TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Thursday, December 29, 2016

Susahnya Menjaga Ikhlas


Bismillah...


         Saya pernah mendengar satu kuliah subuh yang bertajuk "Susahnya Menjaga Ikhlas" oleh Ustaz Hafiz (IKSIM).  Menurut beliau, ramai dalam kalangan kita sentiasa merungut semasa melakukan kerja seharian kita, bersedekah atau sebagainya.  Apa-apa sahaja perbuatan kita yang kita lakukan kemudian kita rungutkan, maka hilanglah segala keikhlasan tersebut, maka sia-sialah juga pekerjaan kita itu kerana tiada pahala yang kita peroleh.  Suka saya mengaitkan situasi tersebut dengan pekerjaan guru kerana saya sendiri seorang guru.  Ada guru-guru yang merungut dan membebel apabila diberi tugasan atau tanggungjawab dalam sesuatu program atau majlis. 

      Ada juga guru-guru yang merungut dan membebel apabila menerima jadual 'relief' atau ganti.  Mereka siap mempertikaikan kenapa guru yang tidak hadir itu 'tidak hadir' dan mereka pula yang terpaksa menggantikan guru tersebut.  Dek terpaksa, mereka masuk juga ke kelas ganti atau melakukan juga kerja yang diamanahkan, tetapi mulut mereka bising merungut dan membebel. Di sinilah wujud perbuatan sia-sia kerana mereka melakukan kerja tersebut tanpa keikhlasan. Pahala tercicir, dosa pula yang dapat. Pada saya, kenapa guru yang sama tidak hadir setiap minggu dan kenapa begitu senang mereka mengambil 'mc', pasti ada sebab musababnya.  Kalaupun guru tersebut menipu, itu urusan mereka dengan Allah.  Biar Allah sahaja yang menghukum mereka nanti. Kita yang menerima 'relief' seharusnya masuk sahaja ke kelas ganti kerana itu tanggungjawab kita.  

      Keadaan yang sama apabila kita membantu  orang atau bersedekah.  Andai kata kita melakukannya tanpa sifat ikhlas dan redha, maka sia-sialah sahaja kebaikan kita itu. Contohnya, apabila kita membantu atau memberikan sesuatu kepada seseorang dan orang itu tidak mengucapkan ucapan terima kasih kepada kita sebagai balasannya, maka terdetiklah di dalam hati kita ayat sebegini. "Sombongnya dia, dah dibantu atau diberi sesuatu, langsung tak ucap terima kasih."  Dalam keadaan ini, pemberian atau pertolongan kita sudah dianggap tidak ikhlas, maka sia-sia sahajalah pertolongan atau pemberian kita itu. 

     Akhir kalam, jagalah hati dan mulut kita agar segala perbuatan kita tidak sia-sia di sisi Allah.  Andai kata terkeluar juga dari mulut kita rungutan atau bebelan tanpa kita sedari, cepat-cepatlah beristighfar. Semoga kita sentiasa menjaga niat dan keikhlasan kita agar kita memperoleh pahala dalam setiap perbuatan atau pekerjaan kita.  Segala yang saya kongsikan ini diharap dapat menjadi pengajaran kepada saya dan para pembaca sekelian agar kita sama-sama sentiasa memuhasabah diri kita.

Monday, December 26, 2016

Pak Long



Malam itu seusai solat Isyak, telefon bimbit Rita berbunyi.  Rita tidak sempat menjawabnya kerana baru sahaja dia hendak bangun dari sejadah, telefon bimbitnya berhenti berbunyi.  Beberapa saat kemudian, telefon bimbitnya berbunyi lagi.  Rita segera mencapai telefon bimbitnya dan melihat nombor yang tertera.  Nombor baharu yang tidak dikenalinya.

"Hello?"
"Hello, assalamualaikum Rita."
"Waalaikumsalam.  Siapa ni?"
"Ini Mak Long, Rita."
"Oo Mak Long, nombor baharuke?"
"Tak, ini nombor adik Mak Long.  Telefon Mak Long tak ada kredit."
"Oh ya ke..  Mak Long dan Pak Long apa khabar?"

Tiba-tiba sahaja kedengaran Mak Long teresak-esak di hujung talian.  Rita sedikit cemas.


"Mak Long, kenapa ni?" Tanya Rita berhati-hati.



Mak Long tidak segera menjawab pertanyaan Rita.  Rita mengerti, mungkin dia sedang beusaha menahan tangisnya.  Rita cuba bersabar walaupun dia sendiri berasa tidak sabar untuk mendengar jawapan Mak Long.  Beberapa saat kemudian, barulah Mak Long berkisah dengan suara yang tersekat-sekat.   Rupa-rupanya  Pak Long sudah dibawa oleh anak-anaknya ke rumah jagaan orang tua di Petaling Jaya.  Segalanya bermula apabila Mak Long jatuh sakit  secara tiba-tiba seminggu selepas Rita, anaknya Lokman serta abang sepupunya Yunus menziarahi Pak Long dan Mak Long sebulan yang lepas di kampung.  Mak Long sakit kaki dari pinggang ke lutut menyebabkan dia tidak boleh berjalan. Dalam keadaanya yang uzur itu, tentu sahaja dia tidak dapat menjaga dan menguruskan Pak Long yang sedang terlantar.  Lalu Mak Long meminta anak-anak Pak Long mengambil dan menjaga Pak Long buat sementara waktu kerana Mak Long hendak berubat dan tinggal sementara waktu dengan adiknya di Shah Alam.  Menurut Mak Long, yang sangat menyedihkan Mak Long ialah anak-anak Pak Long menuduhnya sengaja tidak mahu menjaga Pak Long lagi.  Mereka merampas kad pengenalan Pak Long  dan apabila Mak Long meminta kad pengenalan itu, anak Pak Long yang bernama Zaki bersumpah tidak akan menyerahkannya kepada Mak Long untuk selama-lamanya.  

Menurut Mak Long, sejak Mak Long sihat semula, setiap hari Mak Long menziarahi Pak Long di rumah jagaan orang tua itu, menemani Pak Long dari pagi hingga petang.  Mak Long pergi ke tempat Pak Long dengan menaiki teksi dan kadang-kadang memandu sendiri.  Mak Long memohon kepada anak-anak Pak Long agar  membawa Pak Long balik ke rumah Mak Long semula tetapi tidak dizinkan oleh Zaki adik-beradik.  Mak Long juga sangat sedih kerana menurutnya, pusat jagaan orang tua yang didiami oleh Pak Long itu kepunyaaan orang non-muslim dan pekerja-pekerjanya semuanya non-muslim. Mak Long bimbang jika Pak Long diberi makanan yang tidak halal dan dilayan dengan layanan yang tidak sepatutnya.  Menurut Mak long lagi, setiap kali Pak Long hendak makan, Mak Long akan membacakan doa ke telinga Pak Long, tetapi di sana, siapa yang akan melakukan yang sama untuk Pak Long?

Rita turut berasa risau mendengar cerita Mak Long.  Dia hanya mampu menasihati Mak Long agar bersabar dan berdoa kepada Allah agar segalanya dipermudah oleh-Nya. Kasihan Pak Long, kenapa anak-anaknya sanggup bertindak sebegitu kepada Mak Long dan menghantar Pak Long ke rumah jagaan orang tua? Rita bermonolog di dalam hati.  Setelah selesai bercakap dengan Mak Long di telefon, Rita terus menelefon ibunya di kampung.  Ibu Rita ialah adik bongsu Pak Long, manakala Mak Long ialah isteri ketiga Pak Long, yang dinkahinya selepas kematian Mak Long yang sebenar. dan selepas berpisah dengan isteri keduanya.  Segala yang diceritakan oleh Mak Long kepada Rita, disampaikan pula kepada ibunya.  Apabila ibu Rita menelefon Zaki, Zaki menafikan segalanya. Entahlah.


Dua minggu kemudian, Rita menerima mesej daripada Mak Long. Mak Long meminta bantuan Rita dan suaminya agar membawa Pak Long ke pejabat pembayaran pencen kerana Mak Long mahu mengeluarkan wang pencen Pak Long yang sudah dua bulan tidak diambil kerana kad pengenalan Pak Long dirampas oleh Zaki.  Pilihan lain yang ada adalah dengan cara Pak Long menggunakan cap ibu jarinya untuk mengeluarkan wang pencennya. Rita terkedu membaca mesej daripada Mak Long, "Haish, biar betul Mak Long ni, macam mana nak angkat Pak Long," detiknya di dalam hati.  Rita mula berasa tidak sedap hati lalu terus menelefon Mak Long.


"Mak Long, Rita minta maaf, Rita dan Alif tak dapat bantu Mak Long.  Kesian  Pak Long kalau nak diangkat dan dibawa ke pejabat pembayaran pencen tu.  Pak Longkan uzur dan tak boleh berjalan, lagi pun kami takut nanti ketahuan oleh Zaki, kami pula yang kena marah sebab bawa Abah mereka yang terlantar tu keluar dari pusat jagaan tu," ujar Rita dengan berhati-hati, mengharapkan pengertian Mak Long.


Mak Long mula menangis di hujung talian.  Rita juga mula berasa serba salah mendengar suara tangisan Mak Long.


"Tapi Rita, kalau duit tu tak dikeluarkan, bila tamat tempohnya, duit itu akan dibekukan," ujar Mak Long  pula sambil teresak-esak.

"Biarlah Mak Long, pedulikanlah duit tu, kesian Pak Long tu nak diusung-usung nanti."
"Itulah, adik-beradik Mak Long pun cakap yang sama,"
"Ha, betullah tu Mak Long, tak payahlah nak susahkan Pak Long, kesian Pak Long", ujar Rita lagi
"Tapi Rita, kalau duit tu tak dikeluarkan, maksudnya Pak Long tak bagi nafkah kepada Mak Long," ujar Mak Long pula.  Rita sedikit terkejut dengan kata-kata Mak Long.  Duit lebih penting daripada Pak Long ke? Desisnya sendiri.

"Mak Long, halalkan sajalah nafkah itu. Bukannya Pak Long sengaja tak nak bagi, tapi Pak Longkan uzur dan duit tu tak dapat dikeluarkan seperti biasa.  Takkanlah Mak Long sanggup menyusahkan Pak Long hanya kerana duit nafkah itu?"


"Yalah Rita, Mak Long akan dengar nasihat Rita dan adik-beradik Mak Long.  Mak Long halalkan duit tu," perlahan sahaja suara Mak Long pada pendengaran Rita.


"Ya, itulah yang sebaiknya Mak Long", ujar Rita lagi.


Mak Long akhirnya memberi salam dan mengakhiri perbualan mereka.  Rita termenung sejenak.  Dia tidak menyangka Mak Long begitu berkira tentang duit nafkahnya dalam keadaan Pak Long yang uzur begitu.


                                                            ***************


Dua bulan kemudian, semasa Rita sedang menonton TV bersama anak-anaknya pada petang itu, Rita menerima lagi mesej daripada Mak Long.


"Anak-anak Pak Long nak suruh Mak Long bawa Pak Long balik ke Ijok, tetapi Mak Long tak bersedia lagi.  Lagi pun dia tak dapat bagi apa yang Mak Long syaratkan.  Mak Long pun tak sihat semula setelah mengetahui yang microwave yang digunakan untuk memanaskan makanan untuk Pak Long digunakan untuk memanaskan makanan haram selama lima hari.  Selama tiga bulan, itu yang Mak Long khuatirkan, ternyata Allah tunjukkan, tapi bila diberitahu, anak-anak Pak Long marahkan Mak Long dan kata Mak Long buat fitnah dan tohmahan."


Rita mengeluh kecil.  Dia jadi rimas dengan Mak Long. Apa lagi ni, detiknya di dalam hati.  Rita malas untuk membalas mesej itu.  Rita termenung sejenak.  Dia berfikir-fikir sendiri.  Sebaiknya dia sendiri pergi menziarahi Pak Long. Sejak Pak Long dimasukkan ke rumah jagaan orang tua 'The Aged Care @ My Manor', Petaling Jaya, belum pernah sekali pun dia menziarahi Pak Long.  Anak saudara apa macam ni, memang tak patut!, Rita menyalahkan dirinya, tetapi dia juga mempunyai alasan sendiri.  Bukan dia tidak mahu menjenguk Pak Long, tapi sebenanya dia belum berkesempatan untuk berbuat demikian  kerana ada sahaja hal pada hari minggu.  Rita kemudiannya mendapatkan Alif yang sedang memberi makan ayam seramanya di halaman rumah.


"Abang, esok kita pergi ziarah Pak Long ya?  Mak Long mesej tadi, mengadu lagi pasal anak-anak Pak Long.  Kesian Mak Long."


"Yalah,", jawab Alif sepatah sambil memandang Rita sekilas.


 Pada keesokan harinya,  Rita, Alif dan anak sulongnya  menziarahi Pak Long di rumah jagaan orang tua 'The Aged Care @ My Manor'. Pusat jagaan  itu terletak di belakang Hospital Assunta, Petaling Jaya.  Tidak susah untuk mencari lokasinya kerana Aliff menggunakan waze.  Rita keluar dari kereta dan mengamati rumah banglo dua tingkat itu. Rumah banglo dua tingkat itu agak besar pada hemat Rita.  Rita, Alif dan Lokman disambut oleh seorang lelaki warga emas di pintu pagar banglo itu. Lelaki berbangsa India  itu pastinya warga emas penghuni rumah tersebut, bukannya pekerja di situ, Rita berkira-kira sendiri.  Uncle tersebut menjemput Rita, Alif dan Imran masuk.  Di muka pintu banglo pula, mereka bertiga di sambut dua orang gadis yang berumur dalam lingkungan 20-an. Setelah memberitahu tujuan mereka ke situ, salah seorang gadis tadi yang juga pekerja di situ membawa Rita, Aliff dan Lokman masuk dan menuju ke bilik atas yang dihuni oleh Pak Long.  Rita memerhati seluruh banglo itu.  Terdapat beberapa warga emas sedang berehat-rehat di sofa menonton tv, sementara dua orang gadis itu tadi dudut di suatu sudut. Di suatu sudut di tepi dinding di kaki tangga, terdapat sebuah meja yang menenpatkan patung Kristian.  Untuk menaiki tangga ke bilik atas, Rita terpaksa melintasi meja patung tersebut.  Keadaan rumah itu kelihatann kemas dan amat bersih.


Rita dibawa ke bilik Pak Long.  Terdapat dua katil bujang di dalam bilik itu.  Satunya katil Pak Long, manakala satu lagi katilnya kosong.  Rita mendapatkan Pak Long dan mencium dahi Pak Long. Sebuah radio kecil yang mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran diletakkan di tepi telinga kanan Pak Long.  Pak Long kelihatannya sedang nyenyak tidur kerana dia tidak memberi tindak balas apabila Rita memegang dan mengusap-ngusap tangan Pak Long.  Sesekali kedengaran dengkuran Pak Long yang agak kuat.  Rita membelek kedua-dua lengan Pak Long.  Kelihatan tangannya merah seperti pecah darah namun Pak Long kelihatan agak bersih. Rita membisikkan  syahadah ke telinga Pak Long beberapa kali. Kemudiannya Rita, Aliff dan Lokman membaca surah Yasin untuk disedekah kepada Pak Long.  Setelah berdoa dan agak lama di  duduk sisi Pak Long, Rita mengajak Aliff dan Lokman beredar.  Rita, Aliff dan Lokman bergilir-gilir mengucup dahi Pak Long sebelum beredar. Setelah turun dari tingkat atas, Aliff dan Lokman terus beredar ke luar banglo itu, namun Rita mendapatkan gadis yang menyambut mereka di muka pintu tadi.


"Dik, akak nak tanya sikit, macam mana keadaa Atuk tu sebenarnya?"

"Dia sihat.  Dia tengah tidur tu sebab baru lepas makan tengah hari."
"Oh ya ke..?"
"Dia kenal orang lagi ya?"
"Kenal,"
"Owner rumah ini bukan muslimkan?"
"Ya, orang India, juga seorang doktor."
"Siapa yang masak di sini?"
"Pekerja Filipina"
"Halalke?"
"Halal Puan, kami semua pun makan di sini.  Barang mentah semua di beli di pasar raya dekat sini.
"Berapa orang pekerja kat sini?"
"20 orang. 10 muslim dan 10 bukan muslim".
"Awak semua ni diberi kursuske untuk jaga orang tua kat sini?"
"Puan, kami ni nurse."
"Oh ya ke?" Rita termalu dengan pertanyaannya sendiri.
"Kerja kat sini gaji mahal ya?" Rita sekadar menduga, cuba mengorek rahsia.
"Bolehlah," jawab gadis itu sambil tersenyum.
"Suka ke kerja kat sini?"
"Kerja kat sini mudah Puan.  Jaga orang tua je, lagi pun kami disediakan asrama.  Di hospital banyak kerja, tak menang tangan dibuatnya."
"Kenapa tak pakai uniform?"
"Hari ni hari Ahad, jadi kami bebas pakai apa-apa pun."
"Owh ya ke...maaflah akak banyak bertanya, sebab saya dengar macam-macam aduan daripada isteri Atuk tu."
"Tak apa puan, kami faham.  makcik tu memang begitu, Kalau datang sini suka marah-marah kami dan kata kami bagi Atuk makanan tak halal."
"Tapi dia mengadu makanan Atuk dipanaskan dalam microvawe yang sama untuk memanaskan makanan tak halal."
"Taklah Puan.  Makcik tu sengaja buat cerita.  Kami dah buat stiker untuk mikrovew makanan halal dan tak halal."
"Harapa-harap tak berlakulah apa yang makcik adukan tu." Rita berasa agak lega mendengar penjelasan jururawat itu.
"Taklah puan."
"Makcik tu kalau datang, lamake?"
"Biasanya dia datang pagi sampai petang, menemani Atuk.  Pernah suatu hari dia tak benarkkan kami bagi makanan kepada Atuk sebab dia nak bawa makanan sendiri.  Lama kami tungggu, tapi dia tak datang-datang, jadi kami bagilah Atuk  makan sebab Atuk dah lapar."
"Ya ke? Anak-anak Atuk ada datang?"
"Ada juga tapi sekadar hantar pampers dan barang keperluan Atuk sahaja."
"Berapa bayaran sebulan Atuk di sini?"
"Kami tak tahu puan, sebab itu urusan bahagian kewangan.  Kerja kami hanya menjaga penghuni di sini. Kat sini kami akan periksa pampers Atuk dua jam sekali.  Makan lima kali sehari.  Seminggu sekali ada doktor datang untuk merawat dan memeriksa keadaan penghuni di sini atau kami bawa mereka dengan van ke hospital. Kami juga mandikan Atuk di bilik air."
"Dia tak membantahke?"
"Dia ok je, lagi pun kalau asyik lap sahaja, Atuk pun tentu rasa rimas."
"Atuk pernah meragam?"
"Kadang-kadang je dia panggil nama Ros...mungkin makcik tulah"
"Yalah tu," balas Rita mengeyakan.
"Awak tengking-tengking Atuk tak?"
"Eh, taklah puan, cuma adalah kami tinggikan suara sikit kalau Atuk tak dengar."
"Terima kasihlah atas penjelasan awak ya.  Akak ni anak sedara atuk, jadi risau jugalah dengar aduan yang macam-macam daripada makcik."
"Tak apa puan, kami faham."
"Oklah, saya minta diri dulu ya. Terima kasih kerana jaga Atuk."
Nurse itu hanya mengangguk.  Rita segera mendapatkan Aliff dan anaknya yang sejak tadi menunggunya di luar rumah lalu mereka terus beredar pulang.  Rita berasa lega melihat sendiri keadaan Pak Long dan mendengar penjelasan jururawat itu tadi.  Semoga segala aduan Mak Long tentang pusat jagaan itu tidak benar. Di dalam kereta, Rita terus menelefon emaknya di kampung dan menceritakan segala yang dilihat dan didengar di pusat jagaan itu.

                                       *********************


Pagi itu, sewaktu Rita sedang berehat-rehat di atas sofa sambil membaca facebooknya,  Rita terbaca status sepepunya iaitu Mariah, anak kedua Pak Long yang meminta rakan-rakan facebooknya agar mendoakan kesihatan Pak Long.  Rupa-rupanya Pak Long telah dimasukkan ke hospital kerana sesak nafas dan keadaan Pak Long dikhabarkan agak kritikal. Rita terus menelefon Aliff dan meminta izin daripada suaminya untuk menziarahi Pak Long di hospital pada petang itu dengan anak-anaknya. Aliff bekerja dan tidak dapat bersama-sama Rita untuk menziarahi Pak Long.  Semasa Rita dan anak-anaknya sampai di wad Pak Long, tiada sesiapa menemani Pak Long.  Rita mencium dahi Pak Long dan membacakan syahadah ke telinga Pak Long beberapa kali.  Pak Long yang diberi bantuan pernafasan membuka mata dan memandang ke arah Rita. Rita tersenyum kepada Pak Long.  Setelah agak lama duduk di sisi Pak Long, Rita dan anak-anaknya mula beredar.  Semasa dia melalui kerusi pelawat, Rita ternampak sepupunya iaitu anak keempat Pak Long.  Menurut Rahman, keadaan Pak Long sudah stabil.  Mereka juga berbual agak lama sambil bercerita macam-macam.  Rupa-rupanya anak-anak Pak Long sedang berkrisis dengan Mak Long.  Semua yang buruk tentang Mak Long diceritakan oleh Rahman.  Rita agak terkejut mendengar cerita Rahman tentang Mak Long.  Betulkah Mak Long bersikap begitu seperti yang diceritakan oleh Rahman?  Sedikit sebanyak Rita terpengaruh oleh cerita Rahman dan mula menyebelahi Rahman. Tiba-tiba sahaja dia berasa marah akan Mak Long. Beberapa lama kemudian, Rita dan anak-anaknya meminta diri untuk pulang.


                                  **************************


Beberapa hari selepas Rita menziarahi Pak Long di hospital, Rita terjaga dari tidur pada pukul 4.00 pagi kerana dikejutkan oleh deringan telefon bimbitnya.  Rita duduk di atas katil sambil melihat skrin telefonnya.."Abang Rahman."  Melihat nama itu di skrin telefon bimbitnya, Rita sudah dapat mengagak berita yang akan diterimanya.


"Hello!"

"Hello Rita, assalamualikum..Abang Man ni."
"Walaikumsalam."
"Abah dah meninggal pukl 3.30 pagi tadi."
"Innalilillahhiwainnahirajiun"
"Abang Man kat mana?"
"Masih di hospital."
"Nanti sampaikan berita ni kepada mak Rita ya"
"Ya insya-Allah."

Menurut Rahman, jenazah akan dikebumikan di Taman Tun, di sebelah kubur arwah Mak Long. Sejurus kemudian, Rita terus menelefon Abah dan Uminya di kampung, menyampaikan berita tentang kematian Pak Long.  Umi menerima berita itu dengan tenang.  Kemudian Rita mengirim whatsapps pula kepada adik-beradiknya serta sepupu-sepupunya yang berada di sekitar Kuala Lumpur seperti mana pesanan abang Rahman.  Pada  pukul 7.05 pagi, Rita menerima lagi berita dari pada Rahman bahawa jenazah Pak Long akan dibawa pulang ke Ijok.


Pagi itu, lebih kurang pukul 11.00 pagi, Rita, Aliff dan tiga orang anak mereka bertolak ke Ijok. Dalam perjalanan mereka ke sana, Rita mendapat berita bahawa jenazah Pak Long sudah pun dikebumikan di Tanah Perkuburan Ijok pada jam 10.30 pagi.


"Eh, cepatnya?" Ngomel Rita sendiri.  Dia agak terkejut kerana terlalu cepat proses pengebumin dilakukan.  Dia baru sahaja bertolak. Lebih kurang jam 12.30 tengah hari, mereka sampai di rumah Mak Long di  Batu 7, Jalan Saga, Ijok.  Kelihatan  beberapa orang tetamu sedang berbual-bual dengan Rahman di beranda luar rumah Mak Long.


"Assalamualaikum," Rita memberi salam

"Waalaikumsalam...jemput masuk Alif, Rita.." Alif dan anak lelaki Rita bersalaman dengan Rahman dan Fauzi.

"Dah selesai ke proses kebumi?" Tanya Rita

"Semuanya dah selesai." jawap Rahman
"Cepat ya?"
"Ya.cepat sangat," Kedenagaran nada suara Rahman agak sinis.
"Siapa ada kat dalam?" Soal Rita lagi.
"Sarah, Linda dan makcik,.. masuklah Rita."
"Rita masuk dulu ya"

Alif duduk di samping Rahman manakala Rita dan anak-anak masuk ke dalam rumah.  Di ruang makan, kelihatan Mak Long, Sarah dan Linda iaitu isteri Rahman sedang berbual-bual.  Rita dan anak-anak perempuannya bersalam dengan Sarah, Linda dan Mak Long.  Rita bertanya itu dan ini kepada Mak long.  Mereka berbual-bual tentang banyak perkara.  Mak long kelihatan tenang sahaja. Setelah masuk waktu zohor, Rita solat zohor di bilik arwah Pak Long.  Dia berasa kehilangan Pak Long.  Dulu, di katil itulah Pak long terlantar selama tiga tahun.  Setelah itu Rita keluar ke beranda rumah, berbual-bual pula dengan Sarah. Mak Long mencelah, memberitahu bahawa memang budaya di kampung itu, jenazah cepat dikebumikan.


"Mak Long, pada Rita, sepatutnya orang kampung kena faham bahawa anak-anak yang jauh nak balik nak tengok wajah ayah mereka kali terakhir, bukannya simpan lama pun, sekadar selepas zohor sahaja." Rita mencelah.


"Tapi Rita, takkanlah Mak Long yang nak kena cakap kepada orang kampung.  Sepatutnya Rahman Hassan dan Hussinlah yang beritahu orang kampung supaya tangguhkan dulu, tapi bila Mak Long tanya Hassan, mereka kata go ahead."


"Tak apalah Mak Long, mungkin semua ni  berlaku sebab misscomunication," Jelas Fauzi tiba-tiba. Mungkin dia tidak mahu Mak Long berasa bersalah. Rita tiba-tiba berasa bersalah pula kerana berkata demikian kepada Mak Long.


Pada ketika itu, Halil, adik Rita dan isteri dan anak-anak sampai.  Beberapa lama kemudian, Alif memberi isysrat kepada Rita untuk beredar.  Rita  masuk ke dalam bilik Mak Long untuk bersalam dengan Mak Long.  Kebetulan Mak Long baru sahaja selesai solat Zohor, lalu Rita mendapatkan Mak Long.


"Mak Long, Rita dah nak balik ni." Ujar Rita sambil bersalam dan menghulurkan sekeping not RM 50 ke dalam genggaman Mak Long.  Mak Long mengangguk sambil mengucapkan terima kasih dalam suara yang perlahan, tetapi tiba-tiba sahaja air mata Mak Long mengalir.


"Kenapa ni Mak Long?"

"Mak Long minta maaf ya Rita, sebab Rita tak sempat tengok jenazah Pak Long." Mak Long tiba-tiba terisak-isak.  Rita semakin rasa bersalah.  Mungkin Mak Long tersinggung dengan pendapatnya tadi.

"Tak apa Mak Long."

"Rita, Mak Long sedih.  Zaki baru saja mesej dan marah Mak Long."  Rita sedikit terkejut.
"Rita bacala sendiri mesej tu."
"Mana hp Mak Long?"
"Hp Mak Long atas almari tu. pergilah ambil."
Rita segera bangun dan mengambil telefon bimbit Mak Long dan menyerahkan kepada Mak Long . Mak Long membuka telefon bimbitnya dan menghulurkannya kepada Rita, lalu dia membaca mesej daripada Zaki.

"Celakalah kau makcik, saya bagi duit untuk keluarkan Abah, tapi tak boleh tunggu saya. Staf dan directors datang tapi Abah dah dikebumikan..malu saya. Sebagai anak, saya sangat sedih. Peduli sangat pasal orang kampung kenapa? Bukan bapak mereka pun. Semoga Allah makbulkan doa saya anak yang teraniaya.."


Rita terkedu sebaik sahaja membaca mesej tersebut. Rita cuba menyabarkan Mak Long sambil mengusap bahu Mak Long yang semakin deras air matanya mengalir.


"Sabarlah Mak Long, Mak Long dah buat yang terbaik.  Hanya  Allah yang maha mengetahui.'" pujuk Rita.


"Mak Long tak buat keputusan sendiri.  Tadi Mak Long dah serahkan keputusan kepada Hussin. Mak Long dah tanya,  macam mana sekarang, Hussin kata go ahead, jadi Mak Long ikut jelah.  Tadi Rahman marahkan Mak Long, tapi tadi kenapa dia dan Hussin tak tahan khariah masjid simpan jenazah Pak Long? Kenapa lepas dah selesai baru nak salahkan Mak Long?"  Air mata Mak Long semakin deras mengalir.


"Mak Long, sebagai anak, mungkin mereka rasa terkilan sebab tak sempat nak tengok wajah arwah ayah mereka untuk kali terakhir, tapi Mak Long dah pun tanya merekakan? Jadi biar jelah Mak Long. Sabar ya Mak Long, Allah maha mengetahui." Setelah bersalaman dan memeluk Mak Long, Rita meminta diri untuk pulang.


Sepanjang perjalanan pulang, Rita banyak termenung memikirkan kemelut yang telah berlaku dalam keluarga arwah Pak Long.  Dia cuba berfikir secara rasional tentang cerita kedua-dua belah pihak iaitu pihak Mak Long dan pihak anak-anak arwah Pak Long.  Rita bermonolog sendiri. Padanya, dalam sesebuah keluarga, pasti ada perasaan tidak puas hati antara satu sama lain, tetapi sepatutnya anak-anak arwah Pak Long redha dan berterima kasih kepada Mak Long kerana telah menjaga ayah mereka selama 14 tahun. Sebagai anak-anak yang berduit, tidak perlulah berasa angkuh bercerita kepada orang ramai bahawa mereka menghantar ayah mereke ke rumah jagaan orang tua yang paling mahal.  Sepatutnya mereka membawa ayah mereka yang uzur itu ke rumah mereka, menggajikan seorang jururawat untuk menjaga ayah mereka dan membawa emak tiri mereka bersama-sama.  Tidak perlulah sombong kononnya banyak duit. Mereka sebagai anak, sanggupkah mereka menjaga ayah mereka sendiri? Sebusuk-busuk dan sejahat-jahat emak tiri, dia isteri ayah mereka, yang telah menjaga ayah mereka selama 14 tahun walaupun tidak begitu sempurna.  Sebagai anak, mereka sendiri tidak sanggup menjaga ayah mereka yang uzur, jadi kenapa harus terus-menerus menyalahkan Mak Long?


Alif yang sejak tadi berdiam diri, tiba-tiba memberitahu Rita bahawa anak-anak Pak Long mahu memboikot majlis tahlil arwah Pak Long pada malam itu.  Rita hanya mampu mengeluh dan beristigfar.  Dia sendiri tidak tahu siapa sebenarnya yang berada di pihak yang benar.  Hanya Allah yang maha mengetahui segalanya. Rita hanya mampu berdoa agar anak-anaknya tidak bersikap seperti anak-anak arwah Pak Long.  Semua yang berlaku menjadi satu pengajaran kepada dirinya dan anak-anaknya.  Semoga anak-anaknya menjadi anak-anak soleh dan solehah yang sanggup menjaga dia dan suaminya kelak, insya-Allah.



Saturday, December 17, 2016

Guru Oh Guru



Bismillah..

Semalam saya sempat berbual-bual dengan kakak sepupu saya semasa melawat bapa saudara kami.  Banyak yang kami bualkan, maklumlah sudah lama tidak bertemu.  Berjumpa sekali-sekala pasti ada sahaja isu yang kami bualkan. Antaranya tentang peranan dan tanggungjawab seorang guru.  Sebenarnya saya sendiri sudah lupa bagaimana isu itu boleh dibangkitkan oleh kakak sepupu saya itu. 

“Sorry to say, I memang tak respect guru sekarang.  Sikap mereka tidak memperlihatkan sikap seorang guru yang sejati.  Suka melabel anak-anak murid mereka dengan label negatif dan menyebarkannya pula kepada guru-guru atau pelajar-pelajar lain dari mulut ke mulut dan bercakap tentang pelajar itu beberapa lama. As their mother and the child themselve what do you think they will feel?“

“Tak semua guru macam tu, " saya mencelah.

“Yes, tak semua, mungkin sebilangan kecil sahaja tetapi unfortunately, anak I  berdepan dengan guru-guru sebegitu.” 

Saya hanya mengangguk, membiarkan sahaja beliau meneruskan ceritanya, meluahkan perasaannya yang terbuku terhadap guru-guru kepada anaknya.  Mungkin anaknya mengalami pengalaman pahit semasa di sekolah.

“Seorang guru sejati bukan setakat seorang guru yang melakukan tugasnya setakat yang dibayar gajinya.  Guru itu bukan setakat mengajar apa yang ada dalam silibus, tetapi seharusnya memahami pelajar-pelajarnya,  mengambil berat, mencari penyelesaian kepada pelajar-pelajarnya yang bermasalah dalam pelajaran, beri motivasi dan lain-lain.  Kalau macam tu, barulah guru-guru wajar dijulang dan dikenang, ini tidak, guru entah apa-apa, setakat mengajar di dalam kelas  menghabiskan silibus but doing nothing more,  tapi sibuk nak suruh mereka dikenang dan dijulang, patutke?”

Saya hanya tersenyum pahit.  Saya tidak mahu terus berhujah dengannya kerana beliau belum habis bercerita.

“I as a banker, also do more than what I was paid. I buat semua tugas-tugas I sebagai banker, then kalau ada customer I ada masalah, I cuba bantu dan cari penyelesaian untuk mereka.  That is what I mean  you do your work more than what you were paid."

“My daughter, kat sekolah dia agak teruk dalam beberapa subjek.  I jumpa salah seorang gurunya untuk berbincang.  Then guru dia cakap, she did not do some homework, plus tak beri attention dalam kelas.  I cakap depan anak I, you tak boleh buat macam ni, bla bla bla bla… infront of her teacher and  I never blamed her teacher.  You know what, keesokan harinya, that teacher bagitahu satu kelas bahawa emak Fazlina datang serang cikgu itu di sekolah, dan bagitahu juga kepada guru-guru lain.   Apa ni? Kenapa  buat fitnah macam tu? Anak I stressed dan malu. I pergi sekolah dan bincang dengan cikgu tu elok-elok tapi dia buat fitnah.  I sendiri  give all my effort to teach her at home dan tanya pasal kerja sekolah dan pastikan dia buat semua kerja sekolahnya. At last,  I hantar dia tuisyen, barulah anak I score!  So what do you think her teachers do at school? You sepatutnya mengajar bukan untuk habiskan silibus  semata-mata, tapi patut ajar juga bagaimana nak jawab soalan peperiksaan!

"Akak, kita tak boleh nak salahkan cikgu seratus peratus. Macam pelajar I, ada segelintirnya, ajarlah macam mana pun, masih tak faham-faham, tak nak usaha lebih, malas, puas membebel bagi motivasi, ada juga yang tak buat kerja kursus dengan sempurna, jadi macam mana nak lulus atau "score"?  Sebab itulah kat sekolah, ada pelajar cemerlang, sederhana dan lemah."


"Itu I faham, tapi kes anak I ni, I sebagai parent, I tak lepas tangan.  I gave all my effort to teach her, pantau dia  dan sebagainya.  Jadi kalau you betul-betul bagus,  takkanlah pelajar you tak boleh score?  Tapi  kenapa bila hantar ke pusat tuisyen, dia boleh score pulak?  Nampak sangat kat sekolah you tak mengajar macam mana nak kuasai format soalan.  Apabila pelajar ada masalah, tak cuba untuk tanya dan bantu selesaikan masalah, atau reflek balik cara you mengajar, sebaliknya terus melabelkan pelajar itu malas, degil, tak beri perhatian dan sebagainya.  Shame on you, teachers!  Opps sorry, I don’t mean you, Zu. I know you are a good teacher.  I tengok fb you, I tahu macam mana akrabnya you dengan pelajar-pelajar you, and they really love you."

Saya sekadar tersenyum.  Belum sempat saya memberikan ulasan dan pandangan saya, perbualan kami terhenti kerana seorang lagi sepupu kami tiba-tiba mencelah bertanya tentang perkara lain.  Setelah itu, perbualan kami putus di situ sahaja apabila kami beralih pula ke topik lain bersama-sama saudara-mara yang lain.

Sebagai  seorang guru, saya ada pendapat saya sendiri berkaitan isu ini.  Sepanjang pengalaman saya menjadi guru selama 22 tahun, pelbagai jenis guru telah saya jumpa.  Memang saya akui, ada benar juga luahan perasaan kakak sepupu saya itu.  Memang tidak dinafikan, wujud guru-guru seperti yang dinyatakan oleh beliau.  Ramai juga yang bersikap sebagai “bukan guru sejati”, contohnya guru ponteng kelas, masuk ke kelas lambat, mengajar ala kadar, tidak menguasai ilmu dan kandungan subjek yang diajar, tiada kemahiran mengajar (menyebabkan pelajar berasa bosan dan tidak minat hingga pelajar ponteng kelas), berbahasa kasar dengan pelajar dan sebagainya.  Itu suatu realiti yang harus diakui.  


Dari segi lain, ada juga guru yang bagus, menguasai ilmu dan kandungan subjek yang diajar,  mempunyai kemahiran mengajar tetapi ramai juga pelajarnya tidak cemerlang.  Hal ini disebabkan faktor pelajar yang sememangnya malas, tidak berminat untuk belajar, dan sebagainya, tetapi kenapa mereka bersikap demikian? Mungkin juga kerana tiada galakan dan pemantauan daripada  ibu bapa, pelajar memang lemah dan tidak mampu menguasai subjek yang dipelajari atau guru tidak cukup hebat  dan bagus untuk menarik minat pelajar agar meminati subjek yang diajarnya?  Segalanya mungkin, jadi fikir-fikirkanlah wahai guru dan ibu bapa.  Tidak perlu kita saling menyalahkan satu sama lain, sebaliknya sama-samalah kita berusaha mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membantu anak-anak dan pelajar-pelajar kita.

Akhir kalam, berdasarkan rungutan kakak sepupu saya itu, saya  turut memuhasabah diri saya dan membuat refleksi terhadap pengajaran saya.  Saya guru yang macam mana?  Mungkin saya sendiri banyak kelemahan, dan hanya pelajar-pelajar  saya yang boleh menilai saya.  Apa pendapat anda?






Tuesday, December 13, 2016

Kecilnya Dunia Ini...

Dari kiri : Nik Masni, Engku Faridah, Haryati dan Niza



Bismillah...


Semalam, 12 Disember 2016, saya dan dua orang anak perempuan saya menemani suami saya ke rumah kawan sekolahnya semasa di tingkatan enam dahulu.  Kawan suami saya itu seorang pensyarah dan baru sahaja membeli rumah baharu di kawasan perumahan UPSI Tanjung Malim. Beliau mengadakan sedikit jamuan kecil unuk meraikan rakan-rakan lama dari kelas yang sama dengan suami saya  di SIC (Sultan Ismail Kolej) Kota Bharu.  Mereka semua berkumpul semula dalam "group" yang dicipta oleh suami saya beberapa bulan yang lepas.  Apabila saya bertanya kepada suami saya, siapa kawan suami saya itu, dia hanya menjawab, "kawan perempuan".  Saya bertanya lagi, adakah saya mengenalinya, suami saya menidakkannya. 

Kami bertolak dari rumah jam 8.30 am.  Setelah berhenti bersarapan, kami memulakan perjalanan ke Dengkil untuk menghantar anak ketiga kami di kampus UITM Dengkil terlebih dahulu.  Dari situ, kami terus bertolak ke Tanjung Malim.  Tepat jam 12.00 tengah hari, kami sampai di rumah kawan suami saya itu.

Di muka pintu rumah, tiba-tiba muncul rakan sekerja saya di SMK Taman Tasik, Engku Faridah, yang juga  bekas rakan sekelas suami saya dahulu.  Saya maklum tentang beliau kerana saya memang tahu beliau pernah belajar sekelas dengan suami saya semasa di tingkatan enam dahulu.  Selain Engku Faridah, Kamal Rosli, (rakan sekerja saya dan Engku Faridah), Azizah Abdullah (teman serumah semasa belajar di USM dahulu)  dan Halim Ashghar Hilmi (teman sekelas saya dari darjah 1-6 di SRK Kota) juga merupakan bekas rakan sekelas suami saya. Kecil dunia ini kan?  Saya bersalam dengan Engku Faridah dan bertanya khabarnya. Kemudian muncul pula kawan suami saya a.k.a tuan rumah menyambut kedatangan kami.  Beliau memandang dan menyapa suami saya.  Saya pula mengamati kawan suami saya itu sebelum menyuakan tangan untuk bersalam dengannya.  Tiba-tiba saya terperasan sesuatu dan berasa amat terkejut. 

"Ya Allah, Haryati Hassan ke ni?" Saya terus mengenggam erat tanggannya
Dia menoleh kepada saya dan mengamati saya. " Ya...Ya Allah, Zu ke ni?"
"Subhanallah, kecilnya dunia ini.   Tak sangka Zu ni isteri Kujik",  Kami terus berpelukan kegembiraan.  

Suami saya juga terkejut, begitu juga Engku Faridah.  Rupa-rupanya Dr. Haryati merupakan bekas teman sekelas saya semasa di tingkatan 1-3  sewaktu kami bersekolah di SMK Kota. Suasana pada ketika itu agak gamat kerana masing-masing mula menyoal itu dan ini.  Setelah suasana kembali tenang, kami pun duduk.  Kami mula bercerita sambil mengenang kembali kisah-kisah dahulu. Selain Engku Faridah dan kami sekeluarga.  hadir juga Nik Masni. dan kawan lelaki suami saya bersama-sama keluarganya.  Setelah puas bercerita, makan-makan dan bergambar, kami mohon diri untuk beredar.  Hampir dua jam setengah kami di rumah Haryati.  Saya berasa amat teruja kerana dapat bertemu kembali dengan beliau setelah sekian lama berpisah.  Semoga pertemuan ini bukan yang pertama dan yang terakhir untuk kami.  Semoga ada pertemuan kedua dan seterusnya yang bakal menyusul nanti, Insya Allah.

Terima kasih Yati atas jemputan dan hidangan yang sedap.  Gembira juga dapat berkenalan dengan Nik. Semoga kita terus berteman dan jumpa lagi nanti di sekolah, Engku Faridah..hehehe
Sesungguhnya kecilnya dunia ini, bak kata Halim Ashghar, "gi maghi, gi maghi, dale geluk yang sama."





Saturday, December 10, 2016

Apa Dah Jadi? Kalau Sejarah Kita Lupakan...






Apa Dah Jadi kepada Filipina?

Dahulunya Manila diperintah oleh Raja Sulaiman.  Mindanao diperintah oleh Sultan Muhammad Kabungsuwan.  Sekarang Filipina sudah jadi negara Kristian, di samping pulahan agama lain di dalamnya.

Apa Dah Jadi kepada Vietnam?

Dahulu namanya kerajaan Melayu Islam Champa (Panduranga, Kauthara, Vijaya, Inderapura dan Simhampura).  Sekarang dah jadi negara Buddha. Orang Malaysia tidak tahu pun Vietnam dahulu tu kerajaan Melayu Islam.

Apa Dah Jadi kepada Thailand?

Sebahagiannya dahulu ialah wilayah Islam dan tempat lahir ulamak Islan Nusantara.  Sekarang sudah jadi negara Buddha.  Orang Melayu sudah tidak pandai cakap Melayu dan tidak tahu tulisan Jawi. Budak sekolah rendah Melayu dah percaya bahawa Kedah dan Kelantan adalah asal Thailand dan dijajah oleh Malaysia.

Apa Dah Jadi kepada Singapura?

Dahulunya diberi nama Temasek, tempat berdagang pelbagai rumpun Melayu, tempat berlabuh  Sultan-sultan Riau Lingga.  Sekarang?  Anak-anak kita di Johor pun tidak tahu Singapura merupakan negeri Melayu Islam dahulunya.

Apa dah jadi? Kalau sejarah kita lupakan...

Sumber : Dr. Nazri Ismail SV (IKSIM)

Friday, December 9, 2016

Pilu Menanti Banjir @ A.M Live @ Astro Ria



Bismillah...
Semuanya berlaku tanpa diduga.  Pada hari Selasa lepas bersamaan 6 Disember 2016, saya terbaca status seorang bekas pelajar saya iaitu Fiona Cheng di facebook.."Siapa yang pernah mengalami pengalaman banjir?...." Saya terus memberi komen bahawa saya pernah mengalaminya. Fiona membalas komen saya dan menawarkan saya untuk ditemu bual dalam salah satu rancangan terbitannya iaitu A.M Live  yang akan ke udara pada hari Jumaat  bersamaan 9 Disember 2016 pada jam 9.00 pagi di saluran 104 dan 123 HD @ Astro Ria.  Saya sangat teruja, namun saya befikir sejenak. Pada hemat saya, kakak saya, Norhalina bt Md Nor juga seorang guru, lebih layak untuk ditemuramah kerana pengalaman banjirnya lebih banyak dan lebih mencabar berbanding dengan saya, kebetulan pula beliau sekarang berada di Kuala Lumpur.  Pada tahun 2014, dalam banjir kuning di Kelantan, rumah beliau tenggelam hingga paras tingkap dan kedua-keretanya tenggelam sepenuhnya sedangkan saya, hanya kereta yang tenggelam separuh.  Saya mencadangkan kakak saya kepada Fiona dan bertanya kepada kakak saya. Beliau berasa teruja namun sedikit takut. Saya memujuknya dan akhirnya dia bersetuju. Saya memberitahu Fiona tentang perkara itu dan Fiona berasa gembira.

Pada hari Khamis, Fiona menjelaskan 'details' tentang temuramah tersebut melalui aplikasi 'whatssap' dan meminta maklumat tentang kakak saya.  Dengan senang hati, saya memberikan nombor telefon kakak saya kepada Fiona.

Pagi hari ni, jam 6.15 pagi, saya dan anak-anak saya memandu ke flat anak saudara saya di Bandar Baru Ampang iatu anak sulong kakak saya (Aisyah) untuk mengambil kakak saya dan anak-anaknya. Dari flatnya, kami bertolak ke Astro Bukit Jalil dan sampai di sana tepat jam 7.00 pagi.  Hujan turun dengan renyai pada pagi tadi.  Saya menelefon Fiona dan dia meminta kami berjumpa dengan 'guard' sebelum masuk. Sebenarnya, saya memberitahu Fiona untuk membawa masuk anak-anak saya dan anak-anak kakak saya ke Astro tetapi tidak dibenarkan kerana menurut Fiona, kanak-kanak dilarang memasuki Astro. Saya akur akan peraturan Astro, lalu meminta anak saya membawa adik-adiknya dan sepupu mereka berjalan-jalan ke tempat lain sementara saya, kakak saya dan Aisyah memasuki Astro. Kami mengambil pas pelawat dan meninggalkan kad pengenalan kami di kaunter 'guard' lalu masuk ke dalam bangunan  Astro.  Di situ, kami disambut oleh seorang anak muda, iaitu seorang pelajar praktikal di situ yang juga bertindak sebagai pengarah program A.M Live pada pagi tadi. Kami dibawa ke bilik persediaan.  Di situ, kakak saya 'dimake-up' oleh seorang jurusolek Astro.

Pada jam 8.45 pagi, kami dibawa ke studio untuk bersedia sebelum ke udara.  Akhirnya, tepat jam 9.00 pagi, kakak saya ke udara secara langsung dalam rancangan A.M Live @ Astro Ria dalam segmen  "Apa Cer" yang bertajuk "Pilu Menanti Banjir". Saya dan Aisyah duduk di hadapan set sebagai penonton. Rancangan tersebut dihoskan oleh Hannah dan Raden dan ke udara selama satu jam.  Setelah selesai rancangan, kami 'branch' di kafe Astro sebelum pulang.  Sungguh tidak disangka, rezeki kakak saya datang ke KL untuk bercuti sempena cuti sekolah, akhirnya dapat jadi tetamu dalam rancangan A.M Live @ Astro Ria.  Rezeki ayam nampak di kaki, rezeki manusia siapa yang tahu. Terima kasih Fiona.






Bersama-sama dua tetamu lain, En. Khalid (tengah), wakil NGO  dari My Care yang melakukan kerja-kerja
penyelamat dan  En. Zain Ariff Ariffin (kiri), seorang chef di off shore, juga seorang mangsa banjir yang berasal dari Pengkalan Chepa



















Host A.M Live - Hannah dan Radin







Segmen Cer : Kakak saya ditemuramah dalam segmen ini


Set sebenar yang kosong



Radin, Aisyah, Norhalina, Hannah dan saya

Bersama-sama semua tetamu A.M Live


Radin






 
                                               

Di belakang tabir,  bersama-sama Fiona, penerbit A.M Live a.k.a bekas pelajar  saya @ SMKTT




Kakak saya dan anak sulongnya, Aisyah



Kakak saya sedang disolek
oleh jurusolek Astro



Kakak saya bersama-sama managernya..kui kui kui

Bersama-sama Yoyo, artis cilik  Suria Record yang diundang untuk mempromosikan album ketujuhnya (yang pertama dalam bahasa Melayu).  Beliau baru berumur 10 tahun dan sangat petah berbahasa Melayu.  Peminat setia Dato' Siti Nurhaliza

Sementara menunggu segmen seterusnya



Kakak saya sedang menunggu giliran untuk disolek

Kakak saya selepas disolek


                                   
Branch di Kafe Astro


Dah nak balik dah...