TUAI PADI ANTARA MASAK, ESOK JANGAN LAYU-LAYUAN, INTAI KAMI ANTARA NAMPAK, ESOK JANGAN RINDU-RINDUAN...

Thursday, February 28, 2013

Puisi Terakhir Untukmu....



Alangkah indahnya waktu dulu
titik mula perkenalan
lewat sebuah persahabatan
lalu lahir sebuah rasa
kita semai bahagia
rindu pun tumbuh
kasih pun berbunga

Segalanya kita kongsi bersama
suka
duka
pernah ketawa bersama
menangis juga berdua
dan waktu terus berlalu
kita mula goyah
hatiku dan hatimu terluka

Kini kita bukan lagi kita yang dulu
aku dengan caraku
engkau dengan caramu
walau tak pernah lagi saling menyapa
namun hati tetap berbicara
dalam sepi
dalam sendu

Terkadang
segalanya tentang dirimu
masih terkesan di hatiku…

Wednesday, February 27, 2013

Travelog : Lawatan Penanda Aras ke Bandung 2012


NKRA : Malaysia - Indonesia
Lawatan Penandaarasan ke Arah Pendidikan Berkualiti Merentas Sempadan
Tarikh : 11-14 Februari 2013
Anjuran :  SMK Taman Tasik, Ampang, Selangor


Peserta Rombongan :
Pn. Tukinah bt Sadi,  Pn. Maznah bt Sanuddin, Pn. Saedah bt Sahran,  Pn. Nur’Azah bt Hj. Abdul Kadir,  Pn. Noriah  bt Dollah,  Pn. Rohimah bt Idris, Pn. Sukhainah bt Kamson, Pn. Suryati  bt Basra dan suami serta 3 orang anak,  En. Jamaluddin bin  Othman dan isteri, YM. Engku Faridah bt Engku Ibrahim, Cik Nur Akmal bt Jusoh, Cik Seri Norlaili bt Kamaruddin,   Cik Rahmatul Salbiah bt  Ghazali, Pn. Hanilah bt Ramli, Pn. Cik Harleeda bt Mohd Rosli, Pn. Zaiton bt Johari dan suami, Cik Siti Sarah bt Othman, Pn. Norzalina bt Tarmizi , Pn. Nuraneez  bt Ismail, Pn. Junaidah bt Mohamad, serta Pn. Norzuraidah  bt Md Nor dan dua orang anak.

Isnin (11 Feb 2013)



     Peserta rombongan berkumpul di LCCT seawal jam 5 pagi di hadapan Restoran Mc Donald.  Setelah semuanya berkumpul, kami  bersarapan di restoran sekitar.  Pukul 6.30  pagi, kami ‘check-in’.  Kapal terbang berlepas  dari LCCT pada pukul 7.00 pagi.  Kami sampai di Lapangan Terbang  Bandara Soekarno-Hatta, Jakarta tepat pada pukul 9.00 pagi waktu Malaysia tetapi pukul 8.00 pagi waktu Indonesia.  Waktu Kuala Lumpur lebih cepat satu jam berbanding waktu di Indonesia. 




























     Di sana, kami disambut oleh Pak Akur Sudianto dan isteri, Ibu Rani serta anak lelakinya, Sena.  Saya, Pn. Noriah, Pn. Cik NurKhaleeda dan Pn. Suryati sempat membeli simkad Indonesia di sebuah outlet simkad terlebih dahulu untuk memudahkan kami menghubungi keluarga di Malaysia. Dari lapangan terbang, kami menaiki bas persiaran Pinky pada pukul 9.18 pagi menuju ke Bandung. 

Sebaik mendarat di Lapangan terbang Soekarno-Hatta
Bergambar kenangan di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta 


Menunggu bas persiaran




Lapar sangat dah...
Andi mengedarkan donut


Dalam bas persiaran Pinky
     Perjalanan ke Bandung mengambil masa selama lebih kurang 3-4 jam, namun perjalanan kami tergendala lebih kurang setengah jam kerana tayar bas yang kami naiki pancit akibat terlanggar kerikil tumpul di lebuh raya. Pada mulanya kami semua tidak turun dari bas kerana berasa keadaan tidak selamat jika berbuat demikian, namun akhirnya kami turun juga dari bas kerana pemandu bas mahu menukar tayar.  Jika kami masih berada di dalam bas, mana mungkin tayar dijek.  Saya merupakan orang yang kedua yang turun dari bas selepas Pn. Tukinah kerana  saya mahu mengambil gambar situasi tersebut.   Ternyata, jalan raya menjadi jem (macet) disebabkan bas kami.  Kami berdiri beramai-ramai di atas pembahagi jalan, malah sempat berfoto-foto penuh gaya.   Akhirnya tayar bas yang pancit dapat ditukar dengan jayanya. 

Pemandangan Jakarta sepanjang perjalanan ke Bandung


Tayar bas pecah akibat terlanggar kerikil tumpul








Posing, jangan tak posing...jangan hilang 'bontot' sudah...


Pak Akur Sudianto

Tak habis-habis main game...aiya...

            
















    Setelah itu, kami meneruskan perjalanan.  Kami berhenti sekejap di sebuah perhentian untuk ke tandas, sambil membeli jajan (makanan ringan).  Pak Anto membelikan kami tauhu goreng.  Bersama tauhu goreng itu diletakkan cili padi hijau.  Itulah makanan Indonesia yang pertama yang kami makan di sana selain keropok jagung yang kami beli di gerai yang sama yang menjual tauhu goreng.  Walaupun tauhunya kosong, namun rasanya enak, terutamanya apabila dikunyah bersama cili padi hijau.  Aduhh, pedas... namun enak.  Setelah itu kami meneruskan perjalanan semula.  

Tauhu brsama cili padi...enakkkk

Keropok jagung















               
         

     Di sepanjang perrjalanan, kami membaca tulisan di papan-papan iklan dan papan-papan tanda lebuh raya .  Perkataan-perkataanyang tertera begitu asing bagi kami menyebabkan kami tergelak tatkala membaca tulisan-tulisan tersebut.  Tidak dapat dinafikan, rakyat Indonesia yang pertama kali ke Malaysia juga pasti tergelak membaca tulisan di papan-papan iklan dan papan-papan tanda lebuh raya di Malaysia. Semuanya kerana tidak biasa dengan perkara yang baru dilihat atau didengar. 

















    Akhirnya kami sampai juga di destinasi iaitu di Pusat Pengembangan dan Pemberdayaan Pendidik dan Tenaga Kependidikan, Sains (Sameo Regional Center), Bandung pada pukul 2.30 petang waktu Indonesia.

    Di situ, kami diberi bilik berkongsi dua orang.  Saya berkongsi bilik dengan Pn. Aneez.  Malang sekali, bilik yang kami dapat masih kotor, lalu kami diminta untuk bersabar dan menunggu bilik kami dibersihkan terlebih dahulu, sementara yang lain sudah pun masuk ke bilik masing-masing dan berehat seketika.   Setelah itu kami diminta turun ke dewan makan untuk makan tengah hari.  Oleh sebab kami semua sudah terlalu lapar, maka kami makan dengan begitu berselera.  Masakannya boleh tahan juga, enak. 

    Setelah selesai makan tengah tengah hari, kami masuk ke bilik masing-masing untuk mandi dan berehat.  Atas inisiatif Pn. Suryati, saya dan Aneez memilih untuk berpindah ke bilik lain kerana kami sudah terganggu oleh pemandangan pertama yang kami lihat di dalam bilik tersebut.  Bilik pertama kami tadi akan diberikan kepada Pn. Zaiton dan suaminya.  Pn. Zaiton dan suaminya sampai di situ bersama suami Pn. Suryati dan anak-anak pada lewat malam (tidak datang bersama-sama kami kerana masalah tiket). Pada pukul 4.30 petang, kami semua berkumpul di ruang lobi sebelum membuat lawatan dan tinjauan di pusat tersebut.  Di ruang tamu pusat itu, kami diberikan taklimat tentang sejarah dan fungsi Pusat Pengembangan dan Pemberdayaan Pendidik dan Tenaga Kependidikan, Sains itu oleh Ibu Danti.  Kami juga dibawa melawat ke sebuah makmal kimia di situ.  Berdasarkan pandangan peribadi saya, ternyata, makmal kimia SMK Taman Tasik jauh lebih cantik dan lengkap daripada makmal kimia di situ.

Bergambar kenangan di Semeo Regional Center

Ibu Danti sedang m,emberikan kalimat





Makmal Kimia




Makmal kimia





     Setelah selesai lawatan iaitu pada pukul 4.30 petang, kami terus  bertolak ke Cihampelas untuk membeli-belah.  Di sana, kami diberi waktu sehingga pukul 7.00 malam untuk membeli-belah dan seharusnya berkumpul semula di tempat kami turun dari bas.  Kami mula berpecah mengikut kumpulan dan haluan masing-masing.  Saya bersama anak-anak mengikut Pn. Nur Azah dan beberapa orang yang lain, singgah dari satu kedai ke satu kedai yang lain.  Langkah kami agak sukar kerana laluannya sesak dan terlalu ramai orang di situ, tambahan pula waktu itu hujan renyai.  Saya membeli t-shirt dan barang-barang cenderamata yang lain.  Pekan Cihampelas sangat padat dan jalan rayanya ‘macet’.  Di sepanjang langkah kami, kami diekori oleh ramai penjaja yang menjual pelbagai jenis barangan cenderamata.  Kami diekori begitu rapat, dirayu-rayu agar membeli jualan mereka dan menyebut “beli bu, buat pecah telur”. Mereka tidak akan beredar dari sisi kami sehingalah kami membeli jualan mereka, tetapi kemudiannya datang lagi penjaja yang lainpula.  Kami sebenarnya agak rimas dan takut dengan keadaan itu kerana situasi begitu tidak wujud di Malaysia. 

     Setelah selesai membeli, kami terus beredar agar tidak lagi diekori.  Tiba-tiba hujan turun agak lebat, dan pada ketika itu juga kelihatan anak-anak kecil entah dari mana datangnya, membawa payung untuk memayungi sesiapa sahaja yang sudi.  Saya dan anak-anak menolak untuk dipayungi.  Mereka akan beredar dan mencari orang lain pula.  Saya membeli tiga helai t-shirt, beberapa jenis key chain, beberapa papan fridge-magnet   dan beg-beg kecil untuk dibawa pulang.  Setelah itu saya dan anak-anak kembali ke tempat berkumpul.  Di situ, saya melihat Pn. Rohimah dipayungi oleh seorang kanak-kanak kecil.  Apabila ditanya berapa upahnya, si kecil menjawab seikhlas hati  sahaja.  Semasa Pn. Rohimah mengeluarkan beberapa keping duit syiling Indonesia, si kecil itu ketawa, mungkin syiling itu tidak berharga kerana nilainya berapalah sangat.  Tiba-tiba sahaja datang sekumpulan anak-anak kecil lain yang membawa payung menyerbu Pn. Rohimah.  Pn. Rohimah terus beredar ketakutan tanpa sempat membayar upah si kecil tadi.  Sementara menunggu teman-teman yang lain, saya berjalan bersama anak-anak di kompleks beli-belah yang lebih moden.  Di situ tiada penjaja yang mengekori kami, mungkin juga penjaja dilarang berjaja di situ.  

     Setelah penat berjalan dan kaki sudah terasa sakit, saya kembali ke tempat menunggu sambil duduk-duduk di bangku, menunggu teman-teman yang lain.  Akhirnya seorang demi seorang teman muncul dan berkumpul di situ.  Tepat pukul 7.00 malam seperti yang dijanjikan, bas datang untuk membawa kami pulang ke tempat penginapan.  Kami menaiki bas sambil menunggu beberapa orang lagi teman iaitu Pn. Sedah, Pn. Maznah dan Engku Faridah.  Setelah agak lama menunggu, mereka masih tidak muncul.  Akhirnya gerakan mencari mereka dibuat.  Tn. Haji Jamaluddin dan pemandu bas cuba mencari mereka bertiga di kawasan sekitar.  Lebih kurang 15 minit kemudian, mereka berjaya ditemui.  Rupa-rupanya mereka masih asyik membeli-belah hingga tidak sedar akan waktu yang berlalu.  Setelah semuanya ada,  bas pun bertolak pulang. 

Menunggu...

Paling lambat...

                  
















     Di sepanjang jalan pulang ke tempat penginapan, kami membaca papan-papan tanda kedai.  Antaranya ialah Pusat Pakaian ABG. Pak Anto menerangkan bahawa ABG membawa maksud Anak Baru Gede (anak remaja).  Kami sampai di tempat penginapan pada pukul 9.00 malam.  Kami terus ke dewan makan untuk makan malam sebelum naik ke bilik masing-masing untuk solat dan istirehat.

Selasa (12 Feb 2013)

     Kami berkumpul di dalam bas seawal jam 5.30 pagi tetapi tidak dapat bertolak segera kerana menunggu bekalan makanan untuk sarapan pagi siap.  Setelah bekalan siap, tepat jam 6.00 pagi, kami bertolak ke Gunung Tangkuban Perahu, kira-kira satu jam perjalanan dari tempat penginapan kami.  Jalan menuju ke Gunung Tangkuban Perahu agak berliku kerana kami sedang menaiki gunung.  Banyak rumah kampung di sepanjang jalan.  Kelihatan penjaja-penjaja berjaja di tepi jalan sambil mengandar jualan mereka di bahu.  Keadaannya sama seperti dalam filem-filem Melayu era 60-an dahulu yang boleh ditonton melalui filem-filem P. Ramlee. Anak-anak sekolah juga kelihatannya baru keluar dari rumah, berjalan kaki ke sekolah.   Kami bersarapan di dalam bas.  Menu sarapan kami ialah tempe goreng, ayam goreng, sayur goreng dan keropok goreng.  Tempenya enak sekali, masinnya cukup dan gebu. Nasi dan lauk serta sayur diletakkan di dalam kotak yang mempunyai sekatan-sekatannya.  Berbeza keadaannya di Malaysia, bekalan selalunya diletakkan di dalam bekas polistrin putih.  Pada pandangan peribadi saya, bekalan yang dimasukkan di dalam kotak lebih praktikal kerana nasi dan lauk tidak bercampur, jadi nasi tidak cepat basi.

     Kami sampai di kaki gunung Tangkuban Perahu pada pukul 7.00 pagi.  Kawasannya masih ditutup kepada pelancong.  Kawasan itu dibuka pada pukul 8.00 pagi.  Bas berhenti di hadapan palang besi.  Kami masih di dalam bas sambil menunggu palang besi dibuka.  Bayaran masuk ke kawasan itu ialah 50 ribu rupiah untuk pelancong dari luar, tetapi kami diberi diskaun sebanyak 10% hasil perbincangan Pak Anto dengan penjaga di pondok jaga, jadi kami hanya perlu membayar 45 ribu rupiah sahaja seorang.  Bayaran untuk naik  tut-tut (van)  sampai ke puncak pula ialah 5 ribu rupiah seorang.  

     Di luar bas, cuaca agak dingin dan nyaman.  Saya dan Aneez duduk di bahagian hadapan sekali, di belakang pembantu pemandu.  Sambil menunggu, saya berbual-bual dengan kedua-dua pemandu bas itu.  Iaitu Andi dan Khairi.  Mereka berasal dari daerah Bandung juga, tidak pernah ke Malaysia dan sudah berkeluarga.  Saya juga bertanya kepada mereka tentang isu orang Indonesia yang berada di Malaysia yang tidak suka atau marah jika dipanggil Indon.  Saya bertanya kepada mereka apa bezanya istilah Indo dengan Indon.  Mereka mengatakan bahawa itulah kali pertama mereka mendengar tentang hal itu.  Menurut mereka,istilah Indo atau Indon sama sahaja, tiada maksud yang tidak baik, cuma berbeza sebutan mengikut daerah.  Menurut mereka lagi, orang Indonesia di Indonesia tidak kisah pun jika dipanggil Indon. “Ngak apa-apa, Bu, ngak ada maksud yang tidak baik, sama saja,” kata mereka.  Hmm...jadi kenapa ya orang Indonesia di Malaysia marah sangat jika dipanggil Indon?  Pelikkan?

     Tidak lama kemudian, pintu palang besi dibuka.  Bas kami mula bergerak naik ke  tempat van.  Di situ kami mula menghidu bau belerang.  Setelah sampai, kami turun dari bas.  Beberapa orang penjaja sudah menunggu kami di luar bas, menawarkan kami topeng hidung atau ‘mask’, selendang lepas dan juga selendang siap pakai.  Kami membeli topeng kerana bau belerang semakin menusuk hidung.  Kami juga rambang mata melihat selendang siap pakai.  Semuanya cantik.  Harga sekeping topeng hidung ialah 2 ribu rupiah, manakala harga bagi selendang siap pakai ialah 100 ribu rupiah untuk 4 helai.  Harga bergantung pada pandai atau tidak kita tawar-menawar.  Jika pandai tawar- menawar, maka harganya lebih murah.  Selagi kami tidak membeli, mereka akan terus mengekori kami  dan merayu agar kami membeli jualan mereka, buat pecah telur, kata mereka. Setelah bergambar beberapa kali, kami naik ke puncak dengan dua buah van.  

     Kami merupakan kumpulan pelancong yang pertama yang sampai di puncak pada hari itu.  Gerai-gerai di sepanjang jalan belum dibuka.  Di puncak, suhunya lebih dingin dan bau belerang lebih kuat menusuk hidung kerana kami begitu  hampir dengan kawah gunung berapi.  Para penjaja berebut-rebut mengekori kami, merayu kami membeli jualan mereka, sambil berulang kali menyebut, “buat pecah telur, bu”.  Harga yang ditawarkan berbeza-beza, dari yang semahal-mahalnya menjadi semurah-murahnya jika pandai tawar-menawar, dengan harapan kami membeli.   Puas kami beralasan dan menolak tetapi mereka tetap cekal merayu dan memujuk, tidak sedikit pun berputus asa.Jika kami beralasan bahawa kami tidak mempunyai duit yang cukup, mereka menjawab bahawa mereka menerima duit Malaysia.  Ada kalanya kami tidak dapat berjalan dengan lancar kerana mereka mengelilingi kami.  Walaupun sudah membeli, yang lain pula datang, seakan-akan memaksa kami agar kami membeli lagi.  Kami berasa rimas akan situasi itu.  Ke mana sahaja kami melangkah, mereka  mengekori kami dengan begitu rapat.  Saya membeli dua buah beg bulu untuk anak perempuan saya.  Harganya ditawar oleh Ibu Rani, jadi saya membeli beg itu dengan harga yang lebih murah berbanding harga asal yang ditawarkan. 






               


Pemandangan kawah gunung Tangkuban Perahu sangat cantik.  Kawah itu masih aktif kerana ia masih mengeluarkan asap.  Semakin ke tengah hari, asap semakin tebal.  Menurut cerita, dahulu, kerajaan Indonesia membenarkan para pelancong turun ke dalam kawah, namun setelah mendapati asap yang dikeluarkan dari kawah itu beracun, maka sejak itu para pelancong dilarang turun ke dalam kawah. Kami semua bergambar semahu-mahunya di situ, berlatarbelakangkan pemandangan kawah dengan asap yang semakin menebal.  































































Kawah Gunung Tangkuban Perahu yang semakin banyak mengeluarkan asap sulfur menjelang tengah hari












     Setelah dua jam lebih berada di situ, kami pun berkumpul di dalam van untuk turun ke tempat parkir bas. Sebaik turun dari van, kami terus diekori oleh para penjaja.  Mereka mengekori kami sampai ke dalam bas.  Di dalam bas, berlaku lagi tawar-menawar.  Harga yang ditawarkan menjadi semakin murah.  Jadi kepada sesiapa yang membeli di dalam bas sewaktu bas sudah mahu bergerak sangat beruntung, kerana  harganya sangat-sangat murah.

   Sepanjang perjalanan pulang, kami mula membandingkan harga barangan yang kami beli.  Ada yang membeli dengan harga yang mahal, sederhana mahal dan sangat murah.  Memang sakit hati rasanya apabila mendapati ada antara teman-teman kami yang membeli barangan yang sama dengan harga yang jauh lebih murah daripada harga yang kami beli, namun kami harus redha, dan menganggap itu ialah rezeki para penjaja tadi.  Contohnya  untuk tasbih, saya membelitiga utas tasbih panjang dan tiga utastasbih pendekdengan harga 100 riburupiah, begitu jugadengan Pn. Saedah dan yang lain-lain, namun Akmal mengadu  bahawa dia membeli 3 utas tasbih panjang dengan harga 130ribu rupiah.  Apalagi, kami semua pun gelakkan Akmal.  Kesian dia, betul-betul terkena.

    Kami sampai di tempat penginapan pada pukul 11.00 tengah hari.  Kami makan tengah hari pada pukul 11.30 pagi.  Setelah itu kami masuk ke bilik untuk berkemas.  Lebih kurang pukul 1.00 tengah hari, kami bertolak meninggalkan Semeo Regional Center dan menuju ke Pasar Baru untuk membeli-belah.  Dalam perjalanan, kami singgah di Kedai Roti Kartika Sari.  Kami semua turun untuk melihat dan membeli apa adanya. 














     Semasa kami mahu meneruskan perjalanan ke Pasar Baru, seorang pemuda naik ke dalam bas dan menghiburkan kami dengan beberapa buah lagu.  Kami terhibur dengan nyanyiannya.  Kami memberi duit kepadanya seadanya sebagai upah untuknya.  Setelah itu pemuda itu turun dari bas sebelum kami sampai di Pasar Baru. 

Pemuda dan gitarnya...



    Kami sampai di Pasar Baru lebih kurang pada pukul 2.00 petang.  Kami diberi masa selama 3 jam untuk membeli-belah dan harus berkumpul semula pada pukul 5.00 petang.  Setelah itu kami semua berpecah mengikut haluan masing-masing.  Saya bersama anak-anak saya masuk ke mall untuk membeli telekong sembahyang dan kain pasang bersulam untuk dibawa pulang.  Saya juga membeli beberapa pasang t-shirt berseluar untuk anak-anak saudara serta sehelai kemeja-t dan seluar tiga suku untuk suami.Setelah itu, saya dan anak-anak kembali ke tempat berkumpul.  Waktu itu jam baru menunjukkan pukul 4.00 petang.  Saya hanya menunggu di kaki lima kerana tidak larat lagi untuk berjalan.  Pada pukul 5.00 petang, seorang demi seorang teman muncul.  Kami terpaksa menunggu lagi sehingga semua teman ada di tempat berkumpul.  Pada pukul 6.00 petang, barulah semuanya ada dan Pak Anto segera menelefon pemandu bas.  Sebaik sahaja bas tiba, kami terus masuk ke dalam bas dan bersedia untuk bertolak ke destinasi seterusnya iaitu Bogor.  Sekali lagi seorang pemuda naik ke bas kami sambil menyanyikan beberapa buah lagu.  Kami sekali lagi memberi upah kepada pemuda itu.  Setelah itu, pemuda itu turun dari bas dan kami meneruskan perjalanan kami ke Bogor.  


Suasana di kaki lima Pasar Baharu...






















    Perjalanan kami ke Bogor tersekat-sekat kerana jalan macet (jam).  Perjalanan ke Bogor dari Pasar Baru biasanya mengambil masa 3 jam sahaja.  Bas bergerak agak perlahan kerana keadaan jalan raya yang sesak. Setiap kali bas berhenti di lampu isyarat, kelihatan anak-anak kecil menyerbu ke setiap kenderaan untuk meminta sedekah.  Ada juga yang menjual jajan, koran (surat khabar) dan menyanyi sambil memetik gitar. Pemandangan yang  unik dan tidak wujud di Malaysia. 


     Setelah hampir separuh perjalanan ke Bogor, bas kami terpaksa berpatah balik kerana berlaku tanah runtuh di hadapan.  Pemandu bas terpaksa menggunakan jalan lama untuk ke Bogor menyebabkan perjalanan semakin jauh.  Jalan lama yang digunakan amat teruk keadaannya.  Jalannya berlubang-lubang dan agak berbukit menyebabkan kami kerap terlambung di dalam bas. Setelah melalui perjalanan yang mencabar dan meletihkan, akhirnya kami sampai juga di destinasi, iaitu di Pusat Pendidikan Jasmani dan Bimbingan Kaunseling, Bogor tepat pukul 12 malam. Setelah menurunkan barang-barang, kami dibawa ke dewan makan untuk menikmati makan malam.  Saya hanya menjamah dua batang sate Bogor kerana sudah kehilangan selera akibat terlalu letih dan sakit pinggang.  Saya hanya mahu berehat dan tidur segera.  

     Setelah semuanya selesai makan, kami ditempatkan di asrama Melon.  Sebuah bilik berkongsi tiga orang.  Saya berkongsi bilik dengan anak-anak saya di bilik 109.  Tiada selimut disediakan untuk kami, malah pintu bilik air dalam bilik saya itu tidak boleh dikunci.  Saya keluar dari bilik dan menuju ke lobi asrama untuk meminta selimut daripada petugas di situ, namun tiada sesiapa di lobi asrama.  Kebetulan di atas kaunter lobi asrama itu terdapat  tiga helai cadar, jadi saya terus mengambilnya untuk dijadikan selimut. Setelah itu, saya dan anak-anak menunaikan solat sebelum tidur.  Entah kenapa saya berasa agak seram berada di dalam bilik tersebut, namun saya tidak berani untuk memikirkan apa-apa.  Saya terus memejamkan mata sambil membaca segala doa dan ayat-ayat lazim dan akhirnya saya terlena juga.


Rabu (13 Feb 2013)

     Saya terjaga pada pukul 4.30 pagi oleh deringan ‘alarm’ dari telefon bimbit saya.  Saya terus bangun dan mandi.  Pn. Rohimah memanggil saya dari luar bilik kerana kami sudah berjanji untuk pergi menggosok baju di bilik Pn. Tukinah bersama-sama.  Saya meminta Pn. Rohimah menunggu sekejap kerana saya mahu menunaikan solat subuh terlebih dahulu.  Usai solat subuh, saya dan Pn. Rohimah beredar ke bilik Pn. Tukinah untuk menggosok baju batik.  Setelah itu, kami kembali ke bilik masing-masing.  Saya mengejutkan anak-anak.  Pada pukul 6 pagi, kami ke dewan makan untuk bersarapan pagi.  





























     Pada pukul 7.00 pagi, kami mula bertolak ke SMK Negeri 3 (Sek. Men. Kejuruan) Bogor.  Di sepanjang perjalanan, kami melihat pemandangan baharu yang tidak terdapat di Malaysia.  Di tepi jalan, terdapat seorang lelaki yang sedang bercakap menggunakan mikrofon duduk di tepi jalan sambil memohon derma daripada para pemandu. Para pemandu yang mahu menderma akan memasukkan wang mereka ke dalam jaring yang dipegang oleh beberapa orang lelaki dan perempuan di tengah jalan.  Jaring itu dihulur ke tingkap-tingkap kereta yang sedang bergerak perlahan.  Tiada satu kereta pun yang membunyikan hon atau tidak senang akan keadaan itu.  Semuanya sudah terbiasa  dengan situasi begitu.  Jika ada kenderaan yang mahu keluar dari simpang atau mahu membuat ‘u-turn’ dalam kesesakan jalan raya di situ, akan ada seorang lelaki entah dari mana yang akan menahan kereta-kereta yang sedang bergerak untuk memberi laluan kepada kereta tersebut.  Semua pemandu akur dan berhenti. Unik sekali situasi tersebut.  Pada saya, sekiranya situasi tersebut berlaku di Malaysia, pastinya akan kedengaran hon-hon yang panjang dan bingit yang dibunyikan oleh pemandu yang tidak sabar.



     Kami akhirnya sampai di SMK Negeri 3, Bogor pada pukul 8.00 pagi.  Dari pemandangan luar, kawasan sekolah itu amat terbatas.  Sewaktu kami sampai, sekumpulan pelajar sedang bermain bola keranjang.  Semua pelajar berpakaian sukan yang lengkap.  Tiada seorang pun yang terkecuali.  Kelihatan hanya gelanggang bola keranjang itu sahaja yang ada sebagai tempat bersukan, namun hal itu tidak menghalang mereka untuk bersukan dan menjalankan aktiviti pendidikan jasmani.  Kedatangan kami disambut oleh Kepala Sekolah (pengetua sekolah) iaitu Bapak  Janasulaiyana dan beberapa orang guru yang lain.  Kami dibawa ke bilik Kepala Sekolah.  Bilik itu agak luas.  Di dalam bilik itu terdapat satu set ‘setty’dan meja mesyuarat yang boleh menempatkan 20 orang guru dalam satu-satu masa.Sewaktu Pak Jana mula memberikan taklimat tentang sekolah itu, barisan pentadbir sekolah itu masuk ke bilik itu itu bersama-sama bagi meraikan kami.  Pak Jana memperkenalkan semua barisan pentadbir sekolah itu kepada kami, manakala Pn. Tukinah memperkenalkan ahli rombongan kepada mereka.  Bapak Jana memberikan taklimat yang agak terperinci tentang SMK Negeri 3.  Sebenarnya, sekolah itu seakan-akan sekolah vokasional di Malaysia yang mendidik pelajar dalam kemahiran tertentu dalam usaha kerajaan menyediakan tenaga kerja yang mahir di pasaran kerja.  Pelajar di situ akan dipilih mengikut syarat yang ditetapkan oleh  pasaran kerja. Perbezaan yang nyata antara sekolah di Indonesia dan di Malaysia ialah, di Indonesia, hanya gaji guru tetap yang dibayar oleh kerajaan.  Gaji guru ganti, penyediaan prasarana dan perbelanjaan lain semuanya ditanggung sendiri oleh sekolah atas ehsan yuran pelajar, melalui rundingan Komiter (YDP PIBG) dengan para ibu bapa.Pelajar-pelajar yang layak belajar di sekolah itu berumur antara 16-21 tahun.

















Pak Akur Sudianto memulakan kalimat
Pn. Tukinah Sadi memperkenalkan para peserta rombongan


Taklimat oleh Tn. Hj Jamaluddin,  wakil peserta rombongan
Taklimat oleh Kepala Sekolah : Pak Jana


Barisan pentadbir SMK Negeri 3, Bogor
     Setelah mendengar taklimat daripada Kepala Sekolah, tiba pula giliran Tn. Haji Jamaluddin bin Othman memberikan taklimat rigkas tentang pendidikan di Malaysia.  Setelah selesai, kami dijemput untuk merasa cicipan (hidangan) Bogor.  Antara menu cicipan itu ialah air manisan panas, jagung, kacang Bogor, ubi rebus, ubi keledek dan lain-lain.  Semua makanan itu dipotong kecil-kecil sesuai untuk satu suapan.  Sambil makan dan minum, kami dipersembahkan dengan satu tayangan multimedia tentang sekolah itu diikuti oleh sesi dialog.  Majlis taklimat diakhiri dengan acara bertukar-tukar cenderamata oleh kedua-dua pihak. 

Cicipan Bogor


















     Setelah itu, kami dibawa melawat ke setiap unit/ bahagian pengkhususan yang ditawarkan di situ untuk melihat sendiri keadaan di sekolah itu.  Kebetulan pada hari itu, para pelajar sedang menduduki ujian hari terakhir. Kami berpeluang melihat dan merasai makanan yang disediakan sendiri oleh para pelajar, melihat hasil jahitan mereka dan macam-macam lagi.  Setelah lawatan berakhir, kami bergambar beramai-ramai dengan semua barisan pentadbir sekolah tersebut.











Rasa, jangan tak rasa....


Hasil tangan pelajar

 Bergambar bersama chef  dari sebuuh hotel terkemuka di Bogor yang menjadi penilai





Keadaan kantin sekolah yang agak sempit

Ibu bapa pelajar atau waris dijemput sebagai tetamu untuk merasai
hasil tangan anak-anak mereka









Perpustakaan




Kooperasi


Bergambar kenangan bersama pelajar SMK Negeri 3

Warna skirt : putih abu-abu











Aksi 'terlampau' para peserta rombongan...











     Setelah itu, kami meneruskan perjalanan.  Sebelum pulang ke tempat penginapan, kami singgah sebentar di outlet barangan kulit di Jalan Tajul. Pak Anto berpesan kepada kami agar pulang segera selepas singgah  membeli-belah kerana beliau bimbang kami akan lewat sampai jika jalan macet, sedangkan kami harus berehat kerana pada malam nanti, akan diadakan taklimat dan persembahan oleh pihak Pendidikan Jasmani dan Bimbingan Kaunseling, Bogor, iaitu di tempat penginapan kami. Kami makan tengah hari di tepi outlet barangan kulit yang kami singgah.  Di kesempatan itu, saya meminta bantuan pemandu bas iaitu Andi agar membelikan saya ‘adapter’ untuk dipasangkan kepada ‘charger’ hp dan camera saya.  Andi kemudiannya menyewa ojek (motor sewa) untuk ke kedai elektrik yang agak jauh dari tempat kami berhenti.  Setelah pulang, Andi memberitahu saya bahawa harga ‘adapter’,   tersebut ialah 66 ribu rubiah dan sewa ojek ialah 20 ribu, jadi kesemuanya berjumlah 86 ribu rupiah.  Saya memberikan Andi 100 ribu rupiah dan saya minta dia menyimpan sahaja baki duit tersebut sebagai upah lelahnya.

    Setelah semuanya berkumpul, kami meneruskan perjalanan pulang.  Di pertengahan jalan, kami singgah lagi di gerai buah-buahan kerana ada antara kami yang ingin membeli buah avacado, duku dan sebagainya.  Kemudian kami meneruskan perjalanan tanpa singgah di mana-mana lagi.  Kami sampai di tempat penginapan tepat pukul 4 petang.  Kami akhirnya masuk ke bilik masing-masing untuk beristirehat.  Selepas solat, saya dan anak-anak mengambil kesempatan untuk tidur kerana agak kepenatan.  Saya terjaga semula pada pukul 6.30 petang.  Seusai solat qasar dan jamak Maghrib serta Isyak, kami bersiap-siap ke dewan makan untuk makan malam pada pukul 7.00 malam. 

     Di dewan makan, kami disertai oleh beberapa orang pegawai Pusat Pendidikan Jasmani dan Bimbingan Kaunseling.  Pak Anto sebenarnya merupakan salah seorang pegawai di situ dan mengkhusus dalam bidang kaunseling.  Selesai makan, kami beredar ke dewan untuk mendengar taklimat. Tepat pukul 8.00 malam, kami dihiburkan dengan satu persembahan tarian gabungan Sunda dan Bali oleh empat orang penari cantik.  Tarian mereka agak memukau.   Setelah itu, pengerusi majlis memulakan acara.  Pak Akur Sudianto memulakan sesi perkenalan diikuti oleh Pn. Tukinah yang memperkenalkan semua ahli rombongan, manakala taklimat (kalimat) dan perkongsian ilmiah yang bertajuk  “Pendekatan Kaunseling Dalam Kepimpinan Instruksional” telah disampaikan oleh Dr. Muktiono Wospodo dan Dr. Sigit Wibowo.   Ada juga sesi dialog antara peserta dengan kedua-dua penceramah tersebut.  Majlis diakhiri dengan acara bertukar-tukar cenderamata dan sesi bergambar. Tepat pukul 11.00 malam, acara tamat.  Kami semua kembali ke dewan makan untuk menikmati ayam kampung panggang (maaf, rasanya tidak seperti ayam panggang Malaysia).  Sesudah itu kami pulang ke bilik masing-masing untuk tidur. 










     Malam itu saya tidak dapat tidur dengan lena kerana asyik terjaga oleh bunyi yang pelik. Saya cuba mengamati bunyi tersebut dan berasa sangat seram.  Setelah diamati betu-betul, rupa-rupanya alat pendingin hawa (AC) di dalam bilik saya bocor menyebabkan air menitik dengan kuat di atas meja yang terletak di tepi tingkap.  Saya segera mematikan AC, namun tidak lama kemudian AC terpasang sendiri dan air menitik lagi. Sebenarnya AC di semua bilik sudah diselaraskan.  Walaupun penghuni bilik mematikan alat tersebut, ia tetap akan terpasang semula secara automatik.  Saya terpaksa mematikan AC berkali-kali kerana tidak dapat tidur akibat terganggu oleh bunyi air AC yang menitik keras di atas meja. 

Khamis (14 Feb 2013)

   Setelah bergambar semahunya di sekitar Pusat Pendidikan Jasmani dan Bimbingan Kaunseling, Bogor, kami bertolak ke Jakarta pada pukul 9.00 pagi.  Mengikut perancangan malam semalam,  kami akan ke rumah Pak Anto sebelum ke Jakarta untuk menziarahi isteri Pak Anto iaitu Ibu Rani yang sedang terlantar sakit di rumah (beliau merupakan pesakit kanser), namun kami tidak jadi berbuat demikian kerana Pak Anto menjelaskan bahawa jalan ke rumahnya tidak elok, berlubang-lubang, takut nanti kami akan kelewatan sampai di Jakarta jika jalan macet.  Jika hal itu berlaku, kami pasti ketinggalan kapal terbang. Pak Anto mahu kami terus ke lapangan terbang setelah singgah di Mangga 2, kemudian terus ke lapangan terbang seawal mungkin untuk berehat.  Sebelum kami bertolak, Pak Anto membekalkan kami kuih kegemarannya iaitu kuih Bacang (seakan-akan nasi tumpang Kelantan).  Kami juga dibekalkan dengan makanan tengah hari. 
Bergambar di perkarangan asrama



Khairi, saya dan Andi

     Dalam perjalanan ke Jakarta, kami menyaksikan pemandangan yang sama seperti semalam iaitu orang mengutip derma di tengah jalan, anak-anak gembel (jalanan) meminta sedekah, orang berjualan koran (surat khabar) dan jajan (makanan ringan) serta pemuda bermain gitar sambil  menyanyi di hentian lampu isyarat.  Sepanjang perjalanan ke Jakarta juga, hujan turun agak lebat.  Agenda kami untuk melawat masjid  ????   dibatalkan kerana khuatir jalan macet dan kami pasti tidak akan sampai ke lapangan terbang seperti yang dijadualkan.  Kami juga membatalkan rancangan untuk membeli-belah di Mangga 2 kerana air sungai Jakarta sudah separas jalan raya, malah ada jalan-jalannya yang sudah dilimpahi air.  

Banjir kiilat di kota Jakarta...
     Kami khuatir jika Jakarta banjir, pasti kami akan terkandas di situ dan tidak dapat pulang ke Malaysia.  Kami membuat keputusan untuk keluar secepatnya dari bandar Jakarta sebelum air sungai melimpahi jalan raya.  Kami mencari alternatif lain iaitu kami  singgah di Cempaka Emas bagi merealisasikan juga keinginan teman-teman untuk membeli-belah kerana ada sebahagian besar daripada kami masih mempunyai duit yang banyak. 

     Kami sampai di Cempaka Emas pada pukul 11.30 pagi dan diminta berkumpul semula di luar ‘shopping mall’ itu pada pukul 2.30 petang.  Setelah itu kami berpecah mengikut haluan masing-masing.  Pada awalnya, saya dan anak-anak berjalan mengikut kumpulan Pn. Nur Azah, Pn. Sukhainah dan Pn. Junaidah. Di sepanjang kedai yang kami lalui, para ‘sale girl’ akan menegur kami dengan ayat, “belanja bu” berkali-kali agar kami singgah di kedai mereka.  Apabila berinteraksi secara peribadi pula, mereka akan memanggil kami  dengan panggilan ‘bunda’...hmm, sedap kedengaran di telinga. Pn. Nur’Azah, Pn. Sukhainah dan Pn. Junaidah telah membeli beg bagasi beroda yang sama dengan harga yang agak murah setelah berlaku tawar-menawar yang lama di sebuah kedai menjual beg, sehingga terbit gelaran ‘bunda kandung’ dan ‘bunda tiri’ oleh pemuda yang menjual beg tersebut.  Panggilan ‘bunda tiri’ khusus untuk Pn. Junaidah kerana menurut pemuda itu, beliau begitu kejam kerana meminta harga yang sangat murah semasa proses tawar-menawar itu. Saya dan anak-anak akhirnya berpecah dari kumpulan Pn. Nur’Azah, Pn. Sukhainah dan Pn. Junaidah kerana saya dan anak-anak mempunyai tujuan yang lain.   Oleh sebab saya sudah kehabisan duit rupiah, saya hanya mampu membeli sepasang telekong sembahyang, t/shirt untuk anak-anak lelaki dan makan ‘prosperity burger’ di Mc Donald.  Di situ terdapat banyak pintu  kerana pasar raya itu sangat besar.  Saya dan anak-anak tidak menjumpai pintu keluar yang sama seperti mana pintu yang kami masuk kerana saya terlupa untuk melihat nama pintu sebelum kami masuk tadi.  Oleh itu, saya dan anak-anak terpaksa berjalan mengelilingi pasar raya itu demi mencari pintu yang kami masuk tadi, kerana kami harus berkumpul di situ pada pukul 2.30 petang.  Alhamdulillah, akhirnya anak saya menjumpai pintu itu, lalu kami menunggu teman-teman yang lain di situ.  Saya dan anak-anak merupakan orang pertama yang keluar dari pasar raya itu.  Setelah beberapa lama menunggu, seorang demi seorang teman-teman keluar dan berkumpul di situ.  Akhirnya Andi datang dan membawa kami ke bas. Setelah semuanya ada, kami meneruskan perjalanan ke lapangan terbang.  Perjalanan mengambil masa selama satu jam. 

     Kami tiba di lapangan terbang Soekarna-Hatta pada pukul 4.00 petang.  Setelah ‘check-in’ bagasi, kami solat qasar dan jamak Zuhur dan Asar di surau lapangan terbang. Setelah itu kami berkumpul di tepi surau.  Saya yang belum makan tengah hari, mula makan bekalan saya di situ.  Ramai teman yang lain sudah makan di dalam bas.  Setelah solat Maghrib, kami masuk untuk ‘check-in’.  Akhirnya kami menaiki pesawat dan pesawat berlepas tepat jam 8.30 malam waktu Indonesia.  Perjalanan ke Kuala Lumpur mengambil masa dua jam.  Kapal terbang yang kami naiki akhirnya selamat mendarat di LCCT pada pukul 11.30 malam waktu Malaysia.  Setelah mengambil bagasi masing-masing, kami berpecah.  Saya dan anak-anak dijemput oleh suami ditemani oleh anak-anak saya yang lain. Saya selamat sampai di rumah pada pukul 1.00 pagi. 


    Begitulah catatan perjalanan saya dan teman-teman sepanjang empat  hari di Indonesia.  Pengalaman tersebut banyak memberi kesedaran dan pengajaran kepada kami semua. Kami sangat bersyukur menjadi rakyat Malaysia, bumi bertuah, tanah tumpah darah, negara yang aman, makmur dan mewah.  Alhamdulillah, terima kasih Allah.