TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Saturday, October 1, 2016

Daulatkan Islam Agama Negara (DIAN)

               

Bismillah... 

Pada 22-24 September 2016  yang lalu, saya merupakan antara insan terpilih oleh Allah untuk menyertai satu kursus yang dianjurkan oleh IKSIM (Institut Kajian Strategik Islam Malaysia) yang diadakan di Pulau Pangkor, Perak.  Sesungguhnya di situ, saya dibukakan mata dan minda untuk meneliti semula beberapa perkara penting dalam perlembagaan Malaysia. Antaranya :
               
Perkara 3 [1] : Perlembagaan Persekutuan mengatakan :

3.  Agama bagi Persekutuan
    [1]  Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama
    lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana
    Bahagian Persekutuan.

Justeru, pemahaman terhadap konsep Islam sebagai Agama Negara (The Religion of the Federation) mesti dipupuk dan diterapkan dalam diri setiap warganegara Malaysia.

Agenda TRAPI (Transformasi Pemikiran Islam)

·        * Pemahaman konsep Islam sebagai Agama Negara
·        * Penghayatan Islam sebagai satu cara hidup (way of life) 
            diterjemahkan dalam setiap aspek kehidupan.


10 Perkara Asas Tentang Islam di Malaysia.

IKSIM telah mengenal pasti 10 perkara asas tentang Islam dalam konteks kenegaraan Malaysia. Sepuluh perkara tersebut mesti difahami oleh seluruh rakyat Malaysia, khususnya umat Islam.

1.  Malaysia Merupakan Negara Islam yang Mentauhidkan 
     Allah.
     Pengganut agama-agama lain tidak boleh menyalahgunakan
     nama suci Allah untuk apa-apa juga bentuk sembahan.

2.  Islam adalah Agama, Ideologi dan Teras Undang-undang 
     Negara.
     Islam bukan sekadar agama rasmi yang hanya berfungsi sebagai
     hiasan untuk upacara-upacara rasmi sahaja.

3.  Sumpah Negara Dilafazkan atas Nama Allah untuk 
     Memelihara Islam.
     Agama dan doktrin lain tidak boleh disebarkan kepada umat
     Islam.

4.  Mendaulatkan Islam Merupakan Kewajipan 
     Berperlembagaan.
     Perlembagaan mewajibkan pemerintah, penjawat awam serta
     pasukan keselamatan (tentera) dan keamanan (polis).

5.  Hal Ehwal Islam Terletak di bawah Naungan Sultan dan
     YDP Agong
     Sultan dan YDP Agong sebagai Ketua Agama, mempunyai
     kuasa mutlak atas pengurusan hal  ehwal Islam dan ia bukan 
     berada di bawah pengaruh atau telunjuk politik.

6.  Majlis Agam Berhak Memutuskan Polisi dan Dasar Agama
     Kerajaan Persekutuan dan Negeri mesti akur akan polisi dan
     dasar-dasar yang telah diputuskan oleh Majlis Agama dengan
     perkenan Sultan.

7.  Kedaulatan Islam Bermula sejak Kedatangan Islam ke
     Alam Melayu
     Kedaulatan Islam merupakan kesinambungan kedaulatan
     kerajaan Kesultanan Negeri-negeri Melayu Islam dan bukan
     hanya bermula sejak negara mencapai kemerdekaan.

8.  Islam Tidak Boleh Dipolitikkan
     Mendaulatkan Islam merupakan Kewaipan Kenegaraan 
     berteraskan Perlembagaan; dan bukannya untuk kepentingan
     politik kepartian.

9.  Islam Merupakan Agama yang Adil dan Bertoleransi
     Keharmonian, keamanan dan kemewahan yang dikecapi seluruh
     rakya Malaysia merupakan hasil toleransi kemanusiaan yang 
     berasaskan prinsip ajaran Islam.

10Kedaulatan Islam Diasak dan Diancam 
      Kedaulatan Islam sedang diserang dengan hebat oleh golongan
      yang benci akan kedudukan Islam sebagai Agama Negara.


10 Salah Tanggapan Tentang Kedudukan Islam di Malaysia

Salah Tanggapan 1 : Islam Sekadar Agama Rasmi
Kenyataannya : Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan memartabatkan Islam sebagai Agama Negara.  Istilah-istilah seperti 'demokrasi', 'sekular', dan 'agama rasmi' tidak wujud sama sekali dalam perlembagaan Persekutuan.  Justeru, anggapan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi dengan Islam sebagai agama rasmi adalah salah.

Salah Tanggapan 2 :  Malaysia Negara Sekular
Kenyataannya : Perkara 3 (1), Perlembagaan Persekutuan memartabatkan Islam sebagai Agama Negara.  Raja-raja Melayu dan Hakim Abdul Hamid iaitu salah seorang anggota Suruhanjaya Reid tidak pernah menerima cadangan untuk memasukkan perkataan 'sekular' ke dalam Perlembagaan Persekutuan.  Fakta penting ini membuktikan bahawa Malaysia bukan sebuah negara sekular.

Salah Tanggapan 3 : Kedudukan Islam Lebih Rendah daripada Perlembagaan
Kenyataannya : Hujah yang mengatakan bahawa kedudukan Islam adalah lebih rendah daripada Perlembagaan tertolak sama sekali. Hal ini disebabkan Perlembagaan sendiri yang memartabatkan kedudukan Islam sebagai Agama Negara. Justeru, Perkara 3 merupakan sebahagian undang-undang tertinggi negara.

Salah Tanggapan 4 : Hak Kesamarataan Agama
Kenyataannya :  Islam ialah Agama Negara dan Islam tidak setaraf dengan agama-agama lain. Hanya agama Islam yang disebut dalam Perlembagaan sebaliknya, agama-agama lain tidak disebut dalam Perlembagaan.  Agama-agama lain hanya sekadar dibenarkan untuk dianuti  dan diamalkan di negara ini.  Oleh yang demikian, negara tidak memikul tanggungjawab untuk memelihara dan mempertahankan agama-agama lain sebagaimana yang diperlukan untuk agama Islam.

Salah Tanggapan 5 : Sistem Islam Sekadar Alternatif
Kenyataannya : Sebagai negara Islam, sistem Islam merupakan tonggak dan bukannya hanya  sekadar alternatif bagi sistem peninggalan penjajah.  Sistem-sistem Islam dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, kewangan, pendidikan dan pentadbiran mesti diperkasa supaya akhirnya prinsip-prinsip menjadi  teras bagi keseluruhan dasar dan sistem di negara ini.

Salah Tanggapan 6 : Memperjuangkan Islam Sebagai Bukti Kecenderungan terhadap  Pembangkang.
Kenyataannya : Memperjuangkan kedaulatan Islam merupakan Kewajipan Berperlembagaan  yang dipikul oleh pihak pemerintah bersama-sama dengan Raja-raja dan institusi-institusi agama pada peringkat Persekutuan serta Negeri.  Perjuangan mendaulatkan Islam bukanlah hak kepartian, malah setiap individu yang beragama Islam tanpa mengira fahaman politik mesti berjuang mempertahankan kedaulatan Islam di negara ini.

Salah Tanggapan 7 : Islam Hanya Tanggungjawab Negeri
Kenyataannya : Negara ini, melalui Sumpah Negara yang dilafazkan oleh YDP Agong telah berikrar untuk memelihara agama Islam pada setiap masa.  Negara ini telah berikrar dan bertanggungjawab untuk mendaulatkan Islam. 

Salah Tanggapan 8 : Pihak Berkuasa Agama Negeri Berada di Bawah Kawalan Kerajaan Negeri
Kenyataannya : Kedudukan Islam di Malaysia adalah lebih tinggi dan tidak tertakluk pada kuasa politik.  Pihak berkuasa agama negeri berada di bawah naungan Sultan dan bukannya  berada di bawah kawalan Kerajaan Negeri.  Sebaliknya, Kerajaan Negerilah yang tertakluk  pada  prinsip Islam dalam pelaksanaan urusan pemerintahan negeri.

Salah Tanggapan 9 : Sejarah Islam Negara Bermula pada 1957
Kenyataannya : Sejarah Islam dan sejarah negara berakar umbi daripada Kesultanan Kerajaan  Negeri-negeri Melayu Islam yang berdaulat dan yang telah membentuk Persekutuan Malaysia.  Sejarah yang penting itu bukan bermula pada 31 Ogos 1957 atau 16 September 1963 sebagaimana yang tidak peka akan sejarah.  Usaha untuk memutuskan negara yang telah berdiri teguh ini daripada sejarah Kesultanan Melayu Islamnya yang gemilang merupakan langkah terancang untuk menghakis kedaulatan Islam dan kuasa Raja-Raja Melayu Islam di Tanah Melayu.

Salah Tanggapan 10 : Berplitik Secara Islam; Bukan Bermaksud Mempolitikkan Islam
Kenyataannya : Berpoltiklah secara Islam; tetapi jangan sekali-kali kita mempolitikkan  Islam.  Umat Islam wajib mempertahankan kesucian agama Islam daripada digadaikan oleh pihak  yang tidak bertanggungjawab demi meraih kuasa dan sokongan politik.


13 Unsur Penyebaran Liberalisme : Penghakis Akidah, Syari'ah dan Kedaulatan Islam

1.  Memperjuangkan, menyokong dan merelakan nama suci Allah
     disalahgunakan untuk sembahan orang bukan Islam.

2.  Menyamaratakan semua agama atau kepercayaan, mengatakan
     bahawa agama-agama lain  adalah setara agama Islam, dan
     menafikan ketinggian kedudukan agama Islam sebagai 
     Agama Negara (Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan).

3.  Mengatakan serta mempercayai bahawa semua agama adalah
     benar dan semua agama membawa kepada satu titik kebenaran
     yang hakiki (Puralisme Agama).

4.  Memperjuangkan hak kemurtadan sebagai kebebasan asasi
     (fundamental liberties) dan kebebasan beragama (freedom 
     of religion) selain menyalahtafsirkan dengan  sengaja Perkara 
     11 Perlembagaan Persekutuan.

5.  Mempertahankan dan memperjuangkan ajaran sesat sebagai 
     hak kebebasan berfikir  malah juga memfitnah institusi fatwa 
     sebagai penghalang bagi pemilikan serta pelaksanaan hak 
     tersebut.

6.  Menuntut hak kanak-kanak untuk memilih agama mereka
     sendiri apabila mencapai umur 18  tahun dan mendesak agar ibu
     bapa tidak dibenarkan untuk menentukan agama anak-anak
     mereka ketika dilahirkan.

7.  Memperjuangkan hak kebebasan berfikir sehingga
     mengetepikan perintah Al-Quran dan ajaran Nabi s.a.w.

8.  Memperjuangkan hak kebebasan asasi sehingga menuntut 
     penghapusan undang-undang Syari'ah dan pemansuhan 
     kewajipan amar makruh nahi mungkar.

9.  Menuntut pengiktirafan hak untuk mengamalkan seks
     songsang (LGBTIQ) atas  nama hak asasi manusia; meskipun
     ia bertentangan dengan ajaran Islam dan undang-undang negara
     di bawah Kanun Keseksaan.

10.  Menuntut penghapusan semua bentuk hukuman berat yang
       disifatkan sebagai 'capital punishment' termasuk hukuman mati
       dan sebat.

11.  Menuntut hak  pengembangan doktrin atau kepercayaan
       agama lain kepada orang Islam  meskipun ia bercanggah
       dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

12.  Menyebarkan fahaman Islam secara liberal iaitu dengan 
       mencontohi amalan penganut Kristian.

13.  Menghasilkan dan menyebarkan bahan-bahan yang membela
       kekufuran serta penyelewengan  akidah.  Sebagai contoh
       ialah buku "Allah, Kebebasan dan Cinta" oleh Irshad Manji
       selain juga karya-karya pendokong pemikiran liberal yang lain.

Saya sebagai orang Melayu yang beragama Islam berasa bertanggungjawab untuk mempertahankan agama Islam di Malaysia.  Saya juga menyeru kepada semua orang Islam agar mengetepikan segala perbezaan fahaman politik anda dalam usaha mempertahankan dan mengekalkan Islam sebagai Agama Negara. Bagaimana caranya?

1.  Demi agama Islam, sokonglah segala usaha Majlis Agama Islam untuk memperkasakan undang-undang Islam di Malaysia seperti meminda Rang Undang-undang 355 yang bertujuan untuk memberatkan hukuman dan menaikkan denda kepada orang Islam yang melakukan perbuatan maksiat seperti berzina, menggugurkan anak, membuang bayi, minum arak, berjudi dan sebagainya.
          
2.  Sebagai ibu bapa Islam, pantaulah setiap tingkah laku anak-anak remaja kita.  Mereka sangat terdedah dengan anasir-anasir jahat yang kini sedang giat menjalankan usaha menyeleweng akidah anak-anak remaja kita dengan  wang dan kemewahan.  Jangan sesekali menggadaikan agama demi wang dan kemewahan. Jangan sampai kita mati dalam kekufuran.

3.  Tambah ilmu keagamaan di dada dan amalkan ajaran Islam yang sebenar, bukannya Islam liberalisme dan sekularisme. Teguhkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah, dan jangan tunduk kepada kekufuran yang ada di sekeliling kita

4.  Paling penting, pastikan pemimpin negara merupakan orang Islam kerana hanya pemimpin Islam yang mampu mempertahankan dan mengekalkan agama Islam sebagai agama negara, bukannya pemimpin bukan Islam.  Jangan sesekali berani mempertaruhkan agama hanya kerana benci akan segelintir pemimpin Melayu  yang korup.  Juga jangan sesekali berfikir bahawa dengan memberi peluang kepada pemimpin bukan Islam memerintah negara, ini memberikan persaingan sihat dalam politik.  Jangan samakan politik tanah air dengan politik barat yang sentiasa bertukar pemerintah. Walaupun mereka bertukar kerajaan setiap penggal, namun kerajaan tersebut kesemuanya daripada agama yang sama.

Sebagai orang Islam yang waras, fikir-fikirkanlah. Allahhu Akbar! Allahhu Akbar! Allahhu Akbar!


Sumber : Buku Agenda DIAN (Daulatkan Islam Agama Negara), Terbitan IKSIM