TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Thursday, March 18, 2021

Ulang Tahun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 :18 Mac 2020 - 18 Mac 2021

 


Assalamualaikum...

Hari ini genap setahun PKP 1.0 dilaksanakan di seluruh negara. Pada tanggal 13 Mac 2020, saya bersama-sama suami dan putri bongsu pulang bercuti di kampung halaman sempena cuti sekolah iaitu cuti pertengahan penggal satu. Empat orang lagi anak-anak saya tidak mengikut saya pulang ke kampung kerana putera sulong bekerja di Ampang, manakala putera kedua, ketiga dan puteri keempat berada di kampus IPTA masing-masing. Saya mempunyai rumah sendiri di kampung yang baharu sahaja siap dan masih lagi dalam proses penambahbaikan halaman rumah. Suami saya sudah pun menetap di kampung sejak awal Januari 2020 kerana beliau menguruskan perusahaan ternakan ikan keli di kampung. Jadi, sepanjang kami di kampung, kami tinggal di rumah saya sendiri yang bersebelahn dengan rumah kakak saya dan tidak jauh dari rumah ibu bapa dan rumah adik bongsu saya. 

Sepanjang berada di kampung, kami sentiasa mengikuti perkembangan berita tentang wabak penyakit Covid-19 melalui televisyen.  Saya berasa takut dan bimbang apabila mendengar berita tentang kewujudan beberapa  kes covid-19 di Malaysia. Saya dapat  merasakan ketegangan masyarakat Malaysia berkaitan penyebaran wabak ini, sehinggalah  Kerajaan telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula pada 18 hingga 31 Mac 2020.

Lanjutan daripada pengisytiharan tersebut, langkah-langkah susulan telah diambil bagi menyelaras dan memperincikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan mesyuarat penyelarasan antara agensi kerajaan pada 17 Mac 2020 untuk memperincikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan agar Perintah ini dapat berjalan dengan baik dan lancar. Untuk memastikan keperluan orang ramai kepada perkhidmatan-perkhidmatan asas tidak terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini berkuatkuasa, perkhidmatan-perkhidmatan tertentu seperti Essential  dan Non-Essential dibenarkan beroperasi.

Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa mulai jam 12.00 tengah malam, 18 Mac 2020. Sehubungan dengan itu, orang ramai diminta untuk mematuhi semua peraturan yang telah diputuskan oleh pihak berkuasa.

Bagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 telah diwartakan pada 18 Mac 2020. Pegawai Polis DiRaja Malaysia dan RELA telah dilantik sebagai pegawai diberi kuasa di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Bagi meningkatkan lagi keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan ini, orang ramai dinasihatkan supaya berada di rumah sepanjang masa kecuali untuk memenuhi keperluan-keperluan asas. Selain itu, masyarakat disarankan agar mengamalkan penjarakan sosial (social distancing) dari orang sekeliling demi mengelakkan jangkitan COVID-19.

Saya masih ingat, sebelum PKP 1.0 dilaksanakan, saya sempat membeli anak-anak pokok bunga di sebuah nurseri dan tepat pada hari pertama PKP 1.0 dilaksanakan, saya mula menanam pokok-pokok bunga tersebut.  Sepanjang tempoh PKP 1.0, saya menghabiskan banyak  masa berkebun  bunga dan mencantikkan halaman rumah saya.

Saya dan puteri bongsu terperangkap di kampung selama hampir tiga bulan. Kami berpuasa dan berhari raya di kampung tanpa empat orang lagi anak-anak saya. Kesemua pelajar IPTA telah diarahkan pulang ke rumah masing-masing setelah PKP 1.0 diisytiharkan termasuklah ketiga-tiga anak saya yang sedang berada di kampus pada waktu itu. Puteri keempat saya pulang ke rumah kami di Ampang agak lewat kerana dia menjadi sukarelawan yang menguruskan kebajikan pelajar-pelajar yang terperangkap di kampusnya.  Setelah sebulan berada di kampus, akhirnya puteri keempat saya pulang ke rumah kami di Ampang menaiki bas UITM. Jadi empat orang anak saya berpuasa dan berhari raya di rumah kami di Ampang tanpa saya, suami dan puteri bongsu. Itulah pengalaman Ramadhan dan Syawal pertama kami  tanpa kesemua ahli keluarga berkumpul. 

Saya dan puteri bongsu akhirnya pulang ke Ampang ditemani suami dan anak saudara saya. Kami bergerak pulang ke Ampang pada hari terakhir guru-guru diwajibkan pulang ke stesen tempat bertugas. Di sepanjang perjalanan, kami melalui tiga sekatan jalan raya.  Belum sempat saya menunjukkan surat kebenaran rentas negeri, pegawai-pegawai yang bertugas ramah menegur saya dan meneka saya seorang guru. "Selamat kembali bertugas, Cikgu". Saya membalas senyuman mereka dan meneruskan perjalanan.  


No comments:

Post a Comment