dan kesyukuran

Walau ombak membadai
walau taufan mengganas
fitnah dan ancaman melata tak bersempadan
namun kesetiaan tak pernah goyah
berkubu di sebalik kepercayaan
teguh di bawah satu janji
negara merdeka yang berdaulat

Selamat Hari Kemerdekaan 2015 yang ke-58.