Lanjutan daripada pengisytiharan tersebut, langkah-langkah susulan telah diambil bagi menyelaras dan memperincikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan mesyuarat penyelarasan antara agensi kerajaan pada 17 Mac 2020 untuk memperincikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan agar Perintah ini dapat berjalan dengan baik dan lancar. Untuk memastikan keperluan orang ramai kepada perkhidmatan-perkhidmatan asas tidak terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini berkuatkuasa, perkhidmatan-perkhidmatan tertentu seperti Essential dan Non-Essential dibenarkan beroperasi.
Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa mulai jam 12.00 tengah malam, 18 Mac 2020. Sehubungan dengan itu, orang ramai diminta untuk mematuhi semua peraturan yang telah diputuskan oleh pihak berkuasa.
Bagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 telah diwartakan pada 18 Mac 2020. Pegawai Polis DiRaja Malaysia dan RELA telah dilantik sebagai pegawai diberi kuasa di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).
Bagi meningkatkan lagi keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan ini, orang ramai dinasihatkan supaya berada di rumah sepanjang masa kecuali untuk memenuhi keperluan-keperluan asas. Selain itu, masyarakat disarankan agar mengamalkan penjarakan sosial (social distancing) dari orang sekeliling demi mengelakkan jangkitan COVID-19.
Saya masih ingat, sebelum PKP 1.0 dilaksanakan, saya sempat membeli anak-anak pokok bunga di sebuah nurseri dan tepat pada hari pertama PKP 1.0 dilaksanakan, saya mula menanam pokok-pokok bunga tersebut. Sepanjang tempoh PKP 1.0, saya menghabiskan banyak masa berkebun bunga dan mencantikkan halaman rumah saya.
Saya dan puteri bongsu terperangkap di kampung selama hampir tiga bulan. Kami berpuasa dan berhari raya di kampung tanpa empat orang lagi anak-anak saya. Kesemua pelajar IPTA telah diarahkan pulang ke rumah masing-masing setelah PKP 1.0 diisytiharkan termasuklah ketiga-tiga anak saya yang sedang berada di kampus pada waktu itu. Puteri keempat saya pulang ke rumah kami di Ampang agak lewat kerana dia menjadi sukarelawan yang menguruskan kebajikan pelajar-pelajar yang terperangkap di kampusnya. Setelah sebulan berada di kampus, akhirnya puteri keempat saya pulang ke rumah kami di Ampang menaiki bas UITM. Jadi empat orang anak saya berpuasa dan berhari raya di rumah kami di Ampang tanpa saya, suami dan puteri bongsu. Itulah pengalaman Ramadhan dan Syawal pertama kami tanpa kesemua ahli keluarga berkumpul.
Saya dan puteri bongsu akhirnya pulang ke Ampang ditemani suami dan anak saudara saya. Kami bergerak pulang ke Ampang pada hari terakhir guru-guru diwajibkan pulang ke stesen tempat bertugas. Di sepanjang perjalanan, kami melalui tiga sekatan jalan raya. Belum sempat saya menunjukkan surat kebenaran rentas negeri, pegawai-pegawai yang bertugas ramah menegur saya dan meneka saya seorang guru. "Selamat kembali bertugas, Cikgu". Saya membalas senyuman mereka dan meneruskan perjalanan.