TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Sunday, July 28, 2019

Forgive & Forget


Bismillah....

Dalam kehidupan kita, kita sentiasa diuji dengan pelbagai ujian. Antaranya, kita diuji oleh orang-orang di sekililing kita.  Kita mungkin dikhianati, difitnah, dicerca dan macam-macam lagi. Kesannya, hati kita terluka. Apabila kita cuba mencari penyelesaian, ramai orang di sekeling kita akan menasihati kita agar kita memaafkan orang yang bermasalah dengan kita itu dan melupakan apa-apa sahaja yang pernah dilakukannya kepada kita.. Kata mereka, 'forgive and forget'. Sungguh, memang mudah untuk mengatakannya, namun tidak semudah itu untuk  mengotakannya kerana kita manusia yang lemah dan banyak kekurangan.

Ramai yang berkata, sedangkan Nabi memaafkan umatnya, inikan pula kita. Ya, kita boleh sahaja memaafkan, namun untuk melupakan sesuatu yang telah menyakiti hati kita, kita memerlukan masa. Tidak bermaksud untuk terus berdendam, tetapi biarlah masa yang menentukannya, sampai bila kesakitan itu bisa menghilang kerana hanya masa yang boleh menyembuhkan luka di hati. 'Only time can heal the pain'.  

Memaafkan juga tidak bermakna kita akan bersikap seperti tiada apa-apa pernah berlaku.  Jarakkanlah diri kita dengan mereka sebagai tanda kita berwaspada agar pisang tidak berbuah dua kali, supaya kelemahan kita tidak dijadikan modal oleh mereka untuk mencerca kita sekali lagi pada masa akan datang. Berhati-hatilah agar kita tidak disakiti lagi untuk sekian kalinya.

Adab Kita


Bismillah...

Selagi kita bernama manusia, hidup kita memang terikat dengan adab. Adab kita  dipengaruhi oleh akal kita, manakala akal kita ditentukan oleh iman kita. Orang yang berakal dan beriman semestinya beradab. Namun begitu, orang yang banyak ilmu pengetahuan pun tidak semestinya berakal dan beriman jika adabnya ' ke laut.'  Dalam kehidupan seharian, kita di kelilingi oleh pelbagai jenis manusia yang mempunyai hubungan yang rapat dengan kita. Oleh itu, kita diwajibkan menjaga adab kita dengan orang -orang di sekliling kita.

Antaranya, adab berguru, hormatilah guru. Jangan sesekali biadap dengan mereka yang merupakan sumber ilmu kepada kita  dan mendidik kita di sekolah.  Namun begitu, guru juga janganlah berlagak' dewa'. Bercakaplah secara berhemah dan menggunakan bahasa yang sopan dengan para pelajar. Jangan menggunakan bahasa yang kasar, menengking dan meninggi suara dengan pelajar, kononnya  pelajar sudah maklum akan perangai kita. Siapa tahu,  dalam hati kecil mereka tersemat benci dan dendam yang berpanjangan.

Adab berteman, hormatilah teman. Usah mencerca dan memaki hamun teman di belakang mereka. Usah menyindir teman di hadapan mereka. Bercakaplah secara berhemah juga dengan teman-teman. Bergurau biar ada batasnya, jangan sampai mengaibkan teman. Jaga adab kita jangan sampai kita dipulaukan teman-teman dek sikap kita.

Saya menulis bukan kerana diri saya sempurna.  Saya juga banyak khilaf dengan pelajar-pelajar saya dan teman-teman saya. Segala yang saya tulis adalah atas kesedaran  diri saya sendiri dan sebagai peringatan untuk diri saya sendiri.  Jika bermanfaat kepada para pembaca, saya bersyukur. Nasihat yang baik kita kongsi-kongsikan, semoga Allah merahmati kita semua.



Friday, July 12, 2019

Dalam Doaku Ada Kalian

  





Mohammad Salleh bin Abd Rashid, Ridzuan bin Abu Bakar dan Mahyudin bin Abd Rani. 
Ketiga-tiga nama ini tidak begitu melekat dalam ingatan saya kecuali nama Ridzuan Abu Bakar kerana beliau dan saya sering juga bertegur sapa di facebook lama dahulu. Akan tetapi,  sejak tiga hari lepas sejak saya menerima pelawaan saudara Mohammad Salleh untuk menjadi rakan fb beliau dan beliau menegur saya melalui aplikasi messenger, barulah memori silam saya dengan mereka menerjah kembali dalam minda saya. Allahu akhbar, rupa-rupanya mereka juga bekas pelajar saya (batch 2000-2001) di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dahulu. Ramai lagi bekas pelajar saya dari sekolah yang sama dengan mereka yang masih berhubung dengan saya melalui fb sehingga sekarang, tetapi di sini saya ingin membuka semula lembaran nostalgia bersama-sama Mohammad Salleh, Ridzuan dan Mahyudin. Saya akui, dek peningkatan umur yang hampir mencecah separuh abad pada tahun hadapan, memori saya semakin sempit.  Semuanya ingat-ingat lupa tetapi jika diperhangat, memori itu kembali muncul sedikit demi sedikit sehinggalah saya ingat semula segala-galanya.

Semasa saya dapat berpindah dari Bukit Mertajam ke Ampang pada tahun 2001, saya dan suami tidak meminta bantuan sesiapa pun untuk mengangkat barang-barang kami. Kami hanya mengharapkan pemandu lori dan kelindan lori sahaja.  Namun begitu, Allah maha penyayang, Dia menghantar tiga orang pelajar lelaki saya untuk membantu kami. Mereka bertiga menawarkan diri untuk membantu kami mengangkat barang-barang  dari dalam rumah ke dalam lori. Sangkaan saya, setakat itu sahajalah mereka membantu kami, tetapi demi Allah, saya sangat terkejut apabila mereka mengatakan bahawa mereka mahu mengikut kami ke Ampang. Apabila saya bertanya adakah ibu bapa mereka mengetahui rancangan mereka itu, mereka menjelaskan bahawa ibu bapa mereka sudah pun memberi keizinan. Saya dan suami berfikir sejenak, mereka nak naik apa ke Ampang? Kereta Proton Saga kami penuh dengan anak-anak. Seperti memahami kegusaran kami, mereka bertiga menjelaskan bahawa mereka boleh sahaja menaiki lori. Saya dan suami hanya berpandangan sesama sendiri. Merka bertiga hanya tersenyum ikhlas. Akhirnya mereka bertiga duduk di bahagian belakang lori, duduk di atas kotak-kotak barang kami. Allahu, kasihannya mereka. Akhirnya kami bertolak ke Ampang. 

Kami sampai di rumah sewa saya di Hulu Langat pada  lewat petang. Pada ketika itu bulan Ramadan. Kami hanya berbuka puasa dengan membeli makanan di bazar Ramadan. Pada malam itu mereka bertiga tidur di rumah baharu  kami. Keesokan harinya, saya dan suami tidak sempat untuk membawa mereka berjalan-jalan di Kuala Lumpur kerana kami kepenatan, jadi suami hanya memberi duit kepada mereka dan meminta mereka pergi berjalan-jalan di Kuala Lumpur bertiga.  Seharian mereka ronda-ronda di Kuala Lumpur di bulan Ramadan. Harap-harap mereka seronok. Sebelum waktu berbuka, mereka pulang ke rumah saya dan selepas berbuka, suami saya menghantar mereka ke stesen bas kerana pada malam itu juga mereka akan bertolak balik ke Bukit Mertajam. Kami akhirnya berpisah di situ.  

Masa berlalu. Kenangan itu semakin kabur dari memori ingatan saya, namun Alhamdullilah, kini saya mengingatinya kembali setelah bersembang dengan Mohammad Salleh melalui aplikasi messenger.  Beberapa tahun dahulu, saya juga pernah bersembang dengan Wan tentang kenangan ini. Saya hanya belum berkesempatan bersembang dengan Mahyudin. Mereka bertiga kini sudah berusia 37 tahun. Alhamdulillah, mereka kini sudah menjadi orang berjaya dan punya keluarga bahagia.  Wan seorang guru di Sabah, Mohammad Salleh, pegawai polis di Ipoh dan Mahyudin, pegawai di Kementerian Penerangan.  Saya bahagia dan terharu apabila mengetahui mereka sangat menyayangi saya. Menurut Mohammad Salleh lagi, mereka sanggup mengikut saya ke Ampang kerana mereka sayang akan saya.  Katanya lagi, menaiki lori merupakan suatu pengalaman yang menyeronokkan bagi mereka tetapi dalam masa yang sama, mereka sedih kerana guru 'feberet' mereka berpindah.  Alahai, saya pun sangat sedih dan berat hati untuk berpindah ke Ampang, namun demi keluarga saya turutkan..  

Kepada Ridzuan, Mohammad Salleh dan Mahyudin, cikgu mengucapkan ribuan terima kasih kepada kalian bertiga.  Hanya Allah yang mampu membalas jasa baik kalian bertiga kerana sanggup bersusah payah untuk cikgu dan keluarga cikgu. Ikhlas dan sucinya hati kalian, membantu cikgu tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Bertuahnya ibu bapa kalian kerana melahirkan anak-anak sebaik kalian.  Cikgu juga mohon maaf andai ada kekurangan layanan kami terhadap kalian semasa kalian bertiga berada di rumah cikgu dahulu.. Kepada bekas pelajar-pelajar cikgu yang lain, andai ada momen-momen indah yang pernah kita lalui bersama-sama namun tidak terungkap atau tertulis oleh cikgu di dada Kristal Bening, cikgu mohon maaf.  Mungkin masanya akan tiba jua nanti, insyaAllah.