Entah kenapa hari ini tiba-tiba saya rasa terpanggil untuk
menulis tentang ‘isu politik’. Seperti mana
anda semua tahu bahawa saya bukanlah seorang ahli politik dan tiada potensi langsung
untuk menjadi seorang ahli politik,
kerana saya sendiri tidak berminat langsung untuk bercakap soal politik. Pada saya, dunia politik kini terlalu kotor,
penuh dengan helah dan pembohongan. Semua
parti politik mempunyai agendanya yang tersendiri. Jangan samakan
politik zaman Rasulullah dan para sahabat dengan politik sekarang. Politik zaman Rasulullah dan para sahabat berbeza; bersih dan telus, berjalan seiring dengan penyebaran agama Islam yang suci. Walau
bagaimanapun, saya yakin saya ialah seorang warganegara yang bertanggungjawab kerana saya
menjalankan hak saya dengan sebaiknya, iaitu saya tidak pernah ketinggalan
mengundi. Siapa yang saya sokong atau pangkah, biarlah itu menjadi rahsia saya sendiri. Tidak perlu saya hebahkan kepada sesiapa pun,
hatta kepada suami saya sendiri, kerana saya berpegang pada prinsip ‘undi itu
adalah rahsia.’ Yang penting, saya menyokong Islam.
Saya tidak berpihak
kepada parti politik atau individu, tetapi saya berpihak kepada kebenaran. Saya cinta akan keamanan dan saya benci akan pepecahan dan keganasan. Senario politik sekarang begitu menakutkan saya. Akibat fahaman politik yang berbeza, bangsa seagama
berpecah dan berbalah sesama sendiri, saling memfitnah , mengata, mencaci, memaki dan sebagainya. Kadang-kadang para penyokongnya yang ‘lebih sudu
daripada kuah.’ Contoh yang amat ketara adalah
apabila saya melayari facebook, banyak status daripada rakan-rakan facebook
saya yang menyokong parti politik pilihan mereka dan memaki hamun parti politik bukan
pilihan mereka. Perhimpunan BERSIH 3.0 merupakan peristiwa yang menjadi titik tolak kepada kejadian mencaci dan
mengata sesama sendiri. Masing-masing mengeluarkan kenyataan, siap dengan video klip untuk
menghentam pihak lawan. Memanglah saya tiada hak untuk menghalang, kerana
mereka berhak menulis dan mengeluarkan kenyataan mereka sendiri di laman facebook,
tetapi yang saya kesalkan ialah berlaku tikam-menikam lidah antara satu sama
lain, sehingga terkeluar perkataan-perkataan kesat akibat terlalu
emosional. Saya hanya mampu mengeluh
melihat senario ini. Tidak ketinggalan
ialah pelajar-pelajar saya sendiri. Mereka
begitu beremosi apabila mengeluarkan kenyataan. Paling menyedihkan saya ialah
mereka masih bergelar pelajar. Sayangnya,
dalam peperiksaan, mereka tidak mampu pun menjawab soalan peperiksaan dengan
baik, tetapi begitu berapi-api menulis kenyataan dan komen masing-masing di
facebook tentang perhimpunan BERSIH semalam. Jika saya tidak bersetuju pelajar ikut
berdemostrasi, bukanlah bermakna saya menyokong pihak yang mengharamkan perhimpunan
itu. Saya tidak bersetuju pelajar ikut
berdemostrasi kerana saya mempunyai alasan
saya sendiri. Pada saya, tanggungjawab setiap mereka yang bergelar pelajar itu
ialah belajar. Itu juga dikira sebagai
menanggung amanah. Pelajar yang ikut berdemostrasi sebenarnya hanya terpengaruh dengan emosi.
Jika anda bijak dan betul-betul mahu mengubah kerajaan, kenapa mengambil
risiko untuk dibuang kolej atau universiti atau mengalami kecederaan? Bukankah anda sudah tahu risikonya jika anda
turut berdemostrasi? Jika anda
benar-benar bijak, habiskan dahulu pengajian anda dengan keputusan yang cemerlang, kemudian bekerja untuk menyara ibu
bapa dan keluarga (kerana itu ialah suatu kewajipan seorang anak), kemudian barulah
menyertai parti politik pilihan anda secara sah. Selepas itu, anda berjuanglah hingga ke titisan darah terakhir mengikut
saluran yang betul, pasti tiada sesiapa pun yang berani menyentuh anda dan sudah semestinya suara anda akan didengar. Lagi
satu, jangan lupa mengundi sebaik sahaja anda layak mengundi.
Mungkin sesiapa yang membaca tulisan
saya akan menuduh saya sebagai penyokong
parti A atau parti B, terpulanglah, saya tidak kisah. Saya sekadar memberikan
pendapat saya dari kaca mata seorang pendidik.
Seperkara lagi, saya juga ada membaca beberapa status dan komen rakan-rakan
facebook saya yang cuba menasihati orang lain ke arah kebaikan. Bagus, tetapi yang membuatkan saya tidak
berkenan ialah mereka menggunakan kata-kata yang keras, menghukum, menghentam,
menyindir, mengejek dan merendah-rendahkan orang yang dinasihati. Mungkin mereka berasa diri merekalah yang terbaik. Pada pandangan saya, perkataan yang digunakan oleh
mereka itu memperlihatkan diri mereka angkuh dan sombong. Kalau begitu caranya, orang pasti tidak mahu
mendengar, malah akan berasa meluat terhadap mereka. Pada saya, jika kita hendak berdakwah atau menasihati,
gunalah cara dan perkataan yang berhemah, lembut tetapi mampu meresap ke
dalam hati orang yang dinasihati.
Contohilah cara Rasullulah berdakwah.
Walaupun, Rasulullah merupakan kekasih Allah, namun baginda tidak pernah mencaci dan mencerca orang yang didakwah. Saya pernah cuba menegur cara mereka dengan
lembut, tetapi saya pula dituduh menyokong pihak yang satu lagi. Sekali lagi saya tegaskan, saya tidak
menyokong atau berpihak kepada mana-mana individu, tetapi saya berpihak kepada kebenaran.
Wallah hua’lam…