TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Tuesday, May 31, 2011

Cintanya Tertumpah di Kuala Gandah...

        
              Mulut Zalia becok bercerita kepada para rombongan dari SMK Taman Tasik, Ampang, Selangor.  Senyum tidak lekang dari bibir nipis itu.  Terkadang dia ketawa, kemudian membulatkan mata, mencemekkan bibirnya, kemudian ketawa lagi sambil bercerita penuh semangat kepada para rombongan yang kelihatan begitu asyik mendengar patah-patah kata yang keluar dari mulutnya. Tubuh sederhana itu bebas bergerak, mempamerkan gaya dan aksi sewaktu bercerita kepada para rombongan.  Ceritanya disambut tepukan gemuruh oleh para rombongan. Kegembiraan terpancar pada wajah mulus dan bersih itu melalui sinar mata dan keikhlasan senyumannya.  Ternyata, dia kelihatan bahagia dengan tugasnya ketika itu.

         ”Ya adik-adik, inilah antara aktiviti yang kami  pertontonkan kepada para tetamu apabila mereka datang melawat orang-orang asli di kampung ini. Di bangsal inilah orang-orang asli di kampung ini melakukan aktiviti pada waktu pagi setiap hari seperti membuat kraftangan, belajar membaca, menulis, mengira dan sebagainya.  Ya, di sinilah, saya sebagai guru mereka, mengajar mereka tentang semua perkara.  Ramai antara mereka ialah saudara baharu, jadi  saya juga harus mengajar mereka tentang Islam,” ujar Zalia panjang lebar.

       ”Mereka ini pemalu ya, cikgu-cikgu dan adik-adik,”  Zalia bercerita lagi. Ketika dia sedang rancak bercerita, seorang pelancong barat mendekatinya dan menyerahkan sebuah beg plastik yang sarat dengan makanan ringan, sebagai sumbangan ikhlas daripadanya kepada orang-orang asli di kampung itu.

       ”Thank you, thank you so much,” ucap Zalia berkali-kali.
      
        “I will give it to them”. Sungguh, dia begitu terharu dengan sumbangan itu. Kemudian Zalia meneruskan ceritanya.

        ”Baiklah, sekarang saya akan menceritakan tentang upacara sambutan orang-orang asli di sini.  Mereka akan menyambut kedatangan tetamu dengan satu upacara tarian yang dipanggil tarian xxx.  Ok, ini ialah baju yang dibuat daripada sejenis kulit pokok, dipakai khusus oleh orang perempuan semasa menari, manakala yang putih ini pula baju yang dibuat daripada kulit pokok ipoh, yang dipakai khusus oleh orang lelaki. Pokok ipoh ini merupakan pokok beracun ya adik-adik, tetapi kulit kayunya yang dijadikan baju ini tidak lagi beracun.” Lancar Zalia memberi penerangan. Senyuman tidak lekang dari wajah manisnya.

        ”Siapa ya mahu mencuba, haaa..adik di depan ni, mari ya," Zalia memanggil pelajar di hadapannya. 
        
        Mastura, pelajar tingkatan enam, bingkas bangun memberi respon yang baik, lalu memakai baju kulit kayu khusus untuk perempuan diiringi tepukan daripada ahli rombongan yang lain, kemudian Aiman, pelajar tingkatan tiga pula, memakai baju kulit khusus untuk lelaki.

         ”Baiklah, sekarang kita menari sama-sama, yuk Mek dan Siti, kita nyanyi sama-sama.” Maka mereka pun menari bersama-sama sebuah tarian orang asli khusus untuk menyambut dan meraikan tetamu.  

          Mastura dan Aiman turut menari mengikut langkah tari Mek dan Siti manakala Zalia menyanyi sambil bertepuk tangan bersama-sama ahli rombongan yang lain. Suasana dalam pondok itu begitu mengujakan walaupun udara dalam pondok kecil beratap rumbia itu semakin membahang. Setelah itu, Zalia meneruskan penerangannya lagi.  Sebelum rombongan keluar dari pondok kecil itu, mereka diberi penerangan ringkas oleh Zalia tentang kraftangan yang dihasilkan oleh masyarakat orang asli di situ.

        ”Cikgu-cikgu bolehlah menderma sambil membeli barang kraf tangan ini jika berhajat,” ujar Zalia lembut.

        Sementara menunggu hidangan makan tengahari siap, guru-guru dan para pelajar  bersiar-siar ke kawasan perkampungan orang asli Kuala Gandah, melihat-lihat rumah  kayu dan rumah batu yang tersusun di itu. Zalia turut menemani mereka sambil menjawab soalan-soalan yang diajukan.  Rumah-rumah kayu, kepunyaan orang-orang asli yang beragama Islam manakala rumah-rumah batu, milik orang-orang asli yang beragama Kristian. 

       "Kenapa begitu?" Tanya salah seorang ahli rombongan.  Zalia tersenyum pahit. 

        "Itulah yang sedihnya cikgu.  Yayasan Kristian banyak beri dana dan mereka benar-benar menjaga kebajikan orang-orang asli Kristian di sini, tapi orang-orang asli Islam terbiar, tiada dana langsung. Saya bimbang wang yang ditabur oleh mereka akan mempegaruhi saudara baharu Islam di sini kerana pegangan  agama mereka  tidaklah sekuat mana pun."

       "Ohhh..," terdengar keluhan yang maha berat daripada beberapa orang guru, kecewa dengan senario yang berlaku.

          ”Cikgu mengajar di sini, siapa yang bayar gaji cikgu?” Salah seorang guru bertanya, inginkan kepastian kerana dia tidak begitu jelas dengan penerangan Zalia di dalam pondok tadi.

       ”Oh, JAKIM yang bayar gaji saya” jawab Zalia ramah. Apabila berhadapan dengannya secara dekat begitu, wajah lembut wanita berusia 48 tahun itu begitu mengagumkan. Langsung tiada garis kedut di bawah matanya. Kulitnya cerah dan tegang.  Awet muda, berbanding usianya. Punya lima orang anak, seorang doktor, seorang jurutera dan yang lain masih bersekolah.

       ”Apa rahsia cikgu ya, nampak muda sangat?” Guru yang berbaju biru bertanya. Kagum benar dia akan wajah lembut Zalia.
      
        Zalia tersipu-sipu. ”Tak ada apalah.  Semuanya daripada hati. Bahagia dengan apa yang kita lakukan,” ujar Zalia diiringi ketawa kecil. Ketawanya juga sopan, menampakkan barisan gigi putih yang cantik.
  
        ”Dahulu saya bekerja dengan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, tetapi saya berhenti kerana saya kecewa. Saya suka meminta peruntukan yang dijanjikan kepada orang asli tetapi hampa.  Apabila mereka melihat muka saya, mereka jadi meluat, dan mereka kata, Puan, peruntukan untuk orang asli tak ada, Puan faham tak? Saya sangat kecewa. Sebenarnya kerajaan tak salah, kerajaan dah bagi jaminan dan peruntukan berjuta-juta ringgit kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli tetapi mereka yang menguruskan wang tersebut tidak amanah, menyebabkan wang tersebut tidak sampai ke saluran yang sepatutnya. Oleh sebab terlalu kecewa, saya berhenti dan memohon kerja di JAKIM. Alhamdulillah saya masih di sini, membantu saudara baharu. Sepuluh tahun saya bersama mereka. Daripada tiada apa-apa, akhirnya adalah sesuatu. Cikgu-cikgu, mereka ini sangat-sangat pemalu.  Hati mereka sangat baik. Mereka sayangkan anugerah Allah.  Mereka tak suka tempat mereka diterokai kerana mereka dijadikan bahan tontonan. Dulu kalau ada pelawat, mereka akan lari masuk ke dalam hutan, tapi sejak saya bersama mereka, saya ajar mereka semuanya, segalanya.  Saya ajar mereka membaca dan mengira sehingga mereka betul-betul boleh membaca dan mengira. Saya gunakan bahasa mereka dan juga bahasa Melayu, campur-campur cikgu. Dulu saya pergi dari satu rumah ke satu rumah mengajar mereka. Saya rentas sungai dan daki bukit kecil untuk sampai ke rumah mereka, tapi akhirnya saya terfikir, sampai bila saya larat begitu, dan akhirnya kami bersama-sama bina pondok beratap rumbia itu sebagai pusat aktiviti orang-orang asli di sini, tempat mereka belajar, mengaji, belajar solat, buat kraftangan, dan sebagainya. Pernah seorang YB memerhatikan saya mengajar orang-orang asli di sini dan dia menyatakan kekagumannya akan apa yang saya lakukan terhadap orang-orang asli di sini, dan alhamdulillah, beliau turut menyumbang," panjang lebar Zalia bercerita.

         Nada Zalia tiba-tiba berubah. Beberapa ahli rombongan yang masih setia mendengar ceritanya melongo.

         ”Tapi sayang, kita kekurangan dana, hampir tiada dana langsung untuk meningkatkan taraf hidup mereka.” Rendah saja nada suara Zalia. Matanya berkaca. Guru-guru yang berada di sekeliling Zalia turut merasakan sesuatu. Rasa kasihan, kesal dan marah mula bersatu di dalam dada mereka. Kasihan akan nasib masyarakat orang asli di Kuala Gandah dan rasa kesal dan marah terhadap mereka yang tidak amanah menjalankan tanggungjawab. Dana yang diperuntukkan oleh kerajaan khusus untuk masyarakat orang asli masuk ke dalam poket mereka sendiri dan menjadi darah daging mereka, dan mereka pula membesarkan anak-anak mereka dengan duit haram itu tanpa ada sedikit pun perasaan bersalah, nauzubillah.  Guru perempuan berbaju biru berkaca mata besar itu benar-benar kesal dan geram. Simpatinya melimpah-ruah.  Hanya Allah yang akan membalasnya, getusnya di dalam hati. 

              " Cikgu orang mana, orang dekat-dekat sinike? tanya salah seorang guru yang sejak tadi hanya asyik mendengar.

              Zalia ketawa kecil. " Taklah, saya orang Kuantan, jauh dari sini."

             "Ohh, jadi cikgu berulang-alik setiap hari ke sini?"

              "Tak, saya tinggal di kuartes pegawai di sini, untungnya kerana suami saya pegawai Perhilitan di sini."   Guru yang bertanya tadi menganguk-angguk tanda faham. Kemudian Zalia meneruskan ceritanya.           

                  "Cikgu-cikgu, apa yang termampu saya lakukan  hanyalah memberi anak-anak orang asli di sini pelajaran setinggi yang termampu digapai oleh mereka. Yang penting, mereka boleh membaca, menulis dan mengira, dan selepas itu saya akan daftarkan nama mereka di Jabatan Sumber dan Manusia bagi memungkinkan mereka mendapat pekerjaan.  Ada beberapa orang bekas anak murid saya yang bekerja di Elephant Santuary sekarang.” Girang Zalia menyambung cerita sambil menyebut nama beberapa orang pemuda asli yang pernah menjadi anak muridnya di pondok beratap rumbia itu.

          Sesungguhnya Zalia benar-benar bahagia dan  puas kerana pemuda-pemuda asli itu kini mampu berdikari, dan hasratnya kini, mahu melahirkan lebih ramai Ameng, Baji, Dali, Abu, Mamat dan Bidin. Itulah cita-citanya dan harapannya sebelum dia menutup rapat matanya untuk selama-lamanya, tetapi dia juga risau, siapakah yang akan menyambung usaha murninya nanti jika kudratnya tidak kuat lagi,  dan siapa yang akan meneruskan kerja amalnya jika dia sudah tidak ada lagi nanti?  Ahh, biarlah dia serahkan segala urusan itu kepada Yang Maha Berkuasa kerana Dia Maha Mengetahui. Zalia pasrah.

        Setelah semua ahli rombongan sudah kekenyangan menikmati hidangan tengahari yang ditaja oleh YB Kuala Gandah, mereka pun meminta diri untuk bertolak ke destinasi seterusnya iaitu ke Deer Land.  Zalia melepaskan rombongan itu dengan satu perasaan aneh.  Dia sendiri tidak mengerti apakah perasaan itu.  Apa-apa pun, dia bahagia kerana telah menjalankan tugasnya dengan jayanya,  pada hematnya sendiri.
   

Tuesday, May 24, 2011

Teman, Mengapa Begini......



Teman...
mengapa selalu kita begini
semalam kita berteman
hari ini bermasam muka

Teman
bukankah kau lebih mengenali diriku
marahku hanya seketika
bukankah kau tahu hatiku
marahku bukan membenci
sekadar melepaskan segala yang terbuku di hati
kukira kau mengerti

Teman
mana sikapmu yang prihatin
mana rasionalmu yang kaukelek
kau terlalu beremosi 
aku kaget tak terkira
amarahmu menjarakkan kita
kau tak sudi lagi menyapa
menyisih aku dari sisimu

Teman
sudah lupakah kau pada segala janji
yang pernah kita meterai
bahawa kau dan aku
walau apa pun yang terjadi
kita berdua
tetap teman 
dalam suka mahupun duka

Teman
tiada dendam di hatiku
jangan pula ada benci di hatimu
moga suatu masa nanti
kita bisa seperti dahulu
kembali berteman..





Suatu Waktu Dahulu...



Suatu waktu dahulu
pernah aku merasainya
ada getar dalam hatiku
tatkala mata bertentang
pabila bibir berbicara
hanya denganmu

Bila kaudekat
jantung berdetak kencang
bila kaumenjauh
hati jadi resah
rindu pun menyapa

Akhirnya kau pergi menggapai cita
tinggalkan aku sendiri
merintih dalam diam 
ditemani rindu yang tak bertepi
hati yang resah kupujuk sendiri  
walau kau tak pernah tahu
cinta dan rinduku hanya untukmu

Hari berganti
walau  aku cuba untuk tetap setia
namun akhirnya aku tewas oleh waktu
kerana segalanya tak pernah pasti
dirimu pergi tak pernah kembali

Sudah suratan
kini kita bertemu kembali
walau tak pernah bersua
akhirnya  kau lafazkan kepadaku
bahawa suatu waktu dahulu
akulah gadis yang kau puja
padaku rindumu tertumpah
akulah cinta pertamamu
dan kenangan dahulu
tak akan pernah terpadam

Aku teruja
dipanah bahagia
kerana akhirnya aku tahu
suatu waktu dahulu
kita saling mencintai
kita saling merindui
walau tak punya upaya
untuk saling melafazkan

Jika rindumu  dulu masih tersisa untukku
kusambut penuh tulus
kerana aku juga amat merinduimu
sungguh...