>
TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Friday, March 27, 2015

Oh Bahasaku...



           Dua minggu lepas, saya dan keluarga saya pulang ke kampung  sempena cuti persekolahan penggal satu. Dari rumah, kami melalui Jalan Ampang. Semasa suami saya memberhentikan kereta di lampu merah di simpang empat Taman Dagang, Ampang, saya terpandang satu papan iklan gergasi di kiri jalan.  Bersatu kita gempak, bercerai kita kokak!  Saya terkedu sebentar. Setelah lampu hijau, suami saya meneruskan perjalanan.  Pada masa itu barulah saya teringat untuk mengambil gambar papan iklan itu tetapi sudah terlambat. Saya menyuruh anak perempuan saya membaca papan iklan itu dan saya mula membebel. Anak perempuan saya memberitahu saya bahawa papan iklan tu sudah lama di situ. Oh betulke?  Macam mana selama ini saya tidak perasan? Hari ini saya baru berkesempatan untuk mengambil gambar papan iklan itu semasa saya pulang dari mengambil anak saya di UTM Kuala Lumpur.

        Sebagai seorang pencinta bahasa dan guru bahasa Melayu, saya benar-benar kecewa dan sedih akan penggunaan bahasa slanga pada papan iklan gergasi di tengah-tengah bandar Ampang.  Peribahasa Melayu yang indah sudah hilang keindahannya dek perbuatan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak.  Apakah peranan dan fungsi kerajaan serta Dewan Bahasa dan Pustaka? Apakah mereka sudah tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk bertindak?  Sudah butakah mata mereka membiarkan sahaja bahasa Melayu diperkosa sedemikan rupa?  Inikah gambaran usaha kerajaan memartabatkan bahasa Melayu? Inikah contoh bahasa yang ingin kita terapkan dalam jiwa rakyat Malaysia dan beginikah cara kita menyayangi bahasa Melayu?  Di bumi Malaysia sendiri bahasa Melayu dirobek-robek dan diperkosa di depan mata pihak berkuasa, namun mereka membisu seribu bahasa. Oh malangnya nasib bahasaku!

         Saya menyokong tulisan saudara Herman Hermawan bahawa bahasa Melayu kini hilang identitinya kerana telah diubah sesuka hati, baik dari segi struktur ayat, mahupun pemilihan diksi.  Jika kita tidak dapat menerima perubahan yang seperti ini dalam penggunaan bahasa, bukanlah bererti kita berfikiran sempit kerana tidak dapat menerima transformasi.  Hal ini demikian kerana perubahan seperti ini sememangnya bukanlah suatu transformasi, tetapi lebih tepat jika disebut sebagai degenerasi atau mutasi bahasa. Bahasa Melayu telah berevolusi sehingga menghasilkan ungkaan yang tertera pada papan tanda berkenaan.  

         Pada saya, penggunaan slanga dalam ungkapan tersebut benar-benar mencemarkan bahasa.  Jika kini sudah begitu nasib bahasa Melayu, cuba bayangkan nasib bahasa Melayu dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.  Tepuk dada, tanya akal!

Apa pendapat anda?



Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.

Thursday, March 26, 2015

Mencintai Kerana Allah...


             Assalamualaikum semua pembaca budiman.  Sudah lama benar rasanya saya tidak menulis di dada Kristal Bening. Sejak pulang  dari menunaikan ibadah haji pada tahun lepas, rasa malas untuk menulis menguasai diri. Malas menulis dan malas berfikir.  Ada dua tulisan saya tentang pengalaman saya menunaikan haji dan pengalaman saya terlibat dengan banjir pada tahun lepas telah saya tulis separuh namun akhirnya disimpan sahaja sebagai ‘draf’. Harap-harapnya saya mempunyai kekuatan untuk menyudahkannya dan mengeposnya nanti, insya-Allah.
            
       Dalam entri saya kali ini, saya ingin berkongsi ilmu dengan para pembaca tentang makna ‘mencintai kerana Allah’. Semalam saya telah mendengar rakaman saudari Heliza Helmi yang mewawancara Dr. Muhaya tentang tajuk “ Tidak happy dengan suami.”  Banyak input baharu yang saya dapat daripada penerangan Dr. Muhaya yang telah menginsafkan saya.  Menurut  beliau, isteri-isteri yang sentiasa berasa sedih kerana suami mereka tidak pernah menghargai pergorbanan, kesetiaan dan kasih sayang mereka ialah isteri-isteri yang tidak mencintai suami mereka kerana Allah.  Mereka mengharapkan penghargaan daripada suami dan apabila suami tidak memberi penghargaan itu, mereka berasa sedih dan kecewa sedangkan mereka telah melakukan yang terbaik untuk suami dan anak-anak.  Sebenarnya mereka lupa  atau tidak sedar bahawa Allah tetap ada untuk mereka.  Walaupun suami tidak menghargai isteri, namun Allah tahu dan Allah menghargai isteri tadi dengan memberikan  pahala dan ganjaran-ganjaran yang besar kepada mereka kerana isteri tersebut taat dan menunaikan tanggungjawabnya dengan sempurna terhadap suami dan keluarganya.  Jadi cukuplah kita yakin akan Allah dan mencintai suami kerana Allah.  Situasi yang sama juga berlaku kepada ibu bapa.  Ramai ibu bapa yang kecewa akan anak-anak mereka kerana anak-anak mereka tidak mengingati, menghormati dan menghargai mereka setelah mereka tua.   Kesannya, mereka akan berasa jauh hati terhadap anak-anak.
          
   Menurut Dr. Muhaya lagi, orang yang sentiasa mengharapkan penghargaan manusia / orang lain apabila melakukan sesuatu ialah orang yang tidak yakin akan Allah, sentiasa berasa tidak puas hati dan tidak ikhlas  apabila melakukan sesuatu atau menyayangi seseorang.   Dalam situasi isteri, sayangi dan cintailah suami kerana Allah iaitu taat kepada suami dan sempurnakan segala tanggungjawab terhadap suami dengan ikhlas.  Jika suami tidak menghargai isteri, itu ialah urusannya dengan Allah.  Pasti Allah akan membalas perbuatan suami itu  kelak.  Manakala dalam situasi ibu bapa, sayangi  anak-anak kerana Allah iaitu  mencintai dan mendidik mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.  Jika anak-anak  menyakiti hati ibu bapa setelah mereka dewasa, jangan mendendami mereka,  sebaliknya berserah sahaja kepada Allah, pasti Allah akan memberi balasan yang setimpal kepada anak-anak derhaka.  Yang penting kita sebagai ibu bapa telah menjalankan tanggungjawab kita untuk mendidik anak-anak dengan sempurna.
            
        Pada saya, situasi yang sama berlaku dalam pekerjaan kita.  Sempurnakan segala tugasan yang diamanahkan kepada kita oleh majikan dengan ikhlas kerana Allah.  Tidak perlu kita mengharapkan penghargaan orang lain kerana jika kita tidak dihargai oleh majikan, pasti kita kecewa dan sudah semestinya pekerjaan kita itu menjadi tidak ikhlas. Berserahlah kepada Allah kerana Allah maha mengetahui dan pasti Allah akan memberi ganjaran kepada kita di akhirat kelak.  

          Akhir kalam, ayuhlah kita memuhasabah diri. Cintailah keluarga kita kerana Allah kerana ia pasti membuatkan kita sentiasa  ceria, tenang dan redha.

Apa pendapat anda?


  

Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.

Wednesday, September 3, 2014

Di sini Lahirnya Sebuah Cinta...




Di sini lahirnya sebuah cinta
di tanah tumpah darah
bumi bertuah
negaraku Malaysia

Cinta yang lahir
bukan cinta biasa
terungkap dalam setiap hela nafas
menjalar dalam setiap denyut nadi
merimbun dalam segenap ruang hati

Cinta itu 
pada bumi bertuah 
tak rela dijajah
sanggup berjuang
berkorban apa sahaja
keringat, juga darah
nyawa, galang gantinya 

Di sini adat dijunjung
di sini maruah dipertahan
perlembagaan dipatuhi
tiga bangsa memeterai janji
siapa tuan
siapa menumpang
itu bukan persoalan
jangan ada curiga sesama kita
yang pasti semua bersatu
memperteguh cinta
terhadap tanah tumpah darah

Ayuh semua 
pencinta negara
nyahkan petualang
singkirkan pembelot
hanya yang setia
yang berhak di sini
ayuh saling memerah keringat
menggalas tanggungjawab
memajukan negara juga bangsa
agar cinta yang lahir
tak sekadar di bibir sahaja




















Terima kasih kerana sudi membaca entri saya. Jika suka, silalah LIKE.