TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Thursday, July 5, 2018

Maafkan Umi, Sayang


Bismillah...

Susulan kisah kematian baby Adam yang tragis yang tular di facebook, saya terbaca satu posting tentang tanda-tanda penderaan di pusat jagaan kanak-kanak.  Antaranya ialah anak menangis dan meronta kerana enggan ke pusat jagaan.  Allahu, anak bongsu saya pernah mengalaminya sewaktu dia berumur 4 tahun.  Sewaktu anak bongsu saya berumur 1-3 tahun, saya menggunakan khidmat pembantu rumah untuk menjaga anak-anak saya di rumah.  Pembantu rumah saya pada ketika itu bernama Yani dan merupakan seorang wanita Indonesia berumur dalam lingkungan 27 tahun dan mempunyai seorang anak perempuan yang berumur 6 tahun.   Alhamdulillah, pembantu rumah saya ini sangat baik, berperwatakan lembut dan bersifat penyayang terhadap anak-anak saya, mungkin kerana dia sendiri merupakan seorang ibu.  Pembantu rumah saya ini telah bekerja selama tiga tahun di rumah saya dan berjanji akan menyambung khidmatnya lagi di rumah saya.  Saya berasa senang hati mendengar pengakuannya dan mengalu-alukannya, lebih-lebih lagi anak-anak  juga memang menyayanginya.

Kita sebagai manusia hanya mampu merancang, namun Allah jua yang menentukannya.  Sebelum sempat saya memperbaharui permit Yani untuk tahun keempat, pembantu rumah saya  menerima khabar buruk dari kampung bahawa suaminya sedang sakit tenat dan sedang terlantar di hospital.  Keluarganya meminta dia pulang untuk menemui dan menjaga suaminya. Yani menjadi serba salah kerana dia telah berjanji dengan saya untuk meneruskan khidmatnya di rumah saya.  Dalam masa yang sama, dia menangis sepanjang masa mengenangkan suaminya.  Saya seorang majikan yang masih berhati perut.  Saya faham keadaannya lalu saya memujuknya agar pulang sahaja ke kampung walaupun hati saya sendiri sangat berat untuk melepaskannya, anak-anak saya apatah lagi.  Mereka menangis kerana tidak mahu berpisah dengan Yani.  Dalam keadaan serba salah, Yani akhirnya pulang juga ke pangkuan suami dan keluarganya.

Sejak itu juga, saya tidak lagi menggunakan khidmat pembantu rumah  kerana anak-anak saya sudah besar dan saya mahu mendidik mereka berdikari. Saya juga sebenarnya takut jika tidak mendapat pembantu rumah sebaik Yani. Sebelum saya menggunakan khidmat Yani, saya telah menggunakan khidmat beberapa orang pembantu rumah warga asing tanpa permit yang datang ke rumah saya pada waktu pagi dan pulang pada waktu petang serta khidmat seorang pembantu rumah berlesen dari Medan, namun dia hanya bekerja dengan saya selama empat bulan.  Saya terpaksa menghantarnya pulang kerana tidak tahan akan sikap dan perangainya terhadap saya dan anak-anak saya.  Saya sudah serik untuk menggunakan khidmat pembantu rumah  selepasnya.  Walaupun begitu, saya bersyukur kerana Allah telah menghantar Yani kepada kami.

Setelah kepulangan Yani ke kampungnya, saya menghantar anak bongsu saya yang berumur 4 tahun ke pusat jagaan kanak-kanak berdekatan dengan rumah saya. Anak-anak saya yang lain berumur 14, 12, 10 dan 7 tahun.  Mereka  menguruskan diri sendiri di rumah semasa saya bekerja. Anak saya yang sulong menguruskan adik-adiknya terutamanya yang berumur 7 tahun. Selama beberapa bulan saya menghantar anak bongsu saya ke pusat jagaan kanak-kanak itu, tidak ada apa-apa masalah yang berlaku. Segalanya berjalan lancar.  Dia mudah membiasakan diri di pusat jagaan itu walaupun dia menangis juga pada minggu pertama saya menghantarnya ke situ.  Pada saya, itu merupakan perkara biasa bagi mana-mana kanak-kanak sekali pun.

Beberapa  bulan kemudian, anak bongsu saya mula menunjukkan perubahan tingkah laku yang sangat merisaukan saya.  Dia mula menangis dan meronta kerana enggan ke pusat jagaan itu.  Dia akan bersembunyi di bawah katil apabila saya mahu menghantarnya pada setiap pagi. Saya terpaksa menariknya keluar dari bawah katil. Jika saya berjaya membawanya masuk ke dalam kereta, dia akan duduk di bawah kerusi hadapan di dalam kereta dan akan memegang tali pinggang keledar seerat-eratnya kerana enggan keluar dari kereta sambil menangis  semahu-mahunya.  Jika suami saya mahu menghantarnya dengan motorsikal pula, dia tidak mahu naik ke atas motosikal.  Begitulah keadaannya selama beberapa minggu.  Setiap hari pasti ada sahaja drama air mata olehnya. Saya dan suami sangat risau akan tingkah lakunya namun kami terlalu naif untuk memahami perubahan tingkah lakunya. Saya selalu juga memujuk dan bertanya kepadanya sebab dia menangis dan tidak mahu ke pusat jagaan itu, namun dia hanya diam membisu menyebabkan saya selalu juga memarahinya dan beranggapan dia mengada-ngada. Allahu, kejamnya saya dan suami. Apabila keadaan itu berlanjutan, saya semakin risau.  

Pada suatu hari, semasa saya sedang menonton tv bersama anak bongsu saya itu, dia tanpa sengaja  bercerita kepada saya bahawa dia selalu dipukul oleh kakak X di pusat jagaan itu.  Ya Allah, berderau darah saya mendengar pengakuan anak bongsu saya itu.  Saya sangat terkejut tetapi dalam masa yang sama, saya terfikir, adakah anak saya sengaja mereka-reka cerita itu kerana dia tidak mahu ke pusat jagaan itu?  Hati saya berdetik, masakan anak kecil itu berbohong.  Saya mula menyoalnya lebih lanjut dan memujuknya dengan lembut agar dia menceritakan segala-galanya kepada saya. Menurut anak saya lagi, X selalu memarahinya jika dia tidak mahu tidur pada waktu tengah hari dan jika  dia masih tidak tidur dan berbisik-bisik dengan kawannya, X akan menampar pipinya berkali-kali. Rambut panjangnya juga selalu ditarik-tarik, kepalanya ditujah-tujah dan punggungnya selalu dicubit dan dipukul.  Ya Allah, panas hati saya mendengar pengakuan anak bongsu saya itu.  Walaupun begitu, tiada kesan lebam pada badan anak saya itu yang saya lihat semasa saya memandikannya setiap hari. Saya memberitahu hal itu kepada suami saya.  Melalui penceritaan anak saya, saya akhirnya dapat mengenal pasti pengasuh itu.  Dia merupakan pengasuh baharu di pusat jagaan itu dan merupakan remaja lepasan SPM dan baru berumur dalam lingkungan 18-19 tahun pada ketika itu. Selama ini semasa saya menghantar anak saya, dialah yang menyambut anak saya.  Rupa-rupanya selama ini dia hanya berlakon di hadapan saya dengan cara memperlihatkan sifat penyayangnya terhadap anak saya. Dia akan memeluk dan mengusap-ngusap rambut anak saya di hadapan saya.

Keesokan harinya, saya pergi ke pusat jagaan itu dan bertemu dengan X lalu menyoal siasatnya.  Dia tidak mengaku akan perbuatannya.  Saya juga menyoal siasat tukang masak di situ tetapi dia juga bersubahat dan menafikan  bahawa X mendera anak saya.  Saya akhirnya menelefon pemilik pusat jagaan tersebut dan menceritakan segala-galanya  yang diceritakan oleh anak saya.  Alangkah geramnya  hati saya apabila  pemilik pusat jagaan itu menuduh anak saya mereka-reka cerita dan mengatakan saya terlalu memanjakan anak saya.  Saya mengugut untuk mengeluarkan anak saya dari tempat itu dan dia mengalu-alukannya.  Panas hati saya mengenangkan sikapnya tetapi saya lebih bodoh dan kejam kerana masih menghantar anak saya di situ.  Sebenarnya saya tiada pilihan lain.  Saya pernah bercadang untuk menghantar anak saya ke satu lagi pusat jagaan kanak-kanak berdekatan dengan rumah saya  tetapi pusat jagaan itu terlalu padat dan persekitarannya agak kotor.  Jadi, dengan hati yang berat saya terpaksa juga terus menghantar anak saya ke pusat jagaan kanak-kanak yang lama.

Rakan sekerja saya ada memberitahu saya bahawa anaknya yang transit di situ selalu juga bercerita kepadanya bahawa ada seorang pengasuh di situ yang bermuka-muka.  Di hadapan ibu bapa, dia menunjukkan sikap penyayang tetapi di belakang ibu bapa, dia akan sentiasa menengking, memukul dan mencubit kanak-kanak di situ dan orang itu ialah X.  Berdasarkan cerita rakan sekerja saya itu, saya bertambah yakin bahawa anak saya berkata benar.

Beberapa minggu selepas itu, semasa saya menghantar anak saya  di situ, berlaku sedikit kekecohan di pusat itu.  Saya akhirnya berjaya mendapat berita bahawa X sudah dihalau oleh pemilik pusat jagaan itu pada malam tadi.  Rupa-rupanya beberapa orang ibu bapa kanak-kanak lain datang menyerbu dan menyerang X di hadapan pemilik pusat jagaan itu sendiri kerana mendera anak-anak mereka.  Sah, anak saya berkata benar dan kanak-kanak lain juga turut didera oleh X! Selepas pulang dari kerja, saya berpeluang bertemu dengan tukang masak di pusat jagaan tersebut. Dia bercerita kepada saya tentang perangai dan sikap panas baran X. Saya bertanya kepadanya, kenapa dahulu semasa saya bertanya kepadanya, dia menafikan segala tindakan X? Dia sekadar menjawab bahawa dia terpaksa berbuat demikian kerana dia sendiri takut akan X. Allahhuakhbar, sampai hatinya bersubahat dengan X! Sejak X diberhentikan dan dihalau serta merta oleh pemilik pusat jagaan itu, anak saya kembali ceria dan mahu ke pusat jagaan tersebut tanpa dipaksa-paksa.  Tempat X digantikan oleh pengasuh baharu yang lebih baik.

Anak bongsu saya itu kini sudah di tingkatan dua. Walaupun peristiwa itu sudah lama berlaku, saya masih rasa bersalah.  Kejamnya saya kerana saya masih tergamak menghantar anak saya ke pusat jagaan itu pada waktu itu walaupun saya tahu anak saya telah didera fizikal dan emosi. Namun begitu, syukurlah anak saya tidak mengalami trauma yang berpanjangan.  Maafkan Umi, Sayang... atas kekhilafan dan kebodohan diri Umi dahulu.








Di Syurgalah Tempatmu Wahai Adam Rayqal





Bismillah...

Risau dan takut.  Begitulah perasaan saya ketika mula terbaca berita tentang kehilangan baby Adam dari rumah pengasuh di facebook.  Hanya doa yang mampu dipanjatkan agar baby Adam dijumpai dengan selamat oleh ibu bapanya. Namun  begitu,  pagi tadi apabila saya terbaca berita terbaharu bahawa baby Adam dilarikan oleh lelaki yang tidak dikenali, saya hanya mampu beristighfar berkali-kali dan terfikir-fikir bagaimana si kecil itu diculik dari rumah pengasuh.  Di sekolah, barulah saya mengetahui cerita sebenar bahawa baby Adam dijumpai kaku oleh pihak polis di dalam sebuah beg pakaian dan disejukbekukan oleh pengasuhnya sendiri di dalam peti sejuk. Rupa-rupanya pengasuhnya membuat laporan palsu tentang kehilangan baby Adam. Hati saya terasa bagai dihiris-hiris walaupun baby Adam bukan sesiapa dengan saya. Hanya air mata dan doa mengiringi arwah. Sedih dan pilu bertambah apabila melihat gambar-gambar jenazah baby Adam dalam pelukan ibu bapanya.  Hancur luluh hati si ibu dan bapa hanya Allah jua yang maha mengetahui. Ada andaian dibuat bahawa baby Adam mati akibat tersedak susu dan si pengasuh panik lalu menyembunyikan arwah di dalam peti sejuk.  Terbaharu, hasil bedah siasat membuktikan bahawa baby Adam mati akibat hentakan kuat di kepala dan menyebabkan tempurung kepalanya retak.  Allahu, kejamnya kamu wahai pengasuh baby Adam.  Semoga kamu mendapat hukuman yang setimpal di dunia dan di akhirat.

Kisah baby Adam menjadi tular di facebook dan banyaklah status dimuat naik oleh netizen. Ramai yang bersimpati dan ramai juga yang mengecam si ibu kerana sanggup meninggalkan baby Adam di rumah pengasuh dan lebih mementingkan kerjaya.  Ramai juga yang memuat naik status bahawa mereka berbangga menjadi suri rumah dan menolak tawaran kerja yang bagus demi menjaga anak  dengan tangan sendiri dan melihat anak membesar di depan mata kerana tidak sanggup anak mereka menjadi mangsa seperti baby Adam. Status mereka bersifat angkuh dan takbur. Saya sendiri sedih membaca status  mereka.  

Wahai netizen, tidakkah kamu tahu bahawa ajal maut itu di tangan Allah?  Cara kematian baby Adam hanyalah asbab kematiannya.  Jangan sesekali berfikir bahawa si ibu dengan senang hati meningalkan anak di tangan orang yang tidak dikenali.  Mereka tiada pilihan. Si ibu tidak bersalah. Tidak mungkin mereka mahu menyusahkan ibu bapa mereka untuk menjaga anak-anak mereka.  Di tempat kerja pula, mana mungkin mereka membawa anak sesuka hati.  Begitu jugalah dengan keadaan saya semasa anak-anak masih kecil.  Di tempat kerja, hati sentiasa risau mengenangkan anak-anak. Sebab itulah sehabis waktu bekerja, saya terus pulang untuk mengambil anak di pusat jagaan kanak-kanak.

Ada netizen yang mengatakan bahawa mereka  hanya memberikan pendapat mereka sendiri berkaitan hal ini.  Betul, anda memberikan pendapat tetapi janganlah terlalu lancang menulis hingga boleh melukakan hati ibu mangsa atau mereka yang bekerja dan terpaksa meninggalkan  anak-anak di bawah jagaan pengasuh.  Status mereka ini juga memperlihatkan seolah-olah mereka mampu mengawal takdir.  Ketahuilah wahai netizen, ada juga anak-anak yang meninggal dunia di bawah jagaan ibu bapa mereka sendiri. Itulah yang dinamakan takdir. 

Kalau hati kita hancur dengan cara kematian baby Adam. hati ibu bapa baby Adam tentunya lebih hancur.  Cukup-cukuplah memuat naik status yang kurang cerdik.  Diam dan mendoakan itu lebih baik.  Takziah kepada ibu bapa dan keluarga baby Adam.  Damailah kamu di syurga, wahai baby Adam.

Friday, May 11, 2018

Malaysia Memilih : PRU 14 2018




Assalamualaikum..

Pada 9 Mei 2018 bersamaan hari Rabu, rakyat Malaysia telah menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara apabila mereka beramai-ramai keluar mengundi bagi memilih kerajaan baharu yang akan memerintah Malaysia dalam tempoh 5 tahun akan datang. 10 Mei 2018  merupakan hari bersejarah bagi Malaysia kerana sebuah kerajaan baharu  iaitu Pakatan Harapan telah dibentuk setelah berjaya menyingkirkan kerajaan lama yang telah memerintah negara selama 61 tahun. Tsunami rakyat telah muncul dan menumbangkan kerajaan Barisan Nasional yang korup.  Kesengsaraan rakyat, penindasan, kemiskinan dan ketamakan para pemimpin Barisan Nasional serta ketidakpedulian mereka  terhadap nasib rakyat menyebabkan rakyat nekad untuk menumbangkan mereka.  Proses peralihan kuasa telah pun berjalan malam tadi dalam keadaan yang sangat aman.  Tahniah kepada rakyat Malaysia kerana sentiasa menjaga keamanan dan keharmonian negara.  Tahniah juga kepada kerajaan Barisan Nasional kerana akur dan menghormati keputusan rakyat.  Terima kasih juga atas khidmat dan bakti sebelum ini.

Terlakar juga dalam sejarah apabila keputusan PRU 14 sangat lambat diumumkan oleh SPR dengan pelbagai alasan yang tidak masuk akal.  Keputusan sepenuhnya hanya diumumkan sehingga jam 3.00 pagi.  Sungguh, hari ini dalam sejarah!  Menjadi sejarah juga apabila Tun Mahathir bin Mohamed, 93 tahun menjadi Perdana Menteri Malaysia kali kedua serta merupakan PM yang tertua di dunia.  Tahniah Tun!  Semoga Tun dan team kabinet baharu dapat  memulihkan negara seperti yang diharapkan oleh rakyat.

Proses angkat sumpah Tun Mahathir untuk menjadi PM Malaysia di hadapan YDPA mengalami sedikit kelewatan oleh sebab-sebab yang munasabah.  Alangkah sedihnya hati ini apabila membaca komen-komen penghinaan terhadap YDPA oleh manusia-manusia yang tidak cerdik, konon-kononnya YDPA sengaja melambat-lambatkan proses tersebut kerana bersekongkol dengan DS Najib dan tidak mahu melantik Tun sebagai PM.  Keji dan dangkal sungguh pemikiran mereka.  Hanya rakyat yang cerdik yang bisa memahami protokol pelantikan tersebut.  

CnP :

"Negara tercinta sudah tidak diperintah BN lagi.  Seperti kita merdeka sekali lagi.  Buat Kelantan, masih damai Serambi Mekahnya.  Buat Terengganu, moga bersinar Darul Imannya.  Saya syukuri semua ini.  Ya, buat PH yang mengasak lalu menang bergaya.  Tahniah kalian semuanya.  Buat BN yang direhatkan rakyat, terima kasih atas bakti yang baik sebelum ini.

Sungguh, menuju hari ini, PRU kali ini  paling emosi dan menguji.  Hakikatnya banyak hati tercalar tercarik rasa.  Ada ukhwah yang retak, persaudaraan yang dingin dan akhlak yang runtuh berkeping-keping dek perjuangan membangunkan negara.  Lalu, selepas hari ini, marilah kita pilih mencantumkan kembali.  Rawat dan baiki. Jaga kata-kata kita semua. Walaupun tidak mudah, namun kita cuba.  Ramadhan pun sudah hampir benar.  Kita mahu masuk ke madrasahnya dengan hati yang lapang dan sejahtera.  Atas segalanya, teruskan perjuangan dan perjalanan.  Fastabiqul khairat.  Kita hanya mahukan redha Allah pada helaan nafas yang berbaki.  Suhanallah"

(Saya tertarik dengan bait-bait yat yang digunakan oleh penulis, sebab itulah saya menyalinnya). 

Wednesday, March 7, 2018

Kejutan Hari Lahir Yang ke-48























Cerita tengah hari 6 Mac 2018..
Terima kasih anak-anak BM 2017 atas kejutan yang diberikan.  Cikgu betul-betul terharu kerana awak semua sanggup datang ziarah dan raikan birthday cikgu (5 Mac) di rumah cikgu (nasib baik rumah cikgu depan sekolah je) sambil bawa berita gembira untuk cikgu..result STPM 2017 yang cemerlang. Tahniah kepada awak semua. Semoga cita-cita awak semua untuk menjejakkan kaki ke menara gading idaman hati tercapai, insya-Allah.