Pertemuan pertama pada petang itu begitu membahagiakan Zurina. Pertemuan itu memberikan pengalaman pertama kepadanya untuk bercakap soal hati, perasaan dan jodoh dengan insan yang bernama lelaki secara dewasa. Zurina merasakan cintanya terhadap Syed Anuar semakin mendalam. Itulah kali pertama dia menatap wajah lelaki itu secara dekat. Begitu dekat, sehingga debaran jantungnya jelas terasa. Dan wajah itu, bisa mencairkan hati gadisnya. Wajah yang berjambang nipis dan berkumis tipis itu sungguh kacak. Rambut pendek beralun. Penampilannya tidak terlalu kemas tapi dia tampak gagah dalam kemeja berkotak dan berjeans lusuh. Gaya biasa seorang mahasiswa. Zurina sebenarnya tidak menyangka Syed Anuar akan mengajaknya bertemu pada petang itu. Sepanjang menapak pulang ke Desasiswa Cahaya, hanya senyuman menghiasi bibirnya. Hatinya berbunga riang. Seriang sang camar yang terbang bebas di langit lepas. Tidak sabar rasanya dia hendak menulis dalam diari kesayangannya tentang pertemuan pertamanya dengan Syed Anuar. Sebaik saja sampai di hadapan pintu biliknya, Zurina terserempak dengan Salina, senior tahun ketiga yang baru keluar dari bilik sebelah.
”Hai kak Sally,” tegur Zurina riang.
” Hai...ni apa hal tersenyum sorang-sorang ni..?” Balas Salina.
”Apa pulak senyum sorang-sorang...Zu senyum kat kak Sallylah...” Zurina membalas sambil ketawa kecil lalu terus masuk ke dalam biliknya. Kemudian Zurina menghempaskan badannya ke atas katil lalu dia tenggelam dalam khayalannya. Kemudian Zurina bangun dan mencapai diari kesayangannya dari dalam laci mejanya dan mula menulis.
Syed...hanya namamu yang terukir di hati dan hanya cintamu yang bertahta di jiwa. Tiada yang lain yang bisa mengganggu ketenangan dan meresahkan hidupku selain rasa rinduku kepadamu. Semoga kau mengerti. Selesai menulis bait-bait ayat itu dalam diarinya, Zurina mendekapkan diari itu ke dadanya dan akhirnya dia terlelap.
****************************
Pagi itu, sebaik sahaja selesai kelas PLG 204, Zurina tergesa-gesa keluar dari dewan kuliah. Dia sudah berjanji dengan Syed Anuar untuk menjadi penonton Pertandingan Kuiz Sejarah Antara Sekolah Rendah yang dianjurkan oleh Syed Anuar dan rakan-rakannya bagi memenuhi keperluan kursus PLG 448 di Dewan Kuliah G. Amira, Siti dan Norlin yang membuntutinya turut memanjangkan langkah mereka, takut ditinggalkan Zurina.
”Hei...kalau ya pun nak jumpa buah hati, sabar-sabarlah...kita orang pun nak join jugak,” sergah Amira. Pelajar-pelajar lain yang berjalan di belakang Amira tersenyum. Zurina terus memperlahankan langkahnya. Dia termalu sendiri. Mukanya merah padam mendengar usikan Amira.
”Hisshh..engkau ni...malulah orang dengar.”
”Tau tak apa,” balas Amira sambil ketawa.
”Cepatlah sikit..kita dah lewat ni,” rungut Zurina.
Apabila mereka sampai ke Dewan Kuliah G, majlis sudah bermula. Zurina, Amira, Norlin dan Siti mengambil tempat di barisan tengah, sebaris di hadapan rakan-rakan Syed Anuar, iaitu Yasir, Marzuki dan beberapa orang lagi. Syed Anuar menjadi pengerusi majlis dalam acara itu. Kehadiran Zurina dan rakan-rakannya disedari oleh Syed Anuar. Kembang hati Zurina mendengar Syed Anuar berucap mempengerusikan majlis. Loghat Terengganunya pekat kedengaran. Zurina tekun menjadi penonton dan sesekali pandangannya dan pandangan Syed Anuar bersatu. Semasa majlis berjalan, Syed Anuar datang mendekati Zurina dan duduk di kerusi di sebelahnya. Jantung Zurina berdegup kencang. Malunya dia terhadap rakan-rakan Syed Anuar dan Salina, seniornya yang satu ’batch’ dengan Syed Anuar. Dilihatnya Salina tersenyum-senyum kepadanya. Zurina membalas senyuman Salina. Amira yang duduk di sebelah, menyikunya sambil berdehem. Zurina terasa mukanya panas.
”Kenapa lambat?” Tegur Syed Anuar dengan ramah.
”Tadi ada kelas,” balas Zurina gugup.
”Syed ingat Zu dah lupa....Syed gembira Zu datang. Thanks...”
”Hmmm...”
Zurina terdengar gelak ketawa rakan-rakan Syed Anuar di belakang. Dia jadi tidak betah berada lama di situ. Dia hanya mampu menjadi penonton selama setengah jam sahaja, lalu dia bangun dari kerusinya dan mengheret Amira, Norlin dan Siti keluar. Syed Anuar yang sudah kembali ke meja pengerusi kelihatan terkejut melihat Zurina dan rakan-rakannya beredar. Zurina hanya memberikan isyarat undur diri kepada Syed Anuar.
”Ehh...majlis belum habis...takkan dah nak keluar kot,” usik Yasir. Zurina hanya mampu tersenyum kepada Yasir. Merah padam mukanya menahan malu dengan usikan Yasir.
Malam itu, seperti yang dijangka oleh Zurina, Syed Anuar menelefonnya.
”Kenapa Zu tak tunggu sampai habis majlis?” Kedengaran nada kecewa pada suara itu. Zurina serba salah.
”Syed, Zu minta maaf. Tadi Amira ajak keluar, suruh temankan dia makan sebab dia lapar sangat.” Zurina mengutuk dirinya. Alangkah bodohnya alasan yang diberi.
”Ya ke? Zu selalu macam nak mengelak bila terserempak dengan Syed, kenapa Zu?” Zurina terkedu. Dia tidak tahu apakah alasan yang terbaik untuk diberi. Dia yakin Syed Anuar berkecil hati dengan caranya. Dia sebenarnya masih segan dan malu akan Syed Anuar. Dia bukan seperti gadis –gadis lain di kampus itu yang agak sosial dalam soal berteman. Dia seorang gadis kampung yang masih mempunyai sifat malu yang tebal.
”Taklah, mana ada macam tu,” jawab Zurina lancar.
”Anyway, Syed gembira sebab Zu datang tadi. Thanks ya…"
“Ya..”
Hari itu kelas tutorial PLG 428 Zurina dan Syed Anuar digabungkan. Semasa Zurina hendak masuk ke kelas, dia terdengar namanya diseru. Dia cukup kenal akan suara itu. Dia menoleh dan melihat Syed Anuar sedang berjalan menuju ke arahnya. Gementarnya dia kerana Syed Anuar akhirnya berdiri begitu hampir dengannya. Mata mereka bertemu. Lidah Zurina kelu. Dadanya berdetak kencang.
”Zu, Syed nak pinjam nota PLG, boleh tak?”
Zurina hanya mengangguk sambil membalas senyuman Syed Anuar. Syed Anuar merenung tepat ke dalam matanya. Zurina berasa jantungnya hampir luruh bila direnung begitu, lalu dilarikan matanya, sambil mencari nota yang dimaksudkan oleh Syed Anuar dalam fail yang dikepitnya.
”Zu?”
”Hmmm...,” Zurina menelan air liurnya dengan agak payah.
”Zu ok?”
”Hmm..ok,” balas Zurina dalam nada gementar.
Tiba-tiba fail di tangan Zurina terjatuh dan isinya bertaburan di lantai. ”Ya Allah.” Zurina menjerit kecil. Zurina terus membongkok hendak mengutip kertas-kertas dan nota-nota yang bertaburan di lantai dan pada ketika itu juga Syed Anuar turut membongkok. Mereka serentak tunduk dan mengutip kertas-kertas di lantai. Kepala mereka hampir berlaga. Tiba-tiba mata mereka bertemu lagi. Wajah Zurina merah padam. Dan wajah Syed Anuar turut memerah. Kemudian terdengar tepukan dari dalam kelas.
”Woww...romantik gilerrr... ha ha ha...”
Syed Anuar cepat-cepat menyerahkan kertas-kertas yang dipungut kepada Zurina. Zurina menyusunnya dengan pantas lalu menyerahkan nota yang dimaksudkan kepada Syed Anuar, lalu terus beredar ke dalam kelas tanpa memandang pelajar-pelajar yang sudah ada di dalam kelas tutorial itu. Sepuluh minit kemudian, kelas bermula. Sepanjang kelas berjalan, Zurina tersenyum sendiri mengenangkan peristiwa sebenar tadi. Alahai...romantik betul, getusnya dalam hati. Sesekali dia mengerling ke arah Syed Anuar yang duduk di hujung kelas. Begitu serius wajah itu. Tiba-tiba Syed Anuar memandangnya dan melemparkan senyuman kepadanya. Dia membalas senyuman itu dan Zurina cepat-cepat menoleh semula ke depan, bimbang dilihat oleh rakan-rakannya.
*****************************
Hati Zurina sebak. Dia berasa seperti mahu menangis tatkala mendengar cerita Fariza. Betulkah apa yang diceritakan oleh Fariza tentang Syed Anuar? Atau Fariza sengaja mengada-adakan cerita kerana cemburukan hubungannya dengan Syed Anuar? Sebenarnya dia pernah mendengar cerita daripada Salina bahawa dahulu Fariza turut meminati Syed Anuar. Ahh..tak mungkin...Zurina rasa berdosa pula kerana mencurigai Fariza, senior teman sebiliknya itu.
”Zu, kau nak percaya atau tidak, terserah pada kau. Akak cuma bagitahu apa yang akak tahu.” selamba Fariza berkata-kata sambil menyembamkan badannya ke atas tilam.
”Akak cakap ni sebab akak kesian kat kau, tak nak kau syok sendiri.” Pedihnya kata-kata Fariza menusuk ke telinganya.
Zurina tidak mampu melupakan cerita Fariza. Betulkah Syed Anuar begitu? Hatinya dipagut resah. Setelah lama termenung, Zurina nekad. Dia akan bertanya kepada Syed Anuar tentang perkara itu. Dia tidak mahu berprasangka terhadap Syed Anuar. Malam itu juga, Zurina menelefon Syed Anuar untuk merancang satu pertemuan dengan Syed Anuar esok. Tidak pernah sekalipun dia menelefon Syed Anuar selama ini, tapi malam itu dia menggagahkan dirinya untuk berbuat begitu. Dia segan sebenarnya mahu menelefon Syed Anuar, tapi malam itu dia terpaksa menolak rasa segannya ke tepi. Hanya untuk sekali itu sahaja. Janjinya kepada dirinya sendiri.
Esoknya, seperti yang dirancang, Zurina menunggu Syed Anuar di hadapan perpustakaan. Apabila Syed Anuar tiba, dia mengajak Zurina minum di cafe Pusat Mahasiswa dengan alasan di tempat itu lebih selesa untuk berbual-bual. Setelah memesan dua gelas milo ais, Syed Anuar mula membuka mulut.
”Apa yang Zu nak bincangkan dengan Syed?”
Zurina berasa serba salah. Dia tidak sepatutnya merancang pertemuan ini. Apatah lagi untuk menanyakan soalan itu. Syed Anuar meratah wajah gadis hitam manis di hadapannya. Wajah bersih itu sungguh menawan. Lesung pipit di kedua-dua belah pipi gadis yang lebih muda setahun daripadanya itu menambahkan lagi manis pada wajah si gadis yang sedia manis itu. Wajah itu kelihatan begitu polos. Tiada secalit 'make-up' pun di wajah bersih itu kecuali secalit nipis lipstik merah darah di bibir cantik itu. Walaupun hanya bergincu nipis, seri wajah polos itu begitu terserlah, tetapi wajah itu kelihatan tidak ceria seperti pertemuan pertama dulu. Zurina melarikan matanya daripada renungan Syed Anuar. Dia tidak mampu membalas renungan yang begitu menikam itu. Dia tewas.
”Zu nak tanya apa?” Syed Anuar bertanya lagi apabila sepi menguasai suasana.
”Syed, Zu nak tanya beberapa soalan. Zu harap Syed dapat menjawab sejujurnya.” Zurina mula bersuara.
Syed Anuar tersenyum. ”Soalan apa tu? Suspen betullah Zu ni.” Syed Anuar tergelak kecil. Kacaknya wajah itu apabila ketawa begitu, desis hati Zurina.
”Betulkah apa yang Zu dengar bahawa Syed berkawan dengan Zu kerana kasihankan Zu? Dan betulkah Syed hanya akan berkahwin dengan gadis yang berketurunan Syarifah sahaja?” Lancar sahaja pertanyaan itu keluar daripada mulut Zurina.
Syed Anuar tersentak, kemudian dia tertawa kecil.
”Dari mana Zu dengar cerita ni?” Suaranya mula mendatar. Zurina menarik nafas, cuba mengumpulkan kekuatan.
”Dari mana Zu dengar cerita ni tak penting, tapi betulkah apa yang Zu dengar tu?”
Wajah Syed Anuar sedikit berubah. Lebih serius. Syed Anuar menghirup milo ais di gelasnya hingga tinggal separuh. Zurina tidak menyentuh gelas milo aisnya. Dia datang ke situ bukan untuk minum. Dia hanya mahu mendengar jawapan jujur daripada Syed Anuar.
”Zu, jujurnya, Syed nak kita berkawan dulu.” Syed Anuar mula bersuara.
”Bila tiba masanya nanti, Syed akan beri kata putus tentang hubungan kita. Seandainya ada jodoh kita, Syed akan terima Zu, tapi jika pada waktu itu, Zu tak dapat menerima Syed, Syed akan mengerti.”
Zurina ternyata terkejut dan kecewa akan jawapan Syed Anuar. Zurina menghela nafas panjang. Dia memandang gelas milo aisnya dengan pandangan kosong. Apakah ada ruang dan harapan untuknya memiliki cinta Syed Anuar? Zurina sendiri sebenarnya tidak mengerti dengan sikap Syed Anuar. Jika mereka hanya berkawan, kenapa Syed Anuar seolah-olah memberi harapan kepadanya selama ini, selalu menelefonnya, sering mengirim kad-kad ucapan yang berbau rindu dan selalu memandangnya dengan pandangan yang luar biasa apabila mereka saling berpandangan tanpa sengaja, hingga Zurina termalu dan resah, namun bahagia. Sesuatu yang pasti, mereka tidak pernah keluar berdua bersendirian atau ’dating’ sebelum ini. Mereka hanya bertemu di dewan kuliah dan kelas tutorial. Walaupun Zurina rindu setengah mati terhadap Syed Anuar, namun pertemuan-pertemuan yang tidak dirancang sebegitu sudah cukup membahagiakan Zurina. Cukup untuk melepaskan rasa rindu yang membuak-buak dalam dada. Saling berbalas pandangan dan senyuman dari jauh, dan renungan dari sepasang mata berkaca mata bulat dan kecil itu sudah cukup untuk mendebarkan jantungnya dan melemahkan seluruh anggota badannya. Adakah renungan dan layanan Syed Anuar selama ini sekadar layanan dan renungan seorang kawan sahaja? Zurina mengeluh kecil.
Zurina memandang Syed Anuar. ”Tapi selama ini....?” Kata-katanya tiba-tiba mati di situ. Zurina tidak jadi meneruskan katan-katanya. Biarlah...dia akan tetap setia menunggu kata putus daripada Syed Anuar.
”Tapi selama ni apa Zu?”
Zurina menatap wajah lelaki itu, cuba mencari kepastian
” Tak ada apa-apa....tapi Zu bukan Syarifah...”
Syed Anuar tergelak kecil. ”Zu, memanglah keluarga Syed mementingkan keturunan ini, dan kakak Syed sehingga kini disisihkan keluarga kerana berkahwin dengan lelaki bukan daripada keturunan Syed, tapi Syed lelaki. Keluarga Syed pasti tak kisah pun kalau isteri Syed bukan daripada keturunan Syarifah.”
Kata-kata Syed Anuar terhenti di situ. Dia meneguk lagi baki milo ais di dalam gelasnya. Dia memandang ke dalam mata Zurina membuatkan Zurina terus resah.
”Zu, keluarga Syed bukanlah orang senang. Adik-adik Syed ramai. Ayah Syed pun dah uzur. Syed kena pentingkan mereka terlebih dahulu sebelum memikirkan kepentingan Syed sendiri,” sambung Syed Anuar lagi.
”Maksud Syed?”
"Maksud Syed, kalaupun Syed terima Zu, kita tidak akan berkahwin dalam masa terdekat ini. Syed harus bekerja terlebih dahulu dan kukuhkan dulu kewangan Syed, seterusnya menyara dulu adik-adik Syed hingga mereka mampu berdikari, dan selepas itu barulah Syed boleh fikirkan tentang diri Syed dan tentang kita.”
Zurina terkedu mendengar kata-kata Syed Anuar. Sanggupkah dia menunggu selama itu untuk berkahwin dengan Syed Anuar? Menunggu hingga adik-adiknya mampu berdikari? Sampai bila? Zurina sendiri berasa ragu akan kesetiaannya.
”Satu perkara lagi, Syed berkawan dengan Zu kerana Syed sukakan Zu, bukan sebab lain.” Penjelasan terakhir Syed Anuar itu membuatkan hati Zurina kembali berbunga. Tiba-tiba sahaja dia yakin dia akan tetap setia pada lelaki itu biarpun terpaksa menunggu lama. Zurina terasa dadanya ringan. Terasa seperti beban yang ditanggungnya hilang serta -merta.
”Syed nak minta satu perkara daripada Zu. Janganlah terlalu mudah percaya pada cerita orang tentang Syed.”
”Maafkan Zu kerana berprasangka pada Syed.” Zurina berasa bersalah yang amat sangat. Pertemuan selama dua jam itu tidak memberikan Zurina apa-apa jawapan yang pasti, namun dia pasrah dengan keputusan Syed Anuar. Dia berjanji dengan dirinya sendiri bahawa dia akan tetap setia pada Syed Anuar walaupun dia sendiri tidak pasti tentang perasaan Syed Anuar terhadapnya selama ini. Bodohkah dia selama ini kerana beranggapan Syed Anuar mempunyai perasaan yang sama terhadapnya? Entahlah...dia jadi bingung apabila mengenangkan layanan Syed Anuar yang mesra terhadapnya selama ini yang menyebabkan dia membina harapan terhadap lelaki itu.
Setelah pertemuan kedua itu, Zurina jarang-jarang terserempak dengan Syed Anuar di kelas mahupun di dewan kuliah. Kalau pun terserempak sekali sekala, Syed Anuar tidak lagi datang mendekatinya. Syed Anuar hanya tersenyum dari jauh. Kenapa Syed Anuar jarang menghadiri kelas? Kenapa dia berubah sejak pertemuan itu? Syed Anuar juga tidak lagi menelefonnya. Kenapa? Mengapa? Pelbagai persoalan muncul dalam kotak fikiran Zurina. Zurina benar-benar merindui Syed Anuar. Rasa itu membuak-buak dan menyesak dadanya. Kadang-kadang dia terasa hendak menangis seperti anak kecil. Tidak tertahan rasanya menanggung rindu itu. Mahu saja dia menelefon Syed Anuar dan bertanya sebab dia berubah sikap, tetapi ditahannya perasaan itu. Walau apa pun yang terjadi, dia tidak akan menelefon Syed Anuar kerana dia sudah berjanji kepada dirinya dahulu.
Cuti akhir semester sudah bermula. Kali terakhir Zurina terserempak dengan Syed Anuar semasa mereka sama-sama menduduki peperiksaan PLG 428 di dewan peperiksaan. Sebaik sahaja peperiksaaan tamat, Syed Anuar terus menghilangkan diri. Zurina terasa hendak menjerit memanggil nama Syed Anuar apabila dia melihat kelibat Syed Anuar yang menyusup keluar dari dewan peperiksaan dengan tergesa-gesa, tapi dia masih waras untuk bertindak begitu.
************************
”Macam mana dengan Syed?” Zurina tersentak daripada lamunannya apabila ditegur oleh Puan Rosnah semasa mereka berdua memasak di dapur.
”Apa Ma?” Zurina pura-pura bertanya.
”Mama tanya, macam mana hubungan Zu dengan Syed? Ok ke? ”
Zurina menghela nafasnya . ”Entahlah Ma....dah lama Zu tak dengar berita tentangnya. Dah lama Zu tak jumpa dia, sejak hari terakhir peperiksaan.”
”Dah dua minggu balik bercuti ni, dia tak pernah call?” Tanya Rosnah sambil memandang anak gadisnya itu.
Zurina hanya mampu menggeleng.
”Zu seriuske dengan dia?” Tanya Pn. Rosnah meminta kepastian.
”Entahlah Ma, Zu serius tapi dia...tak tahulah.” Lemah saja kedengaran suara Zurina.
”Apa kata Zu tulis surat kepada dia, bagi tahu kononnya ada orang masuk merisik Zu.” Puan Rosnah memberi cadangan.
”Ha???” Zurina membulatkan matanya, terkejut dengan cadangan Mamanya.
”Kenapa pulak Ma?”
”Saja nak tengok reaksinya. Kalau dia betul-betul serius dengan Zu, pasti dia akan bertindak.”
”Maksud Mama?" Zurina tidak mengerti tujuan cadangan Mamanya.
”Yalah...kalau dia betul-betul serius dengan Zu, pasti dia tidak akan rela Zu terlepas ke tangan orang lain, dan mungkin dengan cara ini jugak, dia akan masuk meminang Zu sebab tak rela Zu berkahwin dengan orang lain.”
Zurina terdiam mendengar cadangan mamanya. Mulanya dia tidak bersetuju dengan cadangan mamanya, tetap setelah dia berfikir panjang, ada benarnya juga cadangan mamanya itu. Lantas Zurina menulis sepucuk surat kepada Syed Anuar seperti yang dirancangkan itu. Dalam surat itu, Zurina menyatakan bahawa kononnya keluarga rakan papanya datang merisik dirinya untuk anak lelaki mereka yang bekerja sebagai doktor, tapi Zurina menolak lamaran itu kerana hati dan cintanya hanya untuk Syed Anuar. Kemudian dia mengepos surat itu dengan harapan Syed Anuar akan membalas suratnya dan memberi reaksi terhadap isi surat itu.
Dua minggu Zurina menunggu balasan daripada Syed Anuar. Dia terus hampa. Sampai hati Syed buat Zu macam ni. Zurina merintih dalam hati. Dia rindu setengah mati terhadap lelaki itu. Kadang-kadang kalau diikutkan hatinya yang sedang membara, mahu sahaja dia melupakan lelaki itu, tetapi dia tidak berdaya. Biarlah, dia akan tetap setia akan Syed Anuar. Dia hanya akan berundur jika Syed Anuar benar-benar memutuskan hubungan mereka, tetapi dia takut untuk menerima kenyataan itu kerana dia tidak rela kehilangan Syed Anuar dan tidak mampu melupakan lelaki itu. Cintanya hanya untuk Syed Anuar. Hatinya sudah dibulatkan hanya untuk Syed Anuar. Biarlah dia bersabar. Mungkin lelaki itu mempunyai masalah. Dia cuba berprasangka baik dan menolak curiganya jauh-jauh. Malam esok, Zurina akan kembali ke USM. Cuti selama sebulan antara semester hampir tamat. Kuliah akan bermula pada minggu hadapan. Semoga dia akan bertemu dengan Syed Anuar dan semoga semuanya akan kembali seperti dahulu, doa Zurina dalam hati.
**************************
Tengah hari itu setelah pulang daripada membuat pendaftaran kursus secara online di Pusat Pengajian Pendidikan, Zurina mengikut Amira ke perpustakaan. Semasa dia melalui 'Penang Road' di hadapan perpustakaan utama, Zurina terpandang Syed Anuar dan rakan-rakannya sedang berbual-bual di sebuah bangku panjang di kawasan foyer perpustakaan. Hati Zurina melonjak kegembiraan. Mahu sahaja Zurina mendekati dan menegur Syed Anuar tetapi dia membatalkan hasratnya kerana dia berasa segan akan rakan-rakan Syed Anuar. Syed Anuar tidak melihatnya kerana Syed Anuar sedang membelakanginya. Sambil berjalan perlahan beriringan dengan Amira, matanya tidak lepas-lepas memandang Syed Anuar. Tiba-tiba Zurina melihat Yasir berkata sesuatu kepada Syed Anuar dan serentak itu juga Syed Anuar menoleh ke belakang dan terpandang Zurina. Syed Anuar tersenyum kepadanya dan Zurina membalas senyuman itu. Zurina berasa rindunya terhadap Syed Anuar sedikit terubat dan dia benar-benar berasa bahagia. Tiba-tiba Amira mengheret tangannya.
"Engkau ni apahal jalan macam orang dalam pantang ni?" Amira merungut tetapi kemudiannya dia terpandang Syed Anuar.
"Owhhh...patutlah." Amira menjawab sendiri pertanyaannya sambil tersenyum.
Malam itu setelah selesai solat Isyak, Zurina terdengar telefon bimbitnya berbunyi. Dengan malas dia mencapai telefon bimbitnya. Rupa-rupanya Syed Anuar yang menelefon. Tiba-tiba hatinya berdetak kencang, namun dia amat gembira kerana panggilan daripada lelaki itulah yang ditunggu-tunggunya selama ini.
”Assalamualaikum,” Kedengaran suara Syed Anuar memberi salam. Ya Allah, rindu benar Zurina akan suara itu. Dia menarik nafas dalam-dalam lalu menjawab salam itu.
”Waalaikum salam”
”Zu apa khabar?”
”Baik, Alhamdulillah tapi..”. Zurina tidak menyambung kata-katanya.
”Tapi rindu kat Syed ya?” Zurina terkedu mendengar kata-kata Syed Anuar. Dia hanya membisu.
”Sampai hati Syed menyepi dan tak balas surat Zu.” Suara Zurina seakan-akan merajuk. Kedengaran Syed Anuar ketawa kecil.
”Maaflah, Syed sibuk sikit kat kampung.”
”Kenapa Syed tak balas surat Zu?"
Syed terdiam. ”Kenapa Zu tak terima saja lamaran tu?”
Zurina terkejut dengan pertanyaan balas Syed Anuar. Dia tidak menyangka Syed Anuar akan bertanya begitu. Fikirnya, Syed Anuar akan berasa cemburu. Jangkaannya meleset.
”Kenapa Syed tanya macam tu?”
”Yalah, kalau Zu terima lamaran tu, hidup Zu pasti senang...tak payah tunggu Syed.” Syed Anuar cuba bernada lucu.
”Syed!” Zurina hampir menitiskan airmatanya terhadap reaksi Syed Anuar. Butakah hati lelaki itu untuk memahami perasaannya?
”Zu tak terima lamaran itu kerana Zu setia pada Syed!!” Zurina meninggikan sedikit suaranya agar lelaki itu mengerti betapa dia tersiksa dengan jawapan Syed Anuar.
Tiba-tiba kedua-dua mereka menyepi. Lidah Zurina kelu untuk terus berkata-kata.
“Oklah Zu, nanti Syed call lagi ya. Bye. Assalamualaikum.” Syed Anuar memberi salam dan terus menamatkan perbualan.
Zurina tidak mampu berkata apa-apa. Dia benar-benar sedih akan sikap Syed Anuar. Dia memandang telefon bimbitnya dengan pandangan kosong. Rasa kecewa dan hiba bersatu dalam dada.
*********************
Hari itu hari Isnin, 21 Disember 2010. Hari pertama semester baru. Jadual Zurina agak padat pada hari itu. Kelas terakhirnya berakhir jam empat petang. Setelah tamat kuliah terakhir di Dewan Kuliah H, Zurina terus menapak perlahan-lahan menuju ke Desasiswa Cahaya. Dia berasa sangat letih pada hari pertama kuliah.
Tiba di Desasiswa Cahaya, dia singgah di pejabat Desasiswa Cahaya untuk melihat surat di kaunter surat. Hatinya berbunga riang apabila melihat ada sepucuk surat yang tertera nama dan alamat biliknya. Dia mencapai surat itu dan meneliti cop pada setem di sampul surat itu. Cop pejabat pos USM. Dia cuba berfikir gerangan pengirim surat itu. Nama dan alamatnya bertaip. Zurina kemudiannya berjalan laju menuju ke biliknya. Tiba di biliknya, dia terus mahu membuka surat itu tetapi tiba-tiba dia teringat bahawa dia belum menunaikan solat Asar. Zurina membatalkan niatnya untuk membuka surat itu. Zurina terlebih dahulu mandi dan menunaikan solat Asar. Setelah itu, dengan hati-hati dia membuka surat itu. Dia tidak tahu gerangan pengirim surat itu tapi hatinya berdebar-debar. Dia sendiri tidak pasti kenapa hatinya berdebar-debar begitu.
Tibat-tiba darah menyirap ke mukanya sebaik saja surat itu dibuka. Surat itu daripada Syed Anuar! Kandungan surat itu bertaip. Dengan debaran di hati, Zurina membaca surat itu dengan teliti. Tiba-tiba sahaja air mata Zurina berderai dan dia akhirnya teresak-esak. Zurina terasa penglihatannya kabur kerana matanya basah. Diulang baca isi kandungan surat itu beberapa kali supaya dia tidak tersalah faham akan isi surat itu. Ya..tidak silap lagi...ya Allah, Syed Anuar telah memutuskan hubungan mereka. Muktamad. Tiba-tiba Zurina tersentak apabila terdengar pintu biliknya diketuk. Cepat-cepat dia menyapu air matanya dan melipat surat itu. Kemudian dia membuka pintu lalu Fariza masuk. Zurina kemudiannya terus berbaring di atas katil sambil membelakangkan Fariza.
"Hai, kenapa kunci pintu? Tak pernah-pernah kunci?” Fariza menegur. Zurina tidak menjawab teguran Fariza. Apabila menyedari tiada respon daripada Zurina, Fariza mendekati Zurina yang sedang berbaring di katilnya.
”Kenapa ni Zu? Zu ok ke?”
”Ok...tak ada apa-apa...” Zurina menjawab dengan suara yang sebak. Fariza tidak bertanya lagi. Dia terus beredar ke bilik air. Dia mengagak Zurina ada masalah dan dia tidak mahu menyibuk. Bukan dia tidak peduli akan keadaan Zurina, tetapi biarlah Zurina tenang terlebih dahulu, nanti dia akan bertanya lagi.
Setelah Fariza beredar, Zurina menangis lagi. Dia membuka semula surat itu lalu dibacanya sekali lagi untuk kali yang keempat. Kemudian dia teresak lagi. Ditatapnya setiap baris ayat Syed Anuar dalam surat itu.
Assalamualaikum...
Maafkan Syed kerana menulis surat ini. Tidak terniat di hati Syed untuk melukakan hati Zu. Syed terpaksa menulis surat ini untuk menjelaskan keadaan sebenar tentang hubungan kita. Zu, lupakanlah Syed. Kita tidak ditakdirkan untuk bersama. Cukuplah hubungan kita sampai di sini saja. Syed tidak mahu Zu terus mengharap dan menunggu sesuatu yang tidak pasti. Syed tidak mampu memberikan komitmen pada hubungan kita kerana Syed perlu memikirkan perkara lain yang lebih penting dalam hidup Syed, iaitu keluarga Syed. Syed anak lelaki sulong dalam keluarga Syed dan adik-adik Syed ramai. Mereka semua bergantung pada Syed. Bapa Syed sudah uzur jadi Syedlah yang akan mengambil alih tempat bapa Syed sebagai ketua keluarga.
Walaupun Syed pernah memberitahu Zu dulu bahawa Syed tidak kisah siapa pun pasangan hidup Syed, tapi bapa Syed tidak sependapat dengan Syed. Zu, kita tidak sekufu. Maafkan Syed kerana tidak sanggup melukakan hati dan perasaan bapa Syed. Apa daya Syed untuk membantah kata-katanya. Syed tidak mahu menjadi anak derhaka. Syed harap Zu memahami situasi Syed. Syed doakan agar Zu mendapat jodoh yang lebih baik daripada Syed. Terima kasih kerana sudi berkawan dengan Syed selama ini.
Yang hina...
Syed Anuar....
Air mata Zurina terus mengalir . Dia tidak mampu lagi menyeka air matanya. Biarlah air mata itu keluar semahunya. Biarlah air mata itu membawa pergi luka di hatinya. Zurina teresak lagi. Dia tidak kuat untuk menerima semua ini. Dia terlalu mencintai Syed Anuar. Sampai hati Syed buat Zu macam ni, Zurina meratap sendiri. Fikirannya jadi kosong. Dia tidak mampu berfikir apa-apa lagi. Setelah penat menangis, akhirnya Zurina terlena dalam esakannya seperti seorang anak kecil.
Sebulan lebih sejak Zurina menerima surat keramat daripada Syed Anuar, dia menjadi seorang yang sangat pendiam dan sensitif. Dia bukan lagi Zurina yang ceria dan peramah. Zurina benar-benar kecewa. Dia tidak menyangka begitu besar kesan akibat putus cinta. Sakitnya begitu terasa dan hilang segala kekuatan diri. Selama ini dia hairan melihat rakan-rakannya yang murung kerana putus cinta. Kini dia sendiri melalui pengalaman itu dan merasai kepedihannya. Amira dan rakan-rakannya yang lain tidak mampu memujuk Zurina. Mereka memutuskan untuk membiarkan saja Zurina melayan perasaan kecewanya asalkan Zurina tidak bertindak bodoh. Biarlah dia dalam dunianya, melayan luka di hatinya. Mereka hanya mampu berdoa agar Zurina tetap tabah dan pada suatu saat nanti, Zurina akan kembali bangun dan keluar daripada kekecewaannya. Zurina sendiri lebih menderita kerana selalu terserempak dengan Syed Anuar sejak hubungan mereka putus. Dia terpaksa mengelak apabila terserempak dengan Syed Anuar kerana dia tidak sanggup berhadapan dengan lelaki itu, dan Syed Anuar sendiri tidak pernah lagi melemparkan senyuman kepadanya apabila mereka terserempak seolah-olah mereka tidak pernah kenal antara satu sama lain selama ini. Zurina benar-benar menderita dengan situasi itu.
Setelah sebulan lebih Zurina hanyut melayan kekecewaannya, akhirnya Zurina pasrah akan takdirnya. Dia akhirnya menerima keputusan Syed Anuar dengan hati yang ikhlas kerana dia telah berjanji kepada dirinya dahulu bahawa dia akan tetap menerima apa-apa sahaja keputusan Syed Anuar, dan sanggup menerima risiko menunggu Syed Anuar walaupun kenyataannya begitu pahit, pedih dan melukakan. Dia berharap ada hikmah di sebalik kekecewaannya itu. Walau bagaimanapun, dia tidak mampu membohongi dirinya sendiri bahawa dia masih mencintai dan menyayangi Syed Anuar biarpun Syed Anuar tidak dapat menerimanya. Biarlah masa yang menentukan selama mana dia mampu bertahan dengan cintanya itu. Doanya, agar Syed Anuar akan bertemu dengan gadis yang sekufu dengannya dan semoga mereka hidup bahagia selamanya.
Selamat tinggal kenangan...
Selamat tinggal tahun 2010 yang indah tetapi
sangat melukakan...
Selamat tinggal cinta...
Selamat tinggal Syed Anuar bin Tuan Habib
yang amat kucintai dan kukasihi....
Selamat tinggal semuanya...
Semoga tahun 2011 memberikan kebahagiaan
dan sinar baharu kepadaku...
Ya Allah yang Tuhanku, aku pasrah dengan
takdirku. Ampunilah aku....
Air mata Zurina tumpah lagi untuk sekalian kalinya. Bahunya terhinjut-hinjut menahan esakan. Setelah menulis luahan hatinya itu dalam diari yang banyak menyimpan kisah cintanya, dia menutup diari itu lalu memeluknya erat. Dengan susah payah, Zurina berusaha menyeka air matanya daripada terus tumpah. Tak akan kutumpahkan lagi air mataku ini untuk seorang lelaki yang bernama Syed Anuar, janjinya dalam hati.